Skip to content

Contoh Karangan SPM – Kesan Penyalahgunaan Dadah

Karangan Kesan Penyalahgunaan Dadah

Penyalahgunaan dadah menjadi isu yang besar di negara kita kerana hal ini mendatangkan kesan yang buruk kepada diri mereka dan masyarakat sekeliling. Huraikan kesan penyalahgunaan dadahterhadap masyarakat dan negara kita.

Kesan penyalahgunaan dadah terhadap masyarakat dan negara

Dadah memberikan manfaat yang besar pada dunia perubatan. Pelbagai kajian dilakukan untuk menghasilkan pelbagai jenis dadah yang digunakan untuk perubatan. Walaupun dadah memberikan pelbagai kebaikan, dadah juga mengakibatkan pelbagai keburukan. Hal ini berlaku apabila penggunaan dadah ini dilakukan secara berterusan sehingga mengakibatkan ketagihan yang mendatangkan pelbagai keburukan.

Memusnahkan kebahagiaan hidup

Dadah boleh memusnahkan kebahagiaan hidup seseorang. Apabila seseorang menagih dadah, maka gelaplah masa depannya. Penagih dadah tidak dapat bekerja dan menjaga anggota keluarga terutamanya anak-anak. Mereka menjadi terabai dan seterusnya mengundang masalah sosial. Penagih dadah akan menjadi lebih lemah dan daya pertahanan terhadap kesakitan adalah lebih rendah. Oleh itu, dia akan mengalami kesakitan yang tidak tetap. Hidupnya akan senantiasa terseksa oleh rasa loya, pening, sakit perut, kekejangan, muntah-muntah, dan pelbagai gejala penyakit lagi. Gejala penyakit yang paling dahsyat sebagai akibat penggunaan dadah ialah Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS). Puncanya bukan dadah tetapi jangkitan virus kurang daya tahan melawan penyakit (HIV) pada jarum suntikan yang dikongsi bersama-sama dengan penagih lain.

Penagih dadah tidak berguna kepada masyarakat

Apabila muda-mudi terpengaruh oleh dadah, mereka tidak berguna lagi kepada masyarakat. Penagih dadah akan menjadi lebih mudah menaik angin dan emosinya tidak stabil Mereka juga sanggup merompak, sering berbalah, dan sanggup berbunuh-bunuhan semata-mata kerana dadah. Malah keharmonian, keamanan, dan keselamatan masyarakat pula terancam. Di samping itu, penagih dadah juga tidak bermaya, lemah serta tidak berkemampuan menguruskan diri sendiri. Pihak masyarakat dan kerajaan terpaksa membeli keperluan untuk usaha-usaha pemulihan penagih dadah. Oleh itu, negara akan menjadi kurang maju.

Meningkatkan kadar kegiatan jenayah

Penagih dadah yang kekurangan wang untuk membeli dadah sanggup melakukan perkara-perkara yang kejam untuk mendapatkan dadah. Seseorang akan kehilangan harga diri dan kehilangan sifat-sifat kemanusiaan akibat pengaruh dadah. Mereka akan merompak dan membunuh untuk mendapatkan wang yang cukup bagi memenuhi tabiat mereka. Masyarakat yang mempunyai masalah penyalahgunaan dadah sentiasa tinggi dalamkadar kegiatan jenayah. Di samping itu, kerajaan terpaksa menambah jumlah anggota polis, kastam, penjara, perbelanjaan mahkamah dan lain-lain untuk membendung masalah ketagihan dadah ini.

Kerugian sumber tenaga manusia

Negara akan kerugian juga dari segi sumber tenaga manusia apabila banyak belia yang menagih dadah. Hal ini demikian kerana tenaga mereka tidak dapat digunakan untuk membangunkan negara. Sebagai akibatnya, pembangunan negara akan terjejas dengan teruknya. Selain itu, berjuta-juta ringgit terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan untuk memberikan rawatan kepada para penagih dadah. Peruntukan terhadap pembangunan sosioekonomi negara terpaksa dikurangkan. Sebaliknya, peruntukan tersebut terpaksa disalurkan untuk usaha membiayai pembinaan serta pengurusan pusat-pusat pemulihan penagih dadah, melancarkan kempan antidadah, dan sebagainya.

Penutup Karangan Kesan Penyalahgunaan Dadah

Sesungguhnya, memang banyak bahaya sebagai akibat penyalahgunaan dadah. Oleh itu, dadah dianggap sebagai musuh utama negara. Kerajaan turut melancarkan pelbagai kempen untuk membendung masalah penyalahgunaan dadah. Usaha ini harus disokong dan tidak harus dipikul oleh kerajaan semata-mata. Kita hendaklah bersama-sama bertanggungjawab untuk membanteras masalah penyalahgunaan dadah ini demi keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat umumnya.


Contoh Karangan: Faktor Remaja Merokok dan Usaha Menghentikan

1 thought on “Contoh Karangan SPM – Kesan Penyalahgunaan Dadah”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *