Skip to content

Karangan SPM: Kepentingan Permainan Tradisional

Karangan Kepentingan Permainan Tradisional

Permainan tradisional merupakan budaya yang penting dan mempunyai keistimewaan yang tidak dapat digantikan. Apakah kepentingan permainan tradisional?

Kepentingan Permainan Tradisional Di Malaysia

‘Mobile Legend’, ‘War Craft’, ‘Counter Strike’ dan ‘Candy Crush’ antara nama permainan dalam talian yang popular dalam kalangan masyarakat di dunia. Permainan moden ini telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup malah ada antara permainan dalam talian yang memberi pendapatan sampingan sehingga artis tempatan juga terjebak dalam permainan maya ini. Keghairahan permainan moden ini telah mengambil tempat permainan tradisional dalam masyarakat. Oleh itu, ibu bapa perlu mencari kaedah untuk menyedarkan anak-anak tentang kelebihan dan keistimewaan permainan tradisional. Persoalan yang masih berlegar- legar dalam kotak pemikiran kita ialah apakah kepentingan permainan tradisional dalam pembentukan diri, bangsa dan negara?

Aset budaya bangsa yang dibanggakan

Hakikat yang tidak dapat kita nafikan ialah permainan tradisional ini merupakan aset budaya bangsa yang wajar dibanggakan oleh rakyat Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana permainan tradisional memiliki reka bentuk yang melambangkan ciri-ciri kebudayaan sesuatu bangsa. Sebagai contoh, wau terdiri daripada wau Bulan, wau Kucing, dan wau Jala Budi dihiasi dengan corak-corak unik dan berbeza setiap jenisnya. Malah, wau ini melambangkan identiti kampung dan mereka akan bertanding pada musim menuai padi sebagai tanda keseronokan memperoleh hasil tani. Oleh itu, keunikan yang terdapat pada permainan tradisional mestilah dipertahankan agar menjadi panduan generasi masa hadapan.

Produk pelancongan yang mempunyai daya tarikan

Malah dari sudut industri pelancongan, permainan tradisional sangat signifikan untuk menjadi produk pelancongan yang mempunyai daya tarikan tersendiri. Lantaran itu, permainan tradisional berjaya memikat hati pelancong asing untuk melancong ke Malaysia dan merasai sendiri pengalaman mereka bermain permainan tradisional. Akibatnya, ramai pelancong asing mula ingin merasai pengalaman yang sama. Mereka juga dapat membeli cenderamata sebagai kenang-kenangan untuk diberi kepada rakan mereka. Secara tidak langsung, mereka telah mempromosi industri pelancongan negara. Sesungguhnya, benarlah peribahasa Melayu ada mengatakan, tak kenal maka tak cinta. Oleh sebab pelancong asing telah mengalami pengalaman manis tersebut, mereka berulang kali datang ke Malaysia malah ada yang terus menetap di bumi tercinta ini.

Memupuk nilai-nilai murni kepada pemain

Dari sudut yang berbeza pula, permainan tradisional juga dapat memupuk nilai-nilai murni kepada pemain. Anak-anak yang bermain permainan tradisional akan memiliki kesabaran yang tinggi dan ketenangan jiwa ketika bermain permainan tradisional seperti congkak dan gasing. Hal ini amat berbeza dengan permainan moden yang menyebabkan anak- anak bersikap tidak sabar dan mereka akan memberontak jika mereka kalah atau gagal dalam permainan tersebut. Oleh itu, permainan tradisional amat penting dalam memupuk nilai-nilai murni.

Aktiviti sampingan dalam pembelajaran

Tidak dinafikan permainan tradisional juga dapat dijadikan aktiviti sampingan dalam pembelajaran. Guru-guru boleh menjadikan permainan tradisional sebagai alat bantu mengajar di dalam kelas. Aktiviti pembelajaran akan menjadi seronok dan menghiburkan pelajar terutama bagi murid-murid sekolah rendah. Sebagai contoh, guru-guru menjadikan biji guli sebagai alat bantu mengajar dalam mata pelajaran matematik. Dengan cara ini murid akan menggunakan biji guli untuk belajar mengira dan menghitung jumlah biji guli. Oleh itu, guru- guru perlulah kreatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas

Penutup Karangan Kepentingan Permainan Tradisional

Pada peghujung perbincangan ini, permainan tradisional merupakan khazanah negara dan warisan bangsa yang tidak ternilai harganya. Oleh itu generasi muda perlu menggalas tanggungjawab untuk meneruskan kesinambungan generasi terdahulu yang memelihara warisan bangsa ini untuk dipusakai oleh generasi seterusnya sehingga akhir zaman sesuai dengan peribahasa melayu “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. Sesungguhnya generasi muda menjadi harapan negara untuk meneruskan kepimpinan negara kerana pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara.


Contoh Karangan: Langkah memupuk Permainan tradisional

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *