Skip to content

Contoh Karangan SPM – Faedah Amalan Berjimat

Faedah Amalan Berjimat

Kehidupan membazir dan tamak akan mendorong manusia ke arah kebinasaan. Kita perlu berjimat cermat sama ada dalam perbelanjaan seharian. Apakah kebaikan dan faedah amalan berjimat cermat dalam kehidupankita.

Faedah dan Kepentingan Amalan Berjimat Cermat

Dasawarsa ini, negara kita telah dilanda oleh gelombang inflasi secara global. Setiap pengguna tidak dapat melepaskan diri  daripada kepompong inflasi. Sehubungan dengan itu, segenap masyarakat diseru supaya mengimplementasikan amalan berjimat cermat dalam rutin hidup mereka untuk menghadapi keperitan itu. Semua ajaran agama mengajar penganutnya agar berjimat cermat dan tidak membazir dalam kehidupan. Memetik kata-kata azimat Laotze, “Kehidupan membazir dan tamak akan mendorong manusia ke arah kebinasaan.” Hal ini memanifestasikan bahawa betapa manfaatnya amalan berjimat cermat dalam kehidupan sehari-harian kita. Oleh itu, terdapat beberapa faedah yang akan diperoleh jika amalan ini dibudayakan dalam kehidupan seharian kita.

Mengurangkan perbelanjaan

Salah satu faedah yang kita peroleh ialah amalan ini dapat mengurangkan perbelanjaan kita. Dengan berjimat cermat, kita akan lebih berhati-hati ketika membelanjakan wang terutamanya dalam kehidupan marcapada yang keadaan ekonomi tidak stabil. Keadaan menjadi lebih terhimpit apabila harga barang basah dan dapur turut meningkat menyebabkan harga makanan di kedai makan turut meningkat. Oleh itu, ahli keluarga perlulah membudayakan amalan makan di rumah seperti makan malam dan pada waktu cuti. Situasi ini sudah tentu dapat mengurangkan perbelanjaan ahli keluarga dan sekali gus dapat mengelakkan pembaziran. Bukan itu sahaja, kesihatan ahli keluarga juga akan terjamin kerana makanan yang dimasak lebih berkhasiat dan bersih. Sudah jelas amalan makan di rumah memberikan pelbagai kemaslahatan ibarat serampang dua mata. Oleh itu, jelaslah bahawa amalan berjimat cermat dapat membataskan perbelanjaan kita dan mengelakkan pembaziran.

memupuk sikap berdikari

Selain itu, amalan yang murni ini juga dapat memupuk sikap berdikari. Hal ini dikatakan demikian kerana kita tidak akan bergantung kepada satu sumber atau satu punca sahaja untuk menyara kehidupan kita sekeluarga. Sebagai contoh, kita perlulah menggalakkan ahli keluarga kita mengamalkan amalan bercucuk tanam di halaman rumah walaupun hanya bertanahkan sekangkang kera. Dengan aktiviti bercucuk tanam yang dipraktikkan oleh ahli keluarga sudah pasti dapat menjimatkan perbelanjaan dapur kerana tidak perlu membeli sayur-sayuran seperti sawi, kacang panjang dan kangkung di pasar. Lebih-lebih lagi, tubuh badan kita akan lebih sihat dan hubungan kekeluargaan juga akan terjalin erat bagai isi dengan kuku. Izharlah di sini bahawa sikap berdikari dapat dipupuk dalam jiwa kita dengan amalan berjimat cermat.

menambahkan wang simpanan

Seorang yang berjimat-cermat tidak akan membeli sesuatu tanpa perancangan teliti. Salah satu kebaikan amalan berjimat cermat ialah dapat menambahkan wang simpanan. Amalan ini mendidik kita supaya menyimpan wang secara berdikit-dikit untuk kegunaan pada masa hadapan kerana sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Tamsilnya, kita boleh membuat tabungan wang lebihan yang diperoleh dengan menyimpan wang di dalam tabung atau di dalam bank. Wang tabungan ini lama-kelamaan akan menjadi banyak dan dapat digunakan terutamanya pada waktu kecemasan seperti menghidap penyakit, ditimpa kemalangan, kebakaran dan sebagainya. Segala masalah dapat dikekang atau diminimumkan jika kita dapat berjimat cermat dan sentiasa menabung dalam kehidupan sehari-harian. Kita perlu sentiasa mengingati peribahasa Melayu, “Sediakan payung sebelum hujan.” Pendek kata, amalan berjimat cermat dapat membudayakan amalan menabung yang merupakan tindakan berjaga-jaga untuk membuat persediaan sebelum berlakunya sesuatu musibah kerana panas tidak sampai ke petang.

Berdisiplin dalam melakukan sesuatu

Tujuan berjimat adalah supaya kita tidak melakukan sesuatu dengan sia-sia. Amalan berjimat dapat menjadikan kita lebih berdisiplin dalam melakukan sesuatu. Orang yang berjimat dalam menggunakan masa, tidak akan membiarkan diri mereka lalai tanpa membuat sesuatu yang berfaedah. Mereka akan mengelakkan daripada menangguh-nangguh sesuatu tugas. Peribahasa “masa itu emas” akan menjadi pendorong kepada golongan ini agar menggunakan masa dengan sebaik-baik mungkin. Sebagai pelajar, kita perlu mengisi masa terluang sebaik-baiknya dengan mengulang kaji pelajaran dan sebagainya.

Penutup Karangan faedah berjimat cermat

Akhirulkalam, amalan berjimat cermat mempunyai beberapa faedah dan kepentingan untuk menjamin kewangan kita pada masa hadapan. Amalan berjimat cermat juga merupakan nilai murni yang diajarkan oleh setiap agama di dunia ini. Berpaksikan amalan ini, kita dapat hidup dengan kesederhanaan tanpa membazir. Oleh itu, kita haruslah mempraktikkan amalan ini sejak dari azali lagi. Amalan ini harus ditanam sejak kecil lagi oleh ibu bapa bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya sebelum nasi menjadi bubur. Bukan itu sahaja, kita juga haruslah memainkan peranan penting dalam mengamalkan amalan berjimat cermat dan kita juga perlu menunjukkan teladan yang baik supaya generasi akan datang dapat mencontohi sikap ini.

Sehubungan dengan itu, kehidupan kita akan lebih harmoni, sentosa dan bahagia sehingga mewujudkan masyarakat berhemat ketika berbelanja. Semoga amalan berjimat cermat akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu untuk jaminan masa hadapan yang lebih cerah, seperti  kata tokoh Mahatma Gandhi, “Berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini.”


Cogan Kata Karangan kebaikan berjimat cermat

1. Laotze  – Kehidupan membazir dan tamak akan mendorong manusia ke arah  kebinasaan. 
2. Ibarat serampang dua mata / sambil meyelam minum air 
3. Bagai isi dengan kuku
4. Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit
5. Sediakan payung sebelum hujan 
6. Panas tidak sampai ke petang
7. Melentur buluh biarlah dari rebungnya 
9. Mahatma Gandhi – Berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini.


Contoh Karangan: Faedah dan kepentingan Amalan Menabung

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page