Skip to content

Contoh Karangan Punca Kesesakan Lalu Lintas

Punca Kesesakan Lalu Lintas

Kesesakan jalan raya mengakibatkan kerugian dari segi kehilangan produktiviti. Apakah faktor yang menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku?

Faktor Kesesakan Lalu Lintas

Kesesakan jalan raya bukanlah satu fenomena luar biasa di bandar utama di negara- negara Asia terutamanya Malaysia. Masalah ini telah memberi impak negatif kepada negara dari sudut ekonomi dalam sektor perkhidmatan teksi, bas dan Grab. Malah sektor penghantaran barang bekalan asas, barang pengeluaran kilang dan pelbagai lagi barangan terkesan akibat daripada kesesakan lalu lintas. Oleh itu, kita perlu menelusuri faktor yang menjadi punca kesesakan lalu lintas di Malaysia. Persoalan yang masih menerjah kotak pemikiran ini ialah apakah faktor yang menyebabkan kesesakan di jalan raya berlaku?

Keadaan jalan raya

Faktor yang signifikan dalam kes kesesakan jalan raya adalah berpunca daripada keadaan jalan raya tersebut. Kebanyakan jalan raya telah dibina lebih daripada tiga puluh tahun dan masih dilalui oleh kenderaan sehingga hari ini. Lazimnya, jalan raya tersebut agak sempit dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan ringan sahaja. Keadaan jalan tersebut ibarat retak menanti belah yang menunggu sesuatu malapetaka berlaku untuk memberi impak besar seperti kemalangan maut. Akibatnya, kesesakan jalan raya berlaku di kawasan tersebut terutama pada waktu puncak. Secara tidak langsung, pengguna kenderaan perlu menanggung belanja dan kos penyelenggaraan kenderaan yang tinggi pada setiap bulan.

Aktiviti penyelanggaraan jalan raya

Selain itu, kesesakan jalan raya juga boleh terjadi apabila aktiviti penyelanggaraan di jalan raya tersebut dijalankan oleh kontraktor yang dipertanggungjawabkan oleh Jabatan Kerja Raya. Mereka seperti tikus membaiki labu yang mengakibatkan keadaan jalan tersebut semakin teruk kerosakannya sehingga menyebabkan kesesakan berlaku di jalan raya tersebut. Walaupun aktiviti penyelenggaran dan menaik taraf jalan raya memakan masa berbulan-bulan, pihak kejuruteraan tidak menyediakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan tersebut malah mengakibatkan berlakunya kemalangan jiwa di kawasan penyelenggaraan jalan.

Kepesatan pembangunan industri permotoran

Di samping isu keadaan jalan raya, kepesatan pembangunan industri permotoran telah menggalakkan kemasukan kereta-kereta dari luar negara. Malah persaingan sihat antara syarikat pengeluar kenderaan telah menggalakkan orang ramai untuk membeli kenderaan. Tidak dinafikan bahawa galakan membeli kenderaan terutamanya kenderaan tempatan telah menarik minat masyarakat untuk membeli kenderaan dengan harga yang berpatutan dan berkualiti tinggi. Dengan cara ini negara mampu berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan negara pengeluar kenderaan lain di dunia. Secara tidak langsung, peningkatan bilangan kenderaan di atas jalan raya menjadi punca kesesakan di jalan raya.

Kelemahan sistem perkhidmatan pengangkutan awam

Faktor terakhir yang menjadi punca kesesakan lalu lintas ialah kelemahan sistem perkhidmatan pengangkutan awam. Kebanyakan pengusaha bas dan teksi tidak menyediakan perkhidmatan yang memuaskan hati pengguna. Sebagai contoh, perjalanan mereka tidak mengikut jadual perjalanan. Tidak kurang pula penumpang dipaksa untuk berhimpit-himpit di dalam bas yang berbau. Kesemua situasi dan keadaan ini telah menyebabkan pengguna berpatah arang berkerat rotan dengan sistem pengangkutan awam. Namun, keadaan dan sikap ini lama-kelamaan telah menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku sementelah pula galakan membeli kenderaan dengan skim pinjaman yang berpatutan daripada institusi perbankan telah menggalakkan lagi orang ramai membeli kenderaan sendiri. Kesemua faktor ini telah menyumbang kepada kesesakan lalu lintas.

Penutup Karangan Punca Kesesakan Lalu Lintas

Secara keseluruhannya, dari sudut positif kesesakan jalan raya di bandar -bandar utama telah menunjukkan perubahan gaya hidup masyarakat malah melambangkan kemakmuran negara dari segi ekonomi. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk mencari keputusan yang seimbang agar dapat mengatasi masalah kesesakan yang berlaku.


Contoh Karangan: Langkah Mengatasi Masalah Kesesakan Jalan Raya

1 thought on “Contoh Karangan Punca Kesesakan Lalu Lintas”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *