Skip to content

🔥 Contoh Karangan SPM | Topik Penting Ujian Bertutur
⚡️ Senarai Nota KOMSAS | Peristiwa Menarik KOMSAS SPM

Contoh Karangan SPM – Kebaikan Kerja Amal

board 1614646 1280 Contoh Karangan SPM - Kebaikan Kerja Amal

Kerja-kerja amal seperti menolong membersihkan rumah warga tua dan memungut derma untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik banyak mendatangkan kebaikan kepada remaja, masyarakat dan negara.
Berikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.

Kebaikan Kerja Amal

Dalam kehidupan bermasyarakat, amalan kebajikan memainkan peranan penting dalam membentuk individu yang berakhlak mulia dan bertanggungjawab. Kerja amal bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, malah turut mendidik pemberi tentang nilai kesyukuran dan empati. Masyarakat yang sentiasa mengamalkan sikap prihatin dan suka membantu akan melahirkan persekitaran yang harmoni serta saling menghormati. Oleh itu, penglibatan dalam kerja amal perlu dipupuk sejak usia muda agar dapat membentuk generasi yang lebih peka terhadap keperluan orang lain.

Sehubungan dengan itu, sebelum nasi menjadi bubur, marilah kita menggunakan peluang dan masa yang dikurniakan oleh-Nya untuk melakukan amalan yang membawa manfaat kepada masyarakat. Ahli falsafah tersohor, Samuel Johnson, pernah berkata, “Masa depan dibeli oleh masa sekarang.” Kenyataan ini menegaskan bahawa setiap individu perlu memanfaatkan masa yang ada dengan melakukan kerja amal. Oleh itu, kita harus berganding bahu dan merancang langkah yang berkesan untuk melaksanakan kerja-kerja kebajikan kerana terdapat pelbagai manfaat yang boleh diperoleh daripadanya.

Mengisi masa lapang

Salah satu manfaat utama kerja amal ialah membantu remaja mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Hal ini bertepatan dengan kata-kata Ibu Zain yang menyatakan, “Sesungguhnya kebaikan sebenar ialah apabila kita bekerja menabur bakti untuk bangsa dan negara selagi kita masih bernyawa.” Kata-kata ini menegaskan bahawa kerja amal merupakan salah satu cara terbaik untuk mengisi masa lapang dan mengelakkan remaja daripada terjebak dalam gejala sosial yang negatif. Pada era globalisasi ini, banyak remaja terjerumus dalam masalah seperti lumba haram, melepak, penyalahgunaan dadah, dan sebagainya. Oleh itu, penglibatan dalam kerja amal dapat membentuk jati diri yang lebih positif dalam kalangan remaja.

Memperkukuh perpaduan

Selain itu, kerja amal dapat memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat. Aktiviti seperti gotong-royong yang melibatkan semua lapisan masyarakat bukan sahaja membantu mereka yang kurang bernasib baik tetapi juga mengeratkan hubungan silaturahim antara rakyat pelbagai kaum dan agama. Sikap saling membantu ini dapat mengikis mentaliti individualistik serta memupuk semangat kerjasama dan toleransi. Peribahasa Melayu ada menyebut, “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.” Justeru, kerja amal merupakan salah satu cara terbaik untuk menyemai semangat perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Membentuk masyarakat penyayang

Kerja amal juga memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat penyayang. Sebagai contoh, membantu golongan kurang bernasib baik seperti anak yatim, warga emas, dan Orang Kurang Upaya (OKU) dapat menanam sikap empati dalam diri masyarakat. Masyarakat penyayang tidak mementingkan diri sendiri, sebaliknya sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Seorang ahli falsafah, Jack Hathaway, pernah berkata, “Saya pasti akan memperjuangkan kebajikan masyarakat walaupun terpaksa berkorban harta dan nyawa.” Kata-kata ini mencerminkan kepentingan sikap prihatin dalam kalangan rakyat bagi membentuk masyarakat yang lebih harmoni dan sejahtera.

Contoh Karangan: Kepentingan menyertai kesukarelawanan

Pembangunan negara

Di samping itu, kerja amal juga menyumbang kepada pembangunan negara. Sebuah negara yang maju bukan sahaja diukur berdasarkan pembangunan fizikal semata-mata, tetapi juga berdasarkan kemajuan sosial rakyatnya. Apabila rakyat memiliki sikap prihatin dan sentiasa menghulurkan bantuan, ini menunjukkan bahawa negara mempunyai masyarakat yang berkualiti dan bertanggungjawab. Oleh itu, setiap individu haruslah memainkan peranan masing-masing dalam menyumbang kepada kesejahteraan negara.

Meningkatkan Rasa Tanggungjawab

Selain mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat, kerja amal juga memberikan peluang kepada remaja untuk meningkatkan rasa tanggungjawab. Apabila remaja terlibat dalam aktiviti amal seperti gotong-royong atau bantuan sukarela, tanggungjawab akan diberikan kepada mereka. Remaja dapat menguruskan projek atau membantu orang yang memerlukan, dapat memupuk sikap bertanggungjawab terhadap tugas yang diamanahkan. Apabila remaja sedar bahawa tindakan mereka mempunyai impak yang besar kepada orang lain, mereka akan lebih menghargai peranan yang dimainkan dan berusaha untuk memberikan yang terbaik. Sikap bertanggungjawab ini juga mampu membantu mereka dalam kehidupan seharian, termasuk dalam pendidikan dan kerjaya kelak.

Penutup Karangan Kebaikan Kerja Amal

Kesimpulannya, kerja amal memberikan pelbagai manfaat bukan sahaja kepada individu, malah kepada masyarakat dan negara secara keseluruhannya. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu dalam melaksanakan kerja amal demi kesejahteraan bersama. Segala amal baik yang dilakukan akan membantu merealisasikan visi negara untuk melahirkan masyarakat penyayang dan bertanggungjawab. Sebagai rakyat Malaysia yang terkenal dengan nilai-nilai murni, marilah kita bersama-sama menabur bakti kepada mereka yang memerlukan agar dapat membina sebuah negara yang harmoni dan sejahtera. Seperti kata pepatah, “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.”

0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

You cannot copy content of this page

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x