Skip to content

Contoh Karangan: Faedah – Faedah Amalan Menabung

Faedah Amalan Menabung

Amalan menabung kurang dipraktikkan oleh majoriti masyarakat di Malaysia. Amalan ini harus dipupuk sejak kecil lagi. Bincangkan faedah amalan menabungdalam kalangan masyarakat kita.

Faedah – Faedah Amalan Menabung

Amalan menabung dapat didefinisikan sebagai suatu budaya menyimpan wang yang dilaksanakan secara berterusan. Terdapat pelbagai jenis bekas tabung yang diperbuat daripada variasi bahan sama ada semula jadi atau tiruan seperti buluh daripada bahan semula jadi dan plastik daripada bahan tiruan. Namun, kebelakangan ini, amalan menabung kurang dipraktikkan oleh majoriti masyarakat di Malaysia dan ini jelas mengundang kerisauan kepada beberapa pihak yang telah bertungkus lumus mengadakan pelbagai kempen berkenaan amalan menabung ini.

Mahu ataupun tidak, pihak yang terlibat haruslah memerah otak mencari alternatif lain bagi menjadikan amalan menabung ini merupakan suatu perkara yang sinonim dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sekiranya penerangan tentang faedah-faedah yang diperoleh melalui amalan menabung mampu memberikan reaksi positif, mengapa tidak kita melakukannya?

memupuk amalan berjimat cermat

Antara faedah yang diperoleh melalui amalan menabung ialah individu itu akan dapat memupuk diri menjadi seorang yang berjimat cermat. Hal ini berlaku demikian kerana individu tersebut akan sentiasa mengawal perbelanjaan harian agar dapat menyimpan wang di dalam tabung. Justeru, individu tersebut akan berjaya mengawal perasaan dan keinginan mereka untuk memperoleh sesuatu barangan walaupun pada hakikatnya mereka tidak menjadikan barangan tersebut sebagai suatu keperluan. Tamsilannya, seorang anak yang telah diajar untuk mengamalkan sikap berjimat cermat oleh ibu bapa mereka akan bijak menggunakan wang yang diberi dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, pendedahan amalan menabung kepada anak-anak sejak kecil lagi umpama melentur buluh dari rebungnya akan memberikan kesan positif kepada mereka sekali gus menyematkan sikap suka berjimat cermat dalam diri mereka.

menjamin masa hadapan yang cerah

Selain itu, faedah lain yang diperoleh melalui amalan menabung yang dipupuk sejak kecil lagi ialah dapat menjamin masa hadapan yang cerah bagi anak-anak. Hal ini berlaku demikian kerana hasil tabungan yang dikumpul mereka daripada kecil sehingga dewasa akan dapat digunakan untuk tujuan tertentu apabila mereka dewasa kelak. Lantaran itu, jika anak-anak berkehendakkan sesuatu, mereka mampu untuk mendapatkannya tanpa perlu membebankan atau bergantung harap pada kedua-dua orang tua mereka. Tamsilannya, jika anak-anak mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading sama ada di dalam atau di luar negara, ibu bapa mereka tidak begitu risau dan akan menerima tawaran tersebut dengan hati yang terbuka tanpa perlu memikirkan soal pembiayaan pengajian anak-anak mereka. Oleh itu, amalan menabung yang dipupuk sejak kecil lagi jelas memberikan masa hadapan yang cerah buat cahaya mata mereka.

Penyelamat pada waktu kecemasan

Bukan itu sahaja, amalan menabung yang disemat dalam diri individu sejak kecil lagi juga akan dapat menjadi penyelamat pada waktu runcing atau kecemasan. Hal ini berlaku demikian kerana hasil tabungan yang dikumpul dari usia setahun jagung sehingga dewasa akan dapat digunakan ketika berhadapan sesuatu kejadian yang tidak diduga. Bak kata peribahasa Melayu, malang tidak berbau. Impaknya, individu tersebut tidak berada dalam keadaan terdesak apabila terjadi sesuatu perkara yang tidak diingini sekiranya mereka menjadikan aktiviti menabung sebagai suatu amalan.

Tamsilannya, hasil tabungan yang dikumpul dari usia muda dapat digunakan untuk membiayai kos rawatan yang dikenakan pihak hospital sekiranya salah seorang ahli keluarga penabung berdepan masalah seperti kemalangan, menghidapi penyakit dan sebagainya sekali gus dapat memupuk sikap saling membantu dalam ahli keluarga.

Penutup karangan amalan menabung

Intihanya, jelaslah bahawa amalan menabung perlu dipupuk dalam diri anak-anak sejak mereka kecil lagi. Dengan demikian, ibu bapa, pihak sekolah serta masyarakat sekeliling haruslah sentiasa memberikan sokongan kepada anak-anak muda masa ini dalam usaha membudayakan amalan menabung dalam diri mereka. Sekiranya semua pihak menjalankan kewajipan mereka dengan sebaik-baiknya, tidak mustahil suatu hari nanti anak-anak yang diasuh supaya membudayakan amalan menabung ini akan menjadi individu yang pemurah, berjimat cermat serta seorang pekerja yang amanah terutamanya apabila melibatkan urusan kewangan. Jelaslah, amalan menabung ini merupakan usaha untuk menyediakan payung sebelum hujan dan amalan ini mendatangkan banyak faedah kepada individu dan masyarakat.


Contoh Karangan: Kepentingan Amalan Menabung
Contoh Karangan: Peranan ibu bapa memupuk amalan menabung

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *