Skip to content

Karangan SPM: Kesan Negatif Tabiat Merokok

Karangan Kesan Negatif Tabiat Merokok

Penghisap rokok di Malaysia semakin meningkat dan budaya merokok telah menjadi polemik masyarakat. Apakah kesan negatif merokok dalan kalangan remaja?

Kesan Negatif Tabiat Merokok Dalam Kalangan Remaja

Dalam alaf yang penuh cabaran ini, rokok menjadi lambang kedewasaan bagi seseorang remaja. Fenomena ini menjadikan rokok sebagai objek yang sentiasa dikaitkan dengan alam remaja dan kedewasaan. Ada juga yang mempercayai falsafah songsang bahawa merokok dapat menguruskan badan. Faktor-faktor ini merupakan sebahagian daripada punca remaja menghisap rokok namun hakikat sebenarnya, tabiat merokok ini memberi kesan negatif kepada mereka tanpa disedari sehinggalah mereka sendiri mengalami kesan tersebut pada diri mereka. Persoalannya, apakah kesan negatif yang akan dialami oleh mereka?

Ketagihan merokok

Kesan buruk yang akan dialami oleh seseorang remaja apabila mereka menghisap rokok ialah mereka akan mengalami ketagihan merokok. Hal ini dikatakan demikian kerana kandungan tembakau mempunyai bahan yang menyebabkan ketagihan. Bahan ini dipanggil nikotin. Bahan ini akan mengakibatkan sistem saraf dan mental seseorang terganggu. Akibatnya, mereka yang menghisap rokok akan ketagihan. Keadaan ini telah memberi kesan negatif kepada emosi lalu remaja akan mudah marah apabila tidak menghisap rokok. Akibatnya, bukan sahaja sia-sia ibadah puasa mereka malah tindakan mereka ini akan merosakkan sistem tubuh badan.

Kesalahan besar di sekolah

Akibat ketagihan menghisap rokok, ada antara pelajar yang menghisap rokok di belakang sekolah pada waktu rehat bagi melepaskan gian mereka. Perbuatan ini merupakan kesalahan besar di sekolah. Mereka yang tertangkap boleh dikenakan tindakan tatatertib dengan menggantung hari persekolahan mereka. Pelajar yang menghisap rokok juga akan menghabiskan wang belanja persekolahan dengan membeli rokok. Mereka sanggup mencuri wang demi memenuhi kepuasan nafsu dan ketagihan mereka. Akibatnya, pelajar akan melakukan kesalahan demi kesalahan untuk menghisap rokok.

Masalah kesihatan yang kronik

Secara jangka panjangnya, remaja yang menghisap rokok akan mengalami masalah kesihatan yang kronik. Akibat perbuatan menghisap rokok sejak remaja, seseorang itu akan mengalami masalah pernafasan apabila mereka berada pada usia tua. Keadaan ini bertambah parah jika penghisap rokok itu memiliki berat badan berlebihan kerana berkemungkinan mereka akan mengalami serangan jantung. Asap rokok yang dihembus keluar bukan sahaja berbahaya kepada penghisap rokok malah turut memberi kesan negatif kepada orang lain. Akibatnya, orang yang paling hampir dengan penghisap rokok akan berisiko menerima kesan negatif yang lebih besar.

Kerugian wang

Kesan buruk daripada merokok yang tidak disedari berlaku pada seseorang remaja ialah kerugian wang. Mereka sebenarnya telah melakukan perbuatan seperti membakar wang kerana setiap kepulan asap merupakan wang yang dibazirkan oleh remaja untuk merasai kenikmatan seketika sehingga mereka menghancurkan masa depan. Lebih mendukacitakan lagi apabila mencecah usia dewasa, seseorang itu disahkan menghidap pelbagai penyakit kronik dan perlu menjalani pembedahan yang menelan belanja ratusan ribu ringgit. Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah peribahasa yang menggambarkan situasi malang yang menimpa mereka berulang kali. Sedar atau tidak, mereka mengalami kerugian berulang kali dan kerugian mereka ini merupakan akibat tabiat buruk merokok?

Penutup karangan Kesan Negatif Tabiat Merokok

Secara keseluruhannya, budaya merokok dalam kalangan remaja haruslah ditangani dengan bijak bagai menarik rambut di dalam tepung, tepung tidak berselerak rambut tidak putus agar penyelesaian jitu dapat dicapai tanpa menimbulkan sebarang kesan buruk kepada mana-mana pihak. Oleh itu, semua pihak haruslah mengambil inisiatif masing-masing dalam menyelesaikan masalah yang masih bersarang dalam masyarakat yang tiada kesudahan ini agar anak watan dalam menjalani kehidupan yang tenang dan bahagia.


Contoh Karangan: Langkah Mencegah Budaya Merokok

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *