Skip to content

Teknik Menulis Karangan: Contoh Pendahuluan dan Penutup

Contoh Pendahuluan dan Penutup Karangan

Perenggan pendahuluan yang mantap dapat membantu pelajar untuk menambah markah keseluruhan karangan. Berikutnya cara untuk menulis pendahuluan dan penutup karangan.

Cara menulis Pendahuluan Karangan SPM

Karangan yang baik seharusnya mempunyai pendahuluan yang diolah dengan baik dan seimbang dengan perenggan-perenggan yang lain. Sebenarnya, terdapat banyak cara untuk menulis pendahuluan karangan seperti pendahuluan jenis definisi, sejarah, berdasarkan pandangan tokoh-tokoh, dan sebagainya.

Bagi calon-calon STPM, biasakan diri dengan menulis perenggan pendahuluan karangan yang panjangnya lebih kurang 90 hingga 100 perkataan.

Bagi calon-calon SPM pula, biasakan diri dengan menulis pendahuluan karangan yang panjangnya lebih kurang 50 hingga 60 perkataan.

Bagi calon-calon STPM, ingatlah bahawa markah perenggan pendahuluan sudah ditetapkan sebanyak 3 markah, dan kelemahan perenggan pendahuluan sudah pasti akan menjejaskan markah aspek relevan (R) dan juga mempengaruhi markah pengolahan (P).

Perenggan jenis Definisi

Perenggan pendahuluan ini dimulakan dengan memberi takrifan atau definisi tentang tajuk karangan yang ditulis. Di samping definisi, anda juga boleh memberi huraian tentang tajuk karangan yang ditulis. Penulisan perenggan pendahuluan ini sesuai untuk karangan jenis deskriptif dan perbahasan.

Tajuk: Gejala Sosial
Skop : Langkah-langkah untuk membendung gejala sosial

Gejala sosial bermaksud perbuatan buruk atau negatif yang dilakukan oleh segelitir anggota masyarakat. Hal ini jika tidak dibendung mendatangkan pelbagai masalah kepada masyarakat. Kini, gejala ini membabitkan golongan muda yang akan menjadi pewaris pucuk pimpinan negara ini, malah gejala ini melibatkan pelajar sekolah. Antara kes yang membabitkan pelajar sekolah ialah ponteng sekolah, mengugut guru, merosakkan harta benda awam, membuli pelajar junior sehingga menyebabkan kematian, dan sebagainya. Manakala, kes-kes yang membabitkan golongan muda ialah penyalahgunaan dadah, curi motosikal, pecah rumah, lumba haram, dan sebagainya. Masalah ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Oleh itu, langkah kerajaan mengadakan Program Latihan Khidmat Negara merupakan satu langkah wajar untuk membendung gejaa sosial dalam kalangan remaja. Selain itu, langkah-langkah lain, perlu dijalankan untuk membendung gejala sosial yang membabitkan golongan remaja.

Pendahuluan jenis Pendapat Tokoh

Dalam pendahuluan jenis ini, anda memaparkan pendapat tokoh berkaitan dengan tajuk perbincangan. Tokoh yang dikemukakan itu boleh yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia, tetapi tokoh tersebut hendaklah yang dikenali oleh kebanyakan orang. Pendapat ini ditulis dalam bentuk prosa atau dalam bentuk dialog, yakni dalam pengikat kata. Pendahuluan jenis ini sesuai untuk karangan jenis deskriptif, syarahan, ceramah, ucapan, rencana dan perbahasan.

Tajuk : Tabiat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia
Skop : Cara-cara untuk memupuk minat membaca

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Ani Arope mengatakan bahawa rakyat Malaysia belum bersedia menjadikan amalan membaca sebagai tabiat harian mereka untuk menggantikan tabiat lain, terutamanya makan. Beliau mengatakan bahawa membaca ialah tabiat yang amat mustahak berbanding makan kerana setiap bahan bacaan berupaya mendatangkan pelbagai idea untuk kegunaan manusia. Ketika berucap merasmikan pelancaran buku penerbit USM, beliau berkata “Jadual makanan boleh ubah. Cuba jangan lupa membaca. Tabiat membaca rakyat negara ini amat kurang berbanding dengan penduduk di negara Asia lain seperti Jepun, Korea dan China. Orang Jepun misalnya, membaca dua buah buku sebulan. Orang kita nak baca dua buah buku setahun pun payah. Selepas keluar universiti pun, lupa membaca. Kita perlu membangkitkan budaya membaca ini. Saya fikir masyarakat harus kembali kepada buku, khususnya bacaan yang lebih serius dan bermotifkan ilmu pengetahuan. Walaupun perkembangan penerbitan di negara kita semakin pesat, namun tentunya tidak serancak perkembangan penerbitan majalah hiburan dan bacaan ringan yang lebih banyak melaporkan mengenai dunia artis dan glamor.” Berdasarkan kenyataan Tan Sri Ani Arope di atas, maka usaha-usaha perlu dilaksanakan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Pendahuluan jenis Suasana

Dimulakan dengan mengisahkan satu keadaan atau suasana di suatu tempat yang akan dijadikan fokus untuk tajuk karangan. Jadi, pendahuluan jenis ini sesuai untuk karangan jenis cerita dan dekriptif.

Tajuk: Boros berbelanja
Skop: Kesan jika masyarakat suka berbelanja boros

Selepas tamat kelas tuisyen, saya pun keluar dari rumah Cikgu Siva dan menuju ke stesen bas untuk menaiki bas pulang ke rumah yang sejauh empat kilometer dari pusat bandar Sungai Petani. Dalam perjalanan ke stesen bas, saya mendapati sekelompok orang sedang menuju ke sebuah pasar raya. Pelanggan masuk dan keluar dari pasar raya itu. Setelah itu, baharulah saya mengetahui bahawa pasar raya itu sedang mengadakan promosi jualan hebat bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri.Pengunjung pasar raya itu terpaksa ber asak- asak masuk kerana pasar raya itu terlalu sesak.Manakala,orang yang keluar dari pasar raya saya didapati menjinjing barangan di kedua-dua belah tagan.Mereka membeli barangan,makanan,dan pakaian dalam kuantiti yang banyak.Tidak hairanlah kadar inflasi di negara kita semakin meningkat dari setahun ke setahun.Sikap boros dan membeli tanpa perancangan patu di kawal dan sebaliknya sikap berjimat cermat patut diamalkan kerana berjimat cermat patut diamalkan kerana berjimat cermat merupakan satu amalan nilai murni.Sekiranya semua rakyat Malaysia boros berbelanja,maka pelbagai kesan akan timbul kelak.

Pendahuluan jenis Persoalan

Pendahuluan jenis ersoalan mudah ditulis kerana pelajar perlu menulis banyak ayat tanya tentang tajuk, yakni mengemukakan beberapa persoalan yang dibincangkan dalam isi karangan. Pendahuluan ini sesuai untuk karangan jenis perbahasan, syarahan, ceramah, ucapan dan deskriptif.

Tajuk : Kemalangan jalan raya
Skop : Faktor-faktor yang menyebabkan peningkatan kadar kemalangan jalan raya

Dewasa ini, kadar kemalangan jalan raya di Malaysia semakin meningkat dari semasa ke semasa, terutamanya pada musim perayaan. Adakah kemalangan jalan raya terjadi akibat kelalaian diri- sendiri atau kelalaian orang lain? Mengapakah jumlah kemalangan jalan raya semakin meningkat dari setahun ke setahun, khususnya pada cuti perayaan? Apakah punca sebenar kemalangan berlaku? Mengapakah kemalangan jalan raya banyak membabitkan motosikal dan bas ekspres berbanding dengan kenderaan lain? Bagaimanakah kita hendak mengelak atau mengurangkan kadar kemalangan jalan raya? Adakah dengan mengadakan kempen keselamatan kita dapat mengawal kadar kemalangan jalan raya? Mungkin ada anatara kita yang mengatakan bahawa kemalangan jalan raya hanya disifatkan sebagai takdir daripada Allah. Persoalannya, apakah faktor-faktor sebenarnya yang menyebabkan kemalangan jalan raya berlaku?

Pendahuluan jenis Peribahasa, Pepatah dan Cogan Kata

-Mengandungi beberapa peribahasa, pepatah, atau cogan kata yang ada kaitan dengan tajuk yang hendak dibincangkan.
-Pelajar-pelajar tidak dikehendaki menghuraikan maksud peribahasa, pepatah, dan cogan kata yang diberi.
-Sesuai untuk karangan jenis perbahasan, ucapan, ceramah, syarahan, dan deskriptif.

Tajuk : Belia
Skop : Peranan belia dalam pembangunan negara

Peribahasa Melayu dicipta untuk dijadikan pedoman dan panduan hidup masyarakat Melayu. Antara peribahasa Melayu yang menggambarkan peranan belia dalam pembangunan negara ialah “jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya” dan “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Kedua-dua peribahasa ini menekankan kepentingan daya usaha semua golongan masyarakat, terutamanya golongan belia dalam membangunkan negara. Hal ini membuktikan bahawa pembangunan negara memang bergantung kepada golongan belia kerana “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”, “generasi muda pelapis dan peneraju wawasan”, “remaja penggerak wawasan”, “generasi muda wawasan bangsa”, dan banyak lagi. Oleh itu, pembangunan negara memang dipertanggungjawabkan kepada golongan belia untuk merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 seperti kata pepatah “satu matlamat,satu wawasan”. Oleh itu, setiap belia perlu mengetahui peranan mereka dalam memajukan dan membangunkan negara ini.


Teknik Penulisan Pendahuluan Karangan Jenis Fakta

Kebanyakan pelajar alpa bahawa pendahuluan dalam karangan merupakan titik awal dalam proses pemarkahan. Pendahuluan yang bebas daripada kesalahan, mempunyai kesinambungan yang erat antara fakta dengan huaraian berserta intipan isi yang samar-samar akan menyebabkan pemeriksa terpikat untuk meneruskan pembacaan, yakni penyemakan sekali gus memberikan markah yang baik untuk anda dalam peperiksaan. Kali ini, saya akan menggunakan formula “Bidang (B), Tajuk (T), Soalan (S)” untuk menghasilkan pendahuluan yang baik. Pembinan karangan ini sesuai untuk tahap PMR dan SPM, sama ada karangan bergambar mahupun karangan panjang. Lihat contoh soalan dan kerangka karangan untuk bahagian pendahuluan yang akan kita bincangkan di bawah ini:

Soalan:
Isu gengsterisme semakin mendapat liputan dalam media massa. Pihak sekolah seolah-olah gagal membanteras gejala ini daripada terus menular. Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan gejala ini semakin membimbangkan.

B – Masalah sosial
-> semakin membimbangkan
-> mencatatkan peningkatan yang mendadak.

T – Gejala gengsterisme
-> melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah
-> bermaharajalela di sekolah

S -> banyak faktor

Daripada kerang di atas, dapatlah kita membina 5 ayat dengan mudah. Lihat contoh pendahuluan di bawah:

Pendahuluan Kualiti PMR
Pada zaman pascakemerdekaan, masalah sosial tetap menjadi isu yang hangat diperkatakan kerana sudah mencapai tahap yang membimbangkan. Hal ini demikian kerana kes gengsterisme yang dilaporkan mencapai peningkatan yang mendadak. Masalah sosial yang menjadi buah mulut masyarakat ialah gejala gengsterisme. Gejala ini melibatkan pelajar sekolah menengah, justeru melibatkan pelajar sekolah rendah. Golongan gengster ini semakin bermaharajalela di alma mater. Sebenarnya, banyak faktor yang menyebabkan gejala tidak sihat ini terus meningkat.

Pendahuluan Kualiti SPM
Dalam keasyikan negara menari rancak bersama bayang-bayang pembangunan yang bergerak pantas pada zaman pascakemerdekaan, masalah sosial tetap menjadi isu yang hangat diperkatakan kerana sudah mencapai tahap yang membimbangkan. Hal ini demikian kerana pihak polis mendapati kes gengsterisme yang dilaporkan mencapai peningkatan yang mendadak sejak akhir-akhir ini. Antara masalah sosial yang terus menjadi buah mulut yang hangat ialah gejala gengsterisme yang bukan sahaja melibatkan pelajar sekolah menengah, justeru melibatkan pelajar sekolah rendah. Keadaan menjadi semakin kronik kerana golongan gengster ini semakin bermaharajalela di sekolah mahupun di luar sekolah. Sebenarnya, banyak faktor yang menyebabkan gejala tidak sihat ini terus meningkat.


Pendahuluan Karangan Teknik FACLK

Teknik FACLK (Fokus, Akibat, Contoh, Langkah, Kepentingannya). Satu cara untuk memudahkan murid berfikir dan menulis pendahuluan karangan ialah dengan menggunakan teknik FACLK. Diharapkan teknik ini akan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran murid untuk menulis pendahuluan karangan.

Teknik ini memerlukan murid-murid membina ayat pertama dengan merujuk kepada fokus penyataan (F) dalam soalan. Kemudian, ayat kedua iaitu akibat (A) daripada ayat pertama tadi. Selepas itu, bina pula ayat ketiga iaitu contoh (C) yang boleh dikaitkan dengan penyataan soalan. Seterusnya, murid-murid perlu membina ayat keempat, iaitu langkah (L) dan ayat kelima ialah kepentingannya (K) berdasarkan langkah yang telah diambil tadi. Kemudian, masukkan peribahasa atau gunakan ungkapan menarik, yang dirasakan sesuai dalam mana-mana ayat pendahuluan itu tadi. Jika murid-murid dapat menulis ayat yang ada pertalian rapat antara satu ayat dengan ayat yang lain, sudah pasti pendahuluan itu menjadi satu pendahuluan yang menarik dan mantap serta menepati kehendak skema pemeriksa.

Soalan Contoh 1
Kerajaan telah berusaha untuk membanteras gejala rasuah, namun amalan yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat ini masih wujud. Pada pendapat anda, mengapakah masalah rasuah perlu dibendung?

Kebelakangan ini, kes rasuah semakin bertambah dan nampaknya sukar dibanteras kerana melibatkan pegawai kerajaan dan swasta, ahli politik, dan orang awam. (F) Keadaan ini membimbangkan kita kerana jika dibiarkan, sudah tentu perkara ini akan menjadi seperti api di dalam sekam. (A) Fenomena ini sekali gus akan melahirkan masyarakat yang tiada integriti, contohnya jika seseorang pegawai menawarkan rasuah untuk menutup kesalahan dirinya daripada landasan undang-undang, jelaslah betapa rendahnya akhlak dan maruah dirinya. (C) Oleh itu, semua pihak harus berusaha untuk membanteras gejala rasuah agar masyarakat Malaysia yang amanah dan berintegriti dapat dilahirkan. (L) Hal ini perlu dititikberatkan kerana rasuah perlu dibanteras dari awal iaitu, mencegah lebih baik daripada mengubati sesuatu penyakit. (K)

Soalan Contoh 2
Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi. Jelaskan kelebihan bangunan bersejarah tersebut.

Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan memang banyak terdapat di negara kita yang perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi. (F) Bangunan tersebut boleh dijadikan fakta sejarah yang menarik pelancong asing ke negara kita. (A) Oleh itu, Pulau Pinang dan Melaka yang telah diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO baru-baru ini masih banyak memiliki bangunan bersejarah seperti di Fort Cornwalis di Pulau Pinang dan Bangunan Stadhuyst di Melaka. (C) Jadi, kerajaan kedua-dua buah negeri tersebut perlulah mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah tersebut jika tidak mahu perisyhtiharan itu ditarik balik. (L) Oleh itu, langkah yang diambil oleh UNESCO itu perlu disokong kerana hal ini pasti meningkatkan imej negara. (K)


Perenggan Penutup Karangan STPM dan SPM

Berikutnya cara atau teknik untuk menulis perenggan penutup agar dapat membantu pelajar-pelajar untuk memantapkannya.

i. KHPK – (Kesimpulan, Huraian, Peribahasa, Kepentingan)

Perenggan Penutup Contoh 1
Oleh hal yang demikian, masalah rasuah perlulah ditangani oleh pihak berkuasa dengan kerjasama anggota masyarakat. (Kesimpulan) Pihak berkuasa hendaklah mengadakan kempen secara besar-besaran tentang keburukan dan kesan rasuah kepada masyarakat. (Huraian – Apa yang perlu dibuat) Hal ini demikian kerana, jika masalah rasuah tidak diatasi sudah tentu perkara ini akan merosakkan jentera pentadbiran negara. (Huraian – Apa kesannya) Jadi, sebelum nasi menjadi bubur, kita berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan sebelum menjadi lebih serius. (Peribahasa) Sekiranya hal ini dapat direalisasikan, sudah pastilah masyarakat dan negara kita akan bebas daripada belenggu rasuah. (Kepentingan)

Perenggan Penutup Contoh 2
Oleh hal yang demikian, pelaburan asing memang penting untuk menjana ekonomi sesebuah negara. (Kesimpulan) Usaha-usaha yang serius hendaklah dipertingkat untuk menarik pelaburan asing agar hal ini akan menambahkan pelaburan ke dalam negara kita. (Huraian – Apa yang perlu dibuat) Sekiranya pelabur asing kurang membuat pelaburan di sesebuah negara sudah pastinya ekonomi negara tersebut sukar untuk berkembang. (Huraian – Apa kesannya) Hal ini demikian kerana, negara-negara tersebut mengalami masalah kekurangan modal untuk membangunkan negara mereka. (Huraian – Apa kesannya) Jadi, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang pelaburan ini hendaklah mencari jalan (Peribahasa) bagi menarik lebih banyak pelabur asing untuk membuat pelaburan. (Kepentingan)

ii. KHH (Kesimpulan, Hurai, Harapan)

Perenggan Penutup Contoh 3
Kesimpulannya, semua pihak perlulah bekerjasama untuk membanteras masalah jenayah yang berlaku di negara kita. (K) Dengan kata lain, anggota masyarakat perlulah berganding bahu dengan pihak berkuasa iaitu melaporkan kejadian jenayah yang berlaku itu dengan segera. (H) Dengan cara itu, masalah jenayah ini sudah pasti dapat dikurangkan dan dibanteras daripada terus berleluasa di negara kita. (H)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *