Skip to content

Novel Destinasi Impian – Nota Komsas Tingkatan 1

Novel Destinasi Impian

Novel Destinasi Impian karya Mohd Ismail Sarbini merupakan komsas tingkatan satu. Berikutnya tema, persoalan, sinopsis, plot, watak perwatakan, latar, gaya bahasa, nilai, pengajaran dan contoh soalan novel.

Sinopsis Novel Destinasi Impian

Novel Destinasi Impian mengisahkan Johari, Azlina dan Firdaus melakukan eskpedisi berbasikal dari Klang ke Morib. Ekspedisi ini merupakan usaha menyahut cabaran yang dilontarkan oleh datuk mereka yang mengatakan bahawa generasi sekarang lemah dan tidak mempunyai semangat yang tinggi. Bagi pihak Johari dan Azlina, ekspedisi berbasikal tersebut juga adalah untuk meningkatkan imej dan semangat Firdaus sebagai seorang lelaki yang bersifat keperempuanan akibat terlalu dimanjakan oleh ibu bapanya. Ekspedisi berbasikal itu telah membolehkan mereka, terutama Azlina mengenali kehidupan di sekelilingnya. Sebaliknya, Firdaus menganggap ekspedisi berbasikal itu sebagai perjalanan gila.

Dalam ekspedisi berbasikal itu, Firdaus sering merungut kerana terlalu lelah. Sikap Firdaus yang tidak sabar itu menimbulkan konflik antara dia dengan adiknya, Azlina. Konflik antara mereka berdua telah menimbulkan perasaan marah serta suasana sindir-menyindir dan tengking- menengking. Bagaimanapun, Johari sebagai sepupunya yang lebih matang sentiasa sabar dan bijak menghadapi kerenah adik sepupunya itu. Akhirnya, ekspedisi tersebut berjaya tiba di destinasinya, iaitu di Pantai Morib Baru. Firdaus berbangga akan dirinya kerana telah berjaya mengayuh basikal sejauh 50 kilometer.

Di Pantai Morib Baru itu, Firdaus yang tiba lebih dahulu telah disambut oleh rakan-rakannya, iaitu Sazali, Moksin, Salim, Erma, Azrina, dan Mazlinda. Firdaus terkejut kerana kawan- kawannya datang menyambut ketibaannya. Dalam perjalanan tadi, disangkakan kawan-kawannya sedang bergembira menonton wayang dan meraikan majlis sambutan hari lahir Mazlinda, iaitu gadis idamannya. Kawan-kawan Firdaus mengucapkan tahniah kepadanya. Firdaus membohongi kawan-kawannya dengan mengatakan perjalanannya lewat kerana adiknya yang banyak berehat dalam perjalanan. Firdaus juga telah meninggalkan Johari dan Azlina.

Johari dan Azlina sedang duduk-duduk sambil bergembira dengan kawan-kawan Johari yang sama-sama belajar di Universiti Putra Malaysia. Tiba-Tiba Azlina didatangi oleh Moksin dan Sazali yang bertanyakan sama ada betul atau tidak tentang kenyataan Firdaus, iaitu mereka sampai lewat kerana Azlina banyak berehat. Akhirnya, Moksin dan Sazali mengetahui bahawa Firdaus berbohong. Mereka bertekad untuk memaksa Firdaus supaya mengaku bahawa dia berbohong. Sebenarnya, Firdaus berasa sombong akan kejayaannya berbasikal dari Klang ke Morib. Dia juga turut memberitahu Mazlinda bahawa dia pandai berenang juga. Namun begitu, Firdaus sedar bahawa dia tidak sehebat seperti yang dia ceritakan. Oleh itu, perasaan itu terbawa-bawa dalam mimpinya.

Pada keesokan hari, Johari dan Azlina ingin bertolak pulang. Walau bagaimanapun, Firdaus memberitahu mereka bahawa dia ingin pulang sendiri. Azlina berasa tidak sampai hati meninggalkan abangnya, Firdaus untuk pulang berseorangan. Namun setelah dipujuk oleh Johari, akhirnya mereka berbasikal pulang berdua sahaja. Sementara itu, Firdaus dan rakan-rakannya pergi mandi di laut walaupun air laut sedang surut dan airnya berada di tengah-tengah. Firdaus mandi sambil bergembira dengan rakan-rakannya. Mereka turut berlumba menyelam. Dalam kegembiraan itu, Mazlinda telah dipukul ombak dan terkapai-kapai. Firdaus yang bercakap besar itu terpaksa memberanikan diri untuk menyelamatkan Mazlinda tetapi akhirnya, dia yang lemas.

Sebaik-baik sahaja sedar, Firdaus berada di katil hospital. Di sisinya Johari dan Azlina bertanyakan khabarnya. Firdaus juga mengetahui bahawa dia lemas dan telah diselamatkan oleh Mazlinda yang berpura-pura tidak tahu berenang. Firdaus berasa malu tetapi Johari menasihatinya bahawa setiap tindakan berani hendaklah disertai dengan fikiran yang waras. Dia juga dinasihati agar tidak perlu menundukkan muka terhadap cabaran. Sewaktu Mazlinda datang bersama- sama dengan kawan-kawannya yang lain, Firdaus berasa malu dan ingin menundukkan mukanya. Namun, dia teringat akan nasihat Johari dan Azlina, lantas dia memberanikan dirinya untuk memandang kawan-kawannya itu.


Tema Novel Destinasi Impian

NovelDestinasi Impian membawa tema konflik generasi remaja yang menghadapi cabaran dalam hidup demi membuktikan kepada generasi tua yang mengatakan bahawa generasi kini tidak kuat dan tidak bersemangat.

Johari, Azlina dan Firdaus terpaksa menempuh beberapa cabaran dalam perjalanan mereka berbasikal ke Pantai Morib. Namun begitu, hal tersebut berjaya mematangkan Firdaus setelah dia memperoleh pengajaran yang penting daripada ekspedisi menuju ke destinasi impian itu.

Sebagai contoh, Firdaus menghadapi cabaran terpaksa mengayuh basikal dalam keadaan terlalu penat. Di samping itu, Azlina menghadapi cabaran apabila basikalnya terbabas ke tepi jalan lalu dia terhumban dan tangannya berdarah. Selain itu, Johari menghadapi cabaran terpaksa meleraikan pertelingkahan antara Firdaus dan Azlina sepanjang ekspidisi berbasikal tersebut.


Persoalan Novel Destinasi Impian

Terdapat beberapa persoalan dipaparkan dalam novel ini, antaranya:

Persoalan jiwa remaja yang mudah memberontak
Contoh: Firdaus seorang anak muda yang cepat mengalah dan tidak tahan menerima cabaran. Akibatnya dia selalu sahaja merungut dan memberontak apabila mengalami kesusahan.

Persoalan keprihatinan dan kemurahan hati terhadap insan lain
Contoh: Johari sentiasa membantu sepupunya apabila ditimpa kemalangan. Beliau cepat-cepat datang memberi bantuan kepada Firdaus dan Azlina ketika jatuh dari basikal.

Persoalan tentang sikap keberanian apabila menyahut cabaran.
Contoh: Azlina seorang perempuan berumur 16 tahun, pelajar tingkatan 4 sanggup menerima cabaran untuk mengayuh basikal sejauh 50 kilometer. Sebagai seorang pelajar, dia mempunyai daya juang yang tinggi dan penyabar.

Persoalan tentang sikap keinsafan atas kesalahan yang dilakukan.
Contoh: Firdaus akhirnya menyesal apabila sedar dari melakukan kesilapan. Beliau seorang yang panas baran, pembohong dan bersifat angkuh. Selepas peristiwa lemas di pantai, dia mula sedar dan insaf dari kesalahannya.

Persoalan usaha dan kerjasama menghasilkan kejayaan
Contoh: Johari, Firdaus dan Azlina berjaya mengayuh basikal dan sampai ke destinasi Pantai Morib Baru. Mereka berjaya kerana usaha yang gigih dan bekerjasama semasa dalam perjalanan.

Persoalan ilmu pengetahuan diperoleh melalui pembacaan luas.
Contoh: Johari mempunyai pengetahuan yang banyak kerana dia rajin membaca dan masanya banyak dihabiskan dengan membaca buku. Baginya membaca merupakan alat pengukur kemajuan manusia.

Persoalan persahabatan yang begitu erat.
Contoh: Kasmadiana, Kasman dan Tamrin yang merupakan sahabat baik Johari menunggu Johari dan sepupunya yang tiba di Pantai Morib Baru dan menyediakan khemah, makanan serta minuman untuk mereka.

Persoalan keprihatinan memartabatkan dan memperkasakan bahasa Kebangsaan.
Contoh: Semasa mengambil gambar papan tanda Azlina dapat mengenal pasti kesalahan penggunaan bahasa Malaysia yang ditulis pada papan tanda tersebut.

Persoalan semangat tinggi amat penting untuk menghadapi cabaran.
Contoh: Walaupun Azlina perempuan, dia mempunyai semangat yang tinggi untuk berbasikal sejauh 50 kilometer. Azlina tidak mahu menunjukkan keletihannya kepada Firdaus agar Firdaus bersemangat untuk meneruskan perjalanan.


Binaan Plot Novel Destinasi Impian

Cerita bermula dengan watak, Johari, Azlina dan Firdaus yang sedang menyertai ekspedisi berbasikal. Ekspedisi berbasikal tersebut dilakukan dengan beberapa tujuan iaitu untuk menyahut cabaran datuk mereka yang mengatakan bahawa generasi sekarang lemah dan tidak mempunyai semangat yang tinggi.

Firdaus sering mengeluh kepenatan manakala Azlina mempunyai hobi mengambil gambar beberapa tempat yang mereka lalui. Firdaus meminta Johari untuk tidak meneruskan aktiviti ini.

Azlina melihat kesalahan bahasa yang terdapat pada papan tanda ketika berhenti rehat di penghujung Jalan Kampung Johan Setia. Firdaus berasa menyesal menyertai rancangan Johari dan Azlina yang bersemangat menyahut cabaran datuk mereka untuk berbasikal dari Klang ke Morib.

Firdaus telah terkejut dengan bunyi hon lalu terjatuh dan menyebabkan lutut dan sikunya luka serta berdarah. Azlina teringat akan kata-kata Johari yang mempunyai banyak pengetahuan kerana rajin membaca buku. Johari membandingkan sikap Azlina dengan Firdaus bagai langit dengan bumi.

Azlina dan Firdaus telah bertengkar dan sindir-menyindir berikutan sikap Firdaus yang menganggap perjalanan ini sebagai perjalanan gila dan sering kali Firdaus ingin berpatah balik.

Sebuah lori besar bergerak sangat laju dan menyebabkan Azlina terbabas ke kiri jalan dan jatuh terlanggar lubang. Menurut Firdaus, kemalangan yang menimpa Azlina adalah balasan terhadap perbuatan Azlina yang suka memperlinya. Sikap Firdaus ditegur oleh Johari kerana Firdaus berdendam terhadap Azlina. Firdaus meninggalkan mereka.

Johari, Azlina, dan Firdaus telah sampai di destinasi, iaitu Pantai Morib Baru. Johari dan Azlina menyertai rakan-rakan Johari manakala Firdaus menyertai rakan-rakannya seperti Moksin, Sazali, Erma, dan Mazlinda. Mereka bergembira sambil mandi-manda. Keesokan harinya, Johari dan Azlina pulang tanpa Firdaus yang masih mandi-manda di laut. Sewaktu bermain air laut itu, Firdaus telah lemas tetapi diselamatkan Mazlinda dan seterusnya dimasukkan ke hospital.

Firdaus berasakan bahawa kemalangan yang menimpanya adalah balasan kerana dia berbohong. Johari dan Azlinda melawat Firdaus di hospital dan menasihati Firdaus agar bersikap waras dan berani menghadapi cabaran.

Johari menasihati Firdaus agar mengukur kemampuan diri sebelum menolong orang lain dan jangan cepat berasa angkuh dengan kejayaan. Akhirnya, Firdaus berani memandang Mazlinda, Zarina, Erma, Moksin dan Sazali apabila mengingatkan kata-kata semangat daripada Johari.


Teknik Plot Novel Destinasi Impian

Pemerian
Contoh: Johari memerihalkan keadaan Firdaus yang kelihatan begitu letih manakala Azlina pula sedang asyik merakam gambar bunga lalang di tanah terbiar.

Dialog
Contoh: Dialog antara Johari dengan Firdaus yang bertanyakan jarak ke Pantai Morib Baru.

Monolog
Contoh: Azlina bermonolog tentang perwatakan abangnya, Firdaus yang tampan tetapi tingkah lakunya agak keperempuanan.
“Kalau macam ini, sampai esok pun tak akan sampai di Murlbrib. Geram betul!” bisikku.

Imbas kembali
Contoh: Firdaus teringat akan kawannya yang bernama Salim yang merupakan kawan rapatnya di sekolah.

Imbas muka
Contoh: Firdaus berfikir sekiranya dia balik pada petang itu, maka bolehlah dia ke majlis hari lahir Mazlinda yang akan diadakan pada keesokan hari.

Saspens
Contoh: Johari segera menerpa ke arah Firdaus yang sedang membongkok mengambil seketul batu untuk menghalangnya daripada membaling adiknya, Azlina dengan batu tersebut.


Watak Perwatakan Novel Destinasi Impian

  • Abang kepada Azlina dan sepupu kepada Johari
  • Anak lelaki tunggal dalam keluarganya.
  • Berwajah tampan, berambut keriting halus, berhidung mancung dan berkulit putih

Seorang lelaki yang lembut
Firdaus menjadi lembut kerana dikelilingi adik-beradik perempuan. Dia tidak pernah bersukan. Dia juga suka menolong kakak-kakaknya mengubah bunga ataupun memasak.

Seorang yang berani
Azlina berani menyahut cabaran datuknya untuk berbasikal dari Klang ke Pantai Morib Baru. Keberanian Azlina ini mengejutkan datuknya namun datuk memberikan kata-kata semangat bahawa pada zaman ini perempuan dan lelaki mampu melakukan kerja yang sama andai ada kesungguhan.

Seorang yang sombong
Firdaus berasa angkuh apabila disambut dan dipuji oleh rakan-rakannya kerana berjaya berbasikal sejauh 50 kilometer. Dia telah melupakan pengorbanan Johari dan Azlina yang membantunya sepanjang perjalanan.

Pembohong
Firdaus membohongi kawankawannya dengan memberitahu bahawa kelewatannya disebabkan oleh Azlina dan Johari yang kerap berhenti untuk berehat. Firdaus juga berbohong kepada Mazlinda dengan memberitahu bahawa dia pandai berenang walaupun hakikatnya dia langsung tidak tahu berenang.

Pendendam
Ketika Azlina cedera dan luka, Firdaus langsung tidak memberikan pertolongan. Sebaliknya, dia memerli adiknya dan berasa puas dapat membalas semula perbuatan tersebut.

Seorang yang Insaf
Firdaus mulai sedar dan insaf dengan segala perbuatannya setelah berada di hospital kerana hamper lemas di laut. Dia menganggap ini adalah balasan orang yang suka berbohong seperti dirinya.

  • Sepupu kepada Azlina dan Firdaus
  • Penuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM)

Seorang yang minat membaca
Johari tidak suka menonton televisyen atau wayang. Sebaliknya, dia lebih minat membaca. Selain itu, Johari juga
banyak menghabiskan wangnya untuk membeli bahan bacaan seperti buku, majalah dan akhbar.

Seorang yang aktif
Selepas menyahut cabaran datuknya dengan berbasikal dari Klang ke Morib, Johari dan kawan-kawannya bercadang untuk berbasikal dari Serdang ke Port Dickson

Seorang yang berfikiran rasional
Johari membiarkan Firdaus pulang seorang diri kerana ingin membiarkan Firdaus menjadi seorang lelaki yang berani dan berdikari.

Seorang yang prihatin dan bertanggungjawab
Johari sentiasa peka akan keselamatan sepupu-sepupunya sepanjang aktiviti berbasikal ini dijalankan.

Seorang yang mempunyai daya kepimpinan sebagai ketua
Johari bijak menyelesaikan semua masalah yang timbul di antara Azlina dan Firdaus. Misalnya, semasa Firdaus tidak mahu meneruskan perjalanannya dan ingin pulang. Johari memanggil Azlina untuk membuat keputusan supaya tindakannya itu tidak menjadi berat sebelah.

Seorang yang bijak
Johari bijak dan adil membuat keputusan apabila menjadikan undi Azlina sebagai undi penentu ketika Firdaus meminta tidak meneruskan perjalanan.

  • Adik kepada Firdaus
  • Seorang atlet olahragawati sekolah
  • Bertubuh kurus dan tinggi lampai

Seorang yang prihatin
Azlina menyedari akan kesalahan bahasa yang terdapat pada papan tanda seperti AWAS! LUBANG ADA DEPAN! dan PELAN-PELAN JALAN, DEPAN KERJA JALAN.

Seorang yang berani
Azlina berani menyahut cabaran datuknya berbasikal dari Klang ke Morib dan berjaya membuktikannya apabila sampai ke Pantai Morib Baru walaupun mengalami kecederaan.

Seorang yang penyayang
Walaupun selalu bertengkar dengan Firdaus, Azlina tetap mempertahankan abangnya itu. Dia mempertahankan Firdaus apabila Sazali dan Moksin mempersendakan abangnya. Selain itu, Azlina turut risau dan bimbang akan keselamatan Firdaus apabila abangnya ingin pulang bersendirian walaupun telah ditenangkan oleh Johari.

Seorang yang aktif dan cergas
Firdaus kagum apabila melihat kemampuanAzlina kerana tidak merungut kepenatan berbasikal malah sentiasa cergas
keranaAzlina selalu berjoging untuk mengekalkan staminanya.

  • Berambut hitam, lembut, dan panjang mencecah bahu
  • Kawan sekolah Firdaus

Seorang yang baik hati
Mazlinda memuji Firdaus dengan menyatakan bahawa Firdaus sudah menjadi lelaki yang berani dan boleh pulang bersendirian tanpa bergantung kepada Azlina dan Johari.

Seorang yang pandai berpura-pura
Mazlinda berpura-pura tidak pandai berenang dengan membiarkan dirinya lemas supaya Firdaus datang menyelamatkannya. Hal ini demikian kerana Mazlinda ingin menguji sama ada dia benar-benar tahu berenang atau sebaliknya.

Seorang yang bijak
Mazlinda bijak menyusun strategi dengan berpura-pura lemas dan hampir tenggelam semata-mata mahu melihat kecekapan Firdaus untuk menyelamatkannya. Mazlinda tidak mempercayai kehebatan Firdaus berenang selagi Firdaus tidak membuktikannya.

Seorang yang pandai berenang
Semasa mereka bermain pertandingan menyelam, Mazlinda merupakan orang yang terakhir timbul di permukaan air. Selain itu, dia juga yang menyelamatkan Firdaus yang hampir lemas kerana cuba menyelamatkan dirinya.

Mempunyai semangat setia kawan yang tinggi
Mazlinda sanggup berkhemah di Pantai Morib demi memberikan sokongan dan semangat kepada Firdaus yang berbasikal dari Klang ke Morib.

  • Datuk kepada Johari, Firdaus dan Azlina
  • Pernah menunggang basikal lebih kurang 50 kilometer.

Seorang yang bersemangat tinggi
Datuk pernah berbasikal lebih kurang 30 atau 35 batu atau 50 kilometer mengikut kiraan kini dari Klang ke Banting. Datuk bertolak pada waktu pagi dan sampai petang pada hari yang sama.


Latar Novel Destinasi Impian

Latar MasaNovel Destinasi Impian

Pada waktu malam
Firdaus bermimpi tentang rakan-rakannya mencampakkannya ke laut kerana membohongi mereka.

Pada hari Sabtu
Hari sambutan hari jadi Mazlinda. Namun Firdaus tidak dapat menyertai sambutan tersebut kerana menyertai ekspidisi berbasikal ke Morib.

Pada pukul 7:00 pagi
Johari, Firdaus, dan Azlina memulakan ekspedisi berbasikal dari Klang ke Morib.

Pada pukul 10;00 pagi
Tayar basikal Firdaus kempis.

Pada pukul 2:30 petang
Johari, Firdaus, dan Azlina menghampiri selekoh di Sungai Manggis.

Pada pukul 3:30 petang
Johari, Firdaus, dan Azlina tiba di Morib.

Pada pukul 7:00 petang
Azlina dan Kasmadiana berbual-bual di tepi pantai Morib tentang kisah empat orang yang mati lemas.

Pada waktu maghrib
Tamrin mengalunkan azan maghrib dari dalam khemah.

Pada pukul 9.45 pagi keesokannya
Azlina dan Johari berkemas sebagai persiapan untuk bertolak pulang ke Klang.


Latar TempatNovel Destinasi Impian

Tanah terbiar
Tempat Azlina merakamkan gambar bunga lalang.

Sekolah Menengah Kapar
Tempat tinggal Johari, Firdaus dan Azlina. Di situlah juga Johari, Firdaus dan Azlina memulakan ekspidisi berbasikal menuju ke Morib.

Pekan Banting
Tempat Johari, Firdaus dan Azlina berehat.

Pantai Morib Baru
Tempat yang dituju oleh Johari, Azlina dan Firdaus dan tempat mereka berkhemah.

Gerai air tebu
Firdaus menjerit mengatakan bahawa perjalanan berbasikal itu sebagai kerja gila.

Selepas Melewati Sungai Lang Di Banting
Johari berhenti dan menunjukkan rumah Haji Sidek kepada Azlina dan Firdaus. Di sinilah lahirnya jaguh-jaguh badminton iaitu Misbun, Razif, Jailani dan Rashid.

Pantai Morib Baru
Tempat perkhemahan Firdaus, Azlina dan Johari.
Firdaus begitu gembira apabila rakanrakannya menyambut ketibaannya di sini. Disinilah juga tempat Firdaus lemas kerana cuba menyelamatkan Mazlinda.

Di hospital
Firdaus dibawa ke hospital kerana dia lemas ketika menyelamatkan Mazlinda. Di sinilah bibit-bit keinsafan mulai terbit dalam diri Firdaus tentang sikapnya yang berbohong kepada Mazlinda.


Latar MasyarakatNovel Destinasi Impian

Masyarakat yang penyabar
Contoh: Johari amat sabar melayan karenah firdaus yang tak henti-henti ingin membatalkan ekspedisi berbasikal yang disertainya.

Masyarakat yang aktif bersukan.
Contoh: Azlina selalu berjoging dan selalu melakukan ekspedisi berbasikal.

Masyarakat golongan lelaki yang berperwatakan seperti perempuan.
Contoh: Firdaus lemah lembut dan pandai menggubah bunga.

Masyarakat yang mementingkan diri sendiri.
Contoh: Pemandu lori yang memandu lori dengan terlalu laju sehingga Azlina terbabas lalu terjatuh di kiri jalan.

Masyarakat yang saling menyanyangi antara satu sama lain
Contoh: Azlina sayang akan abangnya, Firdaus walaupun mereka selalu sahaja bertengkar.

Masyarakat yang memiliki semangat juang yang tinggi
Contoh: Azlina dan Johari cekal dalam menghadapi segala cabaran sepanjang menyertai ekspedisi berbasikal itu.

Masyarakat yang bersikap angkuh setelah berjaya
Contoh: Firdaus lupa diri setelah mendapat ucapan tahniah dan pujian daripada rakan-rakannya.

Masyarakat yang tidak menggunakan bahasa Malaysia dengan sebaik-baiknya
Contoh: Azlina dapat mengenal pasti kesalahan penggunaan bahasa Malaysia yang ditulis pada papan tanda tersebut ketika mengambil gambar.

Masyarakat yang menjadikan membaca sebagai budaya hidup
Contoh: Johari rajin membaca dan menganggap membaca itu satu keperluan dan bukan sekadar hobi mengisi masa lapang.


Gaya Bahasa Novel Destinasi Impian

Simile
Contoh: Bahasa Melayu sudah menjadi seperti air atau udara; dia tidak menunjukkan apa-apa reaksi bagaikan suaraku diterbangkan angin laut; dendam itu laksana api besar.

Sinkope
Contoh: Abang nak sorong basikal itu?; Budak sekarang tak kuat. Tak ada semangat.

Bahasa Arab
Contoh: halal, mahram, azan.

Bahasa Inggeris
Contoh: camping, no problem.

Peribahasa
Contoh: Bagaikan langit dengan bumi; air muka; kuman di seberang laut tetapi tidak nampak gajah di depan mata; bermandi peluh; indah khabar dari rupa.

Metafora
Contoh: Rimba kehidupan, gunung kebanggaan, lagu keriangan.

Personifikasi
Contoh: Angin kencang yang menampar- nampar muka; persoalan itu mengetuk-ngetuk benakku; sekejap sahaja mereka hilang ditelan kegelapan malam.


Nilai Novel Destinasi Impian

Nilai Bersimpati
Contoh: Johari bersimpati dan segera membantu Azlina yang tercampak apabila basikalnya terbabas ke kiri jalan.

Nilai Keinsafan
Contoh: Firdaus insaf akan kesalahannya membohongi kawan-kawannya, Moksin dan Sazali dengan mengatakan bahawa dia lambat sampai ke destinasi kerana adiknya banyak berehat akhirnya terbongkar juga setelah dia lemas di laut.

Nilai Kecekalan
Contoh: Johari cekal berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam ekspedisi berbasikal bersama-sama dengan Azlina dan Firdaus.

Nilai Berpengetahuan
Contoh: Johari banyak mempunyai pengetahuan apabila dapat menerangkan bangunan bersejarah yang ditemukan semasa ekspedisi berbasikal.

Nilai Kasih sayang
Azlina menyayangi abangnya, Firdaus. Dia memarahi Moksin dan Sazali yang menghina abangnya apabila mereka mengatakan bahawa sepatutnya Azlina nama dengan Firdaus. Azlina juga menyayangi abangnya apabila mengajak Firdaus berjoging supaya abangnya tidak lagi menjadi bahan usikan rakan-rakan dan berani menghadapi cabaran.

Nilai Keberanian
Contoh: Azlina berani menentang abangnya, Firdaus yang bersikap negatif sewaktu menyertai ekspedisi berbasikal.

Nilai Keprihatinan
Contoh: Johari prihatin akan Firdaus dengan mengekori Firdaus dari belakang supaya Firdaus tidak tersesat jalan ke Pantai Morib Baru.

Nilai Cinta akan bahasa kebangsaan
Contoh: Azlina cinta akan bahasa kebangsaan. Dia sanggup memberhentikan basikalnya dan mengambil gambar beberapa papan tanda yang mempunyai kesalahan bahasa.

Nilai Bertanggungjawab
Contoh: Johari dan Azlina rasa bertanggungjawab untuk mengubah tingkah laku dan pemikiran Firdaus agar menjadi lelaki yang sejati.

Nilai Baik Hati
Contoh: Johari baik hati membantu Firdaus menuntun basikal Firdaus sehingga ke kedai basikal apabila tayar basikal Firdaus kembis kerana terkena paku. Johari turut membenarkan Firdaus mengayuh basikalnya kerana mahu Firdaus meneruskan perjalanan.

Nilai Semangat setia kawan
Contoh: Tamrin dan Kasman bantu-membantu mendirikan tiga buah khemah ketika menyambut Johari dan Azlina. Kasmadiana membantu menyediakan makanan dan minuman sepanjang perkhemahan.

Nilai Kerajinan
Contoh: Firdaus rajin membantu emak dan kakak-kakaknya melakukan kerja rumah seperti mengemas, memasak dan menggubah bunga berbanding bersukan.

Nilai Bersemangat tinggi
Contoh Peristiwa: Azlina tetap meneruskan perjalanan walaupun dia cedera. Pada wajahnya tidak tergambar rasa sakit atau pedih akibat luka di tangannya. Azlina menganggap luka di tangannya hanya sedikit sahaja dan bagi orang yang aktif bersukan,luka, patah dan terseliuh sudah menjadi perkara biasa.


Pengajaran Novel Destinasi Impian

Kita mestilah berani menyahut cabaran
Contoh Peristiwa: Johari, Firdaus dan Azlina berani menerima cabaran datuk untuk menyertai ekspedisi berbasikal dari Klang ke Pantai Morib.

Kita mestilah tabah menghadapi kesusahan
Contoh Peristiwa: Johari, Firdaus dan Azlina tabah menghadapi kesusahan dalam ekspedisi berbasikal. Hasilnya, mereka dapat tiba ke tempat yang dituju dengan selamat.

Kita mestilah insaf akan kesalahan diri
Contoh Peristiwa: Firdaus insaf akan kesalahannya membohongi kawan-kawannya setelah dia lemas di laut.

Kita mestilah mempunyai perasaan kasih sayang sesama manusia
Contoh Peristiwa: Azlina sayang akan abangnya, Firdaus. Dia bimbang hendak membiarkan Firdaus mengayuh basikal seorang diri untuk pulang ke rumah.

Kita mestilah rajin belajar
Contoh Peristiwa: Johari yang banyak berpengetahuan dapat memberikan penjelasan tentang bangunan bersejarah yang ditemukan semasa ekspedisi berbasikal kepada Azlina dan Firdaus.

Kita mestilah bersikap baik hati
Contoh Peristiwa: Johari menolong Azlina apabila basikal Azlina terbabas ke tepi jalan.

Kita seharusnya berfikiran terbuka dan berlapang dada apabila menerima kiritikan daripada orang lain.
Contoh Peristiwa: Firdaus suka mengkritik orang lain tetapi tidak suka dirinya dikritik. Firdaus juga tidak tahan apabila Azlina sering mengkritik dirinya yang tidak tahan cabaran dan sering mengeluh kepenatan. Hal ini menyebabkan dia membenci adiknya sendiri.

Kita seharusnya tidak lupa diri atas jasa baik dan budi orang lain telah ditabur pada kita.
Contoh Peristiwa: Firdaus turut angkuh apabila enggan mengikut Azlina dan Johari meneruskan perjalanan ke Klang. Sebaliknya dia mahu berbasikal bersendirian kerana percaya bahawa dia mampu berbuat demikian tanpa bantuan Azlina dan Johari.

Kita perlulah prihatin akan pengguna bahasa kebangsaan dengan betul
Azlina prihatin perkara yang dilihatnya sepanjang perjalanan. Azlina mengambil gambar papan tanda yang mempunyai kesalahan bahasa. Dia mempertikaikan kesalahan bahasa pada papan tanda itu yang mencemarkan bahasa Malaysia.

Kita tidak patut memandang rendah akan keupayaan seseorang.
Contoh Peristiwa: Moksin dan Sazali memandang rendah hasrat Firdaus untuk berbasikal dari Klang ke Morib. Mereka mengandaikan bahawa ahli Persatuan Bulan Sabit Merah akan berbaris di sepanjang jalan untuk menyambut Firdaus. Oleh sebab itu, mereka mahu ke Morib untuk memastikan sama ada Firdaus sampai dengan bas atau basikal.

Kita haruslah bijak bertindak dalam mencari kebenaran tentang sesuatu perkara.
Contoh Peristiwa: Moksin dan Sazali bijak melakukan tindakan apabla berjumpa Azlina untuk mendapatkan kepastian tentang cerita Firdaus bahawa Azlina yang menyebabkan perjalanannya menjadi lambat. Mereka berdua tidak mempercayai kata-kata Firdaus.


Contoh Soalan Novel Destinasi Impian

Berdasarkan novel Destinasi Impian karya Mohd Ismail bin Sarbini, terdapat beberapa persoalan dipaparkan dalam novel ini.

Persoalan pertama yang terdapat dalam novel ini ialah kebijaksanaan seorang ketua dalam mengurus konflik demi memastikan program yang dilaksanakan berjaya. Buktinya, Johari dapat mengendalikan ekspedisi berbasikal dan konflik sepanjang ekspedisi tersebut dengan baik sehingga dia, Azlina dan Firdaus sampai ke tempat yang dituju iaitu
Pantai Morib Baru.

Persoalan kedua ialah sikap terlalu memanjakan anak akan mengakibatkan anak menghadapi konflik identiti. Contohnya, Firdaus berperwatakan agak keperempuanan akibat sikap ibu bapanya yang terlalu memanjakannya.

Persoalan ketiga ialah pembohongan akan terbongkar juga akhirnya dan tidak akan memberikan kebaikan kepada diri sendiri. Contohnya, perbuatan Firdaus yang membohongi Moksin dan Razali dengan mengatakan bahawa dia lambat sampai ke destinasi kerana adiknya,Azlina banyak berehat akhirnya terbongkar juga.

Persoalan seterusnya adalah keberanian mengharungi rintangan. Contohnya, Azlina seorang perempuan berumur 16 tahun, pelajar tingkatan 4 sanggup menerima cabaran untuk mengayuh basikal sejauh 50 kilometer. Sebagai seorang pelajar, dia mempunyai daya juang yang tinggi dan penyabar.

Selain itu, persoalan keinsafan setelah sedar dari kesilapan. Contohnya, Firdaus akhirnya menyesal apabila sedar dari melakukan kesilapan. Beliau seorang yang panas baran, pembohong dan bersifat angkuh. Selepas peristiwa lemas di pantai, dia mula sedar dan insaf dari kesalahannya.

Di samping itu, persoalan usaha dan kerjasama menghasilkan kejayaan. Contohnya Johari, Firdaus dan Azlina berjaya mengayuh basikal dan sampai ke destinasi Pantai Morib Baru. Mereka berjaya kerana usaha yang gigih dan bekerjasama semasa dalam perjalanan.

Novel yang saya baca ialah Destinasi Impian karya Mohd Ismail bin Sarbini. Terdapat beberapa latar tempat yang dipaparkan dalam novel ini.

Antara latar tempat novel Destinasi Impian ialah di Kampung Bukit Kapar. Inilah tempat tingga Azlina,Johari dan Firdaus. Di situlah juga Azlina, Johari dan Firdaus memulakan perjalanan ekspedisi berbasikal menuju ke Pantai Morib Baru.

Jambatan Musaedin juga merupakan salah satu latar tempat yang terdapat dalam novel ini. Tempat ini merupakan tempat Azlina, Johari dan Firdaus melintas dalam ekspedisi berbasikal dan masuk ke Kampung Jawa.

Pantai Morib Baru merupakan latar tempat dalam novel ini. Tempat ini merupakan destinasi yang dituju oleh Johari, Azlina dan Firdaus setelah berbasikal sepanjang 50 kilometer dari Kampung Bukit Kapar. Firdaus juga lemas di laut akibat cuba menyelamatkan
Mazlinda, gadis pujaan hatinya yang berpura-pura lemas.

Novel yang saya baca ialah Destinasi Impian karya Mohd Ismail bin Sarbini. Terdapat beberapa pengajaran yang dipaparkan dalam novel ini.

Pengajaran pertama ialah kita hendaklah rajin membaca supaya mempunyai pengetahuan yang banyak. Sebagai pelajar, adalah menjadi tanggungjawab kita rajin berusaha untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Contohnya, Johari mempunyai pengetahuan yang banyak kerana dia rajin membaca.

Pengajaran kedua ialah kita haruslah mempunyai perasaan kasih sayang terhadap anggota keluarga kerana air dicincang tidak akan putus. Contohnya, Azlina sayang akan abangnya, Firdaus walaupun mereka selalu sahaja bertengkar.

Pengajaran ketiga ialah kita haruslah insaf atas kesalahan yang telah kita lakukan. Contohnya, Firdaus insaf atas kesalahannya membohongi kawan-kawannya setelah dia lemas di laut.

Seterusnya, kita mesti sabar dalam menghadapi cabaran dan dugaan. Contohnya, Johari begitu sabar terhadap Firdaus yang menunjukkan pelbagai kerenah sepanjang ekspedisi berbasikal mereka untuk sampai ke Pantai Morib Baru.

Berdasarkan novel, Destinasi Impian karya Mohd Ismail bin Sarbini watak utama dalam novel ini ialah Firdaus.

Firdaus merupakan seorang yang bertingkah laku agak keperempuanan. Dia seorang yang agak lembut perwatakannya kerana hanya dia seorang anak lelaki dalam keluarganya.

Seterusnya, Firdaus seorang yang cepat lupa diri. Contohnya,dia sanggup berbohong kepada kawan-kawannya setelah berjaya mengayuh basikal sejauh 50 kilometer.

Dia seorang yang gemar duduk di rumah berbanding dengan melakukan aktiviti luar. Firdaus mahu pulang ke rumah dan tidak mahu meneruskan racangan mereka untuk berbasikal ke Morib.

Firdaus juga seorang yang selalu dimanjakan. Dia dimanjai dan segala kemahuannya dituruti oleh ibu bapanya memandangkan sebelum ini ibu bapa mereka mempunyai empat orang anak perempuan sebelum memiliki Firdaus.

Selain itu, Firdaus juga seorang yang tidak mempunyai daya saing yang tinggi untuk menghadapi cabaran. Contohnya, dia selalu merungut dan berhenti sepanjang perjalanan berbasikalnya.

Berdasarkan novel, Destinasi Impian karya Mohd Ismail bin Sarbini watak kegemaran saya dalam novel ini ialah Azlina. Dia merupakan seorang atlek sukan, Azlina merupakan olahragawati Sekolah Menengah Kapar kelihatan aktif dan tidak letih meneruskan kayuhan.

Azlina seorang yang suka mengejek Firdaus. Azlina selalu menyindir Firdaus bagi merangsang Firdaus untuk berubah menjadi lelaki yang gagah. Azlina mengejek Firdaus kerana dia mahukan seorang abang yang sememangnya seorang lelaki.

Azlina seorang yang kuat semangat. Azlina yang kelihatan cergas dan gembira walaupun mereka telah mengayuh selama empat jam setengah.

Seterusnya, Azlina seorang yang penyayang. Buktinya, Azlina tidak sampai hati mahu membiarkan abangnya, Firdaus pulang berseorangan dari Pantai Morib Baru ke Klang. Dia bimbang akan abangnya ditimpa kemalangan.

Akhirnya,Azlina seorang yang suka akan cabaran. Azlina dan Firdaus menyahut cabaran datuk mereka untuk berbasikal ke Morib.

Berdasarkan novel Destinasi Impian karya Mohd Ismail bin Sarbini, watak kegemaran saya dalam novel ini ialahJohari.

Johari seorang yang berani. Buktinya, Johari berani menyahut cabaran datuknya untuk menyertai ekspedisi berbasikal dari Klang ke Pantai Morib Baru iaitu sepanjang 50 kilometer.

Johari ialah seorang yang penyabar. Contohnya, Johari sanggup melayan pelbagai kerenah Firdaus dengan sabar sewaktu mereka menyertai ekspedisi berbasikal. Walaupun Firdaus sering merungut sepanjang perjalanan berbasikal, Johari sabar memujuknya agar Firdaus dapat sampai ke destinasi yang dituju.

Johari ialah seorang yang baik hati. Contohnya, Johari baik terhadap Azlina dan segera membantu adik sepupunya itu apabila basikal Azlina terbabas ke kiri jalan akibat sebuah lori besar yang bergerak laju.

Seterusnya, Johari seorang yang berpelajaran tinggi. Contohnya, Johari merupakan seorang penuntut Universiti Putra Malaysia.

6 thoughts on “Novel Destinasi Impian – Nota Komsas Tingkatan 1”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *