Skip to content

Contoh Karangan SPM: Kepentingan alam sekitar

Karangan Kepentingan Alam Sekitar

Allah telah mencipta alam ini seimbang untuk kemakmuran manusia. Kehidupan manusia banyak bergantung kepada alam sekitar yang bersih. Apakah kepentingan alam sekitar?

Kepentingan Alam Sekitar yang bersih

Alam sekitar merupakan segala benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semula jadi di permukaan bumi, atau sebahagian daripadanya. Manusia banyak bergantung kepada sumber-sumber semulajadi di muka bumi ini. Alam sekitar yang tidak tercemar memberikan kita satu suasana yang selesa dan menyamankan. Sejak kebelakangan ini, pembangunan tanpa limitasi kini merupakan perubahan kian pesat berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam sektor perindustrian telah dikecapi hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab ini. Persekitaran yang bersih penting untuk mewujudkan kehidupan yang sihat dan sejahtera.

Kepentingan alam sekitar kepada sistem pernafasan manusia

Persekitaran yang bersih membolehkan kita menyedut udara yang segar. Udara yang bersih dan segar sememangnya amat penting untuk kesihatan. Kawasan yang segar dan bersih lazimnya dipenuhi dengan tumbuhan menghijau. Tumbuh-tumbuhan akan membebaskan oksigen ke udara dan membolehkan badan kita mendapat bekalan oksigen secukupnya. Selain itu, alam sekitar yang bersih membolehkan kita menikmati keselesaan. Cuaca panas dan kering yang disebabkan oleh kenaikan suhu dapat dielakkan dan membolehkan kita menjalankan kehidupan dalam keadaan yang baik. Melalui persekitaran yang segar dan nyaman juga, orang ramai boleh melakukan aktiviti luar dan beriadah tanpa gangguan yang boleh menimbulkan perasaan rimas, marah dan tidak selesa. Aktiviti riadah yang dijalankan dalam keadaan bersih akan menguatkan kesihatan kita. Dengan ini, kesihatan manusia akan terjamin.

Alam sekitar penting untuk flora dan fauna

Kebersihan alam sekitar akan menjamin keseimbangan ekosistem. Ekosistem yang terpelihara daripada kerakusan manusia akan membantu menjamin sumber air. Tanpa pemusnahan hutan, ia dapat berfungsi sebagai kawasan tadahan hujan. Kehadiran hutan-hutan tadahan hujan akan menakung air hujan secara semula jadi dalam kuantiti yang besar. Hutan yang lengkap dengan flora dan faunanya menyebabkan air hujan yang turun dapat disalurkan dengan baik ke sungai. Air hujan yang turun itu tidak akan tersejat malah akan disalurkan ke sungai untuk meneruskan peredaran air. Ini dapat menjamin bekalan air yang mencukupi bagi kegunaan persendirian mahupun industri. Selain itu, hutan merupakan aspek penting untuk penakungan air di empangan-empangan yang dilengkapi teknologi canggih. Keadaan ini membolehkan kita menghasilkan kuasa elektrik hidro sebagai suatu tenaga yang bersifat mesra alam dan akan mengurangkan pergantungan kepada tenaga fosil seperti petrol dan arang batu yang memusnahkan alam. Secara umumnya, kebersihan alam sekitar adalah tuntutan semulajadi bagi manusia untuk menjamin kehidupan yang selesa.

Mengelakkan kepupusan flora dan fauna

Tambahan pula, alam sekitar yang dijaga oleh semua lapisan masyarakat dapat mengelakkan kepupusan haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Haiwan dan tumbuh-tumbuhan adalah merupakan salah satu sumber makanan kepada manusia. Pencemaran alam sekitar yang dilakukan akan menyebabkan kemusnahan habitat haiwan dan akan menyebabkan sumber makanan manusia akan berkurang, sebagai contoh hidupan laut seperti udang, ikan dan seumpamanya merupakan sumber makanan yang mengandungi protein yang dapat menstabilkan kesihatan manusia. Sekiranya kita melakukan sebarang pencemaran laut seperti pembuangan sisa toksik ke dalam laut, kepupusan hidupan laut akan berlaku. Manakala, tumbuh-tumbuhan pula menjadi sumber kepada perubatan seperti herba untuk pesakit. Alam sekitar yang tidak tercemar membolehkan habitat hidupan darat dan air terpelihara.

Meningkatkan oksigen di atmosfera

Penghutanan semula yang dilakukan secara terancang dan sistematik oleh Jabatan Perhutanan serta badan-badan bukan kerajaan dapat meningkatkan oksigen di atmosfera kerana tumbuhan hijau berperanan sebagai perangkap dan pengguna utama karbon dioksida dalam proses fotosintesis.. Penghutanan semula dilakukan di kawasan hutan yang telah ditebang. Tujuan penghutanan semula adalah untuk mengekalkan spesies pokok hutan tersebut. Di samping itu, penghutanan semula dapat mengekalkan kualiti alam sekitar yang baik, memulihara tanah yang subur dan sumber air yang cukup.

Mengelakkan pembiakan serangga

Persekitaran yang bersih juga dapat mengelakkan pembiakan serangga. Persekitaran yang kotor akan meyebabkan pembiakan serangga yang dapat mengancam nyawa manusia. Sebagai contoh nyamuk Aedes boleh menyebabkan demam denggi yang berbahaya. Selain itu, persekitaran yang kotor akan mendatangkan banyak lalat. Lalat yang membawa kuman akan menghinggap makanan kita, hal ini akan menyebabkan kesihatan manusia terjejas seperti cirit-birit dan muntah. Oleh itu, penjagaan kebersihan terhadap alam sekitar adalah penting.

Menarik pelancong dan meningkatkan pendapatan negara

Keindahan alam sekitar juga akan menarik pelancong untuk mengunjungi negara kita. Persekitaran yang cantik dan bersih dapat menarik ramai pelancongan dari luar negara atau orang tempatan untuk melancong ke negara kita. Melalui aktiviti pelancongan, kita dapat meningkatkan pendapatan negara melalui pertukaran wang asing. Dalam jangka panjang, pertumbuahan ekonomi juga akan meningkat. Melalui aktiviti itu. peluang perkerjaan juga akan meningkat dan secara tidak langsung ia dapat mengurangkan kadar pengangguran di negara kita. Dalam usaha memajukan negara dan meningkatkan taraf hidup penduduk, penjagaan terhadap alam sekitar merupakan tanggungjawab masyarakat.

Penutup Karangan Alam Sekitar

Kesimpulannya, kita harus bekerjasama dan memainkan peranan ini untuk mengekalkan kebersihan alam sekitar. Pemeliharaan muka bumi perlu dijalankan bagi menjamin bekalan sumber makanan, sumber kesihatan untuk menghasilkan ubat-ubatan. Setiap generasi perlu turut serta supaya pembangunan lestari dikekalkan supaya dapat dinikmati sehingga generasi akan datang. Semuanya adalah bagi meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan penyertaan orang ramai bagi memelihara alam sekitar. Kerjasama yang erat antara rakyat Malaysia dengan kerajaan tentunya akan lebih bermakna dan hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang.


Contoh Karangan: Langkah Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar
Contoh Karangan: Kesan Pencemaran Alam Sekitar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *