Skip to content

🔥 Contoh Karangan SPM | Topik Penting Ujian Bertutur
⚡️ Senarai Nota KOMSAS | Peristiwa Menarik KOMSAS SPM

Karangan SPM: Kesan tekanan terhadap remaja

Contoh Karangan Kesan tekanan

Tekanan atau stres merupakan masalah yang sering dihadapi terutamanya negara kita sedang menghadapi cabaran globalisasi. Huraikan kesan tekanan terhadap remaja.

Kesan tekanan terhadap remaja

Dalam era yang penuh cabaran ini, remaja berdepan dengan pelbagai perubahan fizikal, emosi dan sosial. Dalam usaha membentuk jati diri, tekanan seringkali menghimpit mereka sama ada daripada aspek akademik, keluarga mahupun rakan sebaya. Kehidupan moden yang serba pantas dengan tuntutan tinggi telah menjadikan stres sebagai fenomena yang semakin lazim dalam kalangan remaja masa kini. Jika tidak ditangani dengan baik, tekanan ini mampu menjejaskan perkembangan remaja secara menyeluruh. Oleh itu, kita hendaklah mengkaji kesan yang dihadapi oleh seseorang. Persoalannya ialah apakah kesan yang dihadapi oleh seorang yang mengalami tekanan?

Menjadi pendorong atau pembakar semangat

Antara kesan yang signifikan dalam isu ini ialah tekanan dapat menjadi pendorong atau pembakar semangat kepada seseorang untuk mencapai matlamat atau impian. Keadaan tertekan ini akan menyebabkan dirinya sentiasa berfikir dan merancang sesuatu demi mencapai matlamatnya. Sebagai contoh, seorang pemain bola sepak akan melakukan sepakan sudut lebih daripada 100 kali dan pemain tersebut tidak akan berhenti sehingga dia memperoleh tendangan yang tepat. Secara tidak langsung pemain tersebut akan mendapat bentuk tendangan yang tepat sekaligus meningkatkan keyakinan dan keberaniannya. Jelaslah bahawa stres mampu menjadi pendorong kejayaan.

Mendewasakan diri seseorang

Dari sudut yang sama, tekanan akan dapat mendewasakan diri seseorang. Hal ini dikatakan demikian kerana stres akan menyebabkan seseorang remaja itu menjadi matang dan mampu berfikir di luar kotak. Malah remaja belasan tahun yang diibarat umur setahun jagung darah setampok pinang menghadapi tekanan hidup akibat ekonomi akan lebih kreatif berfikir untuk mencari wang bagi menampung keperluan hidupnya. Secara tidak langsung, remaja yang menghadapi tekanan akan lebih matang berfikir, bertindak dan mempunyai jaringan sosial yang luas berbanding remaja lain yang masih khayal dan leka dalam permainan dalam talian. Tegasnya, tekanan dapat mengubah pemikiran menjadi matang.

Gangguan emosi

Salah satu kesan buruk tekanan terhadap remaja yang paling membimbangkan ialah gangguan kesihatan mental seperti kemurungan, keresahan dan serangan panik. Tekanan melampau akibat harapan tinggi dalam akademik dan media sosial yang membentuk imej tidak realistik telah menyebabkan ramai remaja menghadapi masalah kesihatan mental. Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, jumlah remaja yang mengalami simptom kemurungan meningkat mendadak selepas pandemik. Mereka menghadapi gangguan emosi yang berat sehingga sanggup melakukan apa-apa sahaja demi melepaskan amarah yang terbuku dalam hati seperti lembu naik minyak. Mereka akan marah sesuka hati, menjerit dengan kuat, menangis di khalayak ramai dan ketawa sendirian. Sebagai contoh, terdapat kes di mana pelajar cemerlang mengambil nyawanya sendiri selepas gagal memperoleh keputusan yang diharapkan.

Contoh Karangan: Faktor peningkatan kes gangguan emosi

Masalah Pergaulan dan Sosial

Remaja yang berasa tertekan juga mungkin mengalami kesukaran dalam pergaulan sosial. Mereka menjadi lebih pendiam, mudah marah atau menarik diri daripada masyarakat. Ada juga yang terjebak dalam gejala sosial seperti ponteng, melepak, atau penyalahgunaan dadah akibat tekanan yang tidak dikongsi dengan sesiapa. Sebagai contoh, program pemulihan remaja di Selangor melaporkan peningkatan pelajar yang terlibat dalam penyalahgunaan bahan terlarang sejak dua tahun kebelakangan ini. Ini menunjukkan bahawa tekanan yang tidak dikendalikan dengan baik boleh menjerumuskan remaja ke dalam kancah yang lebih merosakkan. Bak kata pepatah, rosak anak kerana mak ayah, rosak bangsa kerana remaja.

Mengalami perasaan gementar

Apabila menghadapi stres yang keterlaluan, seseorang itu akan mengalami perasaan gementar yang menyebabkan kadar denyutan jantung menjadi cepat dan menyebabkan tekanan darah turut meningkat. keadaan ini akan menyebabkan kadar perpeluhan turut meningkat disebabkan ketegangan otot. Keadaan ini kemungkinan boleh menyebabkan orang yang sedang menghadapi tekanan diserang penyakit jantung, masalah darah tinggi dan lumpuh. Oleh sebab itu, mereka yang sedang menghadapi stres disarankan agar tidak melakukan kerja-kerja berat yang boleh menyebabkan tekanan pada fikiran dan fizikal kerana sesungguhnya, mencegah itu lebih baik daripada merawat. Jelaslah bahawa tekanan mampu menyebabkan kesihatan terganggu.

Konflik dengan Keluarga

Tekanan juga boleh menyebabkan hubungan antara remaja dan keluarga menjadi renggang. Remaja yang tertekan cenderung untuk berahsia dan menjauhkan diri daripada ibu bapa. Kurangnya komunikasi dan empati menjadikan situasi lebih tegang, dan remaja merasa diri mereka tidak difahami. Contohnya, dalam banyak keluarga, remaja tidak dibenarkan menyuarakan pandangan atau perasaan mereka, lalu tekanan terus terkumpul tanpa outlet yang sihat. Hal ini membawa kepada suasana rumah yang tegang, penuh pertelingkahan dan kurang kasih sayang. Jika ibu bapa tidak peka terhadap tekanan anak-anak, konflik ini boleh berpanjangan hingga menjejaskan keharmonian keluarga.

Penutup Karangan

Kesimpulannya, setiap penyakit ada ubatnya, setiap masalah akan ada jalan penyelesaiannya. Remaja bukan sekadar perlu diberi pendidikan akademik, malah perlu disediakan ruang untuk meluahkan tekanan secara sihat. Masyarakat dan keluarga harus memainkan peranan penting dalam mencipta suasana yang menyokong dan memahami. Kita perlu membina sistem sokongan yang holistik dan proaktif agar remaja dapat berkembang dengan seimbang dalam dunia yang semakin mencabar. Menyedari air tenang jangan disangka tiada buaya, kadangkala tekanan yang tersembunyi di hati remaja boleh membawa akibat yang serius jika tidak disedari lebih awal.


Contoh Karangan: Cara mengatasi masalah remaja
Contoh Karangan: Punca tekanan perasaan remaja

0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

You cannot copy content of this page

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x