Contoh Karangan SPM Kepentingan Komputer

Karangan Kepentingan Komputer

Komputer merupakan alat elektronik yang penting untuk digunakan di dunia dewasa ini. Huraikan kepentingan komputer dalam kalangan pelajar.

Kepentingan Komputer kepada pelajar

Komputer merupakan alat elektronik yang penting untuk digunakan di dunia dewasa ini. Komputer membolehkan kita melakukan pelbagai perkara seperti belajar, berhibur, berkomunikasi, bekerja dan sebagainya lagi. Di negara kita, pelajar terdedah kepada dunia komputer sejak peringkat sekolah rendah lagi. Komputer juga digunakan oleh guru-guru untuk menyampaikan pengajaran kepada para pelajar. Kini boleh dikatakan ramai dalam kalangan murid sekolah telah mahir dalam menggunakan computer seperti kata kata peribahasa alah bisa tegal biasa. Oleh itu, terdapat banyak faedah belajar menggunakan komputer.

Pembelajaran secara dalam talian

Komputer membolehkan pelajar untuk belajar secara dalam talian. Terdapat banyak informasi dan maklumat terkini boleh dijadikan sumber ilmu sekira digunakan dengan betul. Pelajar boleh mendapatkan sumber rujukan menerusi laman sesawang yang boleh diakses daripada komputer yang dilengkapi sambungan internet. Hal ini dapat membantu murid-murid meluaskan pengetahuan dan minda mereka dan secara tidak langsung ini akan membantu murid-murid meningkatkan prestasi akademik mereka. Jika ini dilakukan, sudah tentu pelajar-pelajar boleh meningkatkan kejayaan dalam peperiksaan seperti kata cogan kata , Usaha Tangga Kejayaan.

Menarik minat pelajar mengikuti pelajaran

Di samping itu, belajar dengan menggunakan komputer akan menjadikan aktiviti pembelajaran lebih menarik dan berkesan. Penggunaan komputer dalam pengajaran akan dapat menarik minat murid-murid mengikuti pelajaran. Teknik kapur dan papan hitam yang digunakan pada hari ini mungkin akan membosankan para murid yang dibesarkan dalam zaman teknologi maklumat ini. Pembelajaran haruslah dijalankan dengan konsep multimedia, iaitu gambar, bunyi dan warna supaya mampu menarik minat para pelajar. Hal ini demikian kerana setiap pelajar akan berasa seronok dan ingin melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran secara aktif. Sebagai contoh, program interaktif yang memerlukan pelajar menyelesaikan tugasan secara langsung atas talian boleh digunakan. Sudah terang lagi bersuluh, belajar menggunakan komputer menjadikan suasana pembelajaran akan lebih ceria.

Berkongsi maklumat bersama rakan

Komputer memudahkan kita berhubung dengan orang lain. Pelbagai aplikasi boleh kita gunakan untuk berkomunikasi seperti email, facebook, whatsapp, dan sebagainya. Pelajar-pelajar dapat berkongsi maklumat bersama dengan rakan mereka. Hal ini demikian kerana rakan-rakan yang berkebolehan dalam mengendalikan komputer akan saling menunjuk cara dan menyampaikan maklumat antara satu sama lain. Sebagai contoh, memuat turun bahan pembelajaran daripada Internet dan lain-lain. Oleh itu belajar menggunakan komputer akan membentuk perkongsian maklumat dalam kalangan pelajar.

menjimatkan masa sesi pembelajaran

Seterusnya, faedah belajar menggunakan komputer ialah dapat menjimatkan masa sesi pembelajaran. Bahan-bahan pembelajaran boleh disediakan terlebih dahulu oleh guru. Komputer juga memudahkan tugasan pelajar kerana kerja-kerja penaipan, pelukisan grafik, dan penyediaan laporan boleh dilakukan dengan bantuan komputer. Selain itu, tugasan atau latihan pelajar juga dapat dijawab atas talian tanpa memerlukan bahan edaran. Komputer membolehkan pelajar menyiapkan kerja tersebut dengan mudah dan cepat. Oleh itu, faedah belajar menggunakan komputer dapat menjimatkan masa dalam pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.

Penutup Karangan

Kesimpulannya, komputer amat diperlukan pada masa kini kerana banyak memberi faedah kepada pelajar. Pihak sekolah dan pelajar perlu menjadikan komputer sebagai alat teknologi yang berkesan dalam pembelajaran. Ibu bapa wajar menggalakkan anak-anak menggunakan komputer sejak dari kecil lagi agar mereka dapat menggunakan teknologi komputer sebaik-baiknya supaya tidak ketinggalan dalam arus globalisasi masa. Walau bagaimanpun kita mesti mengawal diri daripada terlalu leka menggunakan komputer kerana komputer juga boleh mendatangkan masalah seperti tidak fokus kepada pelajaran dan sebagainya.

(494 patah perkataan)


Contoh Karangan Faedah Sains dan Teknologi

Leave a Reply

Your email address will not be published.