Kandungan
Perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum perlu dipupuk dari semasa ke semasa. Huraikan langkah memupuk perpaduan rakyat di negara kita.
Langkah untuk memupuk Perpaduan Rakyat Malaysia
Perpaduan rakyat diertikan sebagai rakyat berganding bahu untuk melakukan sesuatu dan sentiasa menyelesaikan masalah secara musyawarah. Perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum perlu dipupuk dari semasa ke semasa demi memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara. Jika perpaduan tidak wujud dalam sesebuah negara, maka negara tersebut akan mudah terjerumus ke kancah pergolakan sosial dan perpecahan. Oleh itu, amat penting bagi kita memahami kepentingan perpaduan dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk memupuknya. Persoalannya ialah apakah langkah yang perlu dilaksanakan bagi memastikan perpaduan rakyat dapat dikekalkan?
Sikap toleransi dalam diri
Langkah memupuk perpaduan yang utama ialah rakyat Malaysia haruslah mempunyai sikap toleransi dalam diri. Hal ini penting untuk mengelakkan sebarang pertelingkahan atau perselisihan faham yang boleh memecahbelahkan rakyat. Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, kita haruslah mengetepikan emosi yang menyebabkan perpecahan. Sebagai contoh, di tempat kerja, pekerja pelbagai kaum haruslah saling menghormati kepercayaan dan budaya masing-masing agar keharmonian terpelihara. Rakyat harus hidup secara aman, saling membantu dan bekerjasama ibarat berat sama dipikul ringan sama dijinjing, serta mengikis sikap “bagai enau dalam belukar” untuk menjamin perpaduan.
Peranan Badan bukan kerajaan
Selain itu, badan bukan kerajaan (NGO) turut memainkan peranan penting dengan menganjurkan pelbagai kempen dan ceramah berkaitan langkah memupuk perpaduan. Aktiviti sebegini perlu diadakan secara berterusan dan bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam. Hal ini penting kerana melalui aktiviti tersebut, rakyat Malaysia akan lebih sedar akan kepentingan perpaduan. Sebagai contoh, NGO seperti MERCY Malaysia sering menjalankan program bantuan kemanusiaan yang melibatkan sukarelawan pelbagai kaum. Melalui program sebegini, para peserta bukan sahaja dapat membantu golongan memerlukan, tetapi juga berpeluang berinteraksi dan memahami antara satu sama lain. Aktiviti seperti ini dapat mengeratkan hubungan antara kaum serta memperkukuhkan perpaduan nasional.
Contoh Karangan: Kepentingan Perpaduan di Malaysia
Peranan Rukun Tetangga
Pertubuhan seperti Rukun Tetangga pula harus kerap menganjurkan aktiviti yang melibatkan pelbagai kaum. Melalui aktiviti ini, rakyat pelbagai kaum dapat memahami budaya antara satu sama lain. Sebagai contoh, aktiviti hari keluarga dalam kalangan penduduk pelbagai kaum boleh diadakan sekurang-kurangnya tiga bulan sekali. Apabila mereka kerap bersama dalam aktiviti, mereka akan lebih mesra dan saling mengenali kerana tak kenal maka tak cinta. Lama-kelamaan, bibit perpaduan akan tersemai dalam sanubari. Kesannya, mereka akan berusaha untuk bersatu padu kerana sedar bahawa “bersatu teguh, bercerai roboh”.
Peranan Ibu Bapa
Pernahkah terlintas dalam fikiran kita bahawa ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam menyuburkan perpaduan? Ibu bapa merupakan individu paling dekat dengan anak-anak. Maka, mereka bertanggungjawab mendidik anak-anak dengan nilai murni seperti kerjasama dan saling membantu. Usaha ini harus dimulakan sejak anak-anak masih kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa digalakkan untuk menyarankan anak-anak berkawan dengan rakan daripada pelbagai kaum. Di samping itu, ibu bapa juga perlu menjadi teladan dengan bergaul bersama masyarakat pelbagai kaum agar tidak digelar bagai ketam menyuruh anak berjalan betul. Anak-anak yang melihat teladan baik ini akan terdorong untuk mengikut jejak dan menghargai kepelbagaian budaya kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Perpaduan Melalui Makanan
Akhirnya, satu lagi langkah memupuk perpaduan rakyat Malaysia ialah melalui penganjuran festival makanan pelbagai kaum di peringkat komuniti, sekolah atau kebangsaan. Acara ini membolehkan masyarakat mencuba makanan tradisional antara satu sama lain seperti ketupat, thosai dan kuih bulan, sekali gus menghargai keunikan budaya masing-masing. Selain itu, interaksi mesra ketika menjamu selera dapat mengeratkan hubungan seperti isi dengan kuku. Contohnya, pihak berkuasa tempatan boleh menganjurkan Festival Rasa Malaysia di kawasan perumahan bercampur, di mana penduduk menyumbangkan hidangan etnik dan berkongsi cerita resepi turun-temurun. Pendekatan santai dan menyeronokkan ini mampu menyemai semangat perpaduan secara semula jadi. Peribahasa muafakat membawa berkat mengingatkan kita bahawa keharmonian terbit daripada usaha bersama.
Penutup Karangan Langkah Memupuk Perpaduan
Sebagai konklusinya, semua pihak harus berganding bahu ibarat bukit sama didaki, lurah sama dituruni untuk mengekalkan perpaduan rakyat. Usaha ini bukan hanya tugas kerajaan, malah melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk NGO, ibu bapa dan pertubuhan sosial. Bersama-samalah kita menjayakan impian Malaysia menjadi negara gemilang di mata dunia. Biar matahari terus bersinar, pepohon terus menghijau dan Malaysia terus unggul melalui perpaduan yang kita semai. Tanpa perpaduan, negara tidak akan maju dan sukar untuk setanding dengan negara lain. Marilah kita menjadi rakyat yang bertanggungjawab dan terus memupuk perpaduan agar Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan berjaya.
very good