Skip to content

Novel Jalan Ke Puncak – Komsas Tingkatan 2

Novel Jalan Ke Puncak

Novel Jalan ke Puncak karya Juri Durabi merupakan komsas Bahasa Melayu Tingkatan 2. Berikutnya sinopsis, tema, persoalan, plot, latar, watak perwatakan, gaya bahasa, nilai dan pengajaran novel ini.

Tema Novel Jalan Ke Puncak

NovelJalan Ke Puncak membawa tema kesungguhan dan kegigihan seorang pemuda yang berdikari. Dia bercita-cita untuk menjadi usahawan dan membina kecemerlangan kerjaya pada masa depannya.

Laiman yang berkelulusan ijazah kejuruteraan enggan bekerja makan gaji, sebaliknya dia memilih untuk bekerja sendiri dengan mengusahakan ladang tembikai di kampungnya. Laiman turut mengusahakan kolam ikan air tawar, udang harimau, berniaga kedai makan dan menjadi peraih hasil pertanian di kampungnya. Berkat usaha gigih Laiman, akhirnya dia berjaya dalam bidang yang diceburinya dan mendapat pengiktirafan daripada pihak kerajaan.


Persoalan Novel Jalan Ke Puncak

Kegigihan menghadapi dugaan hidup
Contoh: Laiman tabah menghadapi segala rintangan terutama daripada keluarganya yang tidak bersetuju dengan keputusan untuk bekerja sendiri.

Pengorbanan untuk keluarga
Contoh: abang dan nenek Laiman telah mengorbankan wang ringgit demi membiayai pengajian Laiman di universiti.

Persoalan Kesetiaan kawan
Contoh: Milan yang merupakan kawan dan sepupu kepada Laiman sentiasa menyokong usaha Laiman untuk menjayakan projek pertanian walaupun mendapat tentangan daripada keluarganya sendiri.

Keberanian menceburi bidang pertanian yang berisiko tinggi
Contoh: Laiman berani menolak tawaran bekerja di jabatan kerajaan sebaliknya mengambil keputusan untuk mengusahakan ladang tembikai dan menternak ikan air tawar serta udang harimau.

Sikap dengki lahir kerana perasaan cemburu
Contoh: Laiman yang begitu akrab dengan Soniah telah menimbul perasaan cemburu di hati Muluk. Hal ini demikian kerana Muluk menaruh hati terhadap Soniah, namun Soniah tidak melayannya. Kes kebakaran loji minyak di Miri pada anggapan Laiman ialah hasil perbuatan Muluk.

Keyakinan terhadap usaha yang dijalankan
Contoh: Laiman yakin usahanya menjadi petani moden akan membuahkan kejayaan walaupun pada peringkat awal ayahnya menentang sikapnya yang menolak tawaran kerja di Jabatan Pertanian, namun akhirnya dia berjaya menjadi petani moden sehingga kejayaannya diiktiraf oleh pihak kerajaan.

Semangat cinta akan negara
Contoh: Laiman sentiasa menyokong dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu rakyat dengan memilih untuk berdikari dan bekerja sendiri.


Sinopsis Novel Jalan Ke Puncak

Laiman pemuda dari Sabah menuntut ilmu untuk mendapatkan ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan. Dia dihantar ke syarikat Shell di Sarawak untuk menjalani latihan. Dia memang berkeupayaan untuk maju dalam bidang yang dipelajarinya. Dalam latihan, Laiman bekerja sungguh-sungguh, tetapi impiannya lain daripada itu. Di tempat latihan itu, Laiman akrab dengan gadis yang bernama Soniah, yang juga masih belajar. Hal ini menimbulkan rasa cemburu kawannya yang bernama Muluk. Soniah merasakan ada sesuatu yang tidak kena antara Laiman dan Muluk, tetapi dia menyembunyikannya.

Soniah pernah tersilap menyebut nama Muluk. Apabila ditanya oleh Laiman, Soniah tidak mahu bercerita apa-apa tentang Muluk.

Ketika Laiman tiada di tempat kerja kerana pergi ke Kuching, tangki minyak shell terbakar. Ada telahan kononnya Laiman yang merancang pembakaran tangki minyak itu sebelum dia ke Kuching. Pengurus syarikat sendiri pun mengesyaki Laiman. Walau bagaimanapun, setelah mendapat keterangan daripada Laiman, pengurus syarikat percaya bahawa Laiman tidak bersalah.

Setelah tamat belajar, Laiman balik ke kampungnya. Bagi Laiman, ijazah yang diperolehnya bukanlah tiket untuk dia mencari pekerjaan bergaji tetap. Dia memikirkan projek yang sentiasa ada dalam fikirannya sejak dahulu. Apabila mendapat tawaran untuk bekerja di jabatan pertanian, Laiman menolaknya. Tindakan Laiman itu menimbulkan rasa hairan dalam hati sepupunya Milan. Hal tersebut menimbulkan kemarahan ayah Laiman, Pak Kiassim juga. Pak Kiassim yakin bahawa bekerja makan gaji adalah yang terbaik bagi lulusan universiti. Fikiran Laiman ketika itu tertumpu pada projek ternakan lebah madu dan ternakan ikan air tawar. Dia merancang untuk membuat projek ternakan ikan air tawar di tanah paya bersebelahan tanah Pak Sahok. Ternakan lebah madu tidak menjadi masalah bagi Laiman kerana projek tersebut tidak memerlukan kawasan yang luas. Di samping itu, dia menanam tembikai juga.

Kemarahan Pak Kiassim menjadi-jadi apabila dilihatnya Laiman tidak beroleh apa-apa kemajuan. Namun begitu, Laiman tetap dengan pendiriannya. Dia berpakat dengan Milan untuk terus bergerak maju. Pada mulanya, Milan juga kurang bersemangat. Milan menjadi yakin dan bersemangat apabila melihat Laiman tidak pernah berputus asa. Mereka bersama-sama meminta izin Pak Sahok untuk melaksanakan projek di sebelah tanah Pak Sahok, tetapi Pak Sahok tidak mengizinkannya. Laiman tahu bahawa Pak Sahok bukan pemilik tanah yang dicita-citakannya itu. Namun begitu, dia tidak mahu bermusuh dengan Pak Sahok.

Milan makin bersemangat seperti Laiman. Tanaman tembikai ada kemajuan. Laiman masih memikirkan projek lain, iaitu kebun limau dan kelapa. Milan bimbang kerana fikiran Laiman terlalu bercabang-cabang, tetapi Laiman yakin dengan caranya. Menurutnya, kerjanya yang banyak akan dibantu oleh budak-budak yang gagal dalam persekolahan. Hal tersebut tentu akan menyenangkan hati ibu bapa budak-budak itu.

Setelah masa berlalu agak lama, Pak Kiassim dapat menerima usaha Laiman. Dia telah melihat kejayaan Laiman dalam bidang penanaman tembikai. Pak Sahok masih enggan mengizinkan Laiman menggunakan tanah paya di sebelah tanahnya untuk maksud ternakan ikan air tawar. Hasil perundingan dengan Pak Kiassim, Pak Sahok kemudiannya bersetuju.

Laiman memulakan projeknya. Paya itu diperdalam menggunakan jentera pengorek. Setelah segala-galanya elok, Laiman menambah bidangnya lagi. Sebahagian daripada tempat itu digunakan oleh Laiman untuk ternakan ikan air tawar, manakala sebahagian lagi untuk ternakan udang harimau. Laiman menyerahkan urusan kebun tembikai kepada ayahnya.

Masalah dalam perusahaan merupakan perkara biasa. Masalah yang menimpa Laiman ialah dua orang anak muda yang dilatihnya, iaitu Kedek dan Muali, meninggalkannya untuk membuka perusahaan sendiri. Laiman tidak kecewa, kerana sekurang-kurangnya dia telah berjaya melatih orang lain bekerja.

Kejayaan Laiman makin cemerlang apabila Jabatan Petanian berjanji untuk membantunya memperbesar perusahaan ternakan ikan air tawarnya. Ketika itu, Laiman teringat akan Soniah, gadis yang akrab dengannya semasa dia berada di Sarawak dulu.


Binaan Plot Novel Jalan Ke Puncak

Laiman pemuda yang rajin. Dia menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat minyak. Laiman melakukan tugas yang diberikan kepadanya dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, dia disenangi oleh pengurus dan kawan-kawan di tempat kerjanya itu. Sukri yang bertugas di situ mengajak Laiman makan bersama-sama.

Laiman berkawan rapat dengan Soniah yang akan melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sama, iaitu kejuruteraan. Soniah menyebut nama Muluk dalam satu perbualan, tetapi kemudian tidak mahu meneruskan cerita tentang Muluk. Hal ini menimbulkan tanda tanya dalam fikiran Laiman tetapi dia terpaksa melupakan hal itu memandangkan Soniah benar-benar tidak mahu bercerita tentang Muluk. Perumitan/Konflik – Loji minyak terbakar. Loji itu baru dibaiki oleh Laiman. Namun begitu, mujurlah kebakaran itu berlaku semasa Laiman pergi ke Kuching. Orang yang melakukan sabotaj itu tidak tahu bahawa Laiman tiada di kawasan syarikat semasa kebakaran berlaku. Seterusnya, bapa Laiman memarahi Laiman kerana menolak pekerjaan yang ditawarkan. Pak Kiassim menentang hasrat Laiman membuat projek sendiri juga.

Muluk ditangkap polis atas tuduhan membakar loji minyak. Dia berbuat demikian kerana cemburu apabila melihat hubungan mesra antara Laiman dengan Soniah. Pak Sahok mengalah dan mengizinkan tanah paya di sebelah tanahnya digunakan untuk projek ternakan ikan air tawar. Keizinan itu menyebabkan Laiman dan kawan-kawannya dapat bekerja keras. Akhirnya, projek ternakan ikan air tawar itu dianggap projek contoh.

Laiman hidup senang kerana usahanya membuahkan hasil. Laiman memikirkan perancangan untuk memulakan hubungan bercorak baharu dengan Soniah.


Teknik PlotJalan Ke Puncak

Teknik pemerian
Contoh: Pengarang memerihalkan hubungan Laiman dengan Sukri yang sudah terjalin erat walaupun baru dua bulan lebih mereka berkawan.

Teknik dialog
Contoh: Laiman berbual dengan Milan tentang cadangan Laiman yang mahu mengusahakan projek ternakan lebah madu dan dan ikan air tawar di tanah paya di sebelah tanah Pak Sahok

Teknik saspens
Contoh: Pembaca tertanya-tanya siapakah yang membakar loji minyak.

Teknik kejutan
Contoh: Pembaca terkejut apabila Pak Sahok menyetujui kehendak Laiman untuk menggunakan tanah paya di sebelah tanahnya dengan mudah setelah Pak Kiassim memujuknya.


Watak Perwatakan Jalan Ke Puncak

Watak penting untuk mengembangkan tema dan persoalan sesebuah novel. Perwatakan ialah sifat-sifat yang terdapat pada watak.

  1. Anak kepada Pak Kiassim.
  2. Mempunyai abang yang bernama Mail dan adik yang bernama Jariah.
  3. Pelajar kejuruteraan yang sedang menjalani latihan industri.
  4. Mengusahakan projek penternakan akan air tawar dan penternakan lebah madu.
  5. Berkebun tembikai, berniaga kuih, pisang, dan kelapa.

Seorang yang tegas diri
Laiman berpegang kepada prinsip untuk tidak tergesa-gesa menerima sesuatu tawaran pekerjaan.

Seorang yang bijak
Laiman merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Dia bijak menyelesaikan setiap masalah yang dihadapinya.

Seorang yang Baik hati
Laiman berfikiran terbuka terhadap Muali dan Kedek yang mahu berdikari.

Seorang yang berani
Laiman berani untuk bekerja sendiri sebagai peladang, penternak dan pemborong. Dia juga berani mempertahankan kebenarannya dalam kes kebakaran tangki minyak.

Seorang yang gigih
Laiman berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menjayakan rancangannya. Dia tidak mudah berputus asa apabila sesuatu usahanya belum berjaya.

  1. Bapa kepada Laiman.
  2. Tidak bersetuju apabila Laiman mengatakan bahawa dia mahu memulakan projek ternakan ikan air tawar.
  3. Berbangga atas kejayaan Laiman.

Seorang yang prihatin
Pak Kiassim mahu Laiman memiliki pekerjaan tetap. Oleh itu, dia sanggup membantu Laiman menguruskan kebun tembikai anaknya itu.

Seorang yang bersikap positif
Pak Kiassim sanggup mengakui kesilapannya kepada Laiman kerana tidak memahami wawasan Laiman sebelum ini. Dia menyokong usaha Laiman selepas melihat kejayaannya.

  • Sepupu Laiman dan juga merupakan rakan kongsi Laiman.
  • Tinggal di Kampung, Kusilad, sekampung dengan Laiman.

Seorang yang penyayang
Milan setia dengan Laiman dalam setiap projek yang dijayakannya. Dia percaya dan yakin akan kejujuran dan kesungguhan Laiman.

Seorang yang mudah bekerjasama
Milan bekerjasama dengan Laiman untuk menjadi pladang dan penternak.

  1. Bekerja di sebuah syarikat minyak di Sarawak.
  2. Penyelia latihan industri dan rakan Laiman
  3. Rapat dengan Laiman semasa Laiman membuat latihan praktikal di syarikat Shell di Sarawak.
  4. Tidak percaya bahawa Laiman membakar tangki minyak dan dia membela Laiman.

Seorang yang peramah
Sukri cepat mesra walaupun dia penyelia kepada Laiman, mahasiswa kejuruteraan yang sedang menjalani latihan industri.


Latar Novel Jalan Ke Puncak

Latar MasaJalan Ke Puncak

Waktu Pagi
Contohnya, Sukri pergi ke rumah sewa Laiman untuk memberitahu kejadian kebakaran di loji minyak.

Waktu malam
Contohnya, Pak Kiassim, iaitu ayah Laiman telah meleteri Laiman kerana menolak tawaran bekerja di Jabatan Pertanian.

Tempoh 6 bulan
Contohnya, Laiman menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat minyak di Sarawak selama enam bulan.

Waktu tengah hari
Contohnya, Sukri bertanya kepada Laiman tentang perancangannya selepas tamat belajar kelak.

Waktu petang
Contohnya, Laiman bersiar-siar di Pekan Lutong dan terserempak dengan Soniah. Mereka makan bersama-sama di sebuah restoran.


Latar TempatNovel

Rumah Pak Kiassim
Tempat tinggal Pak Kiassim, Laiman dan keluarganya. Di sinilah Pak Kiassim menegur Laiman yang enggan menerima tawaran kerja oleh Jabatan Pertanian.

Bandar Miri
Contoh: Laiman dan Soniah menghabiskan cuti hujung minggu dengan bersiar-siar di bandar Miri. Mereka berbincang tentang rancangan masa depan Soniah yang ingin melanjutkan pelajaran dalam jurusan kejuruteraan.

Rumah Pak Sahok
Contoh: Laiman ke rumah Pak Sahok untuk memujuknya agar mengizinkan dia menggunakan tanah rizab yang bercantum dengan tanah Pak Sahok untuk tujuan menternak ikan.

Tangki minyak nombor 12 milik syarikat Shell
Contoh: Tangki minyak yang rosak itu dibaiki oleh Laiman dengan sempurna tetapi telah terbakar menyebabkan Laiman berasa hairan.

Pejabat syarikat minyak
Tempat Laiman, Soniah dan Sukri bekerja. Di sinilah Laiman menjalani latihan selama enam bulan.

Restoran di Miri
Contoh: Laiman makan bersama-sama Soniah di sebuah restoran. Ketika makan, Soniah meluahkan hajatnya ingin melanjutkan pelajarannya ke universiti dalam bidang kejuruteraan, sama seperti Laiman.

Kebun tembikai
Contoh: Tempat Laiman dan Milan mengusahakan ladang seluas 15 ekar dan mereka berasa bangga apabila usaha yang dilakukan sejak dua bulan lalu telah mengeluarkan hasil.

Gerai Pitas
Contoh: Laiman dan Milan berniaga kuih yang dipajaknya daripada orang-orang kampung untuk mengisi masa yang terluang dan mahu mencari duit sebanyak mungkin.

Kampung Kusilad
Contoh: Kampung Kusilad merupakan tempat tinggal Laiman dan tempat dia melakukan aktiviti pertanian dan perikanan sehingga berjaya menjadi usahawan tani.

Universiti Kebangsaan Malaysia
Contoh: Tempat Soniah belajar sehingga tamat pengajiannya dalam bidang kejuruteraan.


Latar Masyarakat Jalan Ke Puncak

Masyarakat yang berpelajaran tinggi
Contoh: Laiman dan Soniah merupakan pelajar lulusan ijazah Sarjana Muda kejuruteraan.

Masyarakat yang tegas diri
Contoh: Laiman berpegang kepada prinsip untuk tidak tergesa-gesa menerima sesuatu tawaran pekerjaan

Masyarakat yang peramah
Contoh: Sukri cepat mesra walaupun dia penyelia kepada Laiman, mahasiswa kejuruteraan yang sedang menjalani latihan industri

Masyarakat yang berdikari
Contoh: Chow Chin berusaha sendiri untuk membina empayar perniagaan dengan berjimat cermat dan tidak membangga diri.

Masyarakat yang kuat semangat dan suka akan cabaran
Contoh: Laiman, Milan mempunyai semangat bekerja yang kuat dan gigih. Mereka tidak mudah mengalah dengan cabaran yang dihadapi.

Masyarakat yang menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab
Contoh: Pegawai Jabatan Pertanian menjalankan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab. Pegawai jabatan pertanian bersedia memberikan bantuan kepada Laiman.


Unsur Gaya BahasaNovel

Simile
Contoh: Pagi esoknya minyak yang belum diproses tumpah bagaikan air hujan di tepi-tepi longkang; Laiman seperti berputus asa.

Peribahasa
Contoh: Selurus-lurus ekor anjing, ada juga bengkoknya; nasi sudah menjadi bubur; mencontengkan arang ke muka.

Personifikasi.
Contoh: Mata pengurus itu menikam lembut wajah Laiman dengan hati yang lega; Tangannya lancar berlari di atas tikar yang sudah separuh dianyamnya sejak sebulan lalu.

Inversi.
Contoh: Sebentar lagi dia akan meneruskan kerjanya di luar pula; Di sana dia makan.


Nilai Novel Jalan Ke Puncak

Nilai Kasih sayang
Contoh: Pak Kiassim amat menyayangi anaknya menyebabkan dia meleteri sikap Laiman yang menolak pekerjaan sebagai pegawai di Jabatan Pertanian. Namun, dia akur akan kebolehan anaknya apabila melihat tanaman tembikai mengeluarkan hasil lalu memujuk Pak Sahok untuk memastikan tanah rizab yang bercantum dengan tanah lelaki itu boleh diusahakan oleh anaknya untuk penternakan ikan air tawar.

Nilai Tanggungjawab
Contoh: Sukri menyelia pekerjaan Laiman dengan penuh tanggungjawab semasa Laiman menjalani latihan praktikal di syarikat minyak.

Nilai Ketabahan
Contoh: Laiman tabah menghadapi segala dugaan untuk mencapai cita-citanya.

Nilai Patriotisme
Contoh: Laiman sentiasa menyokong dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu rakyat dengan memilih untuk berdikari dan bekerja sendiri.

Nilai Keberanian
Contoh: Laiman berani menjadi petani moden kerana berkeyakinan usahanya akan membuahkan kejayaan walaupun pada peringkat awal ditentang oleh ayahnya kerana menolak tawaran bekerja di Jabatan Pertanian.

Nilai Berdikari
Contoh: Laiman sanggup bekerja sendiri sebagai petani dengan mengusahakan tanaman tembikai, menternak ikan air tawar, dan pelbagai lagi perniagaan walaupun dia boleh memilih bekerja makan gaji di Jabatan Pertanian.

Nilai Baik hati
Contoh: Laiman tidak menunjukkan sikap marah apabila Kedek dan Muali yang dilatihnya bertindak meninggalkan projek yang akan dibuat.

Nilai Keinsafan
Contoh: Bapa Laiman, iaitu Pak Kiassim insaf setelah memahami pendirian Laiman. Pak Sahok juga insaf lalu bersetuju tanah paya di sebelah tanahnya digunakan oleh Laiman untuk projek ternakan ikan air tawar.

Nilai Kesyukuran
Contoh: Laiman bersyukur kerana projek ikan air tawar yang diusahakannya telah membuahkan hasil dan kerajaan menghargai usaha yang dijalankan dengan menjadikan sebagai projek contoh di daerah mereka. Kemungkinan projek tersebut akan dibesarkan dengan bantuan daripada Jabatan Pertanian sebagai projek yang terbesar di Sabah.


Pengajaran Novel Jalan Ke Puncak

Kitahendaklah berdikari untuk memperoleh pendapatan yang lebih lumayan
Laiman sanggup bekerja sendiri sebagai petani dengan mengusahakan tanaman tembikai, menternak ikan air tawar, dan pelbagai lagi perniagaan walaupun dia boleh memilih bekerja makan gaji di Jabatan Pertanian.

Kita haruslah berusaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang
Contoh: Laiman bekerja keras bagi memastikan projeknya berjaya.

Kita hendaklah memiliki sikap berani untuk mengubah nasib
Contoh: Laiman berani menjadi petani moden kerana berkeyakinan usahanya akan membuahkan kejayaan walaupun pada peringkat awal ditentang oleh ayahnya kerana menolak tawaran bekerja di Jabatan Pertanian.

Kita mestilah bertanggungjawab semasa melaksanakan tugas
Contoh: Laiman menyiapkan kerja yang diarahkan oleh pengurus syarikat minyak dengan penuh tanggungjawab.

Kitaharuslah menerima keputusan orang lain dengan hati yang terbuka
Contoh: keputusan Kedek dan Muali untuk meninggalkan projek diterima oleh Laiman dengan hati terbuka.

Kitaharuslah memiliki perasaan kasih sayang terhadap darah daging
Contoh: Pak Kiassim amat menyayangi anaknya menyebabkan dia meleteri sikap Laiman yang menolak pekerjaan sebagai pegawai di Jabatan Pertanian. Namun, dia akur akan kebolehan anaknya apabila melihat tanaman tembikai telah mengeluarkan hasil lalu memujuk Pak Sahok untuk memastikan tanah rizab yang bercantum dengan tanah lelaki itu boleh diusahakan oleh anaknya untuk penternakan ikan air tawar.

Kitamestilah bersikap jujur dengan rakan sekerja
Contoh: Laiman menunjukkan akaun simpanan projeknya kepada Milan.

Kita haruslah bersyukur terhadap rezeki yang dikurniakan oleh tuhan
Contoh: Laiman bersyukur kerana projek ikan air tawar yang diusahakannya telah membuahkan hasil dan kerajaan menghargai usaha yang dijalankan dengan menjadikan sebagai projek contoh di daerah mereka. Kemungkinan projek tersebut akan dibesarkan dengan bantuan daripada Jabatan Pertanian sebagai projek yang terbesar di Sabah.

Kita perlu memiliki jiwa patriotism
Contoh: Laiman sentiasa menyokong dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu rakyat dengan memilih untuk berdikari dan bekerja sendiri.


Soalan Novel Jalan Ke Puncak

Berdasarkan novel yang anda kaji, nyatakan tiga latar tempat dalam novel tersebut.

Novel yang telah saya kaji ialah novel Jalan Ke Puncak karya Juri Durabi. Berdasarkan novel tersebut, tiga latar tempat yang dapat diperoleh adalah di sebuah pejabat di tepi pantai terletak di Sarawak. Sebagai contoh, pejabat ini merupakan tempat Laiman menjalani latihan praktikal.

Di samping itu, latar tempat kedua dalam novel ini adalah di tanah paya.Sebagai contoh, Laiman dan pekerja-pekerjanya sibuk dengan kerja-kerja membersihkan kolam yang telah dikorek. Keadaan air di dalam kolam itu masih lagi keruh. Setelah Laiman berbincang dengan pekerjanya, Laiman telah bersetuju intuk membahagikan tanah paya itu kepada dua, iaitu satu bahagian untuk penternakan ikan air tawar dan sebahagian lagi untuk penternakan udang harimau.

Latar tempat ketiga adalah di Bawang.Sebagai contoh, Pak Kiassim telah ke Bawang kerana ingin menziarahi jenazah Pak Muluk yang telah meninggal dunia. Laiman dan Mail juga telah menziarahi arwah Pak Muluk dan adat berjaga masih diamalkan di kampong itu.

Berdasarkan novel yang anda kaji, nyatakan tiga latar masyarakat yang berbeza dalam novel tersebut.

Novel yang saya kaji waktu tingkatan 2 ialah novel Jalan ke Puncak. Berdasarkan novel tersebut, tiga latar masyarakat yang dapat diperoleh ialah masyarakat yang bijak mengendalikan perniagaan.Sebagai contoh, Laiman pelajar lepasan university dalam bidang kejuruteraan tetapi bercita-cita ingin bekerja sendiri. Walaupun bapanya mentang cita-citanya itu, namun Laiman tetap terus berusaha untuk membuka kolam ikan air tawar dan udang. Dengan kebijaksanaannya menguruskan perniagaannya, akhirnya Laiman berjaya dan menjadi contoh kepada anak-anak muda di kampungnya.

Selain itu, masyarakat yang tabah menghadapi dugaan.Sebagai contoh, Laiman tabah menghadapi ejekan dan sindiran orang-orang kampung kerana dia mahu bekerja sendiri dan akhirnya dia berjaya.

Seterusnya, masyarakat yang khianat dan cemburu.Sebagai contoh, Muluk yang cemburu akan hubungan Laiman dan Soniah telah menyebabkan pembakaran tangki minyak yang pernah dibaiki oleh Laiman itu terbakar.

Pengajaran yang disampaikan oleh pengarang kepada pembaca merupakan objektif utama seseorang pengarang dalam menghasilkan sesebuah novel. Nyatakan tiga pengajaran yang terdapat dalam novel tersebut.

Novel yang saya kaji ialah Jalan ke Puncakkarya Juri Durabi.

Antara pengajaran yang terdapat dalam novel ini ialah kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan. Contohnya, Laiman bekerja keras bagi memastikan projeknya berjaya.

Pengajaran seterusnya ialah kita hendaklah menerima pandangan orang lain dengan hati yang terbuka. Contohnya, keputusan Kedek dan Muali untuk meninggalkan projek diterima oleh Laiman dengan hati yang terbuka.

Selain itu, kita hendaklah bertanggungjawab dalam melaksanakan sesuatu tugas. Contohnya, Laiman menyiapkan kerja yang diarahkan oleh pengurus syarikat dengan penuh tanggungjawab.

Watak memainkan peranan penting dalam menggerakkan jalan cerita. Huraikan dua perwatakan watak utama dalam novel yang telah anda kaji.

Novel yang saya kaji ialah Jalan ke Puncak. Watak utama novel ini dipegang oleh Laiman.

Antara perwatakannya ialah cinta akan ilmu. Contohnya, Laiman tetap menamatkan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan walaupun dia tidak berminat untuk menjadi jurutera.

Selain itu, Laiman juga taat akan perintah agama. Contohnya, Laiman rajin bersolat.

Seterusnya, Laiman merupakan seorang yang jujur. Contohnya, Laiman tidak merahsiakan jumlah wang simpanannya daripada pengetahuan pembantunya, Milan.

Berdasarkan satu daripada novel tersebut, nyatakan tiga nilai murni yang terdapat dalam novel tersebut.

Novel yang saya kaji ialah Jalan ke Puncak. Terdapat banyak nilai murni yang dipaparkan dalam novel ini.

Niai yang pertama ialah nilai keprihatinan. Contohnya, Sukri memberikan perhatian kepada Laiman dan mahu memastikan bahawa Laiman mendapat pendidikan tinggi.

Kedua, nilai kasih sayang. Contohnya, nenek Laiman sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk memastikan Laiman mendapat pendidikan tinggi.

Nilai yang seterusnya ialah nilai baik hati. Contohnya, Laiman tidak menampakkan sikap marah apabila Kedek dan Muali yang dilatihnya bertindak keluar daripada projek yang diusahakannya.

6 thoughts on “Novel Jalan Ke Puncak – Komsas Tingkatan 2”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *