Skip to content

Karangan Masalah Kesesakan Jalan Raya (Langkah)

Kesesakan Jalan Raya

Kesesakan jalan raya telah menimbulkan masalah emosi pemandu dan menyebabkan tekanan dan stres. Apakah langkah yang dapat mengatasi masalah kesesakan jalan raya?

Langkah Mengatasi Masalah Kesesakan Jalan Raya

Peningkatan kes kemalangan jalan raya merupakan salah satu daripada implikasi buruk yang berlaku disebabkan kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak ketika orang ramai sibuk pergi atau pulang menguruskan kerja dan persekolah anak. Fenomena ini telah memberi gambaran buruk kepada masyarakat dunia tentang Malaysia sehingga memberi impak dalam ekonomi dan sosial. Oleh itu, langkah drastik perlu diambil agar isu ini dapat diselesaikan dengan seimbang seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak. Persoalannya, apakah langkah yang dapat mengatasi masalah kesesakan jalan raya?

Masyarakat berkongsi kereta

Salah satu langkah yang efisien dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas ialah masyarakat berkongsi kereta sekiranya menuju ke destinasi yang sama. Sebagai contoh, mereka yang menetap di satu kawasan taman perumahan boleh berkongsi kereta dengan jiran yang bekerja di sekitar Kuala Lumpur. Kerajaan haruslah mengambil usaha ini sebagai satu kempen berterusan agar langkah ini menjadi budaya dalam masyarakat seterusnya memupuk semangat bantu-membantu dalam kejiranan. Oleh itu, kerajaan perlu menyuburkan kembali kempen ini demi memberi manfaat kepada kita semua.

Hukuman berat dan denda yang tinggi

Dari aspek penguatkuasaan pula, kerajaan hendaklah mengambil tindakan yang lebih tegas dengan mengenakan hukuman berat dan denda yang tinggi terhadap pesalah yang melanggar undang-undang jalan raya. Kerajaan hendaklah melakukan operasi khas bagi mendidik orang ramai agar tidak meletakkan kenderaan mereka sesuka hati sehingga mengundang kesesakan jalan raya. Sikap pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaan di tepi jalan untuk membeli-belah di pasar raya dikenal pasti menjadi punca berlaku kesesakan di jalan raya. Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman kenderaan tersebut. Tegasnya, penguatkuasaan undang-undang dapat mendidik masyarakat agar mematuhi peraturan jalan raya .

Meningkatkan mutu perkhidmatan awam

Kerajaan juga berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan awam bagi memudahkan orang ramai menuju ke tempat kerja tanpa sebarang kesesakan lalu lintas. Penggunaan perkhidmatan awam seperti bas, komuter dan LRT dapat mengelakkan pengguna terperangkap dalam kesesakan. Lazimnya, pengangkutan awam seperti teksi dan bas mempunyai laluan khas untuk kenderaan tersebut melalui jalan di sepanjang kawasan bandar. Dengan cara ini pengguna akan lebih mempercayai perkhidmatan awam yang mampu membawa mereka menuju ke destinasi pada jangka masa yang ditetapkan. Secara tidak langsung, mutu perkhidmatan akan dipertingkat dari semasa ke semasa oleh pihak penyedia perkhidmatan sejajar dengan sokongan masyarakat terhadap perkhidmatan awam.

Menaik taraf sistem jalan raya

Langkah terakhir yang wajar diambil kira dalam usaha mengatasi kesesakan lalu lintas ialah menaik taraf sistem jalan raya di Malaysia. Kerajaan melalui Kementerian Jalan Raya hendaklah memastikan jalan raya tidak rosak dengan melakukan pemantauan berkala. Mereka hendaklah membaiki jalan raya yang berlubang dengan menurap kembali jalan tersebut agar tidak menyebabkan kesesakan lalu lintas. Malah jalan-jalan yang sempit hendaklah dinaik taraf agar dapat dilalui oleh banyak kenderaan dengan selesa dan selamat. Ketidakseimbangan tatapan masa pada lampu isyarat boleh menjadi punca kesesakan jalan raya. Oleh itu sistem jalan raya hendaklah sentiasa berada dalam keadaan yangn efisien.

Penutup Karangan Kesesakan Jalan Raya

Secara keseluruhannya, kesesakan jalan raya boleh memberi pelbagai kesan yang boleh menyebabkan implikasi buruk kepada diri dan orang lain. Maka, semua pihak perlu mengambil inisiatif untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan raya dan bukan hanya berpeluk tubuh melihat usaha kerajaan tanpa memberi sebarang kerjasama kerana sesungguhnya kita hendaklah bagai aur dengan tebing bukan seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.


Contoh Karangan: Punca Kesesakan Lalu Lintas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *