Skip to content

Karangan SPM: Langkah Mencegah Budaya Merokok

Karangan Langkah Mencegah Budaya Merokok

Tabiat Merokok membawa banyak kesan buruk terhadap kesihatan manusia. Apakah langkah yang dapat mencegah budaya merokok dalam masyarakat kita?

Langkah Mencegah Budaya Merokok dalam Masyarakat

Sedasawarsa ini, budaya merokok telah menjadi polemik dalam masyarakat sehingga sering menjadi tajuk perbincangan di meja diskusi pakar-pakar kesihatan negara malah turut menjadi bahan berita dan cerita dalam media sosial. Namun, isu rokok ini masih belum menunjukkan pengakhiran dan kita khuatiri kemajuan teknologi akan meningkatkan lagi bilangan penghisap rokok tegar di Malaysia. Oleh itu, langkah pragmatik perlu diambil segera bagi menangani masalah yang sudah lama bersarang dalam masyarakat. Persoalannya, apakah tindakan yang paling drastik lagi efektif dalam menangani masalah budaya merokok dalam masyarakat?

Remaja harus memiliki pendirian yang tegas

Langkah jitu yang telah dikenal pasti ialah peranan remaja dalam usaha menangani masalah budaya merokok. Remaja hendaklah memiliki pendirian yang tegas dalam menangkis pujukan dan rayuan serta pengaruh daripada rakan sebaya. Hal ini dikatakan demikian kerana rakan sebaya merupakan orang yang terdekat dengan remaja dan mudah terpengaruh akibat minat dan kecenderungan yang sama sesama mereka. Oleh sebab itu, remaja harus bijak memilih rakan sebaya agar mereka saling menasihati dan menegur dalam membentuk keperibadian mulia. Tegasnya, remaja mestilah bijak memilih rakan agar budaya merokok ini dapat ditangani segera.

Ibu bapa menjadi suri teladan

Selain remaja, budaya merokok ini dapat juga ditangani apabila ibu bapa turut memainkan peranan mereka sebagai pemegang amanah Tuhan yang telah mengurniakan zuriat kepada mereka. Ibu bapa hendaklah menjadi suri teladan kepada anak-anak. Mereka tidak harus menghisap rokok di hadapan anak-anak kerana perbuatan ini merupakan tindakan yang tidak bermoral terutamanya di hadapan anak yang masih kecil. Tindakan ini jika dibiarkan akan menjadi contoh kepada anak-anak apabila mereka dewasa kelak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sesungguhnya, peranan ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam usaha mencegah budaya merokok dalam kalangan masyarakat.

Peranan Kerajaan

Dari sudut yang berlainan pula, kerajaan turut memainkan peranan utama dalam usaha mengekang budaya merokok dalam kalangan masyarakat khususnya dalam kalangan remaja masa ini. Pendekatan kempen kesedaran melalui gambar-gambar ngeri akibat merokok telah diwajibkan pada setiap kotak rokok. Usaha ini bertujuan memberi kesedaran kepada perokok agar mereka berfikir tentang kesan jangka panjang yang akan menimpa mereka atau ahli keluarga mereka. Malah kerajaan turut menguatkuasakan undang-undang zon larangan merokok. Mereka tidak lagi dibenarkan merokok di semua pejabat kerajaan, restoran makanan atau di tempat awam. Usaha berterusan yang dilakukan oleh kerajaan akan dapat mengurangkan gejala tidak sihat dalam kalangan masyarakat. Secara tidak langsung, kerajaan dapat menjamin kesihatan rakyat Malaysia.

Pihak swasta mengamalkan peraturan yang ketat

Pihak swasta terutamanya kedai-kedai runcit, restoran makanan, dan pasar raya turut mematuhi dan mengamalkan peraturan yang ketat bagi mengekang gejala tidak sihat ini. Tindakan pihak swasta yang tidak menjual rokok haram dan juga rokok batang kepada pembeli akan dapat mengekang budaya merokok dalam kalangan masyarakat. Walaupun rokok haram mendapat permintaan tinggi namun tindakan pihak swasta yang tidak melayan permintaan pelanggan akan dapat mengekang masalah yang tiada berkesudahan ini. Usaha pihak swasta ini harus dipuji kerana usaha ini mampu mengurangkan gejala menghisap rokok dalam kalangan remaja.

Penutup Karangan Mencegah Budaya Merokok

Secara keseluruhannya, mencegah lebih baik daripada merawat. Maka budaya menghisap rokok ini merupakan satu budaya yang perlu dicegah sebelum menjadi parah. Oleh itu, setiap langkah bestari yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak akan dapat menyelesaikan masalah budaya merokok dalam kalangan masyarakat. Sesungguhnya, remaja merupakan aset negara yang perlu dijaga dengan baik agar mereka tidak terpengaruh oleh gejala yang tidak sihat demi memastikan remaja dapat memimpin negara pada masa akan datang.


Contoh Karangan: Kesan Negatif Tabiat Merokok

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *