Skip to content

Nota Gurindam Dua Belas Fasal yang ketiga

Gurindam Dua Belas

KOMSAS Gurindam Dua Belas Fasal Ketiga (Gurindam Hemat Diri) karya Raja Ali Haji. Berikutnya ialah nota tema, persoalan, gaya bahasa, nilai, pengajaran, bentuk dan maksud Gurindam Dua Belas.

Tema Gurindam Dua Belas

Nasihat memelihara anggota diri. Gurindam ini memberikan nasihat kepada pelajar supaya sentiasa memelihara anggota diri dan berbudi pekerti dalam kehidupan seharian. Penyair menyeru murid agar amalan memelihara diri dan berbudi pekerti diamalkan sepanjang masa.

GurindamMaksud
Apabila terpelihara mata,
Sedikitlah cita-cita.
Penglihatan yang dijaga akan mengurangkan keinginan terhadap perkara-perkara yang negatif.
Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tiadalah damping.
Pendengaran yang dijaga akan terhindar daripada berita yang tidak baik.
Apabila terpelihara lidah,
Nescaya dapat daripadanya faedah.
Seseorang yang menjaga tutur kata akan mendapat banyak manfaatnya.
Bersungguh-sungguh engkau memelihara tangan,
Daripada segala berat dan ringan.
Tangan perlu dipelihara daripada mengambil barang yang bukan hak kita.
Apabila perut terlalu penuh,
Keluarlah fiil yang tiada senonoh.
Nafsu harus dijaga agar tidak melakukan perbuatan yang dilarang.
Anggota tengah hendaklah diingat,
Di situlah banyak orang yang hilang semangat.
Kehidupan seseorang perlulah dijalani dengan penuh semangat.
Hendaklah peliharakan kaki,
Daripada berjalan yang membawa rugi.
Anggota kaki perlulah dipelihara dari melangkah ke tempat-tempat yang maksiat.
Nota Gurindam Dua Belas – Fasal yang ketiga

Persoalan Gurindam Dua Belas

Persoalan manfaat memelihara penglihatan dalam kehidupan.
Contoh : Mata haruslah dipelihara sebaik-baiknya supaya tidak melihat sesuatu perkara yang dilarang oleh Tuhan. (Rangkap 1)

Persoalan kebaikan memelihara tutur kata.
Contoh : Seseorang yang menjaga tutur kata akan mendapat banyak manfaat. (Rangkap 3)

Persoalan kepentingan memelihara pendengaran.
Contoh : Telinga perlu dijauhkan daripada mendengar segala hasutan dan kejian. (Rangkap 2)

Persoalan semangat penting dalam kehidupan.
Contoh : Kehidupan seseorang perlulah dijalani dengan penuh semangat. (Rangkap 6)


Gaya Bahasa Gurindam Dua Belas

Kata ganda
Contoh : cita-cita (rangkap 1; baris 2)

Asonansi
Contoh : Pengulangan bunyi vokal a – Apabila terpelihara mata, ( rangkap 1; baris 1)

Aliterasi
Contoh : Pengulangan bunyi konsonan g – Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan (rangkap 4 baris 1)

Bahasa kiasan
Contoh : Apabila perut terlalu penuh, keluarlah fiil yang tiada senonoh (rangkap 5)

Pemilihan kata yang indah.
Contoh: Apabila terpelihara kuping, Khabar yang jahat tiadalah damping.

Penggunaan bahasa Arab.
Contoh: fiil.

Penggunaan inversi.
Contoh: Nescaya dapat daripadanya faedah.
Ayat sepatutnya: Nescaya dapat faedah daripadanya.


Bentuk Gurindam Dua Belas

  1. Terdiri daripada tujuh rangkap.
  2. Bilangan baris dalam setiap rangkap adalah sama, iaitu dua baris serangkap.
  3. Jumlah perkataan antara dua hingga enam perkataan
    Contoh : Sedikitlah cita-cita. (rangkap 1; baris 2)
    Contoh : Di situlah banyak orang yang hilang semangat. (rangkap 6; baris 2)
  4. Suku kata antara lapan hingga lima belas suku kata
    Contoh : Se/di/kit/lah/ ci/ta/-ci/ta. – 8 suku kata (rangkap 1; baris 2)
    Contoh : Di/si/tu/lah/ba/nyak/o/rang/yang/hi/lang/se/mang/at. – 15 suku kata (rangkap 6; baris 2)
  5. Rima akhir gurindam ini ialah aa.
    Contoh : Apabila terpelihara kuping, – a
    Khabar yang jahat tiadalah damping. – a (rangkap 2; baris 1 & 2)

Pengajaran Gurindam Dua Belas

Kita hendaklah menjaga penglihatan kita agar tidak menimbulkan keinginan yang tidak baik.

Kita mestilah memelihara pendengaran kita agar tidak mendengar berita yang tidak sahih.

Kita haruslah menjaga anggota kaki agar tidak menjejaki tempat yang tidak berfaedah.

Kita hendaklah bijak menggunakan anggota pancaindera untuk melakukan kebaikan dan perkara-perkara yang positif.

Kita hendaklah tidak terlalu menurut kehendak nafsu dan hati yang berkemungkinan mendorong kita untuk melakukan perkara yang buruk.

Kita haruslah bijak mengawal anggota tubuh badan agar terhindar daripada perkara yang tidak baik.


Nilai Gurindam Dua Belas

1. Kebijaksanaan
Contoh : Kita harus mengamalkan kebijaksanaan dalam menuturkan kata-kata.

2. Kesederhanan
Contoh: Kita wajarlah menunjukkan kesederhanaan ketika menghadap rezeki.

3. Kesabaran
Contoh: Kita haruslah bersikap sabar untuk memelihara mata daripada melihat perkara negatif.

4. Berbudi bahasa
Contoh : Seseorang perlu menjaga tutur kata agar mendapat banyak faedahnya.


Soalan Gurindam Dua Belas

Berikan maksud rangkap kedua Gurindam Dua Belas (Fasal yang ketiga)

Maksud rangkap kedua Gurindam Dua Belas (Fasal yang ketiga) ialah apabila seseorang menjaga pendengarannya dengan baik maka berita-berita yang tidak baik dapat dihindari.

Pada pendapat anda, apakah kesan negatif kepada orang yang makan secara berlebihan?

Kesan negatif apabila seseorang makan berlebihan adalah akan meningkatkan berat badan dan boleh mengundang pelbagai penyakit kronik. Selain itu, orang yang makan berlebihan juga akan bersikap malas.

Nyatakan dua nilai yang terdapat dalam gurindam tersebut.

Nilai yang terdapat dalam gurindam tersebut ialah berhati-hati. Sebagai contoh, kita dinasihati agar berhati-hati mengawal pancaindera agar tidak mendatangkan dosa. Manakala nilai lain pula ialah rasional. Sebagai contoh, kita dinasihati supaya tidak menurut nafsu makan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *