Skip to content

Contoh Karangan SPM – Kesan jenayah siber

Karangan Kesan jenayah siber

Ledakan teknologi maklumat dan informasi di Malaysia telah menyebabkan kita terperangkap menjadi mangsa jenayah siber. Apakah kesan jenayah siber terhadap orang ramai?

Implikasi kes jenayah siber

Pasca-2020 menjadi pembuka tirai ledakan kepesatan perniagaan dalam talian lantaran fenomena pandemik Coronavirus 2019 (COVID-19) yang telah melanda negara. Ledakan ini bukanlah baharu namun sejak sedekad yang lalu negara telah menerima kemasukan teknologi maklumat yang telah membuka mata rakyat untuk terlibat dalam dunia perniagaan dalam talian. Tidak dinafikan ledakan teknologi maklumat ini telah membuka peluang dan ruang kepada penjenayah siber untuk mengambil kesempatan atas kelemahan pengguna yang melayari Internet. Oleh itu, kita perlu mengenal pasti implikasi kes jenayah siber agar dapat menjadi pedoman agar tidak terjebak dalam perangkap mereka.

Data maklumat peribadi pengguna terdedah

Implikasi yang signifikan dalam isu ini ialah data maklumat peribadi pengguna terdedah kepada semua orang terutamanya penjenayah siber. Mangsa tanpa disedari telah berkongsi maklumat dalam laman sesawang yang tidak rasmi atau laman sesawang tiruan yang direka oleh penjenayah siber. Malah mereka bagai sudah jatuh timpa tangga apabila mereka sering menjadi mangsa penipuan penjenayah siber. Hal yang demikian ini adalah kerana penjenayah dapat mengakses maklumat pengguna atau mangsa jenayah siber lalu melakukan transaksi wang dari akaun pengguna ke akaun penjenayah siber . Oleh itu, pengguna perlulah berhati-hati melakukan transaksi dalam Internet agar data maklumat peribadi tidak dicuri atau digodam oleh penjenayah siber.

Mangsa jenayah siber menghadapi tuduhan

Selain implikasi tersebut, kesan jenayah siber yang lain ialah mangsa jenayah siber juga akan menghadapi tuduhan yang tidak berasas daripada pihak tertentu. Mereka akan diaibkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan tujuan untuk menjatuhkan reputasi dan nama baik mereka. Lazimnya, perkara ini terjadi pada pemimpin negara, artis dan individu yang menjadi ikon masyarakat. Mereka dituduh dengan pelbagai fitnah yang tidak berasas dan beranggapan kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang . Tegasnya, ancaman fitnah merupakan implikasi buruk terhadap seseorang.

Mangsa menghadapi tekanan yang tinggi

Malah, mereka yang menjadi mangsa jenayah siber ini akan menghadapi tekanan yang tinggi seperti peribahasa yang menyebut berat mata memandang berat lagi bahu memikul sehingga mangsa menutup akaun dalam laman media sosial. Mereka akan mengurungkan diri di rumah lalu bertindak menyalahkan diri mereka sendiri. Keadaan ini menyebabkan mereka menghadapi masalah kemurungan apatah lagi jika tekanan tersebut membabitkan ahli keluarga Akibatnya keluarga mangsa turut dikecam oleh pelbagai pihak. Tegasnya, implikasi daripada tindakan penjenayah siber ini menyebabkan mangsa bertindak di luar batas norma kehidupan manusia.

Kehilangan sumber pendapatan

Implikasi buruk yang kerap diterima oleh mangsa jenayah siber ialah mereka kehilangan sumber pendapatan, diberhentikan kerja, atau ditamatkan kontrak. Mereka menjadikan laman sosial sebagai diari kehidupan mereka. Malangnya, diari kehidupan mereka telah diceroboh lalu penjenayah siber mengambil kesempatan untuk melakukan fitnah, penipuan yang mengakibatkan mangsa dibuang kerja, hilang kontrak perniagaan atau ditamatkan perkhidmatannya. Keadaan ini menyebabkan perniagaan mereka terpaksa gulung tikar disebabkan fitnah yang dilakukan oleh penjenayah siber. Oleh itu, kita hendaklah berhati- hati kerana sesungguhnya pelanduk selalu lupa jerat tetapi jerat tidak pernah lupa akan pelanduk.

Penutup Karangan Kesan jenayah siber

Secara tuntasnya, pelbagai implikasi buruk dan negatif telah dapat kita kenal pasti dalam usaha mencari penyelesaian yang mungkin memberi impak yang lebih besar dengan menggempur pusat operasi mereka kerana sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Sesungguhnya, jenayah siber tidak akan berlaku jika bertepuk sebelah tangan sahaja, maka kesedaran orang ramai juga perlu agar tidak menjadi mangsa seterusnya. Oleh itu, semua pihak harus berganding bahu untuk membanteras masalah jenayah siber ini agar tidak membelenggu generasi kepimpinan negara pada masa akan datang.


Contoh Karangan: Langkah mengatasi Jenayah Siber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *