Skip to content

Contoh Karangan – Faedah Amalan Rumah Terbuka

Rumah Terbuka Contoh Karangan - Faedah Amalan Rumah Terbuka

Masyarakat Malaysia menyambut perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavalidengan hati terbuka. Tulis karangan tentang kebaikan amalan rumah terbuka kepada masyarakat.

Kebaikan Amalan Rumah Terbuka kepada Masyarakat

Majlis rumah terbuka begitu sinonim dengan budaya di Malaysia tanpa mengira budaya dan bangsa. Masyarakat Malaysia menyambut perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baharu Cina dan Hari Natal dengan hati terbuka seperti peribahasa yang menyebut kecil tapak tangan nyiru ditadahkan. Oleh itu, kita perlu menelusuri setiap budaya bangsa dalam masyarakat di Malaysia agar dapat kita mencari kebaikan amalan rumah terbuka. Persoalan yang bermain-main dalam gawang minda kita ialah, apakah kebaikan amalan rumah terbuka?

Mengeratkan perpaduan kaum

Mengeratkan perpaduan kaum merupakan salah satu inti pati utama faedah amalan rumah terbuka dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Amalan ini telah lama dipraktikkan dalam kehidupan masyarakat majmuk Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa. Malah amalan ini sentiasa dinanti-nantikan oleh semua kaum setiap kali perayaan muncul. Maka amalan ini menjadi agen perpaduan kerana apabila suatu perayaan disambut, setiap bangsa dan kaum akan saling mengunjungi rumah terbuka rakan-rakan yang berlainan bangsa dan agama. Perkara ini jelas menjadi cerminan masyarakat agar mereka menjadikannya sebagai contoh ikutan kerana yang baik dijadikan teladan yang buruk dijadikan sempadan. Tegasnya amalan rumah terbuka menjadi agen penyatuan kaum di Malaysia.

Memahami budaya sesuatu kaum

Dari sudut yang berbeza pula, amalan rumah terbuka dapat menjadi panduan atau rujukan kepada masyarakat untuk memahami budaya sesuatu kaum itu kerana tak kenal maka tak cinta. Mereka yang berkunjung ke rumah terbuka dapat melihat sendiri keunikan budaya bangsa yang diterjemah dalam bentuk pakaian, juadah makanan dan muzik yang melatari majlis tersebut. Sebagai contoh, apabila mengunjungi majlis rumah terbuka Aidilfitri, kita akan dapat melihat pakaian tradisional kaum Melayu seperti Baju Kurung dan Baju Melayu cekak Musang dipakai oleh kaum lelaki dan perempuan Melayu. Malah kita juga dapat menikmati juadah tradisional kaum Melayu seperti lemang, ketupat nasi, ketupat pulut, rendang dan serondeng. Jelas lagi nyata bahawa majlis rumah terbuka menjadi rujukan kepada bangsa lain tentang keunikan sesuatu bangsa.

Daya tarikan pelancong ke Malaysia.

Dari kaca mata yang berbeza, penganjuran rumah terbuka di peringkat kebangsaan dapat menjadi daya tarikan pelancong ke Malaysia. Kementerian Pelancongan dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan telah menjadikan Majlis Rumah Terbuka sebagai satu produk dalam kalendar pelancongan yang perlu dikunjungi oleh pelancong agar mereka dapat merasai sendiri keunikan majlis rumah terbuka di Malaysia. Antara majlis rumah terbuka yang paling dinanti-nantikan oleh pelancong asing ialah Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Pesta Keamatan, Hari Gawai dan Hari Natal. Pengalaman yang dirasai oleh pelancong asing ini akan meniti dari bibir ke bibir mereka apabila pulang ke negara asal. Secara tidak langsung, nama Malaysia akan terkenal di persada dunia.

Merapatkan hubungan yang jauh

Dari neraca kekeluargaan dan masyarakat pula, amalan rumah terbuka akan merapatkan hubungan yang jauh seperti peribahasa menyebut yang jauh didekatkan yang dekat dirapatkan. Sebagai satu tamsilan, ahli keluarga yang jauh akan datang mengunjungi rumah terbuka dan menjadikannya sebagai titik pertemuan semua ahli keluarga dan keturunan. Kunjungan ke rumah terbuka akan menyebabkan anak-anak dapat mengenali saudara mara yang jauh seterusnya merapatkan hubungan mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana kesibukan belajar atau bekerja menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang apatah lagi jika ada perselisihan faham, maka rumah terbuka menjadi medan pertemuan untuk bermaaf-maafan.

Penutup Karangan Faedah Amalan Rumah Terbuka

Setelah kita meneliti setiap manfaat yang terungkap dalam setiap perenggan, maka perkara yang kabur semakin jelas, perkara yang sangsi semakin pasti bahawa sesungguhnya amalan rumah terbuka telah banyak memberi faedah kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, konsep rumah terbuka ini perlu dijadikan satu kelaziman agar matlamat sebenar akan tercapai.


Contoh Karangan: Cara memupuk perpaduan kaum di Malaysia
Contoh Karangan: Pantang larang Tahun Baru Cina

1 thought on “Contoh Karangan – Faedah Amalan Rumah Terbuka”

  1. SURYIAH A/L GUNASEGARAN

    KARANGAN PENDEK :
    Amalan rumah terbuka merupakan budaya yang diamalkan oleh masyarakat. Amalan ini dapt memberikan banyak kebaikan.

    Antarannya amalan rumah terbuk ialah mengeratkan hubungan sesama masyarakat. Hal ini , semua ahli menyertai rumah terbuka tanpa mengira kaum , bangsa dan agama. Seterusnya , amalan rumah terbuka juga memahami budaya kaum lain. Dengan ini, kita dapat melihat pelbagai jenis adat yang diamalkan dalam perayaaan kaum tersebut. Amalan rumah terbuka juga mampu berpotensi sebagai produk pelancongan negara kerana keunikan dan keindahan amalan rumah terbuka wajar dipaparkan.

    82 PATAH PERKATAAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *