Skip to content

Karangan SPM: Kebaikan dan Keburukan Media Sosial

Kebaikan dan Keburukan Media Sosial

Media sosial antara medium komunikasi paling hangat pada abad ini sehingga sudah menjadi sebahagian keutamaan hidup. Persoalannya, apakah kebaikan dan keburukan Media Sosial terhadap remaja di negara kita?

Kebaikan dan Keburukan Media Sosial dalam kalangan remaja

Pada masa ini, penggunaan media sosial melalui internet amat popular di Malaysia. Media sosial seperti “Facebook”, “Instagram”, dan “Twitter” mendapat perhatian masyarakat di negara ini terutamanya golongan remaja. Kehadiran media sosial membawa kepada perubahan ke arah penyertaan masyarakat secara dalam talian. Media sosial tersebut menjadi satu trend dalam kehidupan masyarakat masa kini. Hal ini disebabkan aplikasi terdapat di media sosial yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat. Remaja kini telah menjadikan penggunaan media sosial di internet ini sebagai medium untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung, penggunaan media sosial ini telah memberikan kesan positif dan negatif terhadap gaya hidup para remaja.=

Menambah kenalan yang baru

Sebagaimana yang kita ketahui, penggunaan media sosial dapat menambah kenalan yang baru di samping hubungan yang telah lama terputus dapat dieratkan semula. Apabila seseorang itu telah menamatkan sesuatu pengajian di sekolah menyebabkan mereka telah terputus hubungan antara satu sama lain. Media sosial ini digunakan sebagai suatu medium utama untuk mencari kenalan lama yang telah terputus. Mereka dapat mengetahui kerjaya yang telah diceburi oleh rakan dan dapat berinterasi antara satu sama lain. Gambar yang telah diletakkan di dalam profil juga boleh dilihat dan dikomen oleh semua rakan. Mereka juga dapat menyampaikan maklumat seperti mengadakan satu perjumpaan di sesuatu tempat dengan mengumpulkan guru-guru dan rakan-rakan. Perkara ini menjadi mudah kerana dapat menjimatkan masa dan tenaga dengan cara menggunakan kemudahan yang sedia ada. Jadi jelaslah bahawa penggunaan media sosial boleh menambahkan kenalan yang baru.

Mengisi Masa Lapang

Selain itu, ramai remaja juga menghabiskan masa mereka dengan media sosial. Dengan adanya laman sesawang sosial, mereka dapat mengisi masa lapang mereka dengan melayari facebook. Bagi mereka yang bijak, di samping mengisi masa lapang ada antara mereka membuat bisnes dan membuat promosi melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter. Mereka juga dapat menjadikan media sosial tersebut sebagai alternatif untuk menambahkan pendapatan bulanan mereka. Orang ramai boleh membeli dengan mengklik di media sosial dan barangan tersebut akan dihantar melalui pos laju. Siapa sahaja yang berminat untuk membeli barangan tersebut hanya membayar dengan memasukan wang ke dalam bank yang telah ditetapkan oleh penjual. Oleh itu, medium ini dapat menjimatkan masa dan tidak perlu bersesak-sesak di pusat membeli belah untuk membeli sesuatu barangan.

Mudah untuk menyebarkan maklumat

Aplikasi media sosial merupakan alat yang mudah untuk menyebarkan maklumat. Sebagai contoh, di waktu dulu ketika ingin melakukan majlis jemputan kahwin perlu mencari alamat rakan-rakan masing-masing. Tapi kini dengan kecanggihan media sosial, kad kahwin boleh di letakkan di sana dan dimaklumkan kepada rakan-rakan. Selain itu, permintaan bantuan cemas seperti derma darah jens tertentu untuk membantu pesakit tenat juga dapat disebarkan. Di samping itu, ada juga rakan-rakan yang rajin berkongsi berita dan maklumat yang berfaedah. Peristiwa terkini dapat diketahui serta merta seperti informasi bidang perubatan, teknologi dan sebagainya juga dapat disebarkan.

Menceroboh hak peribadi

Media sosial merupakan teknologi komunikasi yang canggih dan menjadi keperluan hidup. Namun, tidak semua individu menjadi pengguna teknologi mengikut kaedah atau cara betul. Tidak dinafikan, segelintir pihak menyalahgunakan telefon bimbit dan media sosial di internet untuk menganiaya atau menceroboh hak peribadi orang lain dengan menipu, mengganggu, menuduh dan menabur fitnah. Selain faktor pengguna sendiri yang menyeleweng, gejala negatif berhubung penyalahgunaan teknologi ini boleh berpunca daripada kealpaan sesetengah pihak terhadap implikasi buruk andai tidak berhati-hati menggunakan teknologi. Apabila pengguna tidak menyedari etika, batasan dan risiko penggunaan teknologi komunikasi yang digunakan, tidak mustahil mereka sendiri akan terdedah dengan risiko menjadi pihak dianiaya atau terjebak dalam kes penyalahgunaan teknologi.

Penipuan atau pemalsuan

Penggunaan media sosial bukan sahaja mendatangkan kesan yang positif malah mendatangkan kesan negatif iaitu penggunaan media sosial melalui internet menyebabkan berlakunya banyak penipuan atau pemalsuan. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kes penipuan yang berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Perkara ini disebabkan oleh mereka yang baru dikenalinya melalui media sosial. Mereka biasanya akan mengikut semua kemahuan yang diminta oleh rakan dalam media sosial tersebut. Seterusnya, remaja perempuan tersebut akan pergi ke tempat yang telah dinyatakan tanpa berfikir panjang. Namun demikian, setibanya di tempat yang dinyatakan oleh kenalan media sosial itu, mereka mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa rogol.

Penutup karangan tentang Media Sosial

Kesimpulannya, penggunaan media sosial ini mendatangkan pelbagai kebaikan dan keburukan kepada golongan remaja. Namun impak negatif yang wujud harus diberi perhatian yang serius oleh pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap media sosial yang tidak bertanggungjawab. Sebagai manusia yang berakal pastinya kita perlu menangkis setiap perkara yang buruk. Pepatah ada mengatakan bahawa “mencegah itu lebih baik daripada mengubati”.


Contoh Karangan: Cara memanfaatkan media sosial

4 thoughts on “Karangan SPM: Kebaikan dan Keburukan Media Sosial”

  1. Niceee shuaaa cikgu saya terkejutt thankk you untuk karangan ni baikkk laa semoga dipermudahkan urusan sesiapa yang membaca coment nii jangan lupa subsribce youtube channel.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *