Skip to content

Komsas BM – Cerpen Kaduk Ayam dan Raja

Cerpen Kaduk Ayam dan Raja

Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja karya Zurinah Hassan merupakan komsas tingkatan 4. Berikutnya tema, persoalan, watak perwatakan, plot, sinopsis, latar, nilai dan pengajaran cerpen ini.

Tema Cerpen Kaduk Ayam dan Raja

Tema cerpenKaduk, Ayam dan Raja ialah kesungguhan seorang anak muda menceburi bidangpertanian dan keusahawanan. Sebagai contoh, Hakim berusaha bersungguh-sungguh untuk menjalankan projekpenternakan ayam. Namun, banyak cabaran yang perlu ditempuhi oleh Hakim yang berpunca daripada sikap orang tengah yang banyak menindas dan mengaut keuntungan.


Persoalan Cerpen Kaduk Ayam dan Raja

Tuntutan pemilikan hak yang telah diambil oleh orang lain
Contoh: Hakim berani menuntuthak tanah pusaka milik arwah datuknya dengan memfailkan kes di mahkamah melalui sahabatnya, Azam.

Persoalan memahami selok belok bidang keusahawanan
Contoh: Hakim mendapat bantuan agensi kerajaan sebelum menjalankan bidang penternakan ayam yang dirancangnya.

Persoalan ketaatan terhadap pemerintah
Contoh: Kaduk mentaati perintah raja dengan menukarkan ayam Kunani dengan ayam raja atas perintah baginda semasa bersabung ayam.

Persoalan penindasan golongan yang berkuasa terhadap golongan yang lemah
Contoh: Syarikat RAJA mengambil kesempatan dengan menentukan harga dedak dan ubat ayam ternakan sehingga menyebabkan Hakim menanggung beban hutang.

Kegigihan seorang anak muda dalam bidang pertanian
Contoh: Hakim menjadikan tanah datuknya yang seluas empat ekar itu sebagai tanah pertanian.

Cabaran yang perlu ditempuhi dalam dunia perniagaan.
Contoh: Hakim berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan pinjaman bank, rasa tidak puas hati penduduk kampung, dan monopoli syarikat besar semasa mengusahakan bidang pertanian.

Pembersihan nama dan maruah keluarga.
Contoh: Hakim berusaha membersihkan nama datuknya yang menyerahkan ayamnya kepada raja tanpa kerelaan.


Sinopsis Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja

Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja dimulakan dengan penulis mengimbau kembali kisah Kaduk. Pada zaman dahulu, raja memiliki kuasa mutlak. Raja yang zalim akan merampas dan menipu rakyat. Sikap tamak sesetengah raja membuatkan kehidupan rakyat jelata semakin susah dan dihimpit kemiskinan. Hal inilah yang terjadi kepada Kaduk apabila tanahnya yang seluas empat ekar telah dirampas oleh raja.

Hakim, iaitu cucu Kaduk merupakan seorang yang terpelajar dan berkelulusan sebuah universiti. Hakim berusaha untuk mendapatkan hak datuknya semula yang telah dirampas secara tidak sah oleh raja melalui bantuan sahabatnya, Azam, peguam berkelulusan jurusan undang-undang. Dalam proses perbicaraan di mahkamah, Azam bijak berhujah sehingga akhirnya Tuan Hakim memutuskan bahawa tanah Kaduk berkeluasan empat ekar yang telah dirampas oleh raja pada suatu ketika dahulu dikembalikan kepada warisnya, iaitu Hakim.

Setelah Hakim berjaya menebus tanah pusaka milik datuknya itu semula, dia bercadang untuk menjalankan projek penternakan ayam secara pertanian kontrak di kawasan tanah tersebut daripada terbiar. Projek penternakan ayam secara pertanian kontrak itu telah dibuat dengan sebuah syarikat besar, iaitu Global Chicken. Cawangannya di Malaysia menggunakan nama Rangkaian Jasa Agrikultur atau nama singkatannya RAJA. Hakim menceburi bidang penternakan bertujuan untuk menyahut seruan kerajaan yang mahu rakyat di negara ini aktif dalam bidang pertanian. Menurutnya, banyak faedah akan disalurkan oleh kerajaan kepada rakyat melalui Dasar Ekonomi Baru.

Bagi memastikan projek penternakan ayamnya berjaya direalisasikan, Hakim membina reban ayam tertutup yang dilengkapi sistem penyaman udara dan peralatan memberikan makanan semiautomatik. Kos tersebut menelan belanja dua ratus ribu ringgit. Hakim sukar mendapatkan pinjaman bank. Hasil bantuan seorang Yang Berhormat, akhirnya bank meluluskan pinjamannya. Kontrak membekalkan ayam ditandatangani dengan syarikat RAJA.

Selama setahun, Hakim berjaya menjual ayam-ayamnya sebanyak enam kali pusingan. Namun demikian, Hakim banyak menghadapi masalah. Masalah pertama ialah jalan masuk ke kawasan penternakan itu tidak diturap menyebabkan lori- lori tersangkut dalam selut lumpur ketika hujan. Penduduk kampung pula merungut dan membuat bantahan kerana jalan mereka rosak. Dia juga masih berhutang dengan pihak bank yang telah memberinya pinjaman modal.

Seperkara lagi, Hakim banyak berhutang dengan syarikat RAJA yang membekalkan anak ayam, dedak, ubat- ubatan serta keperluan lain. Syarikat RAJA menentukan harga barangan tersebut dan membuat potongan hasil jualan ayam kepadanya menyebabkan sebahagian besar keuntungan hasil jualan ayam Hakim dikaut oleh oleh Syarikat RAJA. Baki keuntungan jualan itu tidak dapat menampung kos keseluruhan penternakannya untuk membayar gaji pembantu, bil air dan elektrik, dan kos penyelenggaraan yang lain. Akibatnya, hutang Hakim semakin meningkat, sebaliknya Syarikat RAJA terus mengaut keuntungan.

Azam menasihati Hakim agar berurusan secara langsung dengan Jabatan Haiwan supaya penternak kecil seperti Hakim tidak menjadi mangsa orang tengah. Azam bersimpati dengan nasib yang menimpa Hakim. Hakim tiada pilihan selain meneruskan usaha menternak ayam kerana kegagalannya melunaskan hutang bank akan menyebabkan tanah pusakanya itu dirampas. Tindakan bank merampas tanah pusaka itu disamakan dengan tindakan raja merampas tanah datuknya dahulu.

Hakim mula sedar bahawa dia senasib dengan datuknya. Satu perkara yang membezakan mereka hanyalah nama dan masa peristiwa itu berlaku. Pada zaman ini, raja ialah orang yang memegang kuasa ekonomi. Orang-orang bawahan terpaksa mengikut telunjuk mereka.


Watak Perwatakan Cerpen

Seorang pemuda yang berpandangan jauh
Contoh:Hakim berpandangan jauh dengan menceburi bidang penternakan ayam bagi memastikan pengeluaran makanan negara berterusan dan tidak bergantung pada makanan import semata-mata.

Seorang pemuda yang berani memperjuangkan hak
Contoh: Hakim berani dan berpendirian tegas untuk mendapatkan tanah pusaka datuknya yang dirampas oleh raja pada suatu ketika dahulu dengan memfailkan kesnya di mahkamah.

Seorang yang bercita-cita tinggi
Contoh: Hakim berazam menjadi usahawan yang berjaya dengan cara menyahut seruan kerajaan melalui projek penternakan ayam secara moden yang telah diusahakannya.

Seorang yang gigih menceburi bidang keusahawanan
Contoh: Hakim mendapat bantuan agensi kerajaan sebelum menjalankan bidang penternakan ayam yang dirancangnya.

Seorang pemuda yang tabah menghadapi masalah
Contoh: Hakim tabahmeneruskan projek ternakan ayam dan mengharungi cabaran akibat kegagalannya dalam bidang keusahawanan.

Seorang yang rajin menuntut ilmu
Contoh: Hakim berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

  • Sahabat baik Hakim semasa di universiti.
  • Bertugas sebagai peguam di syarikat guaman.
  • Berpendidikan tinggi, iaitu lulusan sebuah universiti dalam jurusan undang-undang.
  • Baik hati serta banyak memberikan kata-kata semangat, dorongan, dan nasihat kepada Hakim untuk berjaya sebagai seorang petani moden.
  • Bersimpati terhadap masalah hutang yang menghimpit Hakim.

Seorang pemuda yang suka membantu orang lain
Contoh: Azam membantu Hakim dengan menjadi peguamnya dalam kes tuntutan tanah milik datuknya.

Seorang yang rajin menuntut ilmu
Contoh: Walaupun Azam sudah memiliki ijazah dalam bidang undang-undang namun dia sanggup menghadiri kursus selama setahun di luar negara untuk menambah pengetahuannya.

Seorang yang prihatinterhadap sahabat
Contoh: Azam sanggup mendengar masalah-masalah yang dihadapi oleh Hakim dalam usaha penternakan ayamnya kerana dia prihatin terhadap sahabatnya itu.

  • Pak Kaduk ialah datuk Hakim dan ayah kepada Hassan
  • Seorang yang taat akan perintah raja.
  • Miskin dan hidup merempat.
  • Dianggap bodoh dan bersikap lurus bendul.
  • Patuh akan nasihat dan pandangan orang lain.

Seorang yang suka bersabung ayam
Contoh: Kaduk bersabung ayam dengan raja.

Seorang yang suka bersabung ayam
Contoh: Raja bersabung ayam dengan Kaduk

Seorang yang suka mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain
Contoh: Raja telah menukarkan ayamnya dengan ayam kunani Kaduk untuk memenangi pertandingan itu.

Seorang yang suka menganiaya haiwan
Contoh: Raja bersabung ayam dengan Kaduk


Binaan Plot Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja

Peristiwa-peristiwa dalam plot cerpen ini disusun secara kronologi.

Plot permulaan atau eksposisi cerpenKaduk, Ayam dan Raja dimulai dengan penulis mengimbas kembali kisah Kaduk. Pada zaman dahulu, raja memiliki kuasa mutlak. Raja yang zalim akan merampas dan menipu rakyat. Mereka yang menentang raja dianggap penderhaka dan dijatuhi hukuman berat. Sikap tamak sesetengah raja membuatkan kehidupan rakyat jelata semakin susah dan dihimpit kemiskinan. Hal inilah yang terjadi kepada Pak Kaduk apabila tanahnya dirampas oleh raja.

Pada tahap perkembangan, penulis menjelaskan bahawa Hakim yang merupakan cucu Kaduk berusaha untuk mendapatkan hak datuknya yang telah dirampas semula secara tidak sah oleh raja melalui sistem perundangan di mahkamah. Hakim telah mendapatkan bantuan sahabatnya, Azam yang bekerja sebagai peguam. Di mahkamah, Azam bijak berhujah sehingga akhirnya tanah Kaduk yang telah dirampas oleh raja pada suatu masa dahulu dikembalikan kepada warisnya, iaitu Hakim.

Tahap perumitan cerita apabila Hakim banyak menghadapi masalah ketika mengurus projek penternakan ayam secara kontrak. Masalah pertama ialah jalan masuk ke kawasan penternakan itu tidak diturap menyebabkan lori-lori tersangkut dalam selut lumpur ketika hujan. Rungutan orang kampung yang tidak berpuas hati akibat jalan di kampung itu rosak juga antara penyebabnya. Selain itu, Hakim banyak berhutang dengan syarikat RAJA yang membekalkan anak ayam, makanan dedak, ubat- ubatan serta keperluan lain. Syarikat RAJA berkuasa untuk menentukan harga barangan tersebut dan membuat potongan hasil jualan ayam. Baki keuntungan jualan itu tidak dapat menampung kos keseluruhan penternakan. Akibatnya, hutang Hakim semakin meningkat dari sehari ke sehari.

Klimaks cerpenKaduk, Ayam dan Raja adalah apabila Hakim tiada pilihan selain meneruskan usaha menternak ayam. Dengan apa-apa cara sekalipun, dia perlu membayar hutangnya kepada pihak bank kerana kegagalannya melunaskan hutang bank kelak akan menyebabkan tanah pusakanya itu dirampas.

Peleraian cerpen ini adalah apabila Hakim menganggap tindakan bank merampas tanah pusaka itu disamakan dengan tindakan raja merampas tanah datuknya dahulu. Hakim mula sedar bahawa dia senasib dengan datuknya. Satu perkara yang membezakan mereka hanyalah nama dan masa peristiwa itu berlaku. Pada zaman ini raja ialah orang yang memegang kuasa ekonomi. Orang-orang bawahan terpaksa mengikut telunjuk mereka.


Teknik Plot Kaduk, Ayam dan Raja

Teknik pemerian
Contoh: Penulis memerihalkan bahawa Hakim merupakan cucu daripada keturunan Kaduk yang berusaha untuk mendapatkan hak datuknya yang telah dirampas secara tidak sah oleh raja semula.

Teknik dialog
Contoh: “Dah berapa kali kau menjual ayam?” tanya Azam. “Sudah enam kali. Ayam-ayam kecil yang kita lihat di dalam reban tadi ialah pusingan yang ketujuh.”

Teknik imbas kembali
Contoh: Penulis menceritakan kembali kisah Pak Kaduk yang menukar ayamnya, Si Kunani dengan ayam raja. Sebagai taruhan dalam pertandingan sabung ayam tersebut, dia menggadaikan tanahnya kepada raja. Oleh sebab dia kalah menyabung, tanah Pak Kaduk itu dirampas oleh raja.

Teknik imbas muka
Contoh: Hakim membayangkan niatnya untuk mendirikan sebuah memorial yang akan dinamakan ‘Memorial Pak Kaduk’ sekiranya dia berjaya menebus tanah milik datuknya seluas empat ekar itu kembali.

Teknik Kejutan
Contoh: Nilai jualan dari rebanku ialah lapan puluh lima ribu ringgit. Tetapi akhirnya hanya tiga belas ribu sahaja yang masuk ke kantungku. Tujuh puluh dua ribu adalah untuk RAJA kerana membayar harga anak-anak ayam, harga dedak dan ubat-ubatan. Dari tiga belas ribu itulah aku membayar hutang bank, gaji pembantu, upah penangkap ayam, membayar bil elektrik dan bil air yang cukup tinggi dan segala kos penyelenggaraan yang lain.


Latar Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja

Latar Tempat

Mahkamah
Contoh: Kes tuntutan Hakim terhadap tanah milik datuknya dijalankan di mahkamah.

Tanah Kaduk
Contoh: Hakim menjalankan projek ternakan ayamnya di tanah Kaduk.

Kampung
Contoh: Penduduk kampung mendakwa lori-lori Hakim telah merosakkan jalan kampung mereka.

Universiti
Contoh: Hakim dan Azam melanjutkan pelajaran di universiti  yang sama.


Latar Masa

Zaman lampau
Contoh: Kaduk pernah bersabung ayam dengan ayam raja.

Zaman selepas merdeka
Contoh: Hakim didedahkan oleh kerajaan melalui Dasar Ekonomi Baru terhadap projek penternakan ayam secara kontrak dengan syarikat RAJA.

Dalam masa setahun
Contoh: Hakim mengalami kerugian dalam masa setahun dia menjalankan penternakan ayamnya.


Latar Masyarakat

Masyarakat yang mementingkan bidang keusahawanan
Contoh: Para menteri menyeru rakyat menceburi bidang keusahawanan melalui pertanian yang mengeluarkan lebih banyak makanan.

Masyarakat yang sensitif terhadap keadaan sekeliling
Contoh: Penduduk kampung merungut apabila mendapati jalan di kampung mereka rosak akibat dilalui oleh lori-lori Hakim.

Masyarakat yang bekerja untuk mencari rezeki
Contoh: Hakim mengambil pekerja-pekerja untuk bekerja di projek penternakan ayamnya.

Masyarakat yang mengamalkan sistem feudal
Contoh: Wujud dua golongan iaitu golongan pemerintah dan golongan rakyat semasa hayat Kaduk.

Masyarakat yang gigih dan tabah berusaha untuk mengubah nasib diri
Contoh: Hakim berusaha dengan gigih untuk mendapat bantuan agensi kerajaan sebelum menjalankan bidang penternakan ayam yang dirancangnya.


Gaya Bahasa Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja

Aspek diksi atau pemilihan kata
Contoh: Pengarang telah menggunakan perkataan sehari-hari yang mudah difahami oleh pembaca.

Dari segi pembinaan ayat
Contoh: Pengarang menggunakan ayat pendek, ayat sederhana panjang, dan ayat panjang.

Personifikasi
Contoh: Hakim meluahkan segala yang telah bersarang di dadanya.

Metafora
Contoh: kamar pengadilan.

Hiperbola
Contoh: Kini, hidupku bergelumang dengan hutang.

Simile
Contoh: Bank akan merampas tanahku tidak ubah seperti raja merampas tanah datukku dahulu.

Sinkope
Contoh: kau, ku

Pengulangan kata
Contoh: Kami sama-sama membela ayam dan kami sama-sama menggadai tanah. Kami sama-sama berada di bawah cengkaman orang berkuasa.

Kata ganda
Contoh: bangunan-bangunan, sama-sama dan tanah-tanah

Bahasa Arab
Contoh: Assalamualaikum, Alhamdulillah

Bahasa Inggeris
Contoh: Global Chicken


Nilai Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja

Nilai Kebijaksanaan
Contoh: Sebagai peguam, Azam menggunakan kepakarannya dalam bidang guaman untuk membantu Hakim mendapatkan hak milik tanah datuknya yang telah dirampas oleh raja kembali.

Nilai Berdikari
Contoh: Hakim mengusahakan penternakan ayam secara moden dengan membuat pinjaman bank tanpa memohon bantuan daripada pihak kerajaan.

Nilai Ketaatan
Contoh: Kaduk mentaati perintah raja dengan menukarkan ayamnya, Si Kunani dengan ayam raja atas perintah baginda semasa bersabung ayam.

Nilai Keadilan
Contoh: Tuan Hakim di mahkamah telah mengadili kes perbicaraan tuntutan tanah milik Kaduk oleh cucunya, Hakim secara telus dan akhirnya Hakim berjaya mendapatkan kembali hak milik tanah datuknya itu.

Nilai Kesyukuran
Contoh: Hakim bersyukur kerana dapat menebus tanah dan maruah datuknya semula yang sudah bertahun-tahun menjadi ejekan bangsa.

Nilai Kegigihan
Contoh: Hakim gigih berusaha dengan beberapa kali berulang-alik ke bank untuk mendapatkan pinjaman bank bagi menjayakan projek ternakan ayamnya.

Nilai keberanian
Contoh: Hakim berani menceburi bidang keusahawanan yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.

Nilai keprihatinan
Contoh: Azam sangat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh hakim dengan memberi semangat kepadanya untuk terus berjaya menjadi penternak moden sebelum dia berangkat ke luar negara untuk berkursus.

Nilai tolong-menolong
Contoh: Azam sanggup menjadi peguam Hakim untuk menolongnya mendapatkan hak tanah seluas empat ekar milik datuk Hakim


Pengajaran Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja

Kita perlulah bersikap rasional dengan menggunakan saluran yang betul bagi menuntut hak-hak kita kembali.
Contoh: Hakim menuntut hak milik tanah datuknya yang diambil raja di mahkamah.

Kita hendaklah gigih berusaha dalam melakukan sesuatu pekerjaan
Contoh: Hakim gigih berusaha untuk mendapatkan kelulusan bank bagi menjayakan projek penternakan ayam walaupun terpaksa meminda kertas projeknya beberapa kali sebelum bank meluluskan permohonannya dengan bantuan Yang Berhormat.

Kita hendaklah berani menceburi bidang perniagaan
Contoh: Hakim berani mengusahakan tanah peninggalan datuknya dengan menjalankan penternakan ayam untuk dijual.

Kita hendaklah menolong golongan yang memerlukan bantuan kita
Contoh: Azam membantu sahabatnya dengan menjadi peguam bagi mendapatkan hak milik tanah datuk Hakim.

Kita janganlah mengambil kesempatan terhadap golongan yang lemah
Contoh: Syarikat RAJA mengenakan bayaran yang tinggi terhadap makanan dan ubat ayam yang dibeli oleh Hakim untuk mengaut keuntungan yang lebih.


Soalan Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja

Apakah kebaikan menternak ayam secara kontrak seperti yang terdapat dalam petikan?

Kebaikan menternak ayam secara kontrak ialah penternak mudah memperoleh bekalan anak ayam dan makanannya. Selain itu, kemudahan pengangkutan disediakan oleh pihak syarikat penternakan.

Sebagai seorang rakan, apakah kaedah yang boleh anda dilakukan untuk meringankan beban hutang yang ditanggung oleh Hakim?

Cara yang dilakukan unuk meringankan beban hutang yang ditanggung oleh rakan saya melalui bantuan kewangan daripada pihak kerajaan dan memperoleh sumbangan daripada tokoh korporat. Selain itu, saya akan menggalakkan rakan saya untuk membeli anak ayam serta makanannya secara tunai.

Huraikan satu nilai yang terdapat dalam petikan di atas dan satu nilai lain daripada cerpen yang tidak terdapat dalam petikan.

Nilai yang terdapat dalam petikan ialah simpati. Sebagai contoh, Azam bersimpati dengan nasib Hakim yang terpaksa menanggung beban hutang yang apabila menjalankan penternakan ayam berskala besar. Manakala nilai yang terdapat dalam cerpen ialah kegigihan, contohnya kegigihan Hakim, seorang lepasan universiti mengusahakan penternakan ayam secara moden.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *