Skip to content

Contoh Karangan: Amalan Gaya Hidup Sihat

AMALAN GAYA HIDUP SIHAT

Kesihatan merupakan aset paling penting sebagai warganegara Malaysia. Amalan Gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini. Bincangkan cara-cara mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Cara-Cara Mengamalkan Gaya Hidup Sihat

Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini, gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.

mengambil makanan yang seimbang

Satu amalan yang penting untuk diamalkan adalah dengan mengambil makanan yang seimbang. Tubuh orang yang mengamalkan pemakanan seimbang ini akan mendapat khasiat dan vitamin yang diperlukan. Pemakanan yang seimbang adalah pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Sebagai contohnya, seseorang itu perlu banyak mengambil makanan yang berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan yang berlemak atau mengandungi kolesterol yang tinggi. Dengan cara itu, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan diabetis akan dapat dielakkan kerana mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya. Jadi, izharlah bahawa pemakanan yang seimbang membolehkan kita semua mencapai satu kehidupan yang ceria dan sihat.

bersukan atau beriadah

Amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan atau beriadah. Aktiviti sukan dan riadah yang dilakukan akan menyihatkan seseorang kerana aktiviti itu akan melancarkan perjalanan darah dan badan akan mengeluarkan peluh. Oleh itu, setiap orang hendaklah melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh iaitu, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Seseorang itu boleh bersukan seperti bermain badminton, bola sepak, menunggang basikal, berjoging, atau berenang. Jika badan seseorang itu sihat dan cergas, sudah pastilah daya pemikirannya juga cerdas kerana badan cergas, otak cerdas. Tegasnya, aktiviti beriadah dan bersukan dapat menjamin kesihatan seseorang.

melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala

Selain itu, setiap orang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Hal ini akan memastikan anggota dalaman tubuh seseorang itu seperti, jantung, hati, buah pinggang, dan pankreas berfungsi dengan baik. Melalui cara itu juga, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, diabetis, dan tekanan darah tinggi dapat dapat dikesan lebih awal melalui peralatan moden dalam bidan perubatan. Dengan cara itu, langkah pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera kerana alat-alat perubatan moden dapat mengesan sesuatu penyakit lebih awal dan tidaklah sudah terhantuk baru tengadah. Ringkasnya, seseorang itu akan senantiasa memastikan dirinya sentiasa sihat dengan mendapatkan pemeriksaan doktor secara berjadual sebelum kudis menjadi tokak

menjauhi gaya hidup yang negatif

Akhir sekali, setiap individu perlu menjauhi gaya hidup yang negatif dan tidak sihat seperti pengambilan alkohol yang banyak, ketagihan rokok dan juga pengambilan dadah atau pil-pil perangsang. Hal ini dikatakan demikian kerana amalan gaya hidup yang tidak sihat akan menjejaskan kesihatan dan mengancam nyawanya atau nyawa orang lain. Pengambilan alkohol dan dadah akan mendedahkan badan kepada pelbagai penyakit dan masalah kesihatan seperti obesiti, kencing manis dan kesihatan mental. Selain kita, setiap orang juga perlu menjauhi amalan mengunjungi rumah pelacuran atau tempat-tempat maksiat bagi mengelakkan diri daripada jangkitan penyakit kelamin dan HIV Aids. Tahap kesihatan rakyat yang baik dapat menjamin maruah diri dan meningkatkan produktiviti negara. Pendek kata, seseorang yang mengimpikan kehidupan yang sihat akan memastikan dirinya tidak terjebak dalam aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral.

Penutup Karangangaya hidup sihat

Secara keseluruhannya, amalan gaya hidup sihat dapat dipraktikkan dengan banyak cara. Amalan-amalan ini memang perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat. Jadi, Kementerian Kesihatan perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk merealisasikan impian negara kita itu. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah tentu hasrat untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas tidak akan menjadi kenyataan. Oleh itu, hasrat untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas akan menjadi realiti jika semua pihak saling bekerjasama ibarat yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Semoga kempen kerajaan iaitu kempen โ€˜Rakyat Sihat Negara Majuโ€™dapat direalisasikan kerana rakyat yang sihat dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan menjadi pekerja yang produktif.

Contoh Karangan:
Peranan Ibu Bapa Dalam Usaha Memupuk Gaya Hidup Sihat


Isi tambahan untuk Cara Mengamalkan Gaya Hidup Sihat

1. Diet yang seimbang

  • pengambilan makanan berdasarkan piramid makanan
  • melebihkan pengambilan makanan berserat spt sayur-sayuran dan mengurangkan makanan berlemak dan berkolesterol tinggi spt daging

2.Bersenam / Bereakreasi

  • meluangkan masa sekurang-kurangnya 20 minit sehari, dua kali seminggu
  • dapat melancarkan pengaliran darah, menjamin kesihatan kardiovaskular, mengelakkan obesiti dengan pembakaran lemak / kalori.

3. Elakkan stres / tekanan

  • kawal kemaharan, emosi
  • berjumpa kaunselor, rakan pembimbing,
  • menjalankan aktiviti kerohanian, yoga, bermeditasi

4. Pemeriksaan kesihatan berkala

  • menjalankan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh sekurang-kurangnya setahun sekali untuk mengesan / mendiagnosis penyakit
  • mendapatkan imunisasi yang lengkap cth: hepatitis, BCG, polio untuk bayi dan kanak-kanak.

5. Menjaga kebersihan diri dan persekitaran

  • memastikan penjagaan kebersihan peribadi, cth: mandi, membasuh tangan dengan cara yang betul,
  • tidak berkongsi barangan peribadi spt berus gigi, tuala mandi, sikat rambut
  • memastikan kawasan dalam dan luar rumah bebas daripada medium penyebar penyakit spt sampah sarap, air yang bertakung.

6. Menjauhi amalan negatif

  • tidak merokok, minum arak / alkohol, seks bebas, menagih dadah
  • boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti kanser, Aids, hepatitis, sakit jantung.

Contoh Karangan:
Langkah mengamalkan Gaya hidup sihat

4 thoughts on “Contoh Karangan: Amalan Gaya Hidup Sihat”

  1. masyehhh ats contoh yg diberi , tpi tekejut skit , sbb terlalu umum , i mean , bgus ada contoh psl amalan gaya hidup begatif

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *