Skip to content

Contoh Karangan SPM: Kesan Pembalakan Haram

Karangan Kesan Pembalakan Haram

Pembalakan haram telah mendatangkan kesan negatif kepada ekosistem dan berlakunya bencana kepada manusia. Huraikan kesan aktiviti pembalakan haram terhadap negara kita.

Kesan Pembalakan Haram terhadap Negara kita

Hutan merupakan khazanah dunia yang amat bernilai kerana telah membekalkan negara kita dengan pelbagai sumber seperti kayu-kayan dan ubat-ubatan. Namun begitu, dengan pertambahan penduduk di negara kita, hutan semakin mengalami kemerosotan akibat ancaman kemusnahan daripada pihak-pihak yang tamak menggunakan sumber dan kawasan hutan untuk pelbagai tujuan. Pembalakan hutan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan untuk tujuan seperti perladangan, pertanian, perlombongan, industri, perumahan dan infrastruktur telah banyak menimbulkan ancaman kepada hutan. Persoalannya, apakah kesan aktiviti pembalakan haram terhadap negara kita?

Bencana alam berlaku

Hutan-hutan yang diterokai akan menyebabkan tanah yang dilindungi terdedah kepada pelbagai bencana alam. Pembalakan yang tidak terkawal akan menjadikan permukaan bumi gondol dan terdedah kepada hakisan. Hal ini berpunca daripada hutan tidak lagi dapat berfungsi sebagai kawasan tadahan hujan. Bahan yang terhakis akan dibawa dan dimendapkan di dasar sungai dan menyebabkan sungai menjadi cetek. Apabila hujan lebat, sungai tidak mampu menampung air yang banyak lalu dan seterusnya melimpah ke kawasan sekitar. Keadaan ini akan menyebabkan banjir kilat lebih mudah melanda. Banjir yang sering kali memusnahkan perkampungan orang asli mengakibatkan kehidupan masyarakat ini diambang penderitaan. Adat bernegeri memagar negeri, adat berkampung memagar kampung. Kita tidak seharusnya mementingkan diri sendiri. setiap tindakan yang kita ambil pastinya akan memberi impak keapada orang lain.

Kehilangan habitat flora dan fauna

Apabila hutan dimusnahkan untuk tujuan pembalakan, pelbagai spesis flora dan fauna akan kehilangan habitat. Hutan merupakan tempat tinggal semula jadi bagi pelbagai jenis tumbuhan dan spesies haiwan liar. Pembalakan haram yang melampau mesti akan memusnahkan fauna dan flora yang susah beribu-ribu tahun di hutan tersebut. Selain itu, apabila ekosistem hutan terganggu, rantaian makanan akan terjejas dan akhirnya pelbagai spesies diancam kepupusan. Jika tiada tindakan yang diambil bagi mengawal kegiatan manusia yang tidak bermoral ini, nescaya perkara yang lebih teruk lagi akan berlaku. Justeru, langkah yang proaktif perlu lah dilaksanakan bagi mengelakkan perkara yang lebih parah lagi daripada berlaku. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Jangan biarkan cucu-cicit kita tertanya-tanya, apa itu orang utan, harimau gajah, dan burung kakak tua.

Mengubah cuaca dunia atau pemanasan setempat

Penebangan hutan daripada aktiviti pembalakan haram boleh menyebabkan peningkatan suhu di negara kita. Pembalakan akan menyebabkan kawasan hutan tidak mampu berfungsi untuk menyederhanakan suhu dengan cara memerangkap bahangan matahari dan membebaskan wap-wap air menerusi proses perpeluhan. Apabila bumi kita ketiadaan pelindung yang dapat menghalang bahangan matahari dan lebihan gas karbon dioksida dalam atmosfera. Seterusnya, bumi akan mengurangkan hujan atau mengubah corak hujan yang lazimnya berlaku sehingga mewujudkan fenomena kemarau. Selain peningkatan suhu, fenomena ini turut mengakibatkan kesan rumah hijau dan perubahan suhu setempat.

Meningkatkan kadar hakisan

Apabila aktiviti pembalakan dilakukan secara berlebihan, kawasan bercerun khususnya akan terdedah kepada proses hakisan. Apabila hutan ditebang, permukaan bumi menjadi gondol kerana tidak diliputi tumbuhan. Apabila hujan turun, kawasan yang tidak terdapat akar pokok untuk mencengkam tanah akan menyebabkan struktur tanah menjadi longgar dan lembut. Tanah yang lembut dan lincin akan bergerak menuruni cerun-cerun bukit dan berlakulah tanah runtuh. Kejadian tanah runtuh bukan sahaja merosakkan ekosistem hutan, tetapi turut membahayakan nyawa haiwan dan manusia.

Penutup Karangan Kesan Pembalakan Haram

Kesimpulannya, kawasan hutan perlu dipelihara kerana pelbagai rahsia masih terkandung di dalamnya. Pihak kerajaan haruslah menguatkuasakan undang-undang dan mengambil tindakan yang tegas terhadap pesalah yang didapati menjalankan kegiatan pembalakan haram. Orang awam pula hendaklah melaporkan sebarang pergerakan kenderaan pengangkut balak yang mencurigakan. Pembalakan terancang harus diamalkan agar hutan tidak musnah serta kehidupan liar yang menghuninya tidak pupus. Dengan adanya kerjasama bagaikan aur dan tebing, sudah pasti pembalakan terkawal dan aktiviti pertanian yang terkawal dapat diperkenalkan dan diamalkan.


Nota dan Rangka Karangan Isu Pembalakan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You cannot copy content of this page