Skip to content

Karangan Faedah dan kepentingan Amalan Menabung

kepentingan Amalan Menabung

Amalan Menabung penting dalam kehidupan dan haruslah dididik oleh ibu bapa sejak kecil. Tulis karangan tentang faedah dan kepentingan amalan menabung.

Amalan Menabung dan FaedahMenabung

Memang tidak dapat dinafikan bahawa amalan menabung amat penting dan memberi banyak faedah dalam kehidupan manusia. Amalan baik ini haruslah dididik oleh ibu bapa sejak kecil. Terdapat banyak cara untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan masyarakat. Ibu bapa boleh membuka akaun di bank atas nama anak-anak untuk menggalakkan mereka menabung.

Di samping itu, Jabatan Pelajaran Sarawak telah melancarkan program menggalakkan pelajar menabung sama ada peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Antaranya, Program Wang Simpanan Saku yang telah dilaksankan di peringkat sekolah. Kelab Kewangan Sekolah akan mengurus wang simpanan saku tersebut. Oleh itu, amalan menabung boleh dikatakan membawa faedah yang banyak kepada kita.

Menggunakan wang dengan cermat

Amalan menabung boleh menyemai tabiat berjimat cermat, terutamanya dalam kalangan pelajar. Dengan adanya amalan ini, kita tidak akan boros dalam perbelanjaan seharian seperti makanan, hiburan dan sebagainya. kita akan menggunakan wang dengan cermat dan memastikan kita tidak terlebih guna wang yana ada pada kita. Misalnya, seseorang yang berjimat cermat sudah tentu menggunakan separuh daripada wang perbelanjaan yang tidak dibelanjakan untuk ditabung  sama ada di dalam bekas tabung atau disimpan di bank. Penyimpan bank juga akan memperoleh dividen hasil daripada simpanan, bak kata pepatah sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Jadi,pendedahan amalan menabung harus diajar untuk mengamalkan sikap berjimat cermat dan memberikan kesan positif pada bila-bila masa.

Amalan menabung untuk mengatasi kecemasan

Salah satu faedah menabung ialah tabungan boleh mengatasi masalah yang kita hadapi semasa kecemasan. Keadaan ini boleh digambarkan seseorang menyediakan payung sebelum hujan. Kita dapat membantu orang yang berada dalam keadaan susah, seperti mangsa dalam kemalangan atau ditimpa bencana. Misalnya, kita boleh menggunakan tabungan kita untuk menderma kepada mangsa Gaza.

Selain itu, kita juga boleh membantu keluarga dan saudara kita apabila kecemasan berlaku. Hal ini disebabkan kita tidak mungkin dapat memperoleh sejumlah wang yang banyak dengan segera jika kita tidak ada wang tabungan. Untuk menyemai amalan yang murni ini dalam kalangan masyarakat, syarikat insurans telah menggalakkan masyarakat supaya menabung dengan cara menawarkan skim tabungan yang pelbagai untuk kecemasan, iaitu kad perubatan. Amalan menabung yang dididik sejak anak-anak kecil lagi jelas membantu meringankan masalah kecemasan ketika berdepan situasi rumit.

Karangan Amalan Menabung
Karangan Amalan Menabung

Contoh Karangan: Peranan ibu bapa memupuk amalan menabung

Kepentingan menabung untuk hari tua

Selain itu, amalan menabung penting untuk hari tua. Sikap yang rajin menabung semasa masih muda, bertenaga, dan sihat akan menyenangkan pada hari tua. Dengan adanya wang, kita dapat menikmati kehidupan yang lebih gembira dan selesa, bak kata pepatah berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-sengan kemudian. Kita harus bersusah dahulu dan bersenang kemudian. Bagi umat Islam, wang yang ditabung boleh digunakan untuk menunaikan haji dan umrah pada masa hadapan.Oleh itu, amalan menabung yang dipupuk sejak kecil lagi jelas memberikan masa hadapan yang lebih senang.

Faedah menabung membiayai keperluan semasa

Lebih-lebih lagi, amalan menabung dapat memudahkan pembiayaan keperluan semasa dan yang akan datang. Kita telah mempunyai wang yang secukupnya untuk membiayai apa-apa sahaja yang diperlukan. Kita tidak perlu meminjam wang daripada lintah darat dan berhutang selama beberapa tahun. Kini, kebanyakan harga barang telah  meningkat dan perkhidmatan awam yang semakin meningkat harganya. Oleh itu, dengan ada tabungan, kita mampu membeli sesuatu yang diperlukan atau dikehendaki. Kita juga dapat membiayai pendidikan anak-anak di menara gading tanpa bergantung kepada pihak kerajaan atau mana-mana pihak. Selain itu, seseorang tidak mudah terjerat oleh lintah darat dengan amalan menabung.

Amalan Menabung boleh mengelakkan pergaduhan

Tambahan pula, menabung dapat menghalang pelbagai masalah yang mungkin melanda dalam kehidupan. Hubungan antara kawan sentiasa menjadi buruk disebabkan masalah kewangan. Misalnya, semasa kawan anda memerlukan sejumlah duit, tetapi wang simpanan tidak mencukupi. Tindakan meminjam duit selalunya menjejaskan persabahatan kerana anda mungkin risau akan kawan tidak dapat memulangkan wang tersebut dalam waktu yang ditentukan. Sekiranya menolak kehendakan kawan anda, hubungan persahabatan mungkin terjejas. Oleh itu, menabung perlu diamalkan supaya tidak akan menghadapi keadaan yang janggal seperti yang disebut.

Kesimpulan kepentingan Amalan Menabung

Intihanya, amalan menabung mempunyai banyak kebaikan dan kepentingan. Setiap individu perlu mengorak langkah untuk menabung supaya budaya inidilaksanakan secara berterusan. Faedah menabung ini bukan sahaja dapat merealisasikan impian diri sendiri malahan memberi kebaikan kepada negara kita. Dalam keadaan kemelesetan ekonomi dunia, rakyat juga dapat menghadapi kegawatan ekonomi ini dengan tabah kerana mempunyai tabungan yang cukup untuk membiayai kos hidup. Jelaslah, amalan menabung ini juga merupakan usaha untuk menyediakan payung sebelum hujan dan juga suatu amalan yang mendatangkan banyak kebaikan kepada individu itu sendiri, keluarga, masyarakat juga negara.


Apakah kepentingan amalan menabung kepada pelajar?

Amalan menabung sejak kecil dapat memupuk tabiat berjimat cermat dalam kalangan pelajar.

Apakah faedah menabung dalam kehidupan?

Amalan menabung mempunyai faedah kepada masa hadapan dan semasa kita tua. Sikap menabung semasa muda akan menyenangkan pada hari tua. Tabungan juga boleh digunakan untuk menghadapikecemasan diri atau keluarga yang disayangi.

Contoh Karangan: Faedah Amalan Menabung

7 thoughts on “Karangan Faedah dan kepentingan Amalan Menabung”

  1. saya minta izin untuk salin kerana ianya sesuai untuk bahan rujukan saya. terima kasih dan ianya amat membantu.

  2. SURYIAH A/L GUNASEGARAN

    KARANGAN PENDEK :
    Amalan menabung merupakan satu amalan mulia yang perlu diamalkan oleh kita. Amalan ini memberikan banyak kebaikan dan menjamin masa depan kita.

    Amalan kebaikan menabung ialah menggunakan duit semasa waktu kecemasan. Hal ini , manusia tidak dapat mengesan bila mereka akan memerlukan duit yang banyak. Seterusnya, kita dapat menguruskan wang secara berhemat. Hal ini disebabkan sikap manusia yang tidak berboros dan tidak rasional semasa membuat pilihan. Amlan menabung juga dapat memudahkan pembiayaan kos pengajian. Dengan ini , kita tidak perlu meminjam wang dengan sesiapa.

    83 PATAH PERKATAAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page