Skip to content

Contoh Karangan SPM Langkah Mengatasi Masalah Denggi

Langkah Mengatasi Masalah Denggi

Masalah Denggi tidak boleh dilepaskan walaupun semua pihak sibuk menghadapi masalah pandemik COVID-19. Apakah kaedah atau langkah yang efektif untuk menangani masalah denggi?

Langkah Mengatasi Masalah Denggi di Malaysia

Dalam kesibukan semua pihak menghadapi masalah pandemik Novel Coronavirus 2019 (COVID-19), rakyat seolah-olah terlepas pandang satu isu masyarakat yang masih membelenggu dan memberi ancaman pada kita. Masalah tersebut ialah masalah denggi yang menjadi penyakit berjangkit bawaan vektor yang berbahaya kepada individu dan masyarakat sekitar kawasan kejiranan mereka. Faktor cuaca menjadi punca kes demam denggi meningkat setiap tahun. Keadaan ini menyebabkan semua pihak perlu mencari jalan penyelesaian yang boleh mengurangkan peningkatan kes demam denggi. Persoalannya, apakah kaedah atau cara yang efektif lagi drastik bagi menangani masalah ini?

Menjaga kebersihan persekitaran rumah

Langkah awal yang perlu diambil adalah dengan bermula daripada ahli keluarga itu sendiri. Setiap ahli keluarga hendaklah memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kebersihan persekitaran rumah. Ibu bapa hendaklah menjadi suri teladan kepada anak-anak sesuai dengan peribahasa yang menyebut bagaimana acuan begitulah kuihnya. Mereka hendaklah meluangkan masa selama 10 minit untuk membuang takungan air sekali gus menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes untuk mencegah pembiakan nyamuk aedes di persekitaran rumah. Tindakan ini dapat memastikan setiap anggota keluarga terhindar daripada ancaman nyamuk aedes yang boleh menyebabkan demam denggi. Jelas bahawa tindakan bestari ini perlu bermula dari rumah.

Sentiasa cakna dalam isu demam denggi

Langkah yang seterusnya juga perlu diambil oleh setiap anggota keluarga dengan sentiasa cakna dalam isu demam denggi ini. Sebagai satu tamsilan yang sesuai ialah anggota keluarga haruslah mengenakan pakaian yang menutup anggota tangan dan kaki serta memakai pakaian berwarna cerah. Anak-anak pula dilarang bermain di luar rumah pada waktu lewat petang. Ibu bapa pula hendaklah menyembur semburan penghalau nyamuk yang berasaskan bahan semula jadi seperti minyak serai pada tubuh badan anak -anak dan seluruh ruang di dalam rumah untuk mengelakkan anak-anak daripada serangan nyamuk aedes pada waktu malam. Tegasnya, Kerjasama antara anggota keluarga ini bagai aur dengan tebing.

Aktiviti pembersihan kawasan komuniti

Langkah lain yang signifikan dalam isu ini ialah aktiviti pembersihan kawasan komuniti yang dilakukan secara gotong-royong dalam kejiranan. Persatuan penduduk atau KRT hendaklah memainkan peranan mereka dengan menggerakkan aktiviti pembersihan kawasan perumahan secara gotong-royong dengan melibatkan semua penduduk. Pada masa yang sama, program gotong-royong ini boleh diperkasa dengan aktiviti sampingan seperti pemeriksaan jejentik dari rumah ke rumah oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bahagian pencegahan denggi. Dengan aktiviti bersepadu daripada semua pihak dan agensi yang berkaitan, maka usaha ini dapat direalisasikan demi memastikan nyamuk aedes dapat dihapuskan dalam kawasan komuniti.

Peranan Kementerian Kesihatan Malaysia

Langkah bestari yang perlu diambil kira dalam isu ini ialah kempen yang berterusan daripada kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia. Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Pejabat Kesihatan Daerah telah mengadakan program bersama komuniti dengan melakukan hebahan melalui edaran brosur dan pameran. Ada kemenyan sebesar lutut, tidak dibakar tidak akan berbau begitulah juga dalam isu ini, jika maklumat atau info yang berguna tidak dihebah pasti tidak akan dapat diketahui oleh orang. Maka kempen ini perlulah lebih kreatif dengan menggunakan pelbagai medium alternatif yang menjadi ikutan ramai pada hari ini.

Penutup Karangan Mengatasi Masalah Denggi

Sebagai satu kesimpulan dalam isu masyarakat, langkah yang telah diambil ini hendaklah dilakukan secara proaktif, pragmatif dan istiqamah serta iltizam yang tinggi daripada semua pihak dalam menangani kes demam denggi. Maka semua pihak perlu saling bekerjasama, bersatu hati, berpadu tenaga dan sebulat suara untuk menyelesaikan masalah denggi yang masih menjadi isu utama dalam masyarakat agar dapat memastikan kesihatan keluarga dan masyarakat terjamin dan terhindar daripada masalah denggi.


Contoh Karangan: Punca Penyakit Deman Denggi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *