Skip to content

Contoh Karangan SPM – Punca masalah Obesiti

Punca Obesiti dan langkah mengatasi

Obesiti diertikan jumlah berat badan yang berlebihan akibat kandungan lemak yang berlebihan. Obesiti merupakan satu masalah kesihatan yang serius di negara kita. Huraikan punca masalah obesiti dalam kalangan masyarakat.

Punca masalah Obesiti dalam kalangan Masyarakat

Dalam alaf milenium ini, kemajuan dalam industri makanan dan minuman di dunia telah menyebabkan perubahan pola pemakanan masyarakat Malaysia. Tidak dinafikan bahawa perubahan ini telah menyebabkan berlakunya banyak masalah kesihatan yang berpunca daripada makanan. Akibatnya, pada 2019 rakyat Malaysia telah mencatat rekod sebagai rakyat tergemuk di Asia dan kesannya masyarakat menghidap pelbagai penyakit kronik dan mengalami masalah kegemukan atau obesiti. Oleh itu, demi menyelesaikan masalah obesiti yang berlaku, kita perlu mengetahui faktor yang mengalakkan masalah ini menjadi parah. Persoalannya, apakah faktor yang menjadi punca masalah obesiti?

Budaya makanan yang pelbagai citarasa dan unik

Antara faktor yang signifikan dalam isu serantau ini ialah Malaysia memiliki budaya yang unik dan pelbagai citarasa makanan yang berbeza mengikut kaum dan suku kaum di seluruh negara. Malaysia terkenal dengan nasi lemak, roti canai, mi goreng, dan beribu-ribu juadah makanan yang menjadi kegilaan penduduk di Malaysia apatah lagi pelancong asing dari luar negara. Hal ini disebabkan makanan Asia sering menggunakan minyak yang banyak dalam penyediaan masakan mereka justeru, kepelbagaian juadah dan citarasa makanan yang unik di Malaysia menjadi faktor masalah obesiti berlaku.

Pertumbuhan ekonomi

Selain keunikan makanan di Malaysia, pertumbuhan ekonomi telah menggalakkan pembukaan premis makanan segera yang wujud bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Keadaan ini telah menyebabkan masalah obesiti bertambah parah di Malaysia. Keghairahan syarikat-syarikat francais makanan yang terkenal di dunia seperti Mc Donald, Burger King, Texas Chicken dan pelbagai lagi telah mengisi ruang premis di setiap pasar raya atau gedung besar. Faktor kesibukan ibu bapa bekerja sehingga tidak sempat menyediakan juadah untuk anak-anak lantas mendesak ibu bapa mengambil jalan mudah dengan makan di restoran makanan segera. Keadaan sebeginilah yang telah mengakibatkan masalah obesiti semakin rumit dan sukar dibendung.

Fahaman budaya masyarakat

Dari sudut yang berbeza pula, fahaman budaya sesebuah masyarakat juga menjadi faktor masalah obesiti. Sesetengah masyarakat suka melihat anak-anak kecil dalam keadaan tubuh yang bulat dan montel. Ibu bapa pasti berasa bangga apabila melihat anak mereka dipuji oleh saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga tentang wajah anak yang montel dan comel. Jika keadaan ini berlarutan sehingga mereka membesar dan memasuki alam persekolahan, maka anak-anak akan menghadapi pelbagai masalah dari segi kesihatan, penampilan diri, perasaan rendah diri, menjadi mangsa buli dan ejekan serta pelbagai lagi keadaan yang memberi kesan negatif kepada anak-anak tersebut.

Masalah genetik dan hormon

Tidak dinafikan, masalah genetik dan hormon juga menjadi faktor seseorang itu menjadi gemuk atau obesiti. Mereka yang dilahirkan dengan gen yang menyebabkan berat badan berlebihan seperti Sindrom Prader-Willi menyebabkan rasa kelaparan yang melampau dan mereka yang ada sindrom ini akan sentiasa mahu makan dan tiada perasaan kenyang. Keadaan ini disebabkan gangguan genetik yang berlaku pada DNA . Selain itu sindrom Metabolik juga boleh menyebabkan kegemukan. Kebiasaannya mereka yang ada sindrom ini disebabkan keturunan yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Sebagai contoh jika salah seorang ibu bapa mempunyai berat badan berlebihan, maka anak-anak juga akan mempunyai berat badan yang berlebihan.

Penutup Karangan Faktor masalah Obesiti

Secara keseluruhannya, setiap penyakit ada penawarnya, begitu juga masalah obesiti yang pasti ada jalan penyelesaiannya. Namun tindakan yang proaktif perlu dilakukan oleh semua pihak agar masalah obesiti tidak menjadi penyakit nombor satu di Malaysia. Oleh itu semua pihak mestilah berganding bahu membantu golongan yang menghadapi masalah ini agar mereka dapat menjalani kehidupan normal seperti orang lain yang mempunyai tubuh badan yang tegap dan sihat.


Contoh Karangan: Langkah Mengatasi Obesiti

Tags:

2 thoughts on “Contoh Karangan SPM – Punca masalah Obesiti”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page