Skip to content

Contoh Karangan SPM – Langkah Mengatasi Obesiti

Karangan Langkah Mengatasi Obesiti

Obesiti membawa kesusahan dalam kehidupan kita dan masalah ini akan mengancam kesihatan. Huraikan cara untuk mengatasi masalah obesiti dalam kalangan masyarakat.

Langkah Mengatasi Obesiti dalam kalangan Masyarakat

Dalam menempuh kemajuan teknologi dalam pemakanan, kemajuan teknologi pemakanan ini telah menyebabkan pelbagai masalah timbul dan antaranya masalah obesiti berlaku. Obesiti secara umumnya ialah masalah berat badan yang berlebihan atau kegemukan yang melampau. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya, pengambilan makanan yang melebihi keperluan badan, gaya hidup yang tidak sihat dan masalah genetik. Masalah obesiti ini telah memberi kesan buruk kepada kesihatan diri seseorang. Lantaran itu, langkah pencegahan perlu diambil segera demi memastikan kesihatan terjamin. Persoalannya, apakah langkah bestari yang boleh diambil untuk mengatasi masalah obesiti?

Mengamalkan pemakanan seimbang

Antara pendekatan lazim yang diambil oleh kebanyakan pihak adalah dengan mengamalkan pemakanan seimbang. Kita hendaklah mengambil makanan mengikut jadual piramid makanan yang telah disusun keperluan pengambilan karbohidrat, protein, lemak dan zat-zat pemakanan dalam pilihan menu makanan seharian seseorang. Selain itu, kita juga disarankan untuk makan mengikut waktu secara teratur iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan Malaysia( KKM) telah mengadakan kempen Pinggan Sihat Malaysia dengan slogan ‘suku suku separuh’ bagi memastikan rakyat mengambil pemakanan seharian dalam jumlah yang sederhana dan mengutamakan keperluan yang lebih penting untuk kesihatan badan. Oleh itu, pengambilan makan seimbang amat perlu untuk menjamin kesihatan dan mengelakkan masalah obesiti.

Senaman secara teratur

Selain pendekatan pengambilan makanan seimbang, mereka boleh melakukan senaman secara teratur pada setiap hari dengan penuh disiplin dan melakukan senaman tersebut sekurang-kurangnya tiga puluh minit dalam tiga kali seminggu. Aktiviti ini lebih seronok dilakukan bersama dengan ahli keluarga dan pada masa yang sama untuk mengelakkan kita kebosanan atau patah semangat jika melakukan senaman sendirian. Dengan cara itu, kita tiada alasan untuk tidak bersenam kerana peribahasa ada menyebut, bertangguh itu pencuri masa. Oleh sebab itu, kita jangan menangguhkan pekerjaan yang baik iaitu bersenam demi mengekalkan berat badan dan kesihatan sekali gus mencegah daripada masalah kegemukan

Tidak harus mengambil produk pelangsingan badan

Di samping itu, kita tidak harus mengambil produk pelangsingan badan yang berlambak bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Produk-produk tersebut sering diiklankan dan dijual dalam pasaran secara dalam talian tanpa mendapat kelulusan daripada Kementeri Kesihatan Malaysia (KKM). Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan ubat kurus atau ubat pelangsingan badan mengandungi bahan yang berbahaya seperti Steroid, Sibutramine, Phenolphthalein dan Sildenafil. Secara tidak langsung masalah obesiti akan berlaku kembali apabila mereka berhenti mengambil produk pelangsingan tersebut.

Undang-undang yang ketat dan penguatkuasaan yang tegas

Pendekatan terakhir yang dapat diambil dalam usaha mencegah masalah obesiti dalam kalangan masyarakat Malaysia adalah dengan melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan undang-undang yang lebih ketat. Kerajaan hendaklah mengharamkan semua produk makanan ringan dalam pasaran seperti yang dilakukan oleh beberapa negara Eropah. Selain itu, kerajaan juga mestilah melarang semua produk pelangsingan badan yang mengandungi bahan terlarang. Mereka yang melakukan kesalahan hendaklah dikenakan hukuman atau denda yang berat agar mereka rasa bersalah dan tindakan ini akan memberi pengajaran kepada orang lain. Oleh itu, penguatkuasaan dapat memberi kesan yang efektif dan drastik dalam usaha mencegah masalah obesiti.

Penutup Karangan Langkah Mencegah Masalah Obesiti

Secara kolektifnya, setiap pendekatan ini bertitik tolak pada diri sendiri untuk mengurus dan mengawal berat badan. Maka kita hendaklah bijak mengawal nafsu makan agar tidak beraja di mata bersultan dihati. Oleh itu, kita hendaklah memiliki disiplin yang tinggi dalam mengurus berat badan agar tidak menghadapi masalah obesiti. Sesungguhnya jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.


Nota Tambahan tentang Masalah Obesiti

Punca Pengunaan ubat-ubatan
Amalan memakan sesetengah ubat-ubatan seperti steroid atau ubat tradisional Cina boleh mengakibatkan berat badan bertambah. Steroid yang berlebihan boleh menyebabkan penyakit diabetes dan hipertensi.

Punca Obesiti – Sindrom metabolik
Sindrom metabolik iaitu sejenis penyakit keturunan menyebabkan seseorang itu mempunyai berat badan yang berlebihan, diabetes, hipertensi, tahap kolesterol yang tinggi, gout dan sebagainya.

Senaman boleh mencegah obesiti
Senaman perlu dilakukan secara berterusan setiap hari dalam tempoh 20 hingga 30 minit sahaja bergantung kepada aktiviti yang dilakukan. Sebaik-baiknya amalkan senaman selama 15 minit setiap hari daripada bersenam selama dua jam tetapi hanya seminggu sekali. Senaman ini merangkumi berjoging, berbasikal, aerobik, bersukan, berenang dan sebagainya

Diet untuk mencegah Obesiti

– Elakkan makanan yang tinggi kandungan kalori seperti makanan yang banyak lemak dan gula. Banyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan.
– Elakkan menggunakan susu pekat manis.
– Kurangkan kandungan gula dalam minuman dan kuih-muih.
– Makan ikut jadual dan elakkan meninggalkan jadual makan.
– Jangan gelojoh ketika makan dan ambil masa untuk memberi rasa kekenyangan.
– Kurangkan makan di waktu malam, elakkan snek ketika menonton televisyen.
– Pengurangan antara 500 hingga 1,000 kalori sehari dapat mengurangkan antara 0.5 hingga 1 kilogram sebulan

Contoh Karangan: Punca masalah obesiti

Tags:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *