Skip to content

Contoh Karangan SPM: Keburukan Makanan Ringan

Karangan Keburukan Makanan Ringan

Produk makanan ringan digilai oleh ramai penduduk Malaysia terutamanya remaja. Huraikan Keburukan Makanan Ringan terhadap Masyarakat negara kita.

Keburukan Makanan Ringan kepada Masyarakat

Dasarwarsa ini, sama ada sedar atau tidak dek kemajuan negara dalam pelbagai bidang telah menyebabkan industri pemakanan negara mengalami inovasi. Lantas, produk makanan ringan digilai ramai apatah lagi dengan peningkatan jumlah penduduk terutamanya golongan muda yang semakin ramai menyebabkan makanan ringan menjadi buruan mereka. Keadaan ini bertambah buruk apabila rakyat tidak mengamalkan gaya hidup sihat. Oleh itu, penerangan demi penerangan perlu disampaikan kepada mereka tentang keburukan makanan ringan. Persoalannya, apakah kesan buruk makanan ringan kepada masyarkat khususnya remaja pada hari ini?

Merosakkan tubuh badan seseorang

Dari sudut kesihatan, makanan ringan mengandungi bahan campuran yang boleh merosakkan tubuh badan seseorang. Penggunaan pewarna dan perisa yang bukan daripada bahan organik boleh menyebabkan seseorang itu menghidap penyakit kanser. Malah kebanyakan makanan ringan mengandungi garam dan gula yang berlebihan menyebabkan mereka yang meminati makanan tersebut akan diserang penyakit berbahaya seperti penyakit darah tinggi dan penyakit kencing manis. Sebagai contohnya, makanan kerepek kentang mengandungi garam yang tinggi dan pengambilan yang beterusan akan memberi kesan pada kesihatan. Oleh itu, makanan ringan hendaklah dijauhi agar tidak menimbulkan kesan negatif pada kesihatan

Gangguan emosi atau perasaan

Selain kesihatan, implikasi buruk makanan ringan ini boleh dilihat dari sudut gangguan emosi atau perasaan. Bagi anak-anak yang suka menikmati makanan ringan, mereka akan mengalami ketagihan yang tidak disedari oleh ibu bapa. Mereka lebih menyukai makanan ringan tertentu dan jika ibu bapa menghalang anak-anak ini mengambil makanan tersebut, anak -anak akan memberontak dan menunjukkan tindakan di luar kelaziman mereka. Kemungkinan mereka akan menjerit dan berguling-guling di atas lantai pasar raya sekiranya permintaan mereka tidak dipenuhi. Keadaan ini disebabkan ketagihan yang dialami oleh anak-anak kesan daripada kandungan kimia yang terdapat dalam makanan atau minuman ringan bergas. Tidak dapat dinafikan bahawa, makanan ringan boleh memberi kesan negatif pada rangsangan otak seseorang.

Masalah obesiti

Dari sudut yang berbeza pula, masalah obesiti dikatakan berpunca daripada makanan ringan. Kebanyakan rakyat Malaysia menghadapi masalah obesiti kerana tabiat pemakanan mereka yang suka mengambil makanan melebihi keperluan badan. Pengambilan makanan ringan yang kerap boleh menyebabkan kegemukan disebabkan kandungan lemak tidak tepu yang terdapat dalam makanan tersebut. Keadaan ini bertambah teruk dengan sikap masyarakat Malaysia yang tidak rajin bersenam atau beriadah. Kandungan kalori yang tinggi dalam makanan ringan menyebabkan rakyat Malaysia menghadapi masalah kegemukan yang melampau. Jika masalah ini tidak diambil peduli, kadar kematian akibat masalah kegemukan akan berlaku.

Punca perubahan pola pemakanan seseorang

Tidak dinafikan bahawa, makanan ringan juga menjadi punca perubahan pola pemakanan seseorang. Kebanyakan remaja hari ini tidak mengemari makanan berat kerana mereka lebih meminati makanan ringan yang memenuhi citarasa mereka. Malah corak kehidupan yang serba pantas dan ringkas ini telah menggalakkan orang ramai meminati makanan ringan daripada mengambil makanan tradisional dengan hidangan makanan yang segar dan berkhasiat seperti nasi kerabu dan ulam-ulaman. Perubahan gaya pemakanan ini perlu diperhatikan agar tidak menjadi ekstrem sehingga menyebabkan juadah tradisional diketepikan.

Penutup karangan Keburukan Makanan Ringan

Secara tuntasnya, setiap masalah yang membelenggu masyarakat hendaklah ditangani dengan bijak seperti menarik rambut di dalam tepung, tepung tidak berselerak rambut tidak putus dan tidak menuding jari menyalahkan mana-mana pihak apabila kita mengalami kemudaratan. Sesungguhnya, mencegah itu lebih baik daripada merawat, oleh itu kita disarankan agar menjaga pemakanan demi menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan hidup.


Contoh Karangan: Punca makanan ringan diminati
Contoh Karangan: Cara Mengawal Pemakanan Anak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *