Skip to content

Karangan SPM: Kebaikan pembelajaran secara atas talian

Kebaikan pembelajaran secara atas talian

Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) telah digunakan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia. Persoalannya, apakah kebaikan pembelajaran secara atas talian?

Kebaikan pembelajaran secara atas talian (Kebaikan PdPR)

Dewasa ini, penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mengubah kaedah pembelajaran daripada pembelajaran secara bersemuka kepada kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) . Pelbagai medium telah digunakan oleh para guru untuk memastikan kelangsungan proses pembelajaran dan pengajaran, agar murid tidak tercicir daripada memiliki ilmu. Walaupun pelbagai kekangan terpaksa dihadapi oleh para guru dan murid seperti masalah capaian Internet dan peranti elektronik, namun pembelajaran secara atas talian sebenarnya mempunyai pelbagai kelebihan. Oleh hal yang demikian, kebaikan pembelajaran secara atas talian akan menjadi tunjang perbincangan dan dikupas secara terperinci dalam perenggan seterusnya.

Proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan interaktif

Antara kebaikan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) adalah dapat menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan interaktif. Hal ini dikatakan demikian kerana pembelajaran atas talian membolehkan guru menggunakan pelbagai aplikasi menarik seperti google classroom, kahoot, dan wordwall. Sebagai analogi, penggunaan laman google classroom membolehkan guru-guru menggunakan pelbagai aplikasi yang berwarna-warni, mempunyai lagu dan lebih interaktif untuk melengkapkan latihan mahupun kuiz. Penggunaan pelbagai aplikasi tersebut membolehkan murid belajar sambil bermain. Hal ini selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia yang menginginkan Pembelajaran Abad ke-21. Pembelajaran yang lebih menarik sudah pasti akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan seterusnya membolehkan ilmu diserap oleh murid. Jelaslah bahawa pembelajaran secara dalam talian sememangnya menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik.

Lebih mahir dalam bidang teknologi

Bukan itu sahaja, pembelajaran secara atas talian juga menjadikan guru dan murid lebih mahir dalam bidang teknologi. Umum mengetahui bahawa penggunaan peranti elektronik seperti komputer riba dan telefon pintar serta capaian Internet amat diperlukan untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian. Oleh itu, guru dan juga murid haruslah mahir untuk mengendalikan peranti elektronik agar kedua-dua pihak dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Sebagai contoh, untuk menghasilkan video yang menarik, guru-guru perlu berfikir di luar kotak dan mencuba pelbagai aplikasi seperti video maker agar dapat menghasilkan pengajaran yang baik lantas mencapai objektif pembelajaran. Malah, murid juga perlu mencari jalan agar ilmu yang disampaikan oleh guru dapat diterima dengan baik kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Intihanya, pembelajaran secara atas talian sememangnya menjadikan guru dan murid mahir dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

Suasana pembelajaran yang kondusif dan fleksible

Selain itu, salah satu kebaikan pembelajaran secara dalam talian ialah dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif kepada guru dan murid. Jika di sekolah, murid-murid perlu hadir ke sekolah dengan pakaian seragam sekolah. Namun, pelaksanaan pembelajaran secara atas talian membolehkan murid memakai pakaian mengikut keselesaan mereka. Malah, jadual pembelajaran secara dalam talian juga lebih fleksible. Bukan itu sahaja, jika murid tidak dapat mengikuti sesi kelas pada waktu yang ditetapkan, murid masih lagi boleh mengikuti sesi pengajaran melalui rakaman pengajaran yang dibuat oleh guru. Sudah terang lagi bersuluh, pengajaran atas talian sememangnya dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif.

Pembelajaran berlaku secara berterusan

Pada masa yang sama, pembelajaran secara online membolehkan pembelajaran berlaku secara berterusan dengan pelbagai platform digunakan. Aplikasi online sama ada dalam telefon pintar ataupun komputer riba misalnya Zoom, Google Classroom, Webex Meet dan lain-lain membolehkan kelas online dirakam dan dimuat naik oleh guru. Pelajar boleh mengulang kaji pelajaran melalui rakaman video atau nota atas talian pada bila-bila masa. Proses ini dapat meningkatkan motivasi pelajar kerana pelajar yang mengalami masalah pada waktu kelas boleh berulang rakaman video dengan mudah. Tegasnya, kaedah pembelajaran ini dapat mengukuhkan lagi kefahaman pelajar dalam sesuatu mata pelajaran.

Penutup Kelebihan pembelajaran atas talian

Kesimpulannya, sesi pengajaran atas talian sememangnya mempunyai pelbagai kebaikan. Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan obligasi yang sesuai dengan menyediakan peranti agar anak-anak mereka dapat terus belajar walaupun dalam keadaan pandemik. Hal ini demikian kerana jika hanya guru sahaja tang bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, sudah pasti objektif yang disasarkan tidak akan tercapai kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Harapan saya agar generasi berilmu dapat terus dilahirkan melalui pembelajaran atas talian.


Contoh Karangan: Kebaikan dan Keburukan Pembelajaran atas talian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *