Skip to content

Contoh Karangan SPM – Kebaikan Minat Membaca

SPM - karangan Kebaikan Minat Membaca

Sebagai seorang pelajar, kita perlu memupuk minat membaca untuk menambahkan ilmu pengetahuan dan mendapat keputusan yang cemerlang. Tulis karangan tentang kebaikan minat membaca terhadap remaja,

Faedah dan Kebaikan Minat Membaca

Pada era globalisasi ini, masyarakat semakin meluangkan masa dengan teknologi yang serba canggih seperti bermain permainan video yang lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Pada zaman dahulu kala, remaja akan meluangkan masa dengan aktiviti membaca yang lebih sihat. Amalan membaca ialah sikap suka menelaah bahan bacaan dalam aktiviti harian seseorang remaja itu. Antara bahan bacaan itu meliputi novel, majalah dan akhbar yang banyak dijual di kedai-kedai buku itu. Sebenarnya, amalan ini mempunyai banyak faedah kepada remaja apabila dilakukan secara kerap.

Meluaskan ilmu pengetahuan

Melalui membaca seseorang itu akan mendapat pelbagai faedah untuk diri sendiri. Antara kebaikan membaca ialah seseorang itu dapat meluaskan ilmu pengetahuan tentang isu-isu semasa seperti ekonomi, politik, dan sosial. Ada kata yang menyebut bahawa ‘membaca jambatan ilmu’. Aktiviti membaca pasti membawa pelajar menambahkan ilmu pengetahuan dan memperoleh maklumat terkini tentang sesuatu perkara itu. Hal Ini disebabkan cara belajar yang betul adalah terdiri daripada tiga cara iaitu membaca, mendengar dan menulis. Kebanyakan pelajar cemerlang mengatakan bahawa mereka sering mengamalkan budaya membaca yang mana dapat membantu mereka dalam akademik mereka.

Berfikiran dengan lebih kreatif

Bagi seorang pelajar, membaca semestinya suatu perkara yang wajib bagi mereka untuk berjaya kerana membaca dapat membantu mereka berfikiran lebih kreatif yang dapat mencetuskan idea-idea baru. Bagi mereka yang ingin menjadi seorang novelis, membaca semestinya menjadi suatu perkara yang amat penting kerana selain pengalaman yang dilalui, hasil bacaan juga dapat membantu mereka dapat menghasilkan sebuah novel yang dapat menarik minat si pembaca dengan gaya bahasa yang menarik. Membaca umpama sudu yang mengambil ilmu lalu disuapkan ke dalam diri si pembaca agar dapat dipraktikkan dan dapat menjadi seorang yang lebih berguna di masa yang akan datang.

Meningkatkan kemahiran berbahas

Selain dapat menambah ilmu pengetahuan, membaca juga dapat meningkatkan kemahiran berbahasa. Ini kerana kebanyakan pelajar melayu masih tidak dapat menguasai kemahiran Bahasa Melayu dengan baik walaupun ini merupakan bahasa percakapan harian mereka. Oleh itu, bagi membetulkan kaedah berbahasa, kita perlulah lebih banyak membaca kerana apa yang kita baca dapat dijadikan contoh bagi kita di masa yang akan datang. Membaca juga semestinya dapat menambah perbendaharaan kata.

Mengisi masa lapang

Selain itu juga, minat membaca dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Sikap suka membaca dan menjadikan minat membaca sebagai hobi boleh mengisi masa lapang remaja. Amalan ini memerlukan tumpuan yang lama seperti berjam-jam untuk menghabiskan sebuah buku terutama buku yang tebal. Remaja zaman sekarang seakan sudah hilang minat membaca kerana mereka lebih gemar menghabiskan masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti permainan video, melepak, lumba haram dan sebagainya. Masalah gejala keruntuhan akhlak di kalangan remaja akan merosakkan negara kerana remaja masa kini adalah tonggak negara. Justeru, minat membaca dalam kalangan remaja boleh mengurangkan remaja terlibat dalam sebarang kejadian negatif ini.

Membantu memajukan negara

Di samping itu, budaya membaca dapat membantu memajukan negara. Pembacaan bahan bacaan yang banyak dapat menambahkan pengetahuan tentang sesuatu bidang seperti bidang sains dan teknologi. Sekiranya remaja dan pelajar di negara kita mempunyai ilmu bidang sains dan teknologi yang luas, negara kita dapat membangunkan sektor ini dan menyebabkan banyak ciptaan baharu direka. Secara umumnya, negara kita akan layak bersaing dengan negara maju yang lain. Sebagai contoh, rakyat negara Jepun yang minat membaca telah mencapai kemajuan dalam bidang sains dan teknologi. Negara Jepun dapat mencipta pelbagai jenis barangan yang berfungsi secara automatik dan telah meningkatkan ekonomi negara mereka. Oleh itu, kita hendaklah rajin membaca supaya tanah air kita dapat dibangunkan dan dimajukan.

Penutup Karangan Kebaikan Minat Membaca

Kesimpulannya, orang yang minat membaca akan menjadi matang dan berpengalaman luas kerana “ilmu merupakan pelita hidup”. Ilmu pengetahuan yang diperoleh melalui membaca itu bukan sahaja dapat membantu seseorang mendapat keputusan yang cemerlang malah dapat memajukan negara. Budaya membaca banyak mempunyai faedah kepada individu mahupun negara. Jadikan membaca sebagai amalan seharian agar kita dapat menjadi masyarakat yang berilmu pengetahuan dan dapat menjadi rakyat yang berguna kepada masyarakat, negara dan bangsa.


Contoh Karangan: Langkah Memupuk Minat Membaca

Nota tambahan untuk Karangan Minat Membaca

Sebab rakyat kurang membaca.
– Mereka sibuk dengan urusan pekerjaan.
– Mereka sememangnya tidak minat membaca.
– Kekurangan bahan bacaan yang bermutu.
– Mereka tidak mahu melibatkan diri dengan aktiviti berfikir/ mencabar minda.
– Mereka mempunyai minat atau kecenderungan lain / gemar akan hiburan, dsb.
– Harga bahan bacaan di pasaran mahal.


Kepentingan amalan membaca
– Generasi yang berfikiran kritis dan matang dapat dilahirkan.
– Usaha untuk memben­tuk negara kita agar lebih maju/ pesat membangun dapat dipercepat
– Membaca mampu mem­berikan pengalaman yang baru yang dapat diaplikasikan dalam urusan harian yang tertentu.
– Masyarakat yang serba tahu dapat dilahirkan.
– Kita dapat membuat refleksi tentang kelemahan diri kita sendiri.
– Membaca dapat menaikkan motivasi diri sehingga mewujudkan daya saing yang sihat.
– Kita dapat berubah menjadi manusia yang lengkap.
– Membaca itu keperluan hidup.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *