Skip to content

Contoh Karangan: Langkah Mengatasi Masalah Gelandangan

Langkah Mengatasi Masalah Gelandangan

Gelandangan merupakan golongan masyarakat yang biasanya bekerja di bandar besar seperti Kuala Lumpur tetapi tiada tempat kediaman yang tetap. Huraikan langkah untuk mengatasi Masalah Gelandangan.

Langkah untuk Mengatasi Masalah Gelandangan

Seiring dengan pembangunan pesat di kota raya besar seperti Kuala Lumpur, Johor Baharu, Ipoh dan Pulau Pinang, isu gelandangan bukanlah isu luar biasa malah sudah menjadi lumrah orang kata ada semut ada gula, begitulah situasi yang sama berlaku di kota-kota besar di seluruh dunia. Namun fenomena ini semakin lama semakin membebani pelbagai pihak dalam usaha menangani isu yang berkaitan kebejatan sosial yang berlaku dalam masyarakat. Persoalan yang masih berlegar-legar dalam kotak pemikiran ini ialah, apakah tindakan yang wajar diambil bagi mengatasi masalah golongan gelandangan ini?

Pusat atau petempatan sementara

Pendekatan pertama yang boleh diambil dalam mengatasi masalah orang gelandangan ini ialah mereka hendaklah ditempatkan di satu pusat atau petempatan sementara. Pusat perlindungan yang disediakan oleh kerajaan akan dapat melindungi mereka daripada pengaruh negatif atau tindakan jenayah yang boleh merosakkan masa depan mereka. Malah, kebajikan mereka seperti makan minum, pakaian dan kesihatan akan dijaga oleh pihak pengurusan pusat tersebut. Tidak dinafikan usaha ini dapat mengurangkan masalah gelandangan yang sering berpeleseran. Pemantauan berpusat ini akan memudahkan bantuan kemanusiaan dan kebajikan disalurkan ke satu tempat yang diyakini dan dipercayai.

Latihan kemahiran dan teknikal

Pendekatan yang seterusnya ialah, golongan gelandangan ini hendaklah diberi latihan kemahiran dan teknikal yang membolehkan mereka diterima dalam pasaran kerja. Selain itu, bagi orang gelandangan yang berminat untuk berniaga, kerajaan boleh menyalurkan bantuan keusahawanan dalam bentuk latihan, bantuan modal dan sokongan pemasaran. Hal ini akan dapat membantu kerajaan menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja kasar dan kebergantungan tenaga buruh asing. Secara tidak langsung bantuan kemahiran ini akan membebaskan mereka daripada pandangan serong masyarakat terhadap golongan gelandangan atau orang terbuang.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat

Pendekatan lain yang wajar diambil perhatian ialah Syarikat korporat hendaklah mengadakan program Tanggungjawab Sosial Korporat dengan menyediakan bantuan sokongan kepada mereka. Bantuan tersebut boleh disalurkan melalui rumah kebajikan atau rumah perlindungan. Sebagai contoh, syarikat korporat menyumbang katil dan tilam untuk kegunaan penghuni rumah kebajikan yang sering bertukar ganti penghuninya. Keadaan ini akan dapat membantu pentadbir rumah kebajikan meneruskan kelangsungan hidup penghuni di rumah kebajikan tersebut. Oleh itu, program Tanggungjawab Sosial Korporat harus diperluas agar dapat memberi manfaat kepada insan yang memerlukan khususnya golongan gelandangan.

Pendekatan penguatkuasaan

Pendekatan penguatkuasaan juga mampu mengatasi masalah gelandangan ini. Kebanyakan orang gelandangan ini terlibat dalam masalah sosial seperti penagihan dadah, lari dari rumah, ketagihan arak dan mengandung di luar nikah. Mereka melarikan diri daripada ahli keluarga lalu tinggal dan menetap bersama dengan rakan di merata-rata tempat. Dengan tindakan penguatkuasaan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Polis Diraja Malaysia, mereka akan ditangkap lalu dihantar ke rumah kebajikan atau pusat pemulihan. Mereka akan diberi tempat tinggal sementara dan latihan kemahiran seterusnya dibenarkan kembali berada dalam masyarakat setelah pulih daripada masalah.

Penutup Karangan Masalah Gelandangan

Secara keseluruhannya, masalah gelandangan merupakan bukti kepincangan dalam sesebuah masyarakat dari segi ekonomi dan sosial. Namun tindakan menyalahkan pihak lain terutama kerajaan dalam isu ini bukanlah tindakan yang bijak malah seharusnya semua pihak perlu duduk semeja mencari penyelesaian yang mampu mengubah landskap kehidupan masyarakat dalam membina masyarakat bertaraf kelas pertama. Oleh itu, semua pihak harus menggalas tanggungjawab ini agar dapat membebaskan masyarakat kita dari isu gelandangan seterusnya membina sebuah masyarakat bertaraf kelas pertama di asia.


Contoh Karangan: Punca Masalah Gelandangan

1 thought on “Contoh Karangan: Langkah Mengatasi Masalah Gelandangan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *