Skip to content

Contoh Karangan: Pendidikan teknik dan vokasional

Pendidikan teknik dan vokasional Contoh Karangan: Pendidikan teknik dan vokasional

Harapan yang tinggi diletakkan terhadap peranan bidang pendidikan teknik dan vokasional (TVET) untuk memajukan negara kita. Huraikan kepentingan Pendidikan teknik dan vokasional dan cabarannya.

Apa itu TVET?

TVET merupakan singkatan bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional. TVET adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri. Hal ini bertujuan untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang yang tertentu. Skop TVET perlu berdasarkan standard pekerjaan yang diiktiraf dengan penekanan kepada komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan pendedahan kepada latihan di industri.

Pendidikan Teknik dan Vokasional

Pendidikan teknik dan vokasional merupakan satu sistem pendidikan yang menyediakan latihan khusus untuk kemahiran teknikal dan beberapa kemahiran yang lain. Tujuan utama pendidikan teknik dan vokasional ini adalah untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi, berpengetahuan, berinovatif dan mampu menghadapi saingan pada peringkat serantau dan juga global serta mengikut dengan keperluansemasa. Selain itu, secara umumnya adalah untuk melatih para pelajar untuk pekerjaan dan mendedahkan mereka kepada suasana kerja dari awal lagi. Sistem pendidikan teknik dan vokasional berbeza dengan sistem pendidikan umum kerana sistem pendidikan teknik dan vokasional ini lebih menekankan aspek kemahiran teknikal dan juga pengetahuan teknikal.

Meningkat daya saingan dan produktiviti industri

Pertumbuhan di dalam ekonomi dan industri Malaysia adalah bergantung kepada keupayaan kita untuk mempertahankan kadar produktiviti yang tinggi dan daya saingan diarena antarabangsa. Daya saingan dan produktiviti industri pula bergantung pula kepada adanya tenaga kerja yang berpendidikan, mahir dan dan bermotivasi tinggi. Kursus dalam Pendidikan teknik dan vokasional membolehkan pelajar mendapatkan pengetahuan vokasional dan kemahiran bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan sebagai tenaga kerja mahir atau separuh mahir dalam industri. Pelajar yang mempunyai kecenderungan dalam pendidikan sains dan teknologi boleh memenuhi tenaga kerja dalam bidang industri dan seterusnya meningkatkan daya saingan sektor perindustrian negara kita.

Pilihan bagi pelajar yang lemah dalam pelajaran

Selain itu, Pendidikan teknik dan vokasional merupakan pilihan yang baik bagi mereka yang biasanya lemah dalam Peperiksaan PT3 atau yang keciciran. Mereka akan mengikuti latihan dua tahun itu di sekolah-sekolah vokasional yang menawarkan kursus tersebut. Di sini, remaja akan diberi peluang untuk mempraktik dan mengembangkan segala pengetahuan asas yang telah diperolehi di sekolah dalam situasi kerja yang sebenar bagi menyediakan mereka dengan ciri-ciri yang diperlukan oleh pihak majikan. Pelajar dalam aliran ini dapat mengikuti latihan kemahiran dan seterusnya menduduki Peperiksaan Kemahiran Malaysia (SKM). Sistem pendidikan yang berlainan ini dapat menjaminkan masa depan remaja. Kelayakan akademik dengan kemahiran teknikal ini akan memberi kesan kepada kualiti pekerjaan dan pendapatan bulanan.

Melatih tenaga mahir dan separuh mahir

Pendidikan teknikal dan vokasional dihasratkan memberi peluang kepada semua remaja. Aliran vokasional adalah bertujuan untuk melahirkan pelajar yang cenderung kepada bidang vokasional di peringkat pendidikan menengah atas di mana bidang kursus yang ditawarkan adalah bagi membolehkan pelajar mendapatkan pengetahuan asas vokasional dan kemahiran untuk membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan sebagai tenaga mahir dan separuh mahir dalam sektor perindustrian, perdagangan dan pertanian. Dengan mengikuti bidang kemahiran dan teknikal serta didedahkan dengan latihan amali sejak dibangku sekolah akan membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan mudah dalam alam pekerjaan kerana pekerja yang mempunyai kemahiran teknikal dan pernah mengikuti latihan amali sangat diperlukan oleh pihak industri pada masa kini.

Cabaran: Persepsi masyarakat

Sikap memandang rendah pada pelajar-pelajar sekolah vokasional sebagai gagal akademik masih menebal di kalangan masyarakat. Ramai juga ibu bapa, terutama Pegawai Tinggi Kerajaan kurang menggalakkan anak-anak mereka yang berminat dalam bidang kemahiran untuk meneruskan pengajian dalam bidang teknik dan vokasional. Perasaan ini timbul kerana di masa lalu murid-murid yang memasuki sekolah nasional adalah terdiri daripada mereka yang berkelulusan rendah dalam peperiksaan PT3 dan gagal untuk meneruskan pengajian ke Tingkat Empat di sekolah akademik. Selain daripada itu, pendidikan ini dikaitkan dengan pekerjaan kolar biru hasil daripada mereka yang gagal meneruskan pengajian akademik bagi mencapai cita-cita mendapat pekerjaan berkolar putih.

Cabaran: Sistem yang terlalu menekankan teori

Institusi-institusi pendidikan yang terlibat di bidang vokasional dan teknikal hanya menitik beratkan kursus-kursus berbentuk teori sahaja dan amat kurang menekankan aspek amali terutamanya kerja-kerja amali di kilang atau sektor perindustrian terutamanya pelajar di sekolah-sekolah vokasional dan teknik. Pendidikan teknik dan vokasional kurang melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang betul dan secukupnya untuk pekerjaan keranatidak ada perhubungan dengan suasana kerja. Situasi ini adalah berbeza dengan berbeza dengan situasi di negara-negara industri seperti Jerman, Jepun, Korea Selatan dan sebagainya. Fenomena ini dilihat sebagai pengancam kepada hasrat negara untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan separa mahir dalam mencapai matlamat negara sebuah negara maju.

Penutup Karangan Pendidikan teknik dan vokasional

Kesimpulannya, negara kita sedang menumpukan pembangunan ekonomi yang berteraskan industri dan teknologi. Proses pembangunan ekonomi sesebuah negara berkait rapat dengan pembangunan sumber manusia yang mampu dilaksanakan negara tersebut. Keupayaan sistem pendidikan teknik dan vokasional ini mesti dilaksanakan dengan jayanya untuk menentukan nasib masa depan wawasan negara bagi mencapai sebuah negara maju. Dalam usaha untuk menyusun suatu kurikulum yang komprehensif bagi program pendidikan ini, kerjasama yang erat antara kerajaan dan swasta secara ikhlas serta konsisten diwajibkan. Oleh itu, kerjasama semua pihak adalah diharapkan bagi merealisasikan cita-cita negara kita ke arah menjadi sebuah negara yang setanding dengan negara-negara maju yang lain.


Contoh Karangan: Kebaikan bekerja sendiri
Contoh Karangan SPM: Kepentingan Pendidikan TVET

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *