Skip to content

Aktiviti berfaedah dan mengisi masa lapang

mengisi masa lapang

Golongan remaja sering kali dikatakan suka membuang masa dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang kurang berfaedah sedangkan banyak aktiviti berfaedah boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang. Huraikan cara yang boleh kita mengisi masa lapang supaya dapat menghargai masa yang penting.

Karangan Aktiviti berfaedah yang boleh mengisi masa lapang

Pada zaman ini, segala kelengkapan telah dinaik taraf dan pembangunan serta ekonomi semakin maju setaraf dengan negara luar. Kemudahan infrastruktur telah dipelbagaikan demi mencapai keselesaan rakyat Malaysia. Namun, disebalik pembangunan negara yang semakin pesat ini, masih ada lagi golongan remaja yang berfikiran sempit dang sering kali melakukan perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Masa lapang sepatutnya terisi dengan aktiviti yang berfaedah dan masa amatlah penting bak kata pepatah ‘Masa Itu Emas’. Masa tidak sepatutnya terbuang begitu sahaja kerana masa yang terbuang tidak mungkin boleh diulang. Masa lapang yang kita miliki boleh menjadi amat bernilai jika kita tahu mengisinya dengan pelbagai aktiviti sampingan. Persoalan yang menerjah minda, apakah cara yang boleh memanfaatkan masa lapang agar golongan remaja yang lena dibuai mimpi-mimpi enak dapat mengelakkan daripada terlibat dalam masalah sosial ini? 

Aktiviti beriadah dan bersukan

Antara cara yang efektif untuk memanfaatkan masa lapang ialah dengan bersukan atau beriadah. Hal ini disebabkan aktiviti sukan boleh menggilap bakat kita dalam bidang sukan. Kita boleh melakukan rencaman jenis aktiviti sukan seperti bermain bola sepak, berenang, berbasikal dan sebagainya. Aktiviti sukan merupakan kegiatan yang boleh mengisi masa lapang dengan berfaedah sambil mengeratkan hubungan dengan ahli keluarga serta rakan. Aktiviti sukan juga meningkatkan stamina tubuh badan kita dan mengelakkan diri daripada risiko serangan penyakit serta masalah obesiti. Peribahasa pusaka bangsa juga ada mengatakan bahawa otak yang cerdas datang daripada badan yang cergas. Yang izharnya, aktiviti sukan dapat membantu kita untuk memanfaatkan masa lapang.

Menimba ilmu

Seterusnya, golongan remaja boleh mengisi masa lapang dengan menimba ilmu yang merangkumi pelbagai bidang tidak kira samada di sekolah, kelas tambahan, kolej mahupun hanya di rumah. Dengan cara ini, masa lapang dapat digunakan dengan penuh manfaat. Dengan minat untuk menimba ilmu , kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan tidak menjadi sepeti katak di bawah tempurung. Remaja boleh mengisi masa lapang dengan membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan ilmiah dan bukan bahan bacaan yang mengandungi hiburan semata-mata. Di samping dapat menambahkan pengetahuan, kita juga dapat memperbaiki penguasaan bahasa dan menambahkan perbendaharaan bahasa. Sekiranya remaja rajin menimba ilmu, nescaya banyak pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh. Golongan remaja yang seperti ini akan dihormati dan disenangi oleh ahli keluarga dan masyarakat.

Aktiviti kemasyarakatan

Selain itu, remaja perlu melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang sering kali dianjurkan oleh pelbagai pihak terutamanya pihak yang mewakili kebajikan masyarakat. Kita boleh menghargai masa dengan mengikuti aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti aktiviti gotong-royong, rukun tetangga dan Hari Keluarga. Hal ini dapat meningkatkan serta mengukuhkan ikatan ukhwah sesama anggota masyarakat dan mengeratkan perpaduan dalam negara. Golongan remaja boleh mendaftarkan diri untuk menjadi sukarelawan yang membantu mereka yang susah terutamanya mangsa bencana alam. Golongan remaja perlu menjadi pelapis bagi generasi yang prihatin akan kesusahan dan kesempitan hidup orang lain.

Kerja-kerja sampingan

Remaja juga boleh melibatkan diri dengan kerja-kerja sampingan dan mengambil upah bekerja bagi menambah wang perbelanjaan. Remaja juga boleh menyimpan wang yang diperoleh di dalam akaun simpanan untuk kegunaan masa hadapan. Dengan ini, beban yang ditanggung oleh ibu bapa dapat diringankan. Wang yang diperoleh juga boleh digunakan untuk tujuan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat yang tertentu di samping dapat merehatkan serta menenangkan fikiran. Selain itu,dengan aktiviti lawatan yang dijalankan remaja dapat menambah ilmu pengetahuan dan meluaskan pengalaman serta menyemai semangat patriotik dan cinta akan alam sekitar.

Penutup Karangan

Kesimpulannya, masa lapang yang kita miliki umpama emas yang berharga. Ini menunjukkan masa sangat penting dalam kehidupan kita kerana masa yang berlalu tidak dapat diganti. Setiap remaja mesti bijak membahagikan masa agar masa tidak terbuang begitu sahaja. Remaja yang tidak menghargai masa akan merugikan diri sendiri dan mudah terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat. Sebagai manusia, kita hendaklah menggunakan masa ini untuk perkara-perkara yang boleh mendatangkan pelbagai kebaikan kepada diti kita dan juga orang lain, agar mendapat kejayaan dan kebahagiaan di dunia akhirat. Oleh itu, kita harus bijak mengurus masa supaya tidak membazir begitu sahaja.


Contoh Karangan: Faedah Bersukan kepada Remaja

1 thought on “Aktiviti berfaedah dan mengisi masa lapang”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page