Skip to content

Contoh Karangan SPM: Kelebihan E-Wallet (E-Dompet)

Karangan SPM Kelebihan E-Wallet

E-wallet atau e-dompet merupakan transaksi yang dilakukan dalam talian melalui telefon pintar. Apakah kelebihan E-Wallet terhadap masyarakat dan penggunanya.

Kelebihan E-Wallet

E-dompet atau e-wallet merupakan devais elektronik atau dalam talian yang membenarkan transaksi dilakukan melalui telefon pintar. Kebanyakan e-dompet seperti kad kredit atau debit dihubungkan kepada akaun bank pengguna untuk membuat pembayaran. Selain itu, pengguna dihubungkan melalui imbasan kod QR. Di Malaysia, penggunaan e-dompet membayar bil, membeli makanan, tol, petrol, barangan peribadi dan perbelanjaan runcit. Bank Negara Malaysia mengatakan bahawa nilai transaksi e-dompet di Malaysia telah melebihi RM10 bilion dalam tahun 2019. Persoalannya, apakah kelebihan E-Wallet terhadap pengguna dan masyarakat kita.

Perkhidmatan yang pantas dan segera

Kelebihan E-Wallet yang paling penting ialah perkhidmatan yang pantas dan segera. Dalam dunia internet hari ini, masyarakat tidak dapat menunggu dua atau tiga hari untuk melihat transaksi kewangan disampaikan. Kita juga tidak suka menghabiskan masa semata-mata beratur panjang di kaunter untuk membayar bil, tiket parkir atau barangan lain. Dengan menggunakan perkhidmatan E-Wallet, transaksi kewangan dapat dijalankan dalam beberapa saat. Hal ini telah membantu kita untuk menjimatkan masa dan proses pembayaran.

Tidak perlu membawa tunai

Selain itu, E-dompet merupakan proses membawa wang yang lebih mudah dan selesa kerana tidak perlu membawa tunai. Dengan menggunakan E-dompet, nilai-nilai wang dan transaksi kewangan dijalankan dalam talian, kita tidak perlu membawa sebarang tunai. Sebagai contoh, nilai tunai RM1,000 yang diletakkan di dalam dompet menjadikan dompet lebih tebal dan sukar dimasukkan ke dalam poket seluar. Keadaan ini boleh memberikan peluang kepada pencuri mengintai dan mencari masa menyeluk saku dan mengambil wang tanpa izin.

Lebih selamat

Penggunaan digital piawaian tinggi menjadikan data lebih selamat jika berbanding dengan tunai. Andainya kita kehilangan kad, telefon atau devais yang menyimpan maklumat perbankan, kita boleh menghalang penggunaan kad tersebut melalui bank. Agensi penyedia e-dompet juga boleh menghalang penggunaan tidak sah melalui kawalan kata kunci yang disahkan melalui mesej yang dihantar kepada telefon berdaftar. Penggunaan Transaction Authorization Code (TAC) yang mengandungi enam digit kod pengesahan adalah pelindung tambahan keselamatan untuk mengesahkan tuan punya nombor telefon.

Setiap transaksi dapat direkodkan

Rekod transaksi merupakan salah satu kelebihan e-wallet. Biasanya pengguna tidak dapat mengingati transaksi pembelian yang lepas. Dengan menggunakan e-dompet, mereka dapat melihat kembali semua transaksi pembelian kerana setiap transaksi akan direkodkan. Cara ini dapat membantu mereka menguruskan aktiviti pembelian dengan berhemah. Pengguna sendiri yang mengawal dan menentukan tabiat pembelian supaya dapat mengurus kewangan dengan lebih berhemat.

Menjimatkan wang perbelanjaan

Penggunaan e-dompet turut menjimatkan wang perbelanjaan. Melalui kaedah yang tradisional, pengguna yang hendak membayar bil atau membeli barang perlu menggunakan kenderaan, membayar parkir dan beratur untuk pembayaran. Apabila sampai ke tempat yang dituju, mereka telah menggunakan perbelanjaan yang menyedut wang mereka. Dengan kaedah e-dompet, mereka hanya menggunakan telefon pintar atau komputer di rumah untuk membuat pembayaran atau memesan barang yang akan dihantar ke rumah.

Penutup Karangan Kelebihan E-Wallet

Kesimpulannya, kelebihan penggunaan e-dompet berbanding tradisional adalah lebih laju, lebih selesa, lebih mudah, selamat, terkawal dan jaminan perlindungan data. Masyarakat yang celik internet tidak akan menunggu lama untuk beralih menggunakan e-dompet berbanding wang tunai dalam urusan pembelian dan pembayaran. Hanya dengan memiliki sebuah akaun bank, pengguna dapat mengoperasi e-dompet dalam tempoh yang singkat. Orang ramai yang semakin kritikal dalam pengurusan perbelanjaan kewangan akan mencari platform yang dapat mengurangkan pengaliran keluar wang mereka untuk aktiviti pasif seperti beratur panjang untuk membayar bil elektrik. Sistem ekologi e-dompet akan berkembang dan meluas di Malaysia.


Contoh Karangan SPM: Keburukan E-Dompet

1 thought on “Contoh Karangan SPM: Kelebihan E-Wallet (E-Dompet)”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *