Skip to content

Nota Komsas: Novel Justeru Impian Di Jaring

Nota Komsas Novel Justeru Impian Di Jaring

Novel Justeru Impian Di Jaring karya Zaid Akhtar merupakan KOMSAS Bahasa Melayu Tingkatan 3 edisi Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak. Berikutnya nota novel Justeru Impian Di Jaring, iaitu tema, persoalan, latar tempat, latar masa, latar masyarakat, nilai dan pengajaran, watak dan perwatakan, Plot, gaya bahasa dan sinopsis.

Tema Novel Justeru Impian Di Jaring

Tema Novel Justeru Impian Di Jaring ialah ketabahan seorang pemain badminton dalam menghadapi segala dugaan dan rintangan sebelum bergelar juara dunia.

Hal ini dibuktikan oleh Syahir yang berlatih bersungguh-sungguh untuk memenangi pertandingan badminton Terbuka Johor. Walaupun Syahir gagal dalam pertandingan tersebut namun dia dapat menyertai Kejohanan Badminton Antarabangsa bagi menggantikan tempat Gopinath yang terlibat dalam kemalangan. Walaupun tidak mendapat sokongan daripada penonton tempatan, dia tetap gigih berusaha untuk menewaskan Andri Mirnawan. Akhirnya, Syahir yang begitu tabah dan terus berusaha telah berjaya menewaskan Andri Minarwan di peringkat akhir dan ditabalkan sebagai Juara Kejohanan Badminton Antarabangsa.


Persoalan Novel Justeru Impian Di Jaring

Persoalan berkaitan dengan dunia permainan badminton
Contoh Peristiwa: Syahir dan teman-temannya banyak menghabiskan masa di tempat latihan untuk mempersiapkan diri menyertai Terbuka Johor dan Kejohanan Badminton Antarabangsa. Mereka berlatih bersungguhsungguh untuk berjaya dalam kejohanan yang disertai.

Persoalan Kasih sayang seorang anak terhadap ibu.
Contoh Peristiwa: Syahir amat menyayangi emaknya. Ketika dia ada kelapangan, dia akan pulang ke rumah untuk menemui emaknya yang terletak di Bandar Baru Bangi. Syahir juga berasa amat risau apabila mengenangkan emaknya yang demam sewaktu dia menyertai Terbuka Johor. Begitu juga sebelum ke Jakarta untuk menyertai Kejohanan Badminton Antarabangsa, dia mengunjungi emaknya yang menghidap strok di Hospital Universiti. Seterusnya, Syahir juga sentiasa menghubungi Kak Uda untuk mengetahui keadaan kesihatan emaknya sewaktu di Jakarta. Apabila pulang dari Jakarta, dia segera bertemu emaknya yang masih berada di hospital.

Persoalan hormat terhadap orang yang lebih berpengalaman
Contoh Peristiwa: Syahir amat menghormati jurulatihnya Haji Marzuki. Haji Marzuki menegur kelemahan Syahir yang banyak bermain mengikut mood, lalu memintanya mengawal emosi ketika berada di gelanggang. Syahir menerima teguran dan motivasi daripada Haji Marzuki kerana dia amat menghormati pengalaman yang dimiliki oleh jurulatihnya itu.

Persoalan patriotisme terhadap negara
Contoh Peristiwa: Syahir berasa serba salah untuk menyertai Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta apabila mendapati emaknya diserang strok. Dalam keadaan serba salah dan memikirkan di bahunya ada tanggungjawab terhadap negara, akhirnya dia ke Jakarta. Namun, dia sentiasa menghubungi kakaknya untuk mengetahui keadaan emaknya.


Latar tempat Novel Justeru Impian Di Jaring

Rumah Syahir
Peristiwa Syahir berbual-bual dengan ibu dan kakaknya berkenaan sukan badminton dan ketika itu dia teringat akan ayahnya yang sudah meninggal dunia. Pada peringkat awalnya ayah Syahir tidak menggalakkannya terlibat dalam sukan badminton tetapi lama kelamaan mengizinkannya.

Pejabat akhbar Mingguan Riadah
Peristiwa Syahir bertemu dengan Ratna, juara program Akademi Impiana bersama tiga orang remaja dari UiTM. Syahir bergambar bersama-sama dengan mereka.

Dewan Badminton Tanjung Puteri Bahru
Tempat Kejohanan Badminton Terbuka Johor diadakan bagi acara beregu dan perseorangan. Di sinilah Syahir turut bertanding walaupun dia asyik teringat akan ibunya yang tidak sihat.


Latar Masyarakat Novel Justeru Impian Di Jaring

Masyarakat yang gigih berusaha untuk mencapai kejayaan
Contoh: Syahir berusaha dengan gigih dengan berlatih di bawah bimbingan Haji Marzuki sehingga dia berjaya memenangi kejohanan badminton di Jakarta setelah berjaya menewaskan pemain Indonesia di peringkat akhir.

Masyarakat yang berani mengubah masa depan
Contoh: Syahir amat berani dan tetap hati untuk menjadi juara dalam bidang sukan badminton walaupun pernah dihalang oleh ayahnya satu masa dahulu.

Masyarakat yang saling membantu
Contoh: Wan Najihan memahami masalah Syahir apabila Syahir tewas di tangan Syed Amiri. Dia memberi sokongan moral dengan berharap agar Syahir tidak berputus asa untuk mencuba lagi.


Latar Masa Novel Justeru Impian Di Jaring

Waktu pagi
Contoh: Semua pemain kebangsaan menjalani latihan pada pukul 7:30 pagi.

Waktu malam
Contoh: Syahir makan malam bersama-sama dengan Kak Uda dan emaknya.

Tengah hari
Contoh: Syahir dan Wan Najhan makan tengah hari di Restoran 48 Jam. Mereka bertemu dengan adik Wan Najhan,iaitu Wan Najlah.

Lima tahun yang lalu
Contoh: Gambar usrah kami tujuh beranak yang diambil semasa hari raya puasa hampir lima tahun yang lalu.


Nilai Novel Justeru Impian Di Jaring

Nilai Kesabaran
Contoh: Syahir selalu bersabar apabila disindir oleh Engku Aiman. Dia juga bersabar dengan kerenah Syed Amiri yang tidak menyukainya.

Nilai Kegigihan
Contoh: Syahir dan rakan-rakannya gigih berlatih untuk mengharungi kejohanan Terbuka Johor dan Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta. Kegigihannya menyebabkan dia memenangi kejohanan badminton di Jakarta.

Nilai bertanggungjawab
Contoh: Syahir amat bertanggungjawab terhadap keluarga sehingga dia bimbang akan kesihatan ibunya. Syahir juga bertanggungjawab terhadap negara dan mahu berbakti kepada negara menerusi sukan badminton.

Nilai Keberanian
Contoh: Tindakan Wan Najlah memakai tudung dan seluar panjang semasa berlatih di kem latihan wanita telah membuktikan bahawa dia berani melakukan perubahan untuk menutup aurat seperti yang pernah dikatakan kepada Syahir.

Nilai Kasih sayang
Contoh: Kak Uda sanggup menjaga emak yang menghidap strok dengan mengambil cuti.

Nilai Simpati
Contoh: Syahir bersimpati terhadap nasib rakyat Palestin yang ditindas oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, Israel.

Nilai Keyakinan
Contoh: Haji Marzuki telah berjanji kepada pihak PBSM bahawa dia akan meletakkan jawatan sebagai jurulatih sekiranya Syahir gagal menjuarai kejohanan dunia kerana dia yakin Syahir akan berjaya memenanginya.

Nilai Ketegasan
Contoh: Syahir tetap dengan pendiriannya untuk menutup aurat semasa bermain badminton walaupun sesetengah pihak tidak bersetuju pada mulanya dan ada yang melabelkan dia sebagai muslim yang konservatif serta ‘kepala batu dari hulu.’


Pengajaran Novel Justeru Impian Di Jaring

Kita perlulah tabah menghadapi cabaran dalam kehidupan
Contoh Peristiwa: Syahir tabah menjalani latihan untuk membolehkannya layak ke kejohanan badminton di Jakarta. Walaupun sebelum ini dia pernah gagal, Syahir mencuba lagi di Jakarta sehingga akhirnya beroleh kejayaan

Kita hendaklah prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh anggota keluarga
Contoh Peristiwa: Syahir prihatin terhadap kesihatan ibunya dan berasa tidak selesa meninggalkan ibunya dalam keadaan sakit.

Kita haruslah berusaha untuk mengharumkan nama negara
Contoh Peristiwa: Syahir berusaha dengan penuh gigih untuk mengharumkan nama negara. Akhirnya berjaya menewaskan Andre Minarwan dalam kejohanan badminton di Jakarta

Kita hendaklah mengingati pesanan yang baik yang disampaikan oleh seseorang.
Contoh Peristiwa: Syahir sentiasa mengingati pesanan arwah ayahnya agar memberikan sumbangan kepada bangsa dan negara serta memelihara syariat dalam bersukan.

Kita haruslah berani untuk menyatakan pendapat.
Contoh Peristiwa: Syahir berani menyatakan pendapatnya bahawa dia tidak bersetuju dengan tindakan pihak PBSM yang tidak menggunakan ranking dunia dalam pemilihan pemain bagi kejohanan dunia di Jakarta. PBSM telah menukarkannya kepada prestasi semasa Kejohanan Terbuka Johor untuk pemilihan mewakili negara.

Kita mestilah berpendirian teguh dalam melakukan sesuatu.
Contoh Peristiwa: Syahir tetap dengan pendiriannya untuk menutup aurat semasa bermain badminton walaupun sesetengah pihak tidak bersetuju pada mulanya dan ada yang melabelkan dia sebagai muslim yang konservatif serta ‘kepala batu dari hulu.’

Kita hendaklah berfikiran positif terhadap sesuatu perkara.
Contoh Peristiwa: Syahir hanya tersenyum dan mengambil positif kritikan Engku Aiman yang mempertikaikan permainannya yang dikatakan agak lembap, kelam-kabut, dan mudah terikut-ikut rentak lawan. Engku Aiman menganggap Syahir tidak mampu melawan pemain dari China.

Kita tidak seharusnya memandang rendah terhadap orang lain.
Contoh Peristiwa: Engku Aiman dan Syed Amiri telah memandang rendah akan keupayaan Syahir untuk mara ke Kejohanan Badminton Kebangsaan di Jakarta.

Kita tidak seharusnya bersikap pilih kasih dalam kehidupan.
Contoh Peristiwa: Engku Aiman menganggap Syed Amiri sebagai anak emas dan sentiasa memuji keupayaan pemain itu manakala pemain-pemain badminton yang lain dianggap tidak sehebat Syed Amiri, terutamanya Syahir.


Watak dan Perwatakan Novel Justeru Impian Di Jaring

Watak Utama: Syahir

  • Pemain badminton skuad kebangsaan.
  • Anak bongsu daripada lima orang adik beradik.
  • Mahasiswa di Jabatan Pengajian Sukan, UPM Serdang.

Berdasarkan novel yang telah saya kaji semasa di tingkatan 3 iaitu novel Justeru Impian Di Jaring yang dikarang oleh Zaid Akhtar, terdapat beberapa perwatakan yang ditonjolkan oleh watak utama iaitu Syahir.

Antara perwatakan Syahir yang amat saya kagumi ialah dia merupakan seorang yang penyabar. Sebagai contoh, tindakan Syed Amiri yang mengejeknya sebagai ‘Ustaz selebriti’ dan mempertikaikan kemampuannya untuk menyertai kejohanan antarabangsa di Jakarta telah dihadapinya dengan hati yang sabar. Peristiwa ini jelas membuktikan bahawa Syahir merupakan seorang yang penyabar.

Di samping itu, perwatakan yang ditunjukkan oleh Syahir ialah dia merupakan seorang yang penyayang. Dalam novel ini, sifat penyayang Syahir jelas terbukti apabila dia pulang ke Bandar Baru Bangi semata-mata untuk menjenguk emaknya walaupun tempat kediamannya terletak agak jauh. Syahir juga melawat emaknya yang menghidap penyakit strok di hospital sebelum dia berangkat ke Jakarta. Peristiwa ini dapat membuktikan sifat penyayang dalam diri Syahir.

Akhir sekali, Syahir juga merupakan seorang yang taat akan pesanan. Sebagai tamsilan, Syahir sentiasa ingat akan pesanan arwah ayahnya yang mengharapkan agar Syahir mengharumkan nama negara, memberikan sumbangan kepada bangsa dan negara, serta memelihara syariat Islam dalam sukan. Izharlah, Syahir merupakan seorang yang taat akan pesanan.


Watak Sampingan: Haji Marzuki

Seorang yang bertanggungjawab.
Buktinya, sebagai jurulatih badminton yang berpengalaman dan bertaraf dunia, Haji Marzuki bertanggungjawab terhadap mutu permainan pemainpemain yang dilatihnya seperti Syahir, Bernard dan Kam Heng.

Seorang yang berkeyakinan tinggi
Hj Marzuki begitu yakin bahawa Syahir mampu membawa kejayaan dalam sukan badminton dengan memilihnya menggantikan tempat Gopinath yang tidak boleh menyertai kejohanan di Indonesia.

Seorang yang bijak bermain psikologi
Hj Marzuki memberitahu Syahir bahawa dia akan berhenti menjadi jurulatih sekiranya Syahir gagal di Indonesia


Plot Novel Justeru Impian Di Jaring

Binaan Plot

NovelJusteru Impian Di Jaring bermula dengan perbualan antaraSyahir danAzmie. Syahir merupakan salah seorang pemain badminton skuad kebangsaan. Dia ditemu ramah oleh rakan baiknya, iaitu Azmie.Perbualan mereka agak lama hingga menyebabkanSyahir lewat masuk ke dalam dewan untuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh ketua jurulatih, iaitu Engku Aiman.

Syahir diberitahu bahawa mereka terpaksa menyertai Kejohanan Terbuka Johor. Peraturan dan kehendak Persatuan Bulu Tangkis Se-Malaysia (PBSM) mewajibkan mereka menyertai kejohanan tersebut terlebih dahulu untuk menentukan sama ada mereka layak mewakili negara ke Jakarta atau tidak.

Syahir sebagai seorang pemain badminton menjalani kehidupan yang penuh liku dan cabaran sebelum layak ke Jakarta. Berita kurang menyenangkan daripada pihak PBSM telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pemain, terutamanya Syahir. Hal ini demikian kerana, mereka terpaksa bersaing sesama sendiri. Dalam peraturan baru itu, Engku Aiman mengatakan bahawa ranking dunia tidak akan menjamin prestasi semasa.

Haji Marzuki dan Mas Suparman terpaksa akur dengan keputusan PBSM dan terus melatih pemain skuad kebangsaan, terutamanya Syahir dan Bernard yang dikatakan memiliki potensi dalam permainan. Syahir sering menjadi bahan sindiran dan ejekan oleh Syed Amiri dan Engku Aiman tidak menyukainya.

Pada suatu hari, Syahir pergi ke pejabat rakan baiknya, Azmie di Taman Shamelin Perkasa. Di sana, dia didatangi oleh empat orang gadis dan Ratna, iaitu juara program Akademi Impiana untuk bergambar bersama-sama. Pada mulanya dia menolak, tetapi Syahir terpaksa akur apabila diberi alasan untuk bergambar beramai-ramai.

Kesan daripada peristiwa itu, Syahir digosipkan bercinta dengan Ratna apabila gambar mereka berdua tersiar dalam akhbar. Perjalanan Syahir untuk mewakili negara ke Jakarta semakin rumit apabila dia berhadapan dengan masalah emaknya yang sakit sebelum dia ke Johor. Semasa Kejohanan Terbuka Johor, Syahir telah ditewaskan oleh Syed Amiri menyebabkan harapannya untuk menyertai Kejohanan Dunia di Jakarta tidak kesampaian.

Syahir dikehendaki menggantikan Gopinath ke Jakarta kerana rakannya itu terlibat dalam kemalangan jalan raya. Walaupun dia terpaksa menghadapi rintangan apabila diberitahu bahawa emaknya menghidap strok, Syahir tabah melangkahkan kaki ke Jakarta bagi memikul harapan jurulatih dan negara.

Syahir yang berjaya ke peringkat akhir akan bertemu dengan Andri Mirnawan, iaitu wakil tuan rumah. Akhirnya, Syahir berjaya menundukkan wakil Indonesia itu walaupun menghadapi kesukaran seperti keputusan pengadil yang berat sebelah, sokongan padu daripada para penyokong Andri, dan kesakitan pada bahagian perut yang dialaminya.

Syahir hampir rebah semasa majlis penyampaian hadiah dan segera dikejarkan ke hospital. Syahir telah disahkan menghidap Apendisitis atau radang apendiks dan telah dibedah di Jakarta sebelum dibawa pulang ke Malaysia. Syahir amat bersyukur dan menganggap bahawa kemenangan itu adalah untuk bangsa, agama, dan negara.

Sebaik-baik tiba di Malaysia, Syahir melawat emaknya di hospital dan menyerahkan pingat yang dimenanginya kepada emaknya. Azam Syahir yang seterusnya ialah mewakili negara ke Sukan Olimpik pula.


Teknik PlotJusteru Impian Di Jaring

Dialog

Perbualan antara Syahir dengan Azmie. Syahir meminta rakan baiknya itu agar tidak menulis perkara yang tidak sepatutnya dalam Mingguan Riadah itu nanti.

Monolog

Syahir bermonolog mempertikaikan kemenangan Syed Amiri dalam kejohanan Terbuka Johor adalah kerana pengadil perlawanan turut bersekongkol untuk memberikan kemenangan kepada Syed Amiri.

Imbas Kembali

Emak telah mengingatkan semula tentang pesanan arwah ayah Syahir kepada Syahir.

Imbas muka

Syahir berasa serba salah untuk meneruskan perjuangannya di Jakarta setelah mendapat berita bahawa emaknya diserang strok. Syahir mula membayangkan keadaan yang akan berlaku sekiranya emaknya meninggal dunia semasa dia berada di Jakarta.

Saspens

Semasa pertarungan antara Syahir dengan Syed Amiri, pembaca tertanya-tanya pemain yang akan memenangi perlawanan badminton tersebut. Hal ini demikian kerana pertarungan antara mereka sangat sengit, ditambah pula dengan beberapa keputusan pengadil yang berat sebelah.


Konflik Novel Justeru Impian di Jaring

Konflik bukan sahaja boleh berlaku dalam diri watak utama tetapi juga antara watak utama dan watak lain. Terdapat pelbagai konflik yang menarik minat para pembaca untuk terus mengetahui lebih lanjut tentang isi buku tersebut.

Syahir difitnah mempunyai hubungan dengan seorang artis wanita bernama Ratna.
Syahir mengetahui akan hal ini sewaktu Kejohanan Terbuka Johor apabila Doktor Asyraf dan Engku Aiman menunjukkan gambar mereka berdua di dalam akhbar atas talian. Syahir menafikan dakwaan tersebut dengan mengatakan mereka bergambar berenam ketika itu. Dia juga mengatakan bahawa gambar tersebut telah diubah suai. Engku Aiman tidak mempercayainya dan hanya membalas dengan sindiran kepada Syahir. Syahir berasa kurang senang dengan berita tersebut.

Konflik antara Syahir dan Wan Najlah
Konflik berlaku di sebuah restoran iaitu semasa Syahir mengatakan kepada Wan Najlah bahawa dia menutup aurat kerana patuh akan syariat. Selepas itu, Wan Najlah mengambil makanan yang dipesan dan terus berlalu pergi meninggalkan Syahir terpinga-pinga. Syahir berasa risau sekiranya kata-katanya sewaktu itu telah membuatkan Wan Najlah terpukul. Setelah beberapa hari tidak berhubung dengan Wan Najlah, akhirnya Wan Najlah menghubungi Syahir pada suatu malam dan berbincangkan peristiwa itu. Wan Najlah menyampaikan hasratnya untuk bertudung. Syahir memanjatkan kesyukuran dan memberikan kata peransang kepadanya.

Konflik antara Engku Aiman, Syed Amiri dan Syahir
Syed Amiri selalu mengejek Syahir dengan panggilan “ustaz selebriti” dan “syeikh”. Sementara itu, Engku Aiman pula sering membangkitkan isu kekalahan Syahir dengan pemain China suatu ketika dahulu. Mereka berdua mengambil kesempatan dengan menyindir Syahir ketika ketiadaan Haji Marzuki. Ini menunjukkan sikap sebenar mereka terhadap Syahir. Syahir hanya bersabar akan perbuatan mereka.


Gaya BahasaJusteru Impian Di Jaring

Metafora
Contoh: Tidak semena-mena wajah arwah abah pula yang hadir di layar minda.

Peribahasa
Contoh: datang tidak bersambut, pulang biarlah berhantar; berpeluk tubuh; makan hati; kepala batu.

Simile
Contoh: “Kadang-kadang terasa macam bola, disepak dilambung ke sana ke mari.”

Sinkope
Contoh: “Saya tak sedap hati nak pergi, kak.”

Personifikasi
Contoh: Ada keresahan mengintai dalam nubari.

Hiperbola
Contoh: Peluang kini terbuka luas untuk saya mematikan bulu tangkis dengan smash tajam membunuh ke lantai kejat gelanggangnya.


Sinopsis Novel Justeru Impian Di Jaring

Novel Justeru Impian di Jaring mengisahkan perjalanan hidup seorang pemain badminton skuad kebangsaan bernama Syahir. Dia merupakan pemain yang bercita- cita tinggi dan dapat mewakili negara dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta. Namun, dia menghadapi rintangan untuk merealisasikan matlamatnya itu apabila pihak Persatuan Bulu Tangkis Se-Malaysia (PBSM) telah membuat keputusan mengejut, iaitu semua pemain perlu menyertai Kejohanan Terbuka Johor sebelum layak mewakili negara ke Jakarta. Hal ini bertentangan dengan peraturan sedia ada sebelum ini, iaitu pemain yang mewakili negara akan ditentukan berdasarkan ranking dunia.

Oleh itu, para pemain akan bersaing sesama sendiri bagi melayakkan diri ke Jakarta nanti. Keputusan pihak PBSM ini bertentangan dengan kenyataan Engku Aiman dalam laporan akhbar perdana pada minggu lepas. Beliau tidak mahu peristiwa di Birmingham dan di Tokyo berulang sekali lagi.

Haji Marzuki dan Mas Suparman adalah antara jurulatih yang banyak terlibat dalam melatih para pemain skuad kebangsaan. Haji Marzuki banyak memahami masalah yang terpaksa dihadapi oleh Syahir. Jurulatih ini telah banyak memberikan kata-kata perangsang kepada Syahir agar dia terus bersemangat untuk berlatih dan berjaya mewakili negara. Walaupun Haji Marzuki tidak bersetuju dengan keputusan pihak PBSM yang mengamalkan sikap pilih kasih, tetapi dia masih yakin para pemainnya seperti Syahir, Bernard, Gopinath, Kam Heng, dan Wan Najlan dapat menerima hakikat tersebut dengan tenang, rasional, dan tidak mengambil keputusan yang terburu-buru.

Syed Amiri merupakan rakan Syahir dalam skuad kebangsaan yang sering menyindir Syahir dengan gelaran ‘ustaz selebriti’. Panggilan itu kurang disenangi oleh Syahir tetapi dia tetap tabah menerima hakikat tersebut. Pada masa yang sama, Syed Amiri sering memandang rendah terhadap keupayaan Syahir untuk melayakkan diri ke Jakarta. Mujurlah Haji Marzuki selalu menenangkan Syahir agar sentiasa berpandangan positif kerana dia yakin Syahir memiliki kelebihan yang jarang-jarang dimiliki oleh pemain lain.

Tindakan Engku Aiman mengungkit kekalahannya kepada pemain China suatu masa dahulu di hadapan teman-teman selatihan dan pengurus pasukan negara, Dr. Asyraf terang-terangan menzahirkan sikapnya yang sebenar terhadap Syahir. Engku Aiman kerap memuji Syed Amiri yang disifatkan paling meningkat kebelakangan itu berbanding dengan pemain-pemain lain. Semasa pulang ke rumahnya di Bandar Baru Bangi, Syahir sempat menemani emaknya ke pasar malam untuk membeli juadah berbuka puasa. Pada malam itu, keadaan menjadi cemas apabila Syahir mendapati emaknya terbaring lemah dalam keadaan masih bertelekung di atas katil.

Pemergian Syahir ke Johor penuh dengan cabaran. Dia sentiasa terfikir akan kesihatan emaknya, namun mujur ada Kak Uda yang memberikan jaminan bahawa emaknya cuma lemah sedikit dan tidak perlu dirisaukan. Haji Marzuki pula tidak dapat bersama-sama pergi ke Johor kerana belum pulih daripada demam selesema. Pada masa itu juga Syahir telah dikejutkan dengan tersiarnya gambar dia bersama- sama dengan Ratna yang dikatakan ada hubungan istimewa dengannya. Syahir terkejut kerana pada masa itu, mereka bergambar beramai-ramai dan bukannya berdua.

Pada peringkat suku akhir, Syahir telah bertemu dengan Syed Amiri. Pada masa itu, dia mendapat tentangan yang cukup hebat daripada Syed Amiri di samping sorakan penyokong Syed Amiri yang hebat kerana Syed Amiri ialah pemain dari negeri itu. Dalam perlawanan itu, beberapa keputusan pengadil perlawanan lebih berpihak kepada Syed Amiri menyebabkan Syahir berasa tertekan dan tidak boleh mengawal permainannya. Akhirnya, Syahir tewas di tangan Syed Amiri dan dia gagal mewakili negara ke Jakarta.

Syahir dibenarkan pulang ke rumah. Emaknya meminta dia menemaninya untuk pergi ke rumah Mak Usu Sapiah di Seremban. Semasa di Seremban, Haji Marzuki menelefon Syahir lalu mengatakan bahawa Gopinath terlibat dalam kemalangan dan mengarahkan Syahir segera kembali ke kem latihan. Syahir dipilih untuk menggantikan Gopinath untuk bersaing di Jakarta. Syed Amiri menyindir Syahir dengan mengatakan bahawa Syahir perlu sujud syukur kerana dapat mewakili negara.

Sebelum pergi ke Jakarta, sekali lagi Syahir berhadapan dengan dugaan apabila, dia telah menerima berita tentang emaknya yang terlantar di hospital kerana menghidap strok. Hatinya berbelah bahagi sama ada hendak meneruskan hasrat ke Jakarta ataupun menjaga emaknya yang sakit. Pada masa yang sama, sakit pada bahagian perutnya semakin kerap terasa. Syahir melakukan solat hajat dan solat istikharah agar diberi petunjuk dalam membuat keputusan pada detik- detik getir itu. Kak Uda memberitahu bahawa emaknya sudah beransur pulih dan menasihatinya agar pergi ke Jakarta. Sebelum berangkat, Syahir sempat singgah di hospital untuk menjenguk emaknya.

Di Jakarta, Syahir dapat mengharungi cabaran pada peringkat awal apabila berjaya mengalahkan pemain dari Korea Selatan, iaitu Kim Joo Hyun. Seterusnya, dia menewaskan pemain muda dari China, Xiang Yimou. Menjelang tengah hari semua pemain diwajibkan menjalani ujian air kencing yang diadakan secara tiba-tiba. Pada peringkat ketiga, Syahir juga berjaya menundukkan Eddy Heryanto, pilihan ketiga belas yang juga pemain tuan rumah. Akhirnya, Syahir berjaya mara ke peringkat akhir setelah berjaya menumpaskan pemain dari China. Syed Amiri yang dicanangkan sebagai juara itu telah kecundang pada peringkat separuh akhir.

Saat yang ditunggu-tunggu telah tiba apabila Syahir berjaya melangkah ke peringkat akhir dan dijadualkan bertemu dengan pemain tuan rumah, iaitu Andri Mirnawan. Haji Marzuki dan Mas Suparman mempunyai perancangan tersendiri kerana mengakui memang sukar untuk menumpaskan pemain tuan rumah tersebut. Akhirnya, Syahir berjaya menundukkan Andri Mirnawan.

Semasa majlis penyampaian hadiah, Syahir hampir rebah lalu dikejarkan ke hospital. Dia telah disahkan menghidap radang apendiks dan dibedah di sana. Setelah pulang ke Malaysia, Syahir ke hospital untuk menemui emaknya. Kini, dia telah bergelar juara dunia dan berazam untuk mewakili negara ke Sukan Olimpik.


LatihanNovel Justeru Impian Di Jaring

Novel yang saya kaji ialah novel Justeru Impian di Jaring. Watak utama dalam novel ini ialah Syahir.

Syahir merupakan seorang yang prihatin. Contohnya, Syahir prihatin akan Azmie, iaitu wartawan sukan yang tiada tempat tinggal dan mengajak Azmie duduk sebilik dengannya.

Selain itu, Syahir juga merupakan seorang yang berfikiran positif. Syahir sentiasa berfikiran positif terhadap teguran yang diterimanya daripada Engku Aiman.

Antara lain, Syahir merupakan seorang yang berpendirian teguh. Syahir tetap mahu menjadi seorang ahli sukan walaupun mendapat tentangan hebat daripada ayahnya.

Berdasarkan novel yang saya kaji semasa di Tingkatan 3, novel Justeru Impian Di Jaring karya Zaid Akhtar, terdapat beberapa persoalan yang dapat saya pelajari.

Persoalan yang terdapat dalam novel ini ialah persoalan kasih sayang seorang anak terhadap ibu. Contohnya, Syahir kerap pulang ke rumah keluarganya di Bandar Baru Bangi apabila tiada latihan badminton. Dia juga sanggup menemani emaknya ke Seremban untuk pergi ke rumah Mak Usu Sapiah. Sebelum berangkat ke Jakarta, Syahir sempat melawat ibunya yang terlantar sakit di hospital untuk meminta restu.

Selain itu, persoalan tentang kesabaran dalam menghadapi cabaran. Contohnya, Haji Marzuki sabar mengharungi cabaran semasa bertugas dengan PBSM. Komitmennya dalam melatih barisan pemain perseorangan negara tetap berada pada tahap maksimum. Sebagai contoh, Haji Marzuki sanggup mempertaruhkan jawatannya sebagai jurulatih untuk memastikan Syahir layak ke Jakarta dengan syarat, Syahir akan berjaya menjadi juara.

Akhir sekali, pendirian yang teguh dalam melakukan sesuatu. Contohnya, Syahir tetap dengan pendiriannya untuk berpakaian menutup aurat semasa bermain badminton. Walaupun dia menerima kritikan daripada sesetengah pihak yang melabelkannya sebagai muslim konservatif dan ‘kepala batu dari hulu’. Namun Syahir tetap berpegang pada prinsipnya itu.

Novel yang saya kajisemasa tingkatan 3 ialah novel Justeru impian di Jaring.

Contoh peristiwa berkaitan dengan persoalan ketabahan menghadapi dugaan ialah Syahir tabah menempuh pelbagai dugaan termasuk emaknya yang sakit dan dimasukkan ke hospital sebelum dia berangkat ke Jakarta untuk bertanding dalam kejohanan dunia.

Sementara itu, contoh peristiwa bagi persoalan kepentingan ilmu dalam kehidupan pula dapat dilihat menerusi peristiwa Syahir memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Walaupun Syahir bergiat aktif dalam bidang sukan, Syahir tidak sekali-kali mengabaikan pelajarannya.

Berdasarkan novel yang telah saya kaji semasa di tingkatan 3 iaitu novel Justeru Impian Di Jaring karya Zaid Akhtar, terdapat tiga contoh peristiwa yang membuktikan Engku Aiman sebagai seorang antagonis.

Antara sikap antagonis yang dipamerkan oleh Engku Aiman ialah sikap pilih kasih. Contohnya, beliau sering mencemuh Syahir dan memuji-muji Syed Amiri yang dianggap sebagai anak emas. Syed Amiri, anak didiknya sering dijulang sebagai pemain yang paling meningkat pretasinya kebelakangan ini berbanding dengan pemain-pemain lain. Beliau juga hanya memberikan kata nasihat dan bimbingan kepada Syed Amiri walhal Syahir juga merupakan atlet Skuad Malaysia yang berada di bawah pemantauannya.

Selain itu, Engku Aiman juga seorang yang memandang rendah akan keupayaan orang lain. Misalnya, beliau mengatakan bahawa Syahir seorang pemain yang lembab, kelam-kabut, mudah terikut-ikut dan sebagainya. Engku Aiman menyindir Syahir bahawa ranking dunia tidak menjamin prestasi pada kejohanan Piala Liga dan Piala Antarabangsa dahulu. Tindakan Engku Aiman mengukit-ungkit kekalahan Syahir kepada pemain China suatu masa dahulu menzahirkan sikapnya yang sebenar terhadap Syahir.

Akhir sekali, Engku Aiman juga merupakan seorang yang mengambil kesempatan. Dengan ketidakhadiran Haji Marzuki ke sesi latihan, hal ini membuka peluang Engku Aiman untuk menyindir Syahir. Engku Aiman mengkritik permainan Syahir dengan kata-kata yang menyakitkan hati Syahir. Namun begitu, Syahir masih dapat bersabar. Engku Aiman sengaja memalukan dan melemahkan diri Syahir di hadapan Doktor Asyraf. Engku Aiman sering memuji Syed Amiri menyebabkan hatinya bertambah sakit sedangkan sebelum ini Engku Aiman tidak bersikap sedemikian semasa berada bersama Haji Marzuki.

Novel yang saya kaji semasa di tingkatan 3 iaitu novel Justeru Impian Di Jaring karya Zaid Akhtar. Terdapat beberapa latar masyarkat yang boleh didapati dalam novel ini.

Latar masyarakat yang pertama ialah masyarakat yang sentiasa ingat akan pesanan. Contohnya, Syahir sentiasa mengingati pesanan arwah ayahnya agar memberikan sumbangan kepada bangsa dan negara. Selain itu, arwah ayahnya juga berpesan agar Syahir sentiasa memelihara syariat Islam dalam bersukan. Oleh hal yang demikian, Syahir merupakan satu-satunya pemain lelaki yang menutup aurat di gelanggang sehingga kini.

Latar masyarakat novelJusteru Impian Di Jaring yang seterusnya ialah masyarakat yang bersikap pilih kasih. Sebagai contoh, Engku Aiman sering menyebelahi Syed Amiri yang dianggap sebagai anak emas dalam apa-apa jua tindakan. Hal ini juga jelas memaparkan bahawa Engku Aiman bersikap pilih kasih kerana beliau sering mengkritik Syahir semasa Syahir sedang berlatih.

Latar masyarakat yang terakhir ialah masyarakat yang tidak mudah berputus asa. Misalnya, Syahir tetap meneruskan latihan rutin sebagai pemain badminton walaupun telah tersingkir daripada senarai nama skuad kebangsaan yang akan menyertai Kejohanan Badminton Antarabangsa di Jakarta. Selain itu, Syahir juga tabah meneruskan latihan walaupun sering diejek dan disindir oleh Syed Amiri.

Novel yang saya kaji semasa tingkatan 3 ialah novel Justeru Impian di Jaring.

Contoh peristiwa yang menggambarkan latar masyarakat yang gigih berusaha ialah Syahir gigih berusaha untuk memajukan dirinya dalam permainan badminton terutama pada peringkat dunia.

Sementara itu, contoh peristiwa yang menggambarkan latar masyarakat yang sanggup berkorban pula ialah Syahir sanggup berkorban dengan menangguhkan pengajiannya di UPM kerana bercita-cita untuk menjadi juara badminton dunia.

Novel yang saya kaji ialah novel Justeru Impian di Jaring karya Zaid Akhtar.

Puncak bagi novel ini ialah Syahir berjaya melangkah ke peringkat akhir Kejohanan Badminton Dunia dan bertemu dengan Andri Mirnawan, iaitu jaguh tuan rumah. Syahir menerima tentangan yang hebat daripada Andri Mirnawan. Tentangan yang hebat menyebabkan Syahir mengubah corak permainan sambil berzikir kepada Tuhan. Syahir berusaha gigih mempamerkan permainan yang bermutu dan mematuhi isyarat daripada jurulatihnya. Akhirnya, Syahir muncul sebagai juara. Syahir juga telah melakukan sujud syukur di tengah gelanggang.

Novel yang saya kaji ialah novel Justeru Impian di Jaring. Terdapat beberapa peristiwa yang memberikan teladan dalam novel ini.

Antaranya termasuklah Haji Marzuki berani berhadapan dengan pihak atasan dan meminta mereka mendengar cakapnya. Peristiwa ini memberikan teladan kepada kita, iaitu kita haruslah berani dalam menyuarakan sesuatu pendapat.

Haji Marzuki bijak menyusun strategi bagi memastikan kemenangan pemain yang dilatihnya. Peristiwa ini memberikan teladan kepada kita, iaitu kita haruslah bijak mengatur strategi demi meraih kejayaan.

Seterusnya, Syahir sanggup menangguhkan pengajiannya demi mencapai cita-citanya untuk menjadi juara dunia. Peristiwa ini memberikan teladan kepada kita, iaitu kita mestilah sanggup berkorban demi meraih kejayaan.

Novel yang saya kaji ialah novel Justeru Impian di Jaring. Terdapat beberapa nilai yang dikemukakan oleh penulis dalam novel ini.

Nilai yang pertama ialah kasih sayang. Contohnya, Syahir yang sangat sayang akan emaknya telah membatalkan penerbangan awal pagi bersama teman-temannya ke Johor Bahru kerana kesihatan emaknya terganggu.

Nilai seterusnya ialah bantu-membantu. Contohnya, kakak Syahir, iaitu Syahrizah sering membantu Syahir untuk menenangkan sesuatu keadaan.

Novel yang saya kaji ialah novel Justeru Impian di Jaring. Watak sampingan dalam novel ini ialah Haji Marzuki.

Antara perwatakan Haji Marzuki ialah seorang yang bertanggungjawab. Contohnya, Haji Marzuki bertanggungjawab dalam memberikan nasihat dan motivasi kepada para pemainnya sebelum berakhirnya sesi latihan pagi.

Selain itu, Haji Marzuki merupakan seorang yang sabar. Contohnya, Haji Marzuki tetap sabar berhadapan dengan cabaran walaupun dia pernah disingkirkan dengan penuh kontroversi daripada jawatan ketua jurulatih kebangsaan awal tahun lepas.

Selain itu, Haji Marzuki juga seorang yang bijak mengatur strategi. Misalnya, Haji Marzuki bijak mengatur strategi demi memastikan pemainnya beroleh kemenangan.

Novel yang saya kaji ialah novel Justeru Impian di Jaring. Antara latar tempat yang terdapat dalam novel ini adalah di Dewan Badminton Tanjung Puteri Utama. Contohnya, Kejohanan Badminton Terbuka Johor berlangsung di Dewan Badminton Tanjung Puteri Utama.

Latar kedua adalah di Hospital Kuala Lumpur. Misalnya, Syahir melawat Gopinath yang ditimpa kemalangan di Hospital Kuala Lumpur.

Latar ketiga pula adalah di Istora Senayan. Sebagai contoh, Kejohanan Badminton Dunia berlangsung di Istora Senayan.

Berdasarkan novel Justeru Impian di Jaring yang telah ditulis oleh Zaid Akhtar, banyak cabaran yang dihadapi oleh watak utama novel ini yakni Syahir sehingga dia mampu mencapai kejayaan yang membanggakan.

Antara cabaran yang dihadapinya adalah Syahir selalu menerima prasangka daripada masyarakat. Dia hanya bersabar dan bercekal hati menerima segala cacian tersebut. Contohnya, ada segelintir masyarakat yang menggelarkan “kepala batu dari hulu” dan memanggilnya dengan gelaran “ustaz” dan “syeikh” walaupun dia tidak suka akan panggilan tersebut. Dia hanya mampu bersabar dan menganggap semua itu hanyalah rintangan untuknya yakni sebagai satu-satunya pemain badminton yang memakai seluar ketat panjang dengan tujuan untuk menutup aurat.

Selain itu, Syahir menerima cabaran hebat daripada ahli keluarganya. Arwah ayah Syahir tidak membenarkan Syahir bergiat aktif dalam sukan badminton. Namun begitu, Syahir telah mengubah pendirian arwah ayahnya dengan membuktikan kejayaan dalam bidang akademik. Akhirnya, arwah ayahnya membenarkan Syahir melibatkan diri dalam sukan tersebut dengan syarat menjaga syariat Islam ketika bermain.

Akhir sekali, cabaran yang ditempuhi oleh Syahir adalah dia perlu menelan kata-kata Engku Aiman yang menyakitkan hatinya. Engku Aiman sering memuji-muji Syed Amiri kerana pretasinya yang kian meningkat manakala dia selalu memandang rendah keupayaan Syahir walaupun Syahir juga merupakan atlet di bawah bimbingannya. Dia sering membangkitkan isu kekalahan Syahir dengan pemain China suatu ketika dahulu. Perkara ini menunjukkan sikap sebenar Engku Aiman terhadap Syahir. Akan tetapi, Syahir tetap tabah menghadapi segala kata-kata kesat yang dilemparkan padanya tanpa menyimpan dendam.


Nota Komsas tingkatan 1 hingga 5

4 thoughts on “Nota Komsas: Novel Justeru Impian Di Jaring”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page