Skip to content

Contoh Karangan SPM: Keburukan E-Dompet (E-Wallet)

Contoh Karangan Keburukan E-Dompet (E-Wallet)

E-dompet atau E-wallet ialah bentuk pembayaran digital yang membolehkan pengguna untuk membuat pembayaran secara dalam talian melalui telefon pintar. Apakah keburukan E-Dompet?

Kelemahan E-Dompet

Dalam era teknologi sekarang, kebanyakan orang bergantung kepada telefon pintar untuk melakukan urusan harian. Salah satu teknologi yang semakin popular di negara kita ialah E-Dompet atau e-wallet. E-dompet ialah bentuk pembayaran digital yang membolehkan pengguna untuk membuat transaksi secara dalam talian melalui telefon pintar. E-Dompet yang dilengkapi dengan ciri-ciri tambahan seperti program kesetiaan dan penawaran khas telah menarik pengguna untuk membuat pembayaran dengan menggunakan aplikasi e-wallet. Walaupun e-dompet mempunyai kelebihan yang sangat berguna kepada pengguna, kita masih perlu mengambil perhatian terhadap beberapa kelemahan.

Risiko keselamatan

Salah satu kelemahan utama e-dompet ialah risiko keselamatan. Ramai pengguna tidak menyedari bahawa data peribadi mereka, seperti nombor telefon, e-mel dan kad kredit boleh dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Pengguna mungkin menjadi mangsa penipuan yang boleh membawa kepada kehilangan wang atau akses kepada akaun bank mereka. Sebagai contoh, banyak kes kehilangan wang telah berlaku dalam kalangan masyarakat yang kurang mahir menggunakan telefon pintar. Di samping itu, E-wallet juga boleh menjadi sasaran serangan siber yang bertujuan untuk mencuri akaun bank pengguna. Ini boleh membawa kepada kerugian kewangan dan kesukaran dalam memulihkan wang yang hilang.

Masalah teknikal yang sering berlaku

Penggunaan e-wallet memerlukan teknologi yang berkaitan seperti telefon pintar atau komputer, akses internet dan sebagainya. Pengguna e-wallet sentiasa menghadapi masalah teknikal apabila mereka membuka aplikasi e-wallet mereka. Beberapa masalah yang mungkin berlaku termasuk urus niaga yang gagal, pemprosesan transaksi yang perlahan atau kegagalan untuk berhubung dengan bank atau sistem pembayaran. Ini boleh menyebabkan kekecewaan dan kebimbangan di kalangan pengguna, terutamanya jika mereka memerlukan wang dengan segera. Pengguna juga akan risau akan kemungkinan kehilangan wang mereka apabila masalah teknikal berlaku.

Kekurangan infrastruktur

Walaupun penggunaan e-wallet semakin popular di Malaysia, namum masih terdapat beberapa kekurangan infrastruktur e-dompet di negara ini yang perlu diberikan perhatian. Terdapat banyak peniaga yang tidak menerima pembayaran melalui e-wallet terutamanya kedai di kawasan kampung atau luar bandar. Sebilangan peniaga di Malaysia tidak mengetahui kelebihan penggunaan e-wallet atau cara menggunakannya. Ini mungkin disebabkan oleh kurangnya pendidikan tentang penggunaan e-wallet terhadap golongan tua. Selain itu, sesetengah orang mungkin tidak dapat mengakses e-dompet kerana kekurangan telefon pintar atau terhadnya jaringan internet. Kelemahan infrastruktur e-wallet ini perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan infrastruktur dan memberi insentif kepada peniaga.

Belanja terlebih

Penggunaan E-Dompet memang memudahkan proses pembayaran dengan cepat dan mudah. Namun begitu, pengguna mungkin kurang sedar bahawa mereka telah mengeluarkan terlalu banyak wang dan berbelanja yang terlebih. E-wallet boleh mempengaruhi tabiat berbelajan kewangan seseorang kerana transaksi mereka menjadi mudah dan pantas. Sebagai contoh, pengguna e-dompet mungkin terpengaruh oleh penawaran istimewa yang ditawarkan oleh aplikasi e-wallet mereka. Mereka akan melakukan pembelian yang tidak perlu atau membeli barang yang lebih mahal. Oleh itu, pengguna harus mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mengawal pembelian mereka.

Masalah penggunaan antarabangsa

Tambahan pula, satu lagi keburukan e-dompet ialah hanya boleh digunakan dalam negara sahaja dan tidak diterima di luar negara. Ini mungkin menyusahkan pengguna yang sering melancong ke luar negara atau melakukan pembelian di luar negara. Contohnya, jika seorang pengguna e-wallet dari Malaysia melancong ke Jepun, mereka akan menghadapi masalah kerana penyedia perkhidmatan e-wallet mereka tidak diterima di Jepun. Hal ini disebabkan bahawa tidak semua penyedia perkhidmatan e-dompet mempunyai rangkaian yang luas atau diterima secara meluas di seluruh dunia. Walaupun terdapat beberapa perkhidmatan e-wallet telah memperluaskan jaringan mereka ke negara lain, pengguna perlu memastikan bahawa mereka memahami terma dan syarat penggunaan e-wallet untuk mengelakkan sebarang masalah semasa penggunaan di luar negara.

Penutup Karangan Keburukan E-Dompet

Kesimpulannya, e-dompet mempunyai banyak kelebihan, tetapi juga mempunyai beberapa kelemahan yang mesti diambil kira oleh orang ramai dan pengguna. Oleh itu, pengguna harus memastikan keselamatan peribadi mereka dengan mengambil langkah yang sesuai untuk mencegah penipuan atau penggodaman. Pihak syarikat e-dompet juga mesti menyediakan sokongan teknikal yang mencukupi dan infrastruktur yang kukuh untuk memastikan pengguna mempunyai akses mudah kepada e-dompet. Di samping itu, kerajaan harus memastikan penipu dalam teknologi ini boleh ditangkap supaya memastikan keamanan dan keselesaan penggunaan e-wallet.


Contoh Karangan: Kelebihan E-Wallet (E-Dompet)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *