Skip to content

Komsas Cerpen Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul

Cerpen Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul

Cerpen Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul karya Maskiah Haji Masrom merupakan komsas tingkatan 4.Berikutnya tema, persoalan, sinopsis, latar, watak perwatakan, plot, gaya bahasa, nilai dan pengajaran cerpen ini.

Tema Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul

Tema cerpenJaket Kulit Kijang Dari Istanbul ialah pengalaman seorang pelancong yang suka melancong dan beliau mengalami berbagai-bagai pengalaman sepanjang tempoh kunjungannya.

Penulis telah mengikuti rombongan pelancong dari Malaysia ke Istanbul, Turki. Semasa berada di negara tersebut, penulis melalui pelbagai pengalaman pahit manis. Penulis berpeluang melawat beberapa lokasi pelancongan yang menarik dan juga membeli-belah. Penulis melihat peristiwa budak lelaki yang menjual barangan di pasar gelap ditangkap dan dibelasah oleh pihak polis, peniaga berbangsa Turki yang kasar dan membeli jaket kulit kijang yang tidak dirancangnya.


Persoalan Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul

Persoalan perasaan kasih dan sayang terhadap kehidupan haiwan-haiwan eksotik
Contoh:Penulis berasa kasihan terhadap haiwan kijang yang terpaksa menjadi korban kerana kulitnya dijadikan bahan komersial.

Persoalan sikap berbudi bahasa sesama insan tanpa mengira bangsa, agama dan negara
Contoh:Penulis melahirkan kata-kata yang cukup berbahasa kerana tidak mahu menyakitkan hati pekedai Turki itu.

Persoalan Sikap peniaga yang tidak bertanggungjawab dalam perniagaan
Contoh: Peniaga berbangsa Turki yang tidak meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual.

Persoalan kebijaksanaan sikap puji memuji dalam kalangan masyarakat Turki
Contoh: Masyarakat Turki memang pandai memuji pelanggannya demi melariskan jualan.

Persoalan kebijaksanaan dalam menguruskan perbelanjaan kewangan
Contoh:Penulis telah membuat senarai nama barangan dan cenderahati yang akan dibeli untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Persoalan Gaya hidup dan kemewahan yang mengancam hidupan liar.
Contoh: Gaya hidup masyarakat di Turki yang suka memakai jaket kulit kijang menyebabkan banyak kijang dibunuh demi mendapatkan kulitnya.

Persoalan berhemah tinggi
Contoh: Penulis tetap menolak desakan peniaga berbangsa Turki yang mendesaknya agar membeli jaket kulit kijang di kedainya walaupun dilayan dengan kata-kata yang kasar.

Persoalan nilai kemanusiaan yang perlu ada pada setiap manusia.
Contoh: Pegawai polis yang membelasah budak lelaki yang ditangkap ketika menjual barangan di pasaran gelap.

Persoalan kewajaran memberikan layanan serta ramah mesra terhadap pelanggan atau pelancong
Contoh: Pekedai Turki telah memberikan layanan yang mesra kepada pelanggannya dengan memberikan layanan yang baik serta memberikan minuman percuma kepada pelanggannya.

Persoalan berhemat ketika berbelanja.
Contoh: Penulis telah membuat senarai barangan yang ingin dibelinya dan juga megetepikan USD100 untuk perbelanjaan di luar jangka.


Sinopsis Cerpen Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul

Penulis, iaitu seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Mas. Dengan hanya berbekalkan wang sebanyak USD400, dia telah mengikuti rombongan Passage Tours and Travel ke Istanbul, Turki. Penulis telah membuat senarai cenderamata yang ingin dibelinya untuk dibawa pulang ke tanah air sebagai ole-ole. Wang sebanyak itu akan digunakan secara berhemat ketika berada di negara orang.

Kisah ini terjadi apabila Mas bersama-sama Kak Chah, Dr. Liza, Shahmeem, Hajah Zalehon, dan Hajah Normah berkunjung ke Grand Bazaar yang terletak tidak jauh dari hotel penginapannya. Grand Bazaar ialah sebuah pusat beli-belah yang mempunyai lebih 6 000 buah kedai. Sebelum itu, penulis telah dinasihati oleh seorang pemandu pelancong yang bernama Encik Yuksel tentang perkara- perkara yang perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan penipuan oleh para peniaga. Ketika berkunjung ke kedai- kedai tersebut, penulis disapa oleh pekedai berbangsa Turki dari sebuah kedai yang menjual jaket kulit. Pekedai itu meminta penulis mencuba sehelai jaket kulit yang berkualiti tinggi yang diperbuat daripada kulit kijang. Pekedai itu menawarkan potongan harga yang rendah. Pekedai itu cuba sedaya upaya memujuk penulis untuk membeli jaket tersebut. Desakan lelaki itu semacam memerangkap dan memaksa penulis untuk membelinya.

Mas telah menolak secara sopan untuk membeli jaket yang dicubanya itu disebabkan jaket itu bukan dalam senarai barang yang ingin dibelinya. Rupa-rupanya tindakan itu telah menimbulkan rasa kurang senang pekedai itu. Dia menuduh penulis sebagai wanita Muslim yang tidak baik kerana membuang masanya. Layanan yang agak kasar itu membuatkan penulis berasa kurang selesa. Penulis akhirnya teringat akan pesanan pemandu pelancong sebelum ini agar berhati-hati ketika berurusan dengan peniaga di Istanbul.

Mas gemar membaca. Dia sempat membaca puisi yang ditulis oleh Mevlana Celaleddin Ar-Rumi berdasarkan buku yang dibelinya semasa melawat ke makam Mevlana Celaleddin Ar-Rumi di Konya. Puisi yang ditulis oleh Mevlana Celaleddin banyak membicarakan kasih sayang sesama insan. Hal ini amat bertentangan dengan sikap yang ditunjukkan oleh lelaki peniaga Turki itu.

Cerpen Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul
Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul

Seterusnya, Mas mengisahkan pula perjalanannya pada hari keenam di Istanbul. Kesusahan yang dialami oleh wanita tua, penjual makanan burung menyentuh perasaannya. Selain itu, kisah seorang budak lelaki yang cuba menjual barangan di pasaran gelap diceritakan juga oleh penulis. Budak lelaki itu bukan sahaja ditangkap tetapi dilayan tanpa ada rasa kemanusiaan oleh pihak polis. Layanan kasar ini juga menyebabkan penulis teringat akan puisi tulisan Mevlana Celaleddin Ar-Rumi yang banyak menceritakan perihal kemanusiaan.

Rakan penulis yang bernama Shahmeem akhirnya membeli sehelai jaket daripada seorang lelaki tua yang menjualnya di pasaran gelap ketika mereka beratur untuk menaiki feri menyeberangi Selat Bhosporus. Harga yang ditawarkan ialah USD120 jauh lebih murah daripada harga di bazaar. Oleh sebab jaket kulit itu tidak sepadan dengan Shahmeem, dia menjualnya kepada penulis. Penulis tidak nampak rasionalnya dia membeli jaket itu untuk kegunaan di Malaysia yang beriklim panas. Mas akhirnya terbeli jaket kulit kijang meskipun dia langsung tidak berniat untuk membelinya pada mulanya.

Mas berpendapat bahawa jaket kulit kijang itu sebenarnya lambang kemewahan dan kemegahan. Hal ini dikatakan demikian kerana lebih seekor kijang perlu dibunuh untuk mendapatkan sehelai jaket. Dalam pada itu, ingatan penulis tertumpu pada hasil penulisan tinggalan Nasreddin Hodja, iaitu tokoh pendidik yang berjiwa humoris dan mengamalkan cara hidup sederhana. Beliau tidak suka akan pembaziran dan kemewahan.

Shahmeem gembira kerana Mas sudi membeli jaket kulit itu walaupun harga yang dijualnya jauh lebih murah daripada harga asal. Mas berhasrat untuk menjual jaket itu di kedai pakaian terpakai apabila pulang ke Malaysia nanti. Penulis bercadang untuk mendermakan wang jualan jaket itu kepada mana-mana zoo yang ada kandang kijang. Hal ini sebagai tanda muhibah terhadap kijang-kijang yang telah dibunuh demi gaya hidup manusia yang penuh kemodenan. Sesungguhnya, Mas lebih suka hidup bersederhana.


Binaan Plot Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul

Peristiwa-peristiwa dalam plot cerpen ini disusun secara tidak kronologi.

Permulaan atau eksposisi cerpen ini dimulai apabila penulis/Mas menyertai sekumpulan pelancong sebanyak 30 orang dari Malaysia melancong ke Istanbul, Turki. Penulis memerihalkan jumlah wang tunai yang dia bawa dan perancangannya untuk membeli cenderamata bagi ahli keluarga dan sahabat handainya.

Pada tahap perkembangan, penulis menceritakan kumpulan pelancong ini berkunjung ke pusat beli-belah yang dikenali Grand Bazaar. Encik Yuksel, pemandu pelancong bagi rombongan tersebut,menasihati mereka agar berhati-hati dengan sikap peniaga yang tidak jujur di Grand Bazaar kerana tidak mahu mereka terjerat oleh tipu muslihat peniaga di situ. Mas dan kumpulannya berjalan-jalan hingga tiba di sebuah kedai menjual jaket kulit. Pekedai itu mempelawa mereka masuk dan melayan mereka dengan ramahnya.

Konflik cerpen bermula apabila Mas/penulis dimarahi oleh seorang pekedai lelaki yang tidak berpuas hati kerana Mas tidak membeli jaket kulit yang telah dicubanya. Pekedai tersebut menuduh Mas sebagai perempuan Muslim yang tidak baik dan membuang masanya, selain mengeluarkan kata-kata kesat.

Klimaks cerpen ini adalah apabila Mas/penulis sedar bahawa dia tidak memerlukan jaket kulit kijang itu. Oleh hal yang demikian, dia berhasrat untuk menjual jaket itu kepada sebuah kedai pakaian terpakai apabila pulang ke Malaysia nanti. Tujuannya bagi menghilangkan sifat ego pembeli bahawa dia sebenarnya membeli barangan terpakai.

Penulis mendermakan wang jualan jaket itu kepada mana-mana zoo yang ada kandang kijang sebagai tanda muhibah terhadap kijang-kijang yang telah dibunuh demi gaya hidup manusia yang penuh kemodenan.


Teknik Plot Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul

Teknik Pemerian
Contoh: Penulis menerangkan keadaan di dalam sebuah kedai menjual jaket kulit yang dimasukinya di Grand Bazaar, Istanbul.

Teknik Dialog
Contoh: Perbualan antara penulis dengan peniaga yang menjual jaket kulit kijang.

Teknik imbas kembali
Contoh: Mas teringat kembali akan jenaka sufi yang telah dibacanya dalam 202 Jokes of Nasreddin Hodja yang dibelinya di Capadocia. Nasreddin Hodja lahir di Horto dan dibesarkan di Aksehir, Turki semasa zaman pemerintahan Sultan Timur Leng.

Teknik imbas muka
Contoh: Mas membayangkan wajah-wajah kegembiraan rakannya ketika menerima cenderamata yang dibelinya dari Turki tersebut.


Watak Perwatakan Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul

  • Seorang daripada peserta pakej pelancongan ke Istanbul, Turki.
  • Seorang yang berpendidikan tinggi.
  • Dia gemar membaca buku dan bahan bacaan terutama hasil penulis ternama.

Seorang yang bijak merancang perbelanjaan.
Contoh: Penulis membuat perancangan untuk perbelanjaannya ketika melancong di Istanbul, Turki.

Seorang yang baik hati
Contoh: Penulis merancang untuk membeli cenderamata untuk ahli keluarga dan sahabat handai.

Seorang yang berhemah tinggi
Contoh: Penulis tetap bersopan santun ketika menjawab peniaga yang bercakap kasar dengannya kerana dia enggan membeli jaket kulit kijang yang dijual oleh peniaga tersebut.

Seorang yang insaf akan kepentingan menjaga hidupan liar
Contoh: Penulis bercadang untuk mendermakan hasil jualan jaket kulit kijangnya kepada mana-mana zoo yang ada kandang kijang sebagai tanda muhibahnya pada kijang yang dibunuh demi kulitnya.

  • Peniaga di Grand Bazaar, Istanbul.
  • Seorang yang peramah.

Seorang peniaga yang tidak bertanggungjawab dalam berniaga
Contohnya, peniaga yang tidak meletakkan tanda harga pada barangan yang dijualnya.

Seorang yang tidak berhemah tinggi
Contohnya, bercakap kasar pada pelanggan yang enggan membeli barangan yang dijualnya.

  • Seorang peserta pakej pelancongan ke Istanbul, Turki.
  • Bijak dalam urusan tawar-menawar harga barangan.
  • Bersikap berhati-hati semasa melakukan sesuatu perkara.
  • Prihatin akan keperluan orang lain.
  • Teliti semasa berbelanja.
  • Seorang peserta pakej pelancongan ke Istanbul, Turki.
  • Bijak berikhtiar untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
  • Baik hati dan bertimbang rasa.
  • Menghargai jasa orang lain.
  • Gopoh dan kurang berhati-hati ketika berbelanja.

Latar Cerpen Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul

Latar Masa

  • Hari kelima lawatan ke Turki.
  • Hari keenam lawatan ke Turki.
  • Malam terakhir di Istanbul.
  • Semasa dalam perjalanan pulang ke hotel.
  • Setiap waktu subuh dan maghrib.

Latar Tempat

  • Istanbul, Turki.
  • Grand Bazaar.
  • Sebuah kedai di Grand Bazaar.
  • Bas pembawa pelancong
  • Egyptian Market.
  • Pigeon Valley.

Latar MasyarakatJaket Kulit Kijang Dari Istanbul

Masyarakat yang mementingkan gaya hidup dan kemewahan yang mengancam hidupan liar.
Contohnya, gaya hidup masyarakat di Turki yang suka memakai jaket kulit kijang menyebabkan banyak kijang dibunuh demi mendapatkan kulitnya.

Masyarakat peniaga yang tidak bertanggungjawab dalam menjalankan perniagaan.
Contohnya, peniaga berbangsa Turki yang tidak meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual.

Masyarakat yang berhemah tinggi.
Contohnya, penulis tetap menolak desakan peniaga berbangsa Turki yang mendesaknya agar membeli jaket kulit kijang di kedainya dengan sopan walaupun dilayan dengan kata-kata yang kasar.

Masyarakat yang berhemat ketika berbelanja.
Contohnya, penulis telah membuat senarai barangan yang ingin dibelinya dan juga megetepikan USD100 untuk perbelanjaan di luar jangka.


Gaya Bahasa Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul

Pengarang menggunakan beberapa perkataan bahasa Melayu yang bercampur dengan bahasa Inggeris.

Pengarang menggunakan ayat pendek, ayat sederhana panjang, dan ayat panjang.

Simile
Contoh: umpama senjata untuk mempertahankan diri, seperti bintang filem jika memakai jaket kulit.

Penggunaan kata bahasa Inggeris
Contoh: Made in Turkey.


Nilai Cerpen Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul

Nilai baik hati
Contoh: Penulis telah merancang membeli cenderamata untuk keluarga dan sahabat handainya di tanah air.

Nilai bertanggungjawab dalam menjalankan perniagaan
Contoh: Peniaga berbangsa Turki yang tidak meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual.

Nilai berhemah tinggi
Contoh: Penulis tetap menolak desakan peniaga berbangsa Turki yang mendesaknya agar membeli jaket kulit kijang di kedainya dengan sopan walaupun dilayan dengan kata-kata yang kasar.

Nilai berjimat cermat
Contoh: Penulis telah membuat senarai barangan yang ingin dibelinya dan juga megetepikan USD100 untuk perbelanjaan di luar jangka.

Nilai Suka menimba ilmu
Contoh: Penulis memiliki minat membaca terutama hasil karya penulis tersohor.

Nilai Kemanusiaa
Contoh: Penulis berasa sedih apabila pihak polis menggunakan kekerasan terhadap budak lelaki yang menjual barangan di pasaran gelap.

Nilai Sayang akan hidupan liar
Contoh: Penulis sedih kerana haiwan seperti kijang dibunuh untuk diambil kulitnya bagi membuat jaket.

Nilai Kesabaran
Contoh: Penulis masih dapat bersabar terhadap tindakan lelaki Turki yang menghamburkan kata-kata kesat dan memaksanya membeli jaket.

Nilai Penghargaan
Contoh: Penulis amat menghargai hasil tinggalan penulis Mevlana Celaleddin Ar-Rumi dan Nasreddin Hodja.


Pengajaran Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul

Kita hendaklah menambahkan pengetahuan dan pengalaman dengan melancong ke luar negara sekiranya berkemampuan.

Kita haruslah sentiasa baik hati dan bersikap pemurah.
Contohnya, penulis telah merancang membeli cenderamata untuk keluarga dan sahabat handainya di tanah air.

Kita haruslah bertanggungjawab dalam menjalankan perniagaan.
Contohnya, peniaga berbangsa Turki yang tidak meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual.

Kita haruslah sentiasa berhemah tinggi.
Contohnya, penulis tetap menolak desakan peniaga berbangsa Turki yang mendesaknya agar membeli jaket kulit kijang di kedainya dengan sopan walaupun dilayan dengan kata-kata yang kasar.

Kita perlulah berwaspada terhadap muslihat para peniaga yang cuba menjerat pelanggan.

Kita mestilah bijak merancang perbelanjaan.
Contohnya, penulis telah membuat senarai barangan yang ingin dibelinya dan juga megetepikan USD100 untuk perbelanjaan di luar jangka.

Kita perlulah rasional ketika berbelanja dan tidak membeli barangan yang tidak diperlukan.

Kita hendaklah bersikap hormat-menghormati terhadap orang lain tanpa mengira bangsa, agama, dan negara.

Kita perlulah berusaha untuk menyelamatkan hidupan liar yang yang semakin mengalami kepupusan.


Nilai Jaket Kulit Kijang Dari Istanbul

Mengapakah jaket kulit tidak praktikal untuk kegunaan harian di Malaysia?

Jaket kulit tidak praktikal untuk kegunaan harian di Malaysia kerana pengguna akan berasa panas dalam cuaca terik dan jaket ini memerlukan penjagaan yang rapi.

Pada pendapat anda, apakah usaha yang boleh dilakukan untuk memastikan binatang liar seperti kijang tidak terus dibunuh?

Usaha-usaha yang boleh diambil untuk memastikan binatang liar seperti kijang tidak terus dibunuh adalah dengan mewartakan Undang-undang Pemeliharaan Hidupan Liar dan mewujudkan tempat pelindungan bagi hidupan liar. Selain itu, kerajaan menggubal akta untuk menghalang pemburu haram / meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan liar.

Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu pengajaran lain daripada cerpen yang tidak terdapat dalam petikan.

Pengajaran yang terdapat dalam petikan cerpen di atas kita janganlah membunuh binatang liar semata-mata untuk mendapatkan keuntungan. Sebagai contoh, untuk mendapatkan sehelai jaket kulit terpaksa membunuh seekor atau lebih kijang.

Manakala pengajaran lain daripada cerpen yang tidak terdapat dalam petikan kita perlulah bijak merancang perbelanjaan. Sebagai contoh, penulis merancang perbelanjaan dan membuat senarai barangan yang ingin dibeli.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *