Skip to content

Contoh Karangan SPM: Gejala antisosial pelajar

Sekolah

Gejala antisosial semakin meningkat dalam kalangan pelajar. Huraikan punca berlakunya gejala antisosial pelajar dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini.

Punca Gejala antisosial pelajar dan Cara Mengatasi

Gejala antisosial dalam kalangan pelajar sekolah merujuk kelakuan tidak sopan, tidak baik, bertentangan dengan budaya tempatan dan menjatuhkan imej pelajar bagai mencalar muka dengan arang. Antara kelakuan negatif itu melibatkan ponteng sekolah, bergaduh dan menyertai kumpulan samseng. Media massa telah menggunakan gejala ini sebagai salah satu bahan berita utama mereka sehingga pelbagai pihak terutama masyarakat umum memberikan pandangan mereka tentang perkara ini. Jadi, mengapakah apakah gejala ini sebenarnya dan apakah cara-cara untuk mengatasinya?

Gejala ponteng sekolah

Gejala ponteng sekolah bukan sahaja menular di kawasan bandar tetapi meliputi juga pelajar luar bandar. Mereka sanggup menghabiskan masa dan wang dengan melepak di sesuatu tempat tanpa memberitahu keluarga mereka. Biasanya, pelajar sebegini akan berpura-pura pergi ke sekolah tetapi melencong kemudiannya. Pakaian sekolah akan ditukar dengan pakaian biasa ketika mereka melakukan gejala yang memalukan ini. Tindakan bijak mereka ini mampu mengaburi mata ibu bapa untuk mengesan kelakuan tidak baik mereka bagai menjaga intan dicanai.

Sikap yang suka memusnahkan

Selain itu, vandalisme iaitu sikap yang suka memusnahkan sesuatu juga menjadi satu masalah yang besar dalam kehidupan pelajar kini. Pelajar suka merosakkan kemudahan-kemudahan awam sekolah seperti meja tulis, papan kenyataan dan juga kemudahan tandas. Tindakan ini telah menyusahkan pihak sekolah kerana kos untuk menggantikan semua kemudahan ini agak mahal juga. Pada masa yang sama, kemusnahan kemudahan awam ini turut menyusahkan pelajar lain untuk menggunakannya pula.

Peranan Ibu Bapa

Dalam usaha menangani masalah ini, pihak ibu bapa perlulah memainkan peranan yang penting dengan mendisiplinkan anak mereka seperti sayangkan anak tangan tangankan, sayangkan isteri ingat ingatkan. Sikap memahami dan mengesan sebarang perubahan tingkah laku dalam jiwa anak mereka amat penting supaya ibu bapa boleh memberi nasihat serta teguran yang membina. Hubungan yang erat antara ibu bapa dengan pihak sekolah juga penting supaya semua masalah anak mereka di sekolah dapat dipantau dengan lebih efektif lagi.

Masyarakat membuat laporan apabila mencurigakan

Manakala, pihak masyarakat pula boleh menghulurkan bantuan dengan membuat laporan sebarang aktiviti yang mencurigakan daripada pelajar sekolah ini. Masyarakat boleh memerhatikan pelajar yang bermasalah ini dengan membuat laporan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Keprihatinan masyarakat ini turut memberi amaran kepada pelajar agar lebih berhati-hati jika mahu melakukan sesuatu tindakan buruk kerana tingkah laku mereka sedang diperhatikan oleh masyarakat juga kerana budi yang baik dikenang sampai mati.

Penutup Karangan Gejala Antisosial

Kesimpulannya, gejala antisosial dalam kalangan pelajar sekolah memang semakin serius dan perlu ditangani segera seperti bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Kerjasama semua pihak terutama ibu bapa diperlukan agar masalah ini dapat dihapuskan dengan sebaik mungkin. Kegagalan untuk menghulurkan kerjasama ini pasti menyaksikan pelajar kita terus mengalami masalah sosial yang memalukan pula.


Contoh Karangan: Langkah membentuk disiplin pelajar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *