Skip to content

Contoh Karangan – Pembentukan masyarakat penyayang

perpustakaan

Masyarakat penyayang yang saling menghormati, berbakti, memberi khidmat, menolong, berbuat jasa, menabur budi dan bertimbang rasa adalah matlamat dan cabaran negara yang canggih. Terangkan pembentukan masyarakat penyayang di negara kita.

Pembentukan masyarakat penyayang

Masyarakat penyayang bermaksud menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat yang hidup dengan berlandaskan nilai kasih sayang antara satu dengan yang lain. Masyarakat penyayang juga merupakan masyarakat yang anggotanya saling membantu, saling menghormati, saling memahami, dan bertolak ansur. Pembentukan masyarakat penyayang akan memantapklan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaun di Malaysia. Tegasnya, kita mahu sikap masyarakat seperti aur dengan tebing menjadi amalan.

Teladan baik pemimpin masyarakat

Dalam rangka menjayakan usaha murni ini, para pemimpin masyarakat haruslah menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak buah mereka. Para pemimpin perlu menyemaikan semangat hormat-menghormati dan sentiasa berkasih sayang dalam kalangan anggota masyarakat bawahan. Isu-isu yang dapat mencetuskan perbalahan antara kaum harus dielakkan agar tidak berlaku perasaan curiga antara kaum. Para pemimpin perlu memberi layanan yang adil kepada orang yang dipimpin.

Peranan pihak sekolah

Selain itu, pihak sekolah sebagai ejen perubahan sosial perlu melihat usaha pembentukan masyarakat penyayang dengan lebih serius. Sekolah tidak harus menumpukan soal pencapaian akademik pelajar semata-mata. Generasi muda di sekolah perlu diterapkan dengan nilai-nilai kasih sayang, hormat-menghormati, dan bertolak-ansur, bak kata pepatah “Melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Para pelajar di sekolah lebih mudah diterapkan nilai-nilai tersebut berbanding dengan golongan yang lebih tua.

Peranan ibu bapa

Selain pihak sekolah, ibu bapa dan anggota masyarakat juga berperanan untuk membentuk nilai kasih sayang. Ibu bapa perlu menerangkan kepentingan kasih sayang dalam kalangan anggota keluarga dan jiran tetangga kepada anak-anak mereka. Sikap tolong-menolong dan hormat-menghormati perlu dipupuk di setiap rumah.

Kasih sayangKeluarga

Keluarga yang dilimpahi kasih sayang akhirnya akan membentuk masyarakat penyayang. Faedah utama daripada pembentukan masyarakat yang penyayang ialah wujudnya negara yang harmoni dan bersatu padu. Sikap mementingkan diri sendiri dan prasangka terhadap kaum lain dengan sendirinya akan dapat dihapuskan.

Penutup karangan pembentukan masyarakat penyayang

Ringkasnya, pembentukan masyarakat penyayang perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh dan terancang. Pembentukan masyarakat penyayang sangat penting dalam negara pelbagai kaum seperti Malaysia.


Rangka Karangan – Cabaran pembentukan masyarakat penyayang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page