Skip to content

Kepentingan Pendidikan TVET

Kepentingan Pendidikan TVET Kepentingan Pendidikan TVET

Kerajaan mengumumkan beberapa inisiatif bagi melonjakkan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) di negara ini. TVET penting bagi melaksanakan program strategik sebagai satu usaha untuk menyokong pencapaian matlamat nasional dalam meningkatkan taraf peratusan pekerja mahir di Malaysia. Tumpuan ini penting dalam usaha mewujudkan tenaga buruh yang berdaya saing di peringkat global. Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) memberi banyak faedah kepada negara kita. Huraikan kepentingan Pendidikan TVET.

Kepentingan Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET)

Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) merupakan proses pendidikan dan latihan dengan penekanan utama terhadap amalan industri. Pendidikan TVET membantu remaja lepasan sekolah menengah ke dalam tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan membentuk masa depan yang baik. Langkah memperkasakan TVET telah dijalankan untuk memastikan negara ini tidak ketinggalan dalam mengadaptasi Revolusi Industri 4.0. Antara bidang TVET ialah sektor automotif, aeroangkasa, animasi, pembikinan filem dan permainan elektronik. Kerajaan telah memperuntukkan beberapa bilion ringgit dalam belanjawan bagi memperkasakan bidang TVET. Namun begitu, TVET sentiasa dianggap sebagai pendidikan kelas kedua. Persoalannya, apakah kepentingan pendidikan TVET pada era globalisasi ini?

Membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi

Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan yang penting dalam perkembangan dan keperluan industri dewasa ini, yang semakin fokus pada penggunaan teknologi pintar menerusi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). Keperluan terhadap sumber manusia yang tidak hanya memiliki kecemerlangan akademik, tetapi juga kemahiran khusus, semakin mendesak. Menerusi Pendidikan TVET, pelajar dapat menceburi bidang seperti pertukangan, kimpalan, elektrikal, kulinari, perhotelan, dan automotif. Kemahiran pelajar dalam pendidikan TVET ditingkatkan melalui pendedahan kepada inovasi dalam konteks dunia pekerjaan yang sebenar. Hal ini memberikan mereka kelebihan untuk menghadapi cabaran dalam industri yang semakin berkembang. Sebagai hasilnya, negara kita dapat menambah sumber daya manusia industri tempatan.dan mengatasi isu terlalu kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Menjana pendapatan yang lumayan

Selain itu, Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat menjadi aspek yang penting untuk menjana pendapatan yang lumayan kepada rakyat Malaysia. Pendidikan Teknikal dan Vokasional boleh membekalkan pelajar dengan kemahiran khusus dan meningkatkan produktiviti mereka. Setelah mempunyai sumber tenaga kerja yang mahir dan berkualiti, sektor-sektor industri seperti pembuatan, perladangan dan perkhidmatan akan berkembang. Hal ini dapat menarik pelaburan dari luar negara dan mencipta peluang pekerjaan yang memberi pendapatan yang lumayan. Dengan kesemua sumbangan ini, Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat berperanan secara signifikan dalam meningkatkan pendapatan rakyat dan daya beli serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Melahirkan usahawanan yang muda

Penglibatan dalam Pendidikan Teknikal dan Vokasional dapat melahirkan generasi muda yang berkecimpung dalam bidang keusahawanan. Pendidikan dalam TVET membuka pintu kepada individu untuk mencipta peluang pekerjaan baru dengan menggabungkan kemahiran yang diperoleh dengan menjalankan perniagaan sendiri. Sebagai contoh, lepasan TVET dalam bidang automotif boleh melibatkan diri dalam keusahawanan dengan membuka bengkel membaiki kenderaan selepas menamatkan pengajian mereka. Begitu juga, graduan TVET dapat mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam bidang pertanian moden dan menjadi usahawan tani. Melalui pendekatan ini, golongan muda tidak lagi bergantung semata-mata kepada peluang pekerjaan yang terhad dan kompetitif di pasaran. Sebaliknya, mereka dapat membentuk destinasi kerjaya mereka sendiri, mencipta peluang pekerjaan dan memberikan sumbangan kepada ekonomi secara lebih bermakna.

Pengurangan Pengangguran

Di samping itu, Pendidikan TVET turut membantu mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan remaja. Dengan memberikan kemahiran yang relevan kepada pelajar, Pendidikan TVET membantu mengurangkan kadar pengangguran dengan mencipta tenaga kerja yang siap sedia dan sesuai dengan keperluan pasaran pekerjaan. Hal ini membuka peluang pekerjaan bagi lepasan TVET dan memberikan mereka landasan yang kukuh dalam menghadapi dunia pekerjaan yang semakin sukar.

Penutup Karangan Pendidikan TVET

Kesimpulannya, Pendidikan TVET memberi banyak manfaat kepada negara kita. Semua pihak perlulah berganding bahu untuk memperkasakan Pendidikan TVET, sesuai dengan peribahasa ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Sudah tiba masanya TVET menjadi pilihan utama para belia kerana TVET telah terbukti mampu melahirkan individu berkemahiran, terlatih dan berbudaya usahawan. Ibu bapa mestilah mengubah tanggapan negatif TVET merupakan pengajian kelas kedua untuk mereka yang tercicir atau kurang cemerlang dalam akademik. Manakala kerajaan perlu menubuhkan pusat Latihan TVET dengan lebih banyak di seluruh negara bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri. Semoga bidang TVET akan terus diperkasakan dan menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara kita.


Contoh Karangan: Kepentingan dan Cabaran Pendidikan Teknik dan Vokasional

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page