Skip to content

Komsas SPM – Drama Berkhidmat untuk Negara

Komsas Drama Berkhidmat untuk Negara

Berkhidmat Untuk Negara karya Affix Zulkarnain Adam merupakan Komsas tingkatan 4. Berikutnya tema, persoalan, plot, sinopsis, latar, watak perwatakan, nilai dan pengajaran drama ini.

Tema Drama Berkhidmat untuk Negara

Kesedarangenerasi muda untuk memupuk semangat cinta akan negara yang diperoleh melalui pelibatan mereka dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Contohnya Aiman berusaha untuk menggelakkan diri daripada menyertai PLKN dengan memberi pelbagai alasan agar dia dikecualikan daripada menyertai PLKN.


Persoalan Drama Berkhidmat untuk Negara

Persoalan sikap positif golongan remaja yang berminat untuk menyertai PLKN dan memberikan sumbangan kepada negara
Contoh: Nora, Sundarani, Ah Tiau dan Syuhada berasa seronok apabila mereka terpilih sebagai peserta PLKN dan nama mereka terpampang di papan kenyataan sekolah.

Persoalan kesibukan dalam kalangan ahli keluarga yang merenggangkan hubungan kekeluargaan
Contoh: Aiman sentiasa berasa sunyi kerana ayahnya sibuk bekerja manakala ibunya Datin Masnah sibuk dengan urusan di luar dan kakaknya Dapnia, pula sibuk dengan tugasannya di universiti.

Persoalan sikap segelintir ibu bapa yang terlalu memanjakan anak
Contoh: Datin Masnah menyokong hasrat Aiman yang ingin mengecualikan diri daripada menyertai PLKN. Sebagai seorang ibu dan juga isteri kepada seseorang yang berpengaruh, beliau sepatutnya mendorong dan memberi motivasi kepada anaknya untuk berkhidmat kepada negara.

Persoalan peranan seorang guru dalam memberikan kesedaran dan mewujudkan semangat patriotrisme dalam kalangan murid
Contoh: Cikgu Dahari memberikan penerangan yang jelas kepada murid-muridnya agar mereka faham akan objektif dan pelaksanaan PLKN.


Sinopsis Drama Berkhidmat untuk Negara

Aiman tidak mengendahkan surat yang memintanya menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Baginya, program tersebut membuang masa kerana keluarganya boleh menyediakan apa-apa sahaja yang diminta. Namun demikian, posmen yang menghantar surat tersebut menjelaskan faedah-faedah menyertai program dengan mengambil contoh anak jirannya daripada seorang yang pemalas, kini rajin menolong keluarga. Oleh sebab tidak berminat, masuk sahaja di dalam biliknya, surat tersebut dicampakkan sahaja oleh Aiman. Nek Sinah, pembantu rumahnya menjemput Aiman makan tetapi Aiman menolaknya kerana dia belum lapar. Apabila dimaklumkan bahawa kakaknya, Kak Dapnia tidak dapat balik untuk makan tengah hari kerana tugasan di universiti dan ibunya pula pulang lewat malam menyebabkan Aiman berasa bosan tinggal bersendirian di rumah.

Ketika di sekolah, Nora memaklumkan bahawa nama Aiman terpilih untuk menyertai PLKN tetapi Aiman bersikap tidak peduli menyebabkan Nora berkecil hati. Sundarani dengan rasa gembira menyatakan bahawa dia akan menyertai PLKN di Kem Be Bana. Ah Tua pula di Kem Paya Indah Wetland, Hulu Langat. Aiman hanya mengetahui tempat programnya terletak di Kem Teluk Sari, Mersing apabila dimaklumkan oleh Syuhada. Cikgu Dahari yang terlibat dalam PLKN sebagai jurulatih Program Penghayatan Sastera dan Budaya menjelaskan faedah menyertai PLKN. Menurutnya, PLKN mampu membina dan mengukuhkan semangat patriotik, memupuk perpaduan kaum, dan membentuk perwatakan positif. Menurut Cikgu Dahari lagi, peserta program dipilih secara rawak dan mereka yang mempunyai masalah boleh meminta surat penangguhan. Peserta juga tidak perlu risau akan soal keselamatan.

Apabila Aiman pulang, dia mendapati ayahnya, Khir Ghazali sudah berada di rumah. Dia memberitahu ayahnya bahawa namanya telah terpilih menyertai PLKN. Khir Ghazali mengharapkan anaknya berfikir seperti orang dewasa dan menjadi manusia yang sentiasa dahaga akan ilmu dan pengalaman. Aiman berharap agar ayahnya mendapatkan pengecualian untuk dirinya kerana dia tidak menyukai program tersebut. Ayahnya tidak dapat menunaikan hasrat anaknya itu kerana ayahnya tidak mahu Aiman menjadi anak yang manja. Apabila hal itu diluahkan kepada ibunya, Masnah, ibu Aiman mahu suaminya menggunakan pengaruhnya untuk mengecualikan Aiman daripada menyertai program tersebut. Sebagai ayah, Khir Ghazali bertegas bahawa dia mahu anakya menyertai PLKN daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah sepanjang cuti persekolahan kelak. Kemudian, Aiman masuk ke biliknya. Dia menghadap komputer riba. Menerusi komputer riba, dia terlihat beberapa orang rakannya telah berubah setelah menyertai PLKN. Perubahan sikap rakannya itu menyedarkan Aiman akan keistimewaan PLKN. Akhirnya dia bersetuju menyertai PLKN.


Binaan Plot Drama Berkhidmat untuk Negara

Permulaan drama ini mengisahkan watak Aiman yang menerima sepucuk surat daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara sebagai pelatih baharu Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Cerita berkembang apabila Aiman menunjukkan berbagai-bagai reaksi setelah menerima surat tawaran daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara yang dihantar oleh posmen itu.

Cerita sampai kepada tahap perumitan apabila berlaku konflik dalam diri Aiman kerana dia sememangnya tidak berminat untuk mengikuti siri PLKN itu disebabkan pengetahuan serta pemahamannya yang kurang tentang kebaikan seseorang remaja mengikuti program berkenaan.

Cerita sampai kepada tahap klimaks apabila Aiman cuba meminta bantuan bapanya yang mempunyai pengaruh dan kedudukan itu untuk mengecualikannya daripada pelatih baharu Program Latihan Khidmat Negara. Namun begitu, bapanya menolak kemahuannya itu. Bapa Aiman bertegas kepada Aiman agar mengikuti PLKN itu kerana program itu banyak mengandungi kebaikan yang tidak diketahui oleh Aiman. Ibu Aiman menyebelahi anaknya. Dia kurang bersetuju Aiman mengikuti PLKN atas faktor keselamatan nyawa anaknya. Namun begitu, bapanya tetap teguh dengan pendirian asalnya.

Cerita sampai kepada tahap peleraian apabila Aiman tersedar akan kesilapannya yang memberikan tanggapan negatif terhadap pelaksanaan PLKN itu selepas membaca berita tentang kejayaan senior-seniornya semasa mengikuti kursus PLKN. Aiman berjanji kepada dirinya untuk mengikuti kursus PLKN bagi membentuk dirinya supaya boleh hidup berdikari, seterusnya menyahut seruan untuk berbakti kepada tanah air yang tercinta.


Teknik Plot Berkhidmat untuk Negara

Pemerian
Pengarang menggambarkan keadaan keluarga Aiman yang hidup mewah dan kemewahan tersebut yang telah mengubah dirinya menjadi seorang remaja yang manja dan malas.

Imbas kembali
Posmen menceritakan sikap negatif anak jirannya dan adiknya sendiri berubah menjadi baik setelah mengikuti PLKN

Saspens
Pembaca tertanya-tanya tentang keputusan yang bakal dibuat oleh Khir Ghazali apabila anaknya, Aiman bercadang untuk menggunakan kedudukan dan pengaruh bapanya untuk mengecualikan dirinya daripada menyertai PLKN.

Monolog
Aiman berfikir sesuatu secara bersendirian sambil menanyakan dirinya tentang tindakan yang perlu dibuat dengan surat tawaran PLKN yang diterimanya.

Kejutan
Pembaca dikejutkan dengan tindakan Datuk Khir Ghazali yang tidak mahu menggunakan pengaruhnya untuk mengecualikan penyertaan anaknya, Aiman daripada PLKN.

Imbas Muka
Aiman bermimpi menyertai PLKN. Dalam program tersebut Aiman mendapati keadaan kem yang panas, makanan yang tidak menyelerakan, mandi air kolam sejuk dan membotakkan kepala. Hanya perkara yang negatif yang terlintas dalam fikirannya ketika bermimpi.

Teknik konflik
Konflik yang berlaku antara Aiman dengan Nek Sinah. Aiman kurang menyenangi kata gelaran yang digunakan oleh Nek Sinah kepadanya.

Monolog Dalaman
Aiman : Patutkah aku simpan surat ini atau aku buang saja? Hmm, kalau aku buang, nanti ada orang lain jumpa pula. Hah, baik aku bakar!. Tak ada kesannya nanti. Baik aku simpan dulu, cukup masa kalau aku tak berminat, baru aku bakar.

Teknik dialog
Contohnya, dialog antara Aiman dengan posmen yang menghantar surat tawaran PLKN ke rumahnya.
POSMEN: Ada sesiapa yang bernama Aiman Faizullah bin Khir Ghazal di rumah ini?
AIMAN: Ada, sayalah orangnya. Surat apa ini?
POSMEN: Surat daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara. Ini bermakna, adik terpilih untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara.


Watak dan Perwatakan

  • Seorang remaja berusia kira-kira 16 tahun
  • Dia merupakan anak bongsu daripada dua orang adik

Seorang yang bersifat agresif
Contoh: Aiman membuang sampul surat daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara.

Seorang yang malas
Contoh: Segala kerjanya di rumah dibantu oleh orang gaji dan apabila berdepan dengan sesuatu masalah , dia akan tidur.

Seorang yang sombong dan suka bermegah-megah dengan kemewahan hidup
Contoh: Aiman tidak mahu menyertai PLKN kerana menganggap program tersebut tidak berfaedah.

Seorang yang tidak mempunyai semangat patriotik
Contoh: Aiman memandang remeh tentang PLKN yang dianjurkan oleh kerajaan.

Seorang yang berfikiran sempit dan negatif
Contoh: Aiman mengatakan bahawa PLKN membahayakan nyawa Aiman.

Seorang yang tidak menghormati orang lain
Contoh: Aiman menengking Nek Sinah kerana memanggilnya.

Seorang yang mengagungkan nilai-nilai barat.
Contoh: ketika bermimpi tentang PLKN, Aiman meluahkan keinginannya untuk menikmati masakan Barat. Dia juga tahu lokasi Jempol dengan alasan selalu bercuti di luar negara.

Seorang yang bertanggungjawab
Contoh: Cikgu Dahari menerangkan kebaikan PLKN kepada murid-muridnya

Seorang yang berpengetahuan luas
Contoh: Cikgu Dahari mampu menjelaskan tentang maksud logo PLKN, objektif, dan kebaikan menyertai PLKN.

Seorang yang penyabar
Contoh: Cikgu Dahari tidak memarahi Aiman walaupun Aiman bersikap kurang ajar dan meremehkan PLKN sebaliknya sabar menasihati pelajarnya.

Seorang yang berfikiran positif
Contoh: Cikgu Dahari menerangkan kepada Aiman apabila Aiman menyatakan bahawa keselamatan peserta di dalam kem latihan tidak terjamin dan sastera dan budaya tidak penting dalam kehidupan zaman moden

Seorang yang sentiasa memberikan galakan kepada anak murid
Contoh: Apabila Nora memberitahu bahawa ramai pelajar terpilih sebagai peserta PLKN, Cikgu Dahari berasa teruja dan menyatakan bahawa Malaysia bertuah kerana mendapat remaja yang sentiasa bersedia berkhidmat untuk negara.

  • Bapa kepada Aiman dan Dapnia.
  • Suami kepada Masnah.
  • Beliau berpangkat Datuk.

Seorang yang bertanggungjawab
Contoh: Khir Ghazali menasihati anaknya, Aiman untuk menyertai PLKN supaya anaknya lebih berdikari dan mempunyai kesedaran kendiri.

Seorang yang penyayang
Contoh: Khir Ghazali mengambil berat akan pelajaran anak-anaknya.

Seorang yang berpendirian tegas
Contoh: Khir Ghazali tegas dengan keputusannya, iaitu Aiman wajib menyertai PLKN walaupun dipujuk oleh Aiman dan isterinya.

Seorang yang berpandangan jauh

Contoh: Khir Ghazali menjelaskan manfaat yang diperoleh oleh Aiman melalui PLKN

Seorang yang mempunyai kedudukan dan pengaruh dalam masyarakat
Contoh: Anaknya meminta pertolongan ayahnya supaya menggunakan pengaruhnya untuk mengecualikannya daripada menyertai PLKN.

  • Ibu kepada Dapnia dan Aiman.
  • Beliau bergelar Datin.

Seorang ibu yang terlalu memanjakan anak
Contoh: Masnah menurut kehendak anaknya, Aiman supaya tidak menyertai PLKN.

Seorang yang berfikiran sempit dan negatif
Contoh: Masnah mengatakan bahawa PLKN membahayakan nyawa Aiman.

Seorang yang mengakui kesilapan diri
Contoh: Masnah memohon maaf kepada suaminya atas tindakan terburu-buru menyebelahi anaknya, Aiman.

Pembantu rumah.

Seorang yang penyabar
Contoh: Nek Sinah sabar terhadap sikap Aiman yang kurang ajar

Seorang yang bertanggungjawab
Contoh: Nek Sinah menyediakan makan minum Aiman.


Gaya BahasaBerkhidmat untuk Negara

Inversi
Contoh: memang bagus program itu; Tak fahamlah saya, bang.

Repetisi atauPerulangan kata
Contoh: “Aku tak suka, tak suka

Sinkope
Contoh: tak; dulu; saja.

Metafora
Contoh: Buta sejarah; air panas

Simile
Contoh: Cuti hujung minggu sudah menjadi seperti masa yang terbaik untuk AIMAN bersantai dan melakukan segala perkara yang dimahukannya.

Pengaruh bahasa Arab
Contoh: Assalamualaikum, Waalaikumussalam.

Pengaruh bahasa Inggeris
Contoh: mummy, daddy.

Peribahasa
Contoh: hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lurus bendul, bodoh sombong, besar panjang.


LatarDrama Berkhidmat untuk Negara

Latar Tempat

Rumah Aiman
Contoh: Peristiwa Aiman menerima surat daripada Jabatan latihan Khidmat Negara. Persitiwa Khir Ghazali, Aiman dan Masnah berbincang tentang keengganan Aiman menghadiri PLKN.

Rumah Khir Ghazali
Contoh: Ayah dan ibu Aiman bertelagah pendapat tentang PLKN

Sekolah Menengah
Contoh: dialog antara Aiman, Nora, Sundarani, Ah Tiau, dan Syuhada tentang senarai nama peserta PLKN yang dipaparkan di papan kenyataan. Cikgu Dahari menerangkan kepada anak-anak muridnya tentang manfaat PLKN dan bagaimana program itu dijalankan.

Perkarangan rumah Khir Ghazali
Contoh: Posmen menghantar surat tawaran PLKN kepada Aiman


Latar Masa

Cuti hujung minggu
Contoh: Aiman duduk di rumah sahaja pada hujung minggu dan ketika itulah posmen datang dengan membawa sepucuk surat

Waktu pagi
Contoh: Aiman berdialog bersama-sama rakan-rakan di sekolah tentang PLKN yang bakal dihadiri mereka

Waktu tengah hari
Contoh: Selepas sesi rehat selesai, murid-murid berpeluang menemui Cikgu Dahari dan guru tersebut menerangkan kebaikan PLKN.

Waktu petang
Contoh: Selepas balik dari sekolah Aiman berbual bersama-sama dengan ayah dan ibunya di rumah.


Latar Masyarakat

Masyarakat yang penyayang
Contoh:Walaupun Nek Sinah bekerja sebagai pembantu rumah di rumah Khir Ghazali namun dia amat menyayangi Aiman dan memasak makanan kegemarannya serta melayannya seperti cucu sendiri.

Masyarakat yang berintegriti dan amanah semasa menjalankan tanggungjawab.
Contoh: Cikgu Dahari bertanggungjawab menjelaskan manfaat PLKN kepada murid-muridnya

Masyarakat yang gigih
Contoh: Cikgu Dahari gigih membimbing wira dan wirawati dalam Program Penghayatan Sastera dan Budaya

Masyarakat yang insaf
Contoh: Aiman insaf akan kesilapannya setelah membaca berita PLKN di laman sesawang dan bertekad menyertai PLKN

Masyarakat yang penyabar
Contoh: Nek Sinah sabar menghadapi kerenah Aiman yang biadap terhadapnya

Masyarakat yang sombong dan mementingkan kekayaan.
Contoh: Aiman berkelakuan biadap terhadap pembantu rumahnya yang sentiasa bersikap lemah lembut. Nek Sinah berasa kesal dengan tingkah laku Aiman dan ahli keluarganya yang hanya mementingkan wang ringgit

Masyarakat yang berfikiran positif.
Contoh: Cikgu Dahari menerangkan tentang kebaikan PLKN kepada pelajar-pelajarnya agar dapat mengikiskan tanggapan negative mereka terhadap program tersebut dan memberikan sumbangan mereka kepada negara.

Masyarakat bandar yang sibuk bekerja .
Contoh: Khir Ghazali iaitu ayah Aiman digambarkan sebagai hartawan yang sibuk bekerja. Ibunya, Datin Masnah juga selalu tidak berada di rumah manakala kakaknya, Dapnia sibuk dengan tugasan di universiti.


Nilai Drama Berkhidmat untuk Negara

NilaiPatriotisme / Cinta akan negara
Contoh: Kawan-kawan Aiman sangat teruja dan berbangga apabila mereka terpilih untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara. Sundarani juga menegur Aiman bahawa kita perlu menghargai tanah air kita.

Nilai tanggungjawab
Contoh: Walaupun sibuk bekerja, Khir Ghazali meluangkan masa mendengar masalah Aiman.

Nilai kegigihan
Contoh: Cikgu Dahari gigih membimbing dan memberikan tunjuk ajar kepada wira dan wirawati dalam Program Penghayatan Sastera dan Budaya.

Nilai keinsafan
Contoh: Aiman insaf akan kesilapannya setelah membaca berita PLKN di laman sesawang dan bertekad menyertai PLKN.

Nilai kesabaran
Contoh: Nek Sinah sabar menghadapi kerenah Aiman yang biadap terhadapnya.

Nilai Kasih sayang
Contoh: Datuk Khir Ghazali amat menyayangi Aiman dan keluarganya. Beliau memutuskan agar Aiman menghadiri PLKN untuk membentuk peribadi anaknya itu agar menjadi insan yang berguna kepada nusa dan negara.

Nilai Hemah tinggi
Contoh: Nek Sinah bertutur dengan suara yang lemah lembut ketika mengajak Aiman makan tengah hari walaupun Aiman melayannya dengan bersikap kurang sopan.

Nilai Berpandangan jauh
Contoh: Datuk Khir Ghazali ingin Aiman menyertai PLKN untuk membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni di samping memupuk semangat patriotrik dalam jiwa anaknya itu.

Nilai Amanah
Contoh: Posmen amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya menghantar surat


Pengajaran Drama Berkhidmat untuk Negara

Kita hendaklah mempunyai semangat patriotik dancinta akan negara
Contoh: Aiman akhirnya menyahut seruan berkhidmat untuk negara dengan menyertai PLKN

Kita mestilah bertanggungjawab terhadap tugas yang diamanahkan
Contoh: Cikgu Dahari bertanggungjawab menjelaskan manfaat PLKN kepada murid-muridnya.
Contoh: Posmen menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang posmen dengan penuh amanah

Kita haruslah gigih dalam melaksanakan tugas
Contoh: Cikgu Dahari gigih membimbing wira dan wirawati dalam Program Penghayatan Sastera dan Budaya.

Kita hendaklah insaf atas kesilapan diri
Contoh: Aiman insaf akan kesilapannya setelah membaca berita PLKN di laman sesawang dan bertekad menyertai PLKN.

Kita hendaklah bersabar menghadapi kerenah manusia yang biadab.
Contoh: Nek Sinah sabar menghadapi karenah Aiman yang biadap terhadapnya

Kita haruslah menghormati orang yang lebih tua daripada kita.
Contoh: Aiman biadab terhadap pembantu rumahnya yang menganggapnya sebagai cucu sendiri

Kita perlulah memberi sokongan kepada program kerajaan.
Contoh: Cikgu Dahari memberi galakan dan kata-kata perangsang kepada anak-anak muridnya agar menyertai PLKN dan berkhidmat untuk negara.


Soalan Drama Berkhidmat untuk Negara

Mengapakah Aiman tidak berminat menyertai Program Latihan Khidmat Negara?

Aiman tidak berminat menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kerana baginya program ini hanya menyusahkannya. Dia juga berbangga dengan kekayaan yang dimiliki oleh ayahnya / menganggap program seperti ini membuang masa dan tenaga sahaja / PLKN hanya sesuai untuk orang susah sahaja.

Pada pendapat anda, bagaimanakah pihak kerajaan boleh menarik minat generasi muda menyertai Program Latihan Khidmat Negara?

Pihak kerajaan boleh menarik minat generasi muda bagi menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) adalah dengan mengiklankan kepentingan program ini di media massa dan menyediakan peruntukan yang besar bagi pelaksanaan progran ini.

Selain itu, kerajaan mewajibkan PLKN disertai oleh pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terpilih / mengiktiraf penglibatan PLKN sebagai penglibatan peringkat kebangsaan dalam kokurikulum.

Jelaskan satu nilai yang terdapat dalam petikan drama di atas dan satu nilai lain daripada drama yang tidak terdapat dalam petikan.

Nilai yang terdapat dalam petikan ialah baik hati. Sebagai contoh, Posmen menyerahkan surat tawaran PLKN kepada Aiman sambil menasihatinya agar menerima tawaran tersebut.

Manakala nilai lain yang tidak terdapat dalam petikan ialah cinta akan negara. Sebagai contoh, rakan-rakan Aiman yang terdiri daripada Nora, Syuhada, Ai Tiau dan Sundrani sangat teruja dan berbangga apabila nama mereka terpilih untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

1 thought on “Komsas SPM – Drama Berkhidmat untuk Negara”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *