Skip to content

Contoh Karangan – Kelebihan Menguasai Bahasa Asing

Kelebihan Menguasai Bahasa Asing

Penguasaan pelbagai bahasa memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga negara kita. Huraikan kelebihan dan kepentingan menguasai bahasa asing.


Kelebihan Menguasai Bahasa Asing dalam kehidupan

Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari negara kita semakin menghampiri negara yang maju. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat dan perlu ditempuhi oleh setiap individu. Penguasaan pelbagai bahasa merupakan satu aset utama dalam diri individu untuk menghadapi pelbagai cabaran mendatang. Oleh itu, kelebihan atau kepentingan menguasai pelbagai bahasa yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan secara terperinci demi manfaat bersama.

Menguasai Bahasa Asing menjaminkan masa hadapan

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa bahasa merupakan medium perantaraan yang penting dan mempunyai nilai komersial yang tinggi. Bahasa menjadi alat perhubungan dan spektrum komunikasi yang paling efektif kepada organisasi dan individu dalam segala hal. Kemampuan menguasai pelbagai bahasa mampu menjamin masa hadapan yang cerah dan berpeluang untuk maju ke hadapan di samping mengilap potensi diri yang sebenar. Sebagai contoh, seseorang individu yang mampu menguasai pelbagai bahasa asing akan lebih mudah mendapat pekerjaan berbanding dengan individu yang hanya menguasai satu bahasa. Hal ini adalah kerana, persaingan untuk mendapat pekerjaan sangat sengit. Mereka yang mempunyai kelulusan yang baik, berketrampilan menarik dan berkebolehan menguasai lebih daripada satu bahasa akan dapat menjawat sesuatu pekerjaan dengan lebih mudah. Sebagai intihanya, seseorang individu yang menguasai lebih daripada satu bahasa menjadi jambatan untuk mereka mendapat pekerjaan dengan mudah.

Memudahkannya berinteraksi dan berkomunikasi

Selain itu, kita juga dapat menyaksikan betapa pentingnya seseorang yang menguasai bahasa asing untuk memudahkannya berinteraksi dan berkomunikasi. Bagi sesetengah orang yang mampu menguasai lebih daripada satu bahasa lebih mudah untuknya berkomunikasi, terutamanya apabila kita berurusan dengan individu yang berasal dari luar negara. Hal ini juga akan meningkatkan keyakinan diri kita dan mengelakkan kita tertipu apabila berurusan dengan orang lain. Sebagai contoh, individu yang melanjutkan pelajaran di luar negara, mereka akan lebih yakin untuk bergaul, berinteraksi dan berkomunikasi sekiranya menguasai lebih daripada satu bahasa. Biar kita ambil contoh seorang usahawan yang berurusniaga di luar negara, sekiranya beliau menguasai lebih daripada satu bahasa akan mengelakkan dirinya daripada ditipu. Konklusinya, menguasai lebih daripada satu bahasa akan memudahkan seseorang untuk berinteraksi dan mengelakkan daripada ditipu.

Memupuk semangat perpaduan

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, mempelajari bahasa asing juga dapat membantu kita memupuk semangat perpaduan yang tinggi. Sekiranya bahasa kaum-kaum yang terdapat di Malaysia dan di luar negara dapat dipelajari dan difahami, sudah tentu kita akan dapat mengenali budaya dan adat resam kaum tersebut dengan lebih mendalam. Sebagai analoginya, dengan menguasai bahasa Kadazan atau bahasa Iban, maka perpaduan akan dapat dipupuk dengan lebih mudah. Konklusinya, penguasaan lebih daripada satu bahasa akan memupuk perpaduan yang lebih jitu dalam kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum dan etnik, sesuai dengan peribahasa tak kenal maka tak cinta.

Meneroka maklumat dalam pelbagai bidang

Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah mempelajari bahasa asing dapat membantu kita meneroka maklumat dalam pelbagai bidang. Oleh itu, dengan menguasai pelbagai bahasa, dapat membantu kita mengumpul maklumat yang ditulis dalam semua bahasa yang kita kuasai. Sebagai contoh, maklumat yang terkandung dalam buku, jurnal, akhbar dan internet yang menggunakan bahasa lain di dunia seperti bahasa Inggeris, bahasa Jepun, bahasa Perancis dan Bahasa Arab akan lebih difahami dan dikuasai sekiranya kita menguasai bahasa-bahasa tersebut. Jelaslah bahawa, mempelajari bahasa asing dapat membantu kita menelusuri pelbagai maklumat sekali gus dapat meningkatkan ilmu pengetahuan.

Mengisi masa lapang

Sebagaimana yang kita maklumi, menguasai bahasa asing dapat mengisi masa lapang. Sesungguhnya, dengan mempelajari bahasa asing bukanlah sesuatu yang sukar. Sebagai contoh, kita boleh mempelajari bahasa Mandarin, bahasa Jepun, bahasa Arab dan bahasa Perancis dengan menghadiri kelas tersebut, tambahan pula pengajaran bahasa-bahasa asing ini juga disediakan di pusat-pusat pengajian tinggi dan di sekolah-sekolah berasrama penuh. Selain itu, kemahiran tersebut boleh mendatangkan nilai komersial bak kata peribahasa sambil menyelam, minum air apabila kemahiran menguasai bahasa asing ini boleh diaplikasikan mengikut keperluan. Oleh itu, jelaslah bahawa bahasa asing mudah untuk dipelajari serta dapat mengisi masa lapang.

Penutup Karangan

Sebagai kesimpulannya, penguasaan bahasa asing banyak mendatangkan implikasi yang positif terhadap diri kita agar menjadi ilmu penyuluh kehidupan pada masa hadapan. Oleh itu, kita perlu menguasai pelbagai bahasa asing agar menjadi satu kelebihan atau aset untuk menjadi modal insan yang cemerlang kepada negara sekali gus dapat melahirkan individu yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.


[655 patah kata]

Contoh Karangan: Penguasaan Bahasa Inggeris amat penting dalam kehidupan
Contoh Karangan: Kebaikan Menguasai Pelbagai Bahasa

1 thought on “Contoh Karangan – Kelebihan Menguasai Bahasa Asing”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *