Skip to content

Karangan Kepentingan menguasai teknologi maklumat

Faedah teknologi maklumat

Teknologi maklumat kini berkembang menjadi lebih canggih dan maju. Persoalannya, apakah faedah dan kepentingan menguasai teknologi maklumat antara golongan remaja?

Faedah teknologi maklumat dalam kalangan remaja

Teknologi maklumat didefinisikan sebagai aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepatnya penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindung, memproses, memindah, melihat dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu. Payung teknologi maklumat adalah amat besar, dan meliputi banyak bidang yang berbeza- beza dari pemasangan perisian penggunaan sehingga perekaan bentuk rangkaian komputer dan pangkalan data maklumat.

Teknologi maklumat yang awalnya telah muncul sekitar dekad 1970-an kini berkembang menjadi lebih gah dan maju. Lebih membanggakan kebanyakan ahli pakar teknologi maklumat terdiri daripada golongan remaja dan belia. Hal ini amatlah bertepatan dengan aspirasi kerajaan Malaysia yang ingin melahirkan pakar dalam kalangan remaja. Remaja telah menjadi target utama kerajaan setelah melihat kepada kemampuan untuk berfikir, sifat kreatif dan kekuatan tenaga golongan muda berbanding golongan veteran dan pertengahan. Aspirasi kerajaan ini juga telah menjadi titik tolak kewujudan subjek teknologi maklumat dalam semua peringkat pengajian dari sekolah menengah hingga ke IPTA dan IPTS. Justeru, menguasai teknologi maklumat merupakan perkara yang penting kepada golongan remaja.

meningkatkan pengetahuan terhadap isu semasa

Berdasarkan minda pelajar kelas pertama saya, faedah teknologi maklumat kepada golongan remaja yang pertama adalah meningkatkan pengetahuan terhadap isu semasa. Umum sedia maklum, remaja masa kini lebih bersifat bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, dan tidak langsung menghiraukan perkembangan semasa dalam negara mahu pun luar negara. Namun, melalui penguasaan teknologi maklumat, remaja akan mengetahui berita semasa yang berlaku dalam negara dan luar negara kurang daripada sehari apabila berita itu dimuat naik. Sudah menjadi lumrah manusia ingin menjadi pusat rujukan berita semasa, maka apabila sesuatu berita dimuat naik oleh seseorang, pasti netizen lain yang membaca turut berkongsi berita tersebut dan akhirnya akan diketahui oleh golongan remaja seperti saya.

Misalnya berita semasa berkenaan Covid-19 yang hangat melanda pelosok dunia dapat diketahui hanya melalui teknologi maklumat. Sekiranya saya sebagai remaja masih memandang tentang faedah teknologi maklumat, sudah pasti saya akan menjadi bagai katak bawah tempurang terhadap isu semasa yang melanda dunia. Sekali gus mampu mengancam nyawa saya dan orang sekeliling kerana tidak mengetahui sebarang ancaman, bahaya dan masalah yang sedang menimpa dunia. Tegaslah bahawa penguasaan teknologi ini mampu meningkatkan pengetahuan terhadap isu semasa dalam kalangan remaja.

Meningkatkan perhubungan jarak jauh

Jika saya lihat dari perspektif yang berbeza, penguasaan teknologi maklumat dalam kalangan remaja penting untuk meningkatkan perhubungan jarak jauh. Teknologi maklumat sememangnya terkenal dengan keupayaan perantinya untuk menghubungan individu yang berjauhan walaupun berjuta batu dan berada di negara yang berlainan. Tambahan pula rangkaian internet masa kini telah dinaik taraf daripada 4G kepada 5G pada tahun 2020 ini. Hal ini membolehkan internet diakses lebih pantas dan cekap. Kewujudan aplikasi seperti ‘Whatsapp’, ‘Facebook’, ‘Telegram’ dan pelbagai lagi lebih memudahkan remaja seperti saya untuk berhubung dengan individu yang berjauhan hanya dengan memilih sahaja aplikasi yang saya ingini.

Melalui teknologi seperti ini, saya tidak perlu lagi takut untuk berpisah dengan keluarga demi menuntut ilmu di menara gading yang jauh dari rumah kerana saya tetap berpeluang untuk menghubungi keluarga melalui ‘voice call’ atau pun ‘video call’, persis ungkapan peribahasa air dicincang tidak akan putus. Jika teknologi maklumat seperti tidak wujud, sudah pasti saya akan berat hati untuk meninggalkan keluarga demi menuntut ilmu dan sekali gus menjejaskan prestasi pembelajaran saya. Maka semamangnya, teknologi maklumat berupaya meningkatkan perhubungan jarak jauh.

Medium pembelajaran

Selain itu, faedah ketiga penguasaan teknologi maklumat kepada golongan remaja ialah sebagai medium pembelajaran. Konteks ini dibuktikan melalui keupayaan teknologi maklumat yang serba boleh seperti yang saya perkatakan awal tadi. Teknologi maklumat masa kini telah diinovasikan sebagai medium pembelajaran bagi pelbagai perkara misalnya akademik, kokurikulum, agama dan pelbagai lagi. Masyarakat yang berpengetahuan masa kini juga turut bermurah hati untuk berkongsi ilmu. Kebanyakan guru sering berkongsi bahan menggunakan medium teknologi maklumat supaya dapat dikongsikan kepada seluruh warga dunia. Persis kata HAMKA, “ Ilmu merupakan harta anda yang kekal”, mungkin mendorong masyarakat untuk berkongsi ilmu.

Pada masa kini terdapat ramai remaja yang mempelajari pelbagai ilmu di internet misalnya cara bermain piano dan gitar sehingga akhirnya menjadikan mereka sebagai penyanyi dan pemain muzik yang profesional, bak ungkapan peribahasa Melayu, sehari selembar benang, lama-lama jadi kain. Malah pembelajaran mengikut silibus dari sekolah rendah hingga IPTA dan IPTS boleh dilakukan menggunakan medium ini. Hal ini dibukti apabila Malaysia telah menjalankan Perintah Kawalan Berkurung yang menyebabkan segala aktiviti pengajian diberhentikan bagi tempoh yang lama. Namun, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih, medium teknologi maklumat telah digunakan oleh golongan remaja dan pelajar untuk menuntut ilmu seperti biasa melalui aplikasi Google Meet, Zoom dan Lark. Jika pada tempoh kegawatan dunia ini pelajar tidak menggunakan medium ini dengan sebaik-baiknya untuk menuntut ilmu, pastinya pelajar di Malaysia akan ketinggalan dan terus mundur. Tegaslah bahawa teknologi maklumat mampu menjadi medium pembelajaran kepada remaja.

Meningkatkan pendapatan harian

Meninjau dari skop yang lebih luas, penguasaan teknologi maklumat kepada golongan remaja berupaya untuk meningkatkan pendapatan harian. Teknologi maklumat sememangnya mempunyai pelbagai cabang yang luas. Cabang yang luas ini membolehkan remaja memanfaatkan sebaiknya sebagai sumber pendapatan dengan pelbagai cara. Hal ini tercetus apabila penguasaan remaja kukuh, sehingga membolehkan mereka menyediakan khidmat kepakaran mereka untuk menyelesaikan masalah masyarakat lain. Misalnya dengan cara bekerja di kedai membaiki alat elektronik dan sebagainya. Cabang yang seterusnya adalah dengan menggunakan medium aplikasi teknologi maklumat untuk berniaga.

Sebagai contoh sekiranya saya mempunyai kepakaran membuat kek dan pastri, saya akan memanfaatkan bakat saya dengan menjualnya secara atas talian dan menggunakan medium teknologi maklumat untuk memasarkan perniagaan saya. Perkara yang diperkatakan ini telah dibuktikan oleh ramai remaja yang berjaya dan memperoleh pendapatan harian yang lumayan hanya melalui kepakaran dan penguasaan teknologi ini yang dimanfaatkan sebaik-baiknya seperti Cupcake Aisyah, Firdaus Alis dan ramai lagi. Jika saya sebagai seorang remaja tidak memanfaatkan teknologi maklumat sebaiknya, pasti saya akan rugi apabila dewasa kelak kerana tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang teknologi maklumat. Tegaslah bahawa pendapatan harian yang lumayan boleh diperoleh melalui teknologi maklumat oleh remaja jika digunakan sebaiknya kerana jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Penutup Karangan

Konklusinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa teknologi maklumat membawa seribu satu faedah yang mendalam kepada remaja sekiranya dimafaatkan sebaik-baiknya persis peribahasa dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Saya bercadang supaya kerajaan lebih giat menjalankan kempen dan berusaha bagi mengalakkan penggunaan dan penguasaan teknologi maklumat dalam kalangan remaja. Langkah boleh diambil dengan cara membuat pendedahan dan pembelajaran teknologi maklumat bermula dari tadika sehingga ke pengajian tertinggi.

Hal ini bertujuan untuk menanam minat yang mendalam terhadap teknologi maklumat dalam diri kanak- kanak sejak kecil dan dimanfaatkan ketika remaja seperti ungkapan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya tambahan pula tak kenal, maka tak cinta. Kerajaan juga haruslah menerapkan slogan bekas menteri besar Perak iaitu “ Tiada tertinggal, tiada terpinggir” bagi usaha ini supaya remaja di kawasan pedalaman tidak dianak tiri. Besarlah harapan saya supaya penguasaan teknologi maklumat dalam diri saya dan remaja lain terus berkembang dan dimantapkan dari semasa ke semasa.


Contoh Karangan: Penggunaan Teknologi Maklumat dan Internet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *