Skip to content

Contoh Karangan: Punca Masalah Gelandangan

Karangan Punca Masalah Gelandangan

Isu gelandangan berlaku di kota-kota besar di seluruh dunia termasuklah kota raya besar seperti Kuala Lumpur di Malaysia. Apakah punca masalah gelandangan?

Punca Masalah Gelandangan

Seiring dengan pembangunan pesat di kota raya besar seperti Kuala Lumpur, Johor Baharu, Ipoh dan Pulau Pinang, isu gelandangan bukanlah isu luar biasa malah sudah menjadi lumrah orang kata ada semut ada gula, begitulah situasi yang sama berlaku di kota-kota besar di seluruh dunia. Namun fenomena ini semakin lama semakin membebani pelbagai pihak dalam usaha menangani isu yang berkaitan kebejatan sosial yang berlaku dalam masyarakat. Persoalan yang masih berlegar-legar dalam kotak pemikiran ini ialah, apakah punca yang menyebabkan golongan ini memilih untuk menjalani kehidupan sebagai gelandangan ?

Peningkatan kos sara hidup

Dalam perbincangan isu gelandangan, faktor peningkatan kos sara hidup di kota raya menjadi faktor yang signifikan untuk kita kaji. Kehidupan di kota raya hanyalah indah khabar daripada rupa kerana kehidupan di kota raya tidak seindah yang dikhabarkan. Mereka memperoleh pekerjaan dengan gaji minimum dan hanya mampu untuk menampung kehidupan sendiri sahaja dan lebih malang lagi mereka tidak mampu untuk menyewa rumah dengan kadar sewa yang mahal. Keadaan ini memaksa mereka untuk mengambil keputusan yang tidak menyusahkan pihak lain iaitu mereka hidup merempat di bawah jambatan, di belakang bangunan dan kawasan awam.

Masalah kebejatan akhlak dan sosial

Selain faktor peningkatan kos sara hidup, masalah kebejatan akhlak dan sosial telah menyebabkan mereka tersisih daripada arus pembangunan negara. Kebanyakan mereka yang menjalani kehidupan sebagai gelandangan ini adalah terdiri daripada mereka yang menagih dadah, lari dari rumah atau dipulau oleh keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka yang menghadapi masalah atau gejala sosial ini akan menyisihkan diri mereka daripada masyarakat umum. Mereka menjadikan lokasi di bawah jambatan, belakang bangunan kedai, atau di dalam bangunan kosong sebagai ‘port’ untuk melepaskan “gian” atau bersembunyi daripada pihak berkuasa. Jelas menunjukkan bahawa masalah sosial menjadi punca masalah gelandangan.

Penyakit kronik yang memerlukan rawatan

Tidak dinafikan dalam isu gelandangan ini, ada antara mereka yang menghidap pelbagai penyakit kronik yang memerlukan rawatan. Mereka dihalau oleh keluarga lantaran kesukaran menjaga mereka akibat kesempitan hidup lalu golongan ini merempat di kaki lima dengan kesan luka akibat penyakit yang dialami. Ada antara golongan ini terdiri daripada mereka yang menghadapi masalah mental akibat tekanan hidup di kota raya. Masalah penyakit kronik dan penyakit mental ini telah menyebabkan mereka disisih oleh ahli keluarga lalu menjadi orang gelandangan. Kehidupan mereka bagai rumput di tepi jalan dan tiada sesiapa yang pun ambil peduli.

Kemiskinan hidup

Faktor yang menjadi punca peningkatan orang gelandangan ini adalah disebabkan oleh kemiskinan hidup. Mereka tidak mempunyai sijil kemahiran atau sijil pelajaran yang membolehkan mereka bekerja secara tetap dan hanya melakukan pekerjaan yang memberi upah harian. Kadangkala mereka mengharapkan bantuan atau sumbangan makanan daripada NGO atau pihak masjid. Golongan gelandangan ini akan merayau-rayau di sekitar ibu kota mencari tin-tin kosong untuk dijual. Jelas sekali bahawa masalah kemiskinan bukan sahaja di kampung malah di bandar lebih memberi cabaran kepada mereka. Sesungguhnya ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras.

Penutup Karangan Punca Masalah Gelandangan

Kesimpulannya, isu orang gelandangan bukanlah isu retorik semata-mata malah isu ini akan menjadi seperti pisau makan tuan yang akan merosakkan nama negara jika tidak ditangani dengan bijak. Oleh itu, kerajaan perlulah bijak mencari penyelesaian yang konstruktif dalam satu anjakan paradigma masyarakat agar dapat membetulkan kepincangan yang berlaku demi menjaga nama baik negara di persada dunia sebagai sebuah negara yang disebut-sebut.


Contoh Karangan: Langkah Mengatasi Masalah Gelandangan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *