Nota Komsas Tingkatan 1 – Novel Pelari Muda

Novel Pelari Muda

Novel Pelari Muda karya Ghazali Ngah Azia merupakan komsas tingkatan satu. Berikutnya tema, persoalan, sinopsis, plot, watak perwatakan, latar, gaya bahasa, nilai, pengajaran dan contoh soalan novel ini.

Sinopsis Novel Pelari Muda

Novel menceritakan kisah Kamarul seorang murid Tingkatan Lima yang berbakat dalam bidang olahraga. Dia telah dipilih mewakili negara dalam Sukan SEA di Brunei. Kejayaannya mewakili dan mengharumkan nama negara telah menjadikannya sombong. Dia telah jarang-jarang berbual dengan rakan-rakan di sekolah. Malah, dia juga telah bersikap dingin terhadap Saridah.

Ekoran perubahan sikapnya itu, Kamarul mula tidak hadir atau datang lewat ke latihan pusat kem olahraga kebangsaan. Dia sombong dan yakin akan latihannya sendiri. Bagaimanapun, Encik Kadir menasihatinya dengan mengatakan bahawa tindakan dia berlatih sendiri melanggar disiplin. Namun begitu, dia tidak menghiraukan nasihat Encik Kadir selaku jurulatihnya. Malah, dia bersikap buruk, iaitu dia bersikap kasar terhadap Encik Kadir dengan melemparkan pingat yang diberikan oleh jurulatihnya itu sebagai pembakar semangat.

Selepas Kamarul melemparkan pingat itu, dia berjalan pulang. Oleh sebab tidak berhati-hati semasa melintas jalan, dia dilanggar oleh sebuah kereta. Dia pengsan dan tidak mengetahui apa-apa yang berlaku seterusnya.

Di hospital, dia dikunjungi oleh Encik Kadir, tetapi ketika itu dia sedang tidur. Encik Kadir bertanyakan khabarnya kepada ibunya. Ibunya memberitahu Encik Kadir bahawa Kamarul hanya mengalami luka dan bengkak urat. Encik Kadir menyatakan bahawa dia akan datang lagi pada waktu petang. Selepas 15 minit Encik Kadir pulang, Kamarul sedar dan mendapati Saridah ada di sisinya. Dia tersenyum memandang Saridah dan Saridah membalas senyumannya itu. Dia mengucapkan terima kasih kepada Saridah kerana sudi mengunjunginya. Saridah memberitahunya bahawa Encik Kadir, Sures, dan Juriah berkirim salam dan kemudiannya menyatakan bahawa Encik Kadir baru sahaja pulang. Hatinya berdetik apabila mengetahui Encik Kadir mengunjunginya. Dia terasa ingin benar keluar cepat-cepat dari hospital dan menemui Encik Kadir.

Di hospital, Kamarul menginsafi sikapnya yang sombong akan kejayaan dan popularitinya sebagai pelari pecut negara. Dia sedar bahawa kejayaannya sebagai pelari yang terkenal adalah atas bimbingan Encik Kadir. Dia turut sedar bahawa dia tidak patut melupakan Cikgu Zainal yang juga banyak berjasa terhadapnya. Oleh itu, dia berazam untuk turun ke padang untuk membuktikan kepada Encik Kadir bahawa dia seorang ahli sukan yang berdisiplin. Sewaktu dia dibenarkan pulang, Encik Kadir telah menjemputnya. Kamarul mohon maaf daripada Encik Kadir.

Selepas keluar dari hospital, Kamarul telah turun berlatih tetapi dia berasa kecewa kerana prestasinya merosot, namun dia diberi semangat oleh Encik Kadir. Sewaktu dia berada di bilik di rumahnya, dia melihat gambar jaguh-jaguh pelari pecut luar negara. Dia melihat catatan masa yang pernah dibuatnya sebelum ini. Dia berazam untuk melakukan sesuatu supaya catatan masanya bertambah baik.

Kamarul dan kawan-kawannya berlepas ke Bangkok. Sebelum itu, dia resah menantikan kehadiran Saridah yang sampai lewat kerana terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Selepas Saridah tiba, Kamarul dan kawan-kawannya berlepas ke Bangkok untuk menyertai Sukan Sea.

Di Bangkok, Kamarul mengikuti latihan yang dikendalikan Encik Kadir. Di sana juga dia telah berjumpa dan berbual-bual dengan De Wega, iaitu pelari Filipina yang diminatinya. Dalam perbualan itu, De Wega menasihatinya agar tidak bersikap sombong, menghormati jurulatih, dan berdisiplin.

Masa pertandingan pun tiba. Dalam pertandingan tersebut, Kamarul telah bersaing dengan De Wega dan rakannya, Sures, di samping pelumba dari Brunei, Indonesia, dan lain-lain. Kamarul menjadi johan bagi acara 100 meter dan 400 meter. Sewaktu dia masuk ke biliknya, Encik Kadir menemuinya dan mengucapkan tahniah. Encik Kadir turut menyampaikan secebis kertas dari tanah air yang mengandungi ucapan tahniah. Ucapan itu datang daripada rakan-rakannya, terutama Saridah. Kamarul ingin mengembalikan pingat yang diberikan oleh Encik Kadir sewaktu dia hendak berlumba tetapi Encik Kadir memintanya agar menyimpan pingat tersebut sebagai kenangan. Encik Kadir memberitahu Kamarul bahawa dia sepatutnya bersara sebagai jurulatih tahun ini tetapi terpaksa ditangguhkan untuk kejohanan Sukan Sea ini. Encik Kadir juga menyatakan bahawa dia telah berjaya membawa Kamarul ke tahap yang membanggakannya. Kamarul tidak menyangka bahawa Encik Kadir akan bersara sebagai jurulatih.

Kejohanan Sukan Sea pun tamat. Sebelum pulang ke tanah air, dia sempat bertemu dengan De Wega dan memberikan hadiah. De Wega juga membalas pemberian Kamarul dengan pingat yang pernah dimenanginya. Setibanya di tanah air, Kamarul telah disambut oleh keluarganya, Saridah, dan kawan-kawannya.


Tema Novel Pelari Muda

Tema novel ini ialah keinsafan membawa kajayaan.

Kejayaan menjadi atelit sukan olahraga yang terkenal di peringkat sukan SEA di Brunei telah merubah sikap Kamarul menjadi seorang yang sombong danbersikap tidak sopan terhadap jurulatihnya Encik Kadir. Hubungan dengan rakan-rakannya juga semakin renggang kerana Kamarul bersikap angkuh dan enggan bertanding dalam kejohanan kecil seperti sukan tahunan sekolah.

Walau bagaimanapun, kemalangan telah menjadikan Kamarul insaf. Keinsafan adalah titik yang merubah sikap buruk Kamarul kepada sikap yang baik dan bermoral. Dengan moral yang baik itu juga Kamarul kembali bersemangat berusaha untuk berjaya dalam pertandingan dan akhirnya dia berjaya mencapai cita-cita membawa kejayaan dalam sukan SEA di Bangkok. Keinsafan menjadi asas kejayaan dan sokongan padu jurulatih serta kawan-kawannya.


Persoalan Novel Pelari Muda

Hubungan antara kawan baik
Contoh: Kamarul berkawan rapat dengan rakan sekolahnya, Saridah dan Saridah pula amat menyayanginya, namun sikap Kamarul yang angkuh setelah terkenal menyebabkan hubungan mereka menjadi dingin.

Kegigihan seorang atlet untuk meningkatkan prestasi
Contoh: Sures berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan rekod masa lariannya supaya dia dapat menewaskan rekod masa Kamarul.

Persoalan kasih sayang seorang ibu terhadap anak
Contoh: Mak Jah menyayangi anaknya Kamarul dan sentiasa mengambil berat terhadap segala masalah anaknya.

Tanggungjawab seorang jurulatih terhadap atletnya
Contoh: Encik Kadir melatih Kamarul dengan sabar sehingga Kamarul meraih pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter walaupun pada peringkat awal Kamarul tidak berdisiplin, angkuh, dan suka berlatih sendiri.

Kesabaran menghadapi karenah manusia
Contoh: Encik Kadir bersabar dengan tingkah laku Kamarul yang kurang berdisiplin. Daripada memarahinya, beliau menasihati Kamarul dan memberikan pingat emas sebagai pembakar semangatnya. Beliau juga melawat Kamarul yang terlantar sakit kerana kamalangan di hospital walaupun Kamarul telah menyakiti hatinya.

Persoalan kepentingan ilmu pengetahuan untuk masa depan
Contoh: Juriah mengingatkan Saridah tentang peperiksaan SPM lebih penting daripada mengingati Kamarul.

Keprihatinan masyarakat terhadap musibah yang dihadapi orang lain
Contoh: Mak Jah prihatin dengan masalah yang dihadapi anaknya. Dia bertanyakan masalah yang dihadapi Kamarul setelah berasa pelik dengan perlakuannya yang tidak seperti kebiasaannya.

Persoalan tekanan perasaan yang dihadapi oleh remaja akibat persaingan
Contoh: Tekanan perasaan yang dihadapi oleh Kamarul akibat persaingan dengan Sures yang lebih cemerlang daripadanya dan harapan tinggi yang dipertaruhkan kepadanya.

Kekurangan kasih sayang menyebabkan anak bersikap dingin terhadap keluarga sendiri
Contoh: Saridah kurang mendapat perhatian daripada keluarganya kerana emaknya sibuk dengan persatuan wanita dan ayahnya sibuk dengan hal kerja di pejabat. Hal ini menyebabkan Saridah lebih selesa dengan menghabiskan masa bersama-sama Juriah dan mengharapkan perhatian daripada Kamarul.


Binaan Plot Novel Pelari Muda

Kisah bermula dengan perubahan sikap Kamarul yang menjadi perhatian ibu dan rakan-rakannya. Kamarul bersiap-siap hendak ke sekolah. Kamarul tidak gembira kerana hubungannya dengan Saridah semakin renggang. Dalam perjalanan ke sekolah, Kamarul teringat akan Cikgu Zainal, guru sukan yang mula-mula mengesan bakatnya dalam bidang olahraga.

Kamarul telah banyak berubah kerana sudah terkenal. Kamarul enggan berlatih dengan Encik Kadir kerana baginya latihan yang
diberikan oleh Encik Kadir amat membosankannya. Kamarul enggan bergaul dengan kawankawan sekolah. Kamarul juga enggan menjalani latihan sukan sekolah. Tindakan Kamarul telah menimbulkan kerunsingan Encik Kadir selaku jurulatih olahraga pasukan kebangsaan.

Kamarul mula berani melawan jurulatihnya dengan mengatakan bahawa dengan latihan sendiri itu tidak mengganggu kecergasannya. Kamarul juga telah berani mencabar Encik Kadir agar melatih Sures yang sedang meningkat maju dalam olahraga.

Kamarul susah hati. Tahap kecergasannya semakin menurun. Kamarul bergaduh dengan Encik Kadir kerana dia kerap ponteng
latihan. Kamarul sanggup membaling pingat yang diberikan oleh Encik Kadir sambil berlalu pergi. Ketika melintas jalan dengan perasaan marah dan fikirannya berkecamuk. Dia melintas jalan raya tanpa menoleh ke kiri. Kamarul telah dilanggar kereta hinggapengsan dan menyebabkannya terlantar hospital.

Kamarul mula sedar akan kesilapannya dan kembali berlatih serta berdisiplin. Akhirnya, dia berjaya meningkatkan kecergasannya semula dan menjadi johan dalam acara 100 meter dan 400 meter di Sukan SEA ke-14 di Bangkok. Kamarul menerima ucapan tahniah daripada Encik Kadir dan rakan-rakannya di Malaysia. Kamarul bertukar-tukar cenderamata dengan De Wega. Kamarul dan atlet-atlet yang lain pulang ke Malaysia.


Teknik Plot Novel Pelari Muda

Pemerian
Contoh: Pengarang memerihalkan kebiasaan Kamarul yang membaca surat khabar tentang perkembangan sukan tanah air dan luar negara selepas sarapan.

Dialog
Contoh: Dialog antara Kamarul dan Adibah yang melarangnya keluar dari kelas sebelum loceng rehat berbunyi, walaupun Kamarul menyatakan bahawa dia mahu berjumpa dengan Cikgu Zainal.

Monolog
Contoh: Ketika berada di perpustakaan sambil menunggu kedatangan Kamarul, Saridah berfikir bahawa Kamarul perajuk dan pendendam orangnya apabila Kamarul tidak datang menemuinya di situ.

Imbas kembali
Contoh: Saridah mengingati peristiwa pertemuan pertamanya dengan Kamarul ketika menyertai Kejohanan MSSM di Stadium Merdeka.

Imbas muka
Contoh: Selepas kemalangan, Kamarul bertekad untuk kembali berlatih dan membuktikan kepada Encik Kadir bahawa dia akan menjadi seorang ahli sukan yang berdisiplin

Saspens
Contoh: Pembaca tertanya-tanya apakah yang akan terjadi kepada Kamarul akibat dilanggar kereta.


Watak Perwatakan Novel Pelari Muda

  • Murid tingkatan lima yang berusia 17 tahun.
  • Anak kedua dalam keluarga.
  • Seorang pelari pecut, mewakili negara Malaysia.
  • Pada awalnya, Kamarul seorang yang ramah dan bersopan santun.
  • Kamarul bersikap biadab apabila dia meninggal jurulatihnya yang sedang bercakap dengannya

Seorang yang angkuh dan sombong kerana kejayaan dan kepopularannya.

Seorang yang tidak mengenang budi
Kamarul enggan berlatih bawah bimbingan Encik Kadir kerana telah bosan.

Seorang yang berani mengakui kesilapan
Kamarul berani meminta maaf atas kesilapannya yang bersikap sombong dan tidak berdisiplin kepada Encik Kadir

Selepas pulih daripada kecederaannya, Kamarul gigih berlatih sehingga dia memenangi pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter dalam temasya Sukan SEA.

  • Saridah ialah kawan rapat Kamarul.
  • Murid tingkatan lima.
  • Berhidung kecil dan berambut lurus.
  • Berwajah tenang.

Seorang yang menghormati orang lain
Saridah menghormati Mak Jah, iaitu emak Kamarul.

Seorang yang berani
Saridah berani menegur sikap Kamarul yang mulai sombong dan tidak berdisiplin ketika menjalani latihan olahraga.

Seorang yang prihatin
Apabila Kamarul terlibat dalam kemalangan jalan raya, Saridah kerap menziarahi Kamarul.

  • Encik Kadir jurulatih olahraga negara.
  • Berusia dalam lingkungan 50 tahun.
  • Bermuka bulat dan sering memakai topi.
  • Berkulit agak gelap.
  • Bermulut becok.

Seorang yang bertanggungjawab.
Encik Kadir menjalankan tanggungjawab melatih Kamarul, Sures, dan atlet-atlet negara yang lain sebelum kejohanan Sukan SEA di Bangkok.

Seorang penyabar
Encik Kadir sabar menghadapi kerenah Kamarul yang mula sombong dan tidak berdisiplin selepas Kamarul menjadi terkenal.

Seorang yang pemaaf
Encik Kadir memaafkan kesalahan Kamarul yang kerap tidak menghadiri sesi latihan.


Gaya Bahasa Novel Pelari Muda

Repetisi
Contoh: Mengharapkan emak di rumah, emak lebih sibuk dengan persatuan wanitanya.

Anafora
Contoh: Maafkan aku, Saridah! Maafkan aku, Cikgu Zainal! Maafkan aku, Encik Kadir! Maafkan aku, kawan-kawan!

Simile
Contoh: hati dan perasaannya macam emak juga; Sures semakin pantas memecut bagaikan seekor kuda liar yang dipacu.

Sinkope
Contoh: kau dah tak lalu nak makan dan minum.

Bahasa Inggeris
Contoh: sorry, Don’t worry, just friend, sporting.

Peribahasa
Contoh: besar kepala, lupa daratan, sekilas ikan di air aku tahu jantan betinanya, memulangkan paku buah keras, jauh panggang dari api.

Personifikasi
Contoh: berbagai-bagai gambaran dan perasaan bersalah mendera hati Kamarul; kata-kata demikian meluncur daripada mulut Saridah; resapan bangga menyelinap ke pembuluh darah.

Hiperbola
Contoh: seribu kemarahan, kemarahannya mula membakar hatinya; kesayuan terus memenjarakan hati para atlet.

Penggunaan dialek
Contoh: tunak, aspal, bergulau.


Latar Novel Pelari Muda

Latar Tempat Novel Pelari Muda

Pusat Sukan Kampung Pandan
Peristiwa: Kompleks tersebut merupakan tempat Kamarul dan rakan-rakannya seperti Sures berlatih di bawah kendalian Encik Kadir sehinggalah berjaya membentuk Kamarul menjadi atlet yang berjaya dan meraih kejuaraan dalam Sukan SEA di Bangkok.

Stadium Nasional, Bangkok
Peristiwa: Tempat berlangsungnya Sukan SEA yang ke-14 dan di tempat itulah Kamarul berjaya meraih pingat emas menerusi acara 100 meter dan 400 meter.

Stadium Merdeka
Peristiwa: Tempat Kamarul dan Saridah menyertai Sukan MSSM. Di situlah jugalah mereka saling mengenali seterusnya hubungan tersebut berpanjangan sehinggakan timbul perasaan sayang di jiwa Saridah terhadap lelaki itu.

Kantin sekolah
Peristiwa: Tempat Saridah dan Juriah bersembang tentang hubungannya dengan Kamarul yang renggang dan Juriah pula menasihati Saridah agar melupakan Kamarul sebaliknya memberi fokus terhadap SPM.

Rumah Kamarul
Peristiwa: Di sinilah Mak Jah menyampaikan surat yang diberikan oleh Saridah kepada Kamarul. Di rumah ini jugalah Kamarul ditegur oleh emaknya kerana mengoyakkan akhbar yang memaparkan gambar Encik Kadir.

Hospital
Peristiwa: Tempat Kamarul menerima rawatan selepas dia terbabit dalam kemalangan jalan raya. Di sini jugalah Saridah dan Encik Kadir menziarahi Kamarul.


Latar Masa Novel Pelari Muda

Waktu pagi
Peristiwa: Mak Jah menyediakan sarapan untuk Kamarul dan melihat perubahan sikap Kamarul yang kelihatan tidak ceria seperti biasa.

Waktu petang
Peristiwa: Sures menunggu Kamarul untuk ke kompleks sukan bersama-sama tetapi Kamarul tidak datang.

Waktu malam
Peristiwa: Kamarul melihat gambar-gambar pelari yang menjadi idolanya.


Latar Masyarakat Novel Pelari Muda

Masyarakat remaja
Peristiwa: Mereka berusia 17 tahun yang terdiri daripada Kamarul, Sures, Saridah, dan Juriah. Sebagai remaja, mereka mudah mengikut perasaan seperti yang dilakukan oleh Kamarul yang bersikap sombong selepas popular.

Masyarakat atlet
Peristiwa: Mereka gigih berlatih untuk meningkatkan prestasi mereka sebelum mewakili negara dalam Sukan SEA. Mereka terdiri daripada Kamarul dan Sures yang mendapat tunjuk ajar daripada Encik Kadir.

Masyarakat yang prihatin terhadap nasib orang lain
Peristiwa: Juriah menasihati Saridah yang bersedih dengan sikap Kamarul yang dingin terhadapnya.

Masyarakat yang tegas dalam menjalankan tugas
Peristiwa: Adibah begitu tegas dalam menjalankan tugas sebagai ketua kelas dengan menghalang Kamarul daripada berjumpa dengan Cikgu Zainal sewaktu pembelajaran dan pengajaran.


Nilai Novel Pelari Muda

Nilai Keinsafan
Kamarul insaf akan kesilapan dirinya yang bersikap kasar dan sombong terhadap jurulatih dan kawan-kawannya. Selepas kemalangan, dia mengakui kesalahan diri semasa terlantar sakit di hospital.

Patriotisme
Contoh: Kamarul menganggap kemenangannya memperoleh pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter di Sukan SEA bukan sahaja untuk dirinya tetapi untuk negara.

Nilai Kasih sayang
Contoh: Mak Jah mengambil berat kesihatan dan keselamatan anaknya Kamarul yang dibuktikan dengan menjaga anaknya di hospital selama empat hari gara-gara dilanggar kenderaan.

Nilai Bertanggungjawab
Contoh: Encik Kadir seorang jurulatih yang bertanggungjawab seperti selalu menasihati Kamarul dan bersusah payah mengambil Kamarul yang keluar dari hospital.

Nilai Keberanian
Contoh: Kamarul berani menghadapi cabaran walaupun pada peringkat awal dia tidak yakin dapat menggondol pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter kerana menyedari tahap kecergasannya yang belum pulih. Namun sebagai jurulatih, Encik Kadir tetap yakin Kamarul mampu menggondol pingat tersebut dan akhirnya keyakinan Encik Kadir menjadi kenyataan.

Berdisiplin
Contoh: Sures yang berdisiplin dan akur pada jadual latihan telah membolehkan dia menewaskan Kamarul dalam saingan 100 meter.

Nilai Simpati
Contoh: Juriah bersimpati terhadap Saridah dengan menasihati Saridah dan mendengar segala rintihan dan kekecewaan Saridah.


Pengajaran Novel Pelari Muda

Kita hendaklah melahirkan rasa syukur jika memperoleh sesuatu kejayaan
Contoh Peristiwa: Kamarul melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT apabila memperoleh pingat emas dan memecah rekod baharu dalam acara 100 meter di Sukan SEA.

Kita perlu mempunyai semangat patriotism
Contoh Peristiwa: Kamarul menganggap kemenangannya memperoleh pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter di Sukan SEA bukan sahaja untuk dirinya tetapi untuk negara.

Kita sewajarnya mempunyai perasaan kasih sayang
Contoh Peristiwa: Mak Jah mengambil berat kesihatan dan keselamatan anaknya Kamarul yang dibuktikan dengan menjaga anaknya di hospital selamat empat hari gara-gara dilanggar kenderaan.

Kita sepatutnya menghargai jasa
Contoh Peristiwa: Kamarul memberi cenderamata kepada atlet Filipina, De Wega yang banyak memberi nasihat dan dorongan sehari sebelum pertandingan dijalankan sehinggakan dia meraih pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter.

Kita seharusnya mempunyai keberanian menghadapi cabaran
Contoh Peristiwa: Kamarul berani menghadapi cabaran walaupun pada peringkat awal dia tidak yakin dapat menggondol pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter kerana menyedari tahap kecergasannya yang belum pulih. Namun sebagai jurulatih, Encik Kadir tetap yakin Kamarul mampu menggondol pingat tersebut dan akhirnya keyakinan Encik Kadir menjadi kenyataan.

Kita mestilah mempunyai keazaman dan semangat yang tinggi untuk mencapai kejayaan.
Contoh Peristiwa: Kamarul mempunyai keazaman dan semangat yang tinggi untuk memenangi pingat emas dalam Sukan SEA.

Kita perlulah berdisiplin dalam kehidupan agar tugas yang dijalankan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Contoh Peristiwa: Sures dan Suradi yang berdisiplin dengan akur pada arahan jurulatih telah membolehkan dia menjadi atlet berpotensi.

Kita mestilah menghormati orang lain terutamanya orang yang lebih tua daripada kita.
Contoh Peristiwa: Saridah mengkormati orang lain, terutama Mak Jah dan Encik Kadir yang lebih tua daripadanya.

Kita hendaklah jujur dan amanah dengan setiap tanggungjawab yang diberikan kepada kita.
Contoh Peristiwa: Encik Kadir melatih Kamarul dengan bersungguh-sungguh sehingga Kamarul telah muncul sebagai pemenang pingat emas dalam kejohanan Sukan SEA di Bangkok.


Soalan dan Jawapan novel Pelari Muda

Berdasarkan novel yang saya kaji ketika tingkatan satu ialah Pelari Muda karya Ghazali Ngah Azia, terdapat beberapa persoalan di dalam novel ini.

Antaranya adalah persoalan kemasyuran diri telah menjadikan seseorang itu lupa daratan. Contohnya, Kamarul telah berlaku sombong dan angkuh selepas dia berjaya mewakili negara dalam Kejohanan Sukan SEA di Brunei. Dia sengaja menguzurkan diri daripada menghadiri latihan di bawah bimbingan jurulatihnya, Encik Kadir dan bersikap tidak endah terhadap kawan-kawan seperjuangannya yang lain.

Selain itu, adalah persoalan keberanian seorang sahabat menegur demi kebaikan. Contohnya, Saridah berani menegur Kamarul yang telah bersikap sombong apabila menjadi seorang yang popular. Keberanian Saridah ini telah menyebabkan hubungannya dengan Kamarul menjadi tegang.

Akhir sekali, adalah persoalan disiplin diri yang mantap menjadi kunci untuk menggenggam kejayaan. Contohnya, kecergasan Kamarul merosot sehingga dia kalah kepada Sures dan Suradi yang tidak pernah berjaya mengalahkannya sebelum ini. Hal ini disebabkan oleh sikap Kamarul yang selalu ponteng latihan dan kurang berdisiplin. Akan tetapi, selepas terlibat dalam kemalangan, dia insaf akan perbuatannya dan menebus kesilapannya kepada Encik Kadir dengan menghadirkan diri semasa sesi latihan. Akhirnya, hasil disiplinnya menghadiri latihan, Kamarul berjaya memenangi acara 400 meter.

Novel yang saya kaji berjudul Pelari Muda karya Ghazali Ngah Azia. Kamarul merupakan watak utama dalam novel ini.

Perwatakan yang menarik bagi Kamarul ialah dia merupakan seorang yang gigih. Sebagai contoh, Kamarul melakukan latihan secara serius dan intensif akhirnya telah membolehkannya dipilih untuk mewakili Negara dalam acara olahraga Sukan SEA di Brunei.

Selain itu, Kamarul sangat menghormati orang tuanya. Contohnya, Kamarul menghormati ibunya dan sentiasa berlemah-lembut ketika bercakap dengan emaknya, Mak Jah.

Di samping itu, Kamarul seorang yang berani mengakui kesalahan diri. Sebagai contoh, Kamarul insaf akan kesilapannya yang selalu bersikap sombong dan kasar terhadap rakan-rakan dan jurulatihnya. Setelah menyedari pengorbanan Cikgu Zainal, Encik Kadir, Saridah dan Sures dia kembali berlatih di bawah kendalian Encik Kadir sehingga berjaya menjadi juara dalam bidang yang diceburi.

Merujuk pada novel penulisan Ghazali Ngah Azia iaitu Pelari Muda, terdapat beberapa orang watak sampingan yang membantu dalam perkembangan plot cerita ini. Antara watak sampingan yang selalu berdamping dengan watak utama ialah Saridah Binti Johari.

Antara perwatakan Saridah yang jelas kelihatan dalam novel ini ialah dia merupakan seorang yang menepati janji. Sebagai bukti, dia menunggu Kamarul pada waktu rehat di perpustakaan. Pada awalnya, mereka telah berjanji untuk bertemu di lokasi tersebut untuk membincangkan masalah yang terjadi. Namun begitu, Kamarul langsung tidak menunjukkan batang hidungnya sehinggalah waktu rehat berakhir.

Selain itu, Saridah juga merupakan seorang yang pemaaf. Sebagai contoh, dia sudi memaafkan kesalahan Kamarul. Dia telah menulis surat kepada Kamarul dan meminta Juriah untuk menghantarkan surat tersebut. Dalam surat tersebut, Saridah meminta maaf kepada Kamarul dan menyatakan bahawa dia sudi memaafkan kesalahan Kamarul yang bersikap mementingkan diri itu.

Seterusnya, Saridah ialah seorang yang baik hati. Contohnya, dia ingin belanja Juriah makan.

Berdasarkan novel Pelari Muda karya Ghazali Ngah Azia, tedapat beberapa nilai murni yang ditonjolkan oleh penulis supaya dapat dijadikan ikutan buat pada pembaca.

Nilai yang pertama ialah berdisiplin. Contohnya Sures seorang yang berdisiplin. Dia sentiasa menghadiri latihan larian mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh jurulatih, Encik Kadir.

Nilai yang kedua ialah bertanggungjawab. Contohnya Adibah seorang ketua kelas yang bertanggungjawab. Dia menegur kesalahan Kamarul yang ingin keluar kelas tanpa kebenaran.

Selain itu, terdapat nilai kepatuhan dalam novelPelari Muda. Contohnya, Sures menuruti arahan Encik Kadir semasa sesi latihan di Pusat Sukan Kampung Pandan. Nilai kepatuhan terhadap jurulatihnya telah menjadikan dia seorang yang berjaya dalam acara lumba lari walaupun bertanding dengan Kamarul iaitu orang yang tidak dapat dikalahkannya suatu masa dahulu.

Akhir sekali, adalah nilai keinsafan. Sebagi tamsilan, Kamarul insaf akan sikapnya yang sombong, bongkak dan bersikap kasar terhadap jurulatih dan kawan-kawannya. Kamarul mulai insaf akan kekhilafan dirinya setelah terlibat dalam kemalangan dan terlantar di hospital. Dia berasa terharu akan perbuatan jurulatihnya, Encik Kadir yang sentiasa mengambil berat terhadap kesihatannya.

Berdasarkan novel Pelari Muda karya Ghazali Ngah Azia, terdapat beberapa pengajaran yang boleh diambil pembaca dalam menjalani kehidupan seharian.

Antaranya ialah kita hendaklah berdisiplin dalam kehidupan agar tugas yang dipikul dapat dilaksanakan dengan berkesan. Contohnya, Sures dan Suradi yang berdisiplin dan sentiasa akur dengan arahan jurulatih mereka telah menjadikan mereka sebagai atlet yang berprestij.

Selain itu, kita perlulah menghargai jasa dan budi baik orang lain supaya kita tidak bersikap bongkak dan hidung tinggi. Misalnya, Kamarul yang sudah popular telah melupakan jasa Cikgu Zainal dan Encik Kadir yang telah menjadikannya jaguh pecut. Sikap sombong ini telah menyebabkan dirinya tidak disenangi oleh rakan-rakannya. Oleh itu, kita patutlah menghargai jasa supaya tidak bersikap angkuh seperti Kamarul.

Akhir sekali, kita wajarlah insaf akan kesilapan supaya kita tidak terus melakukan kesalahan itu lagi. Amsalnya, Kamarul yang terlantar di hospital telah insaf dan sedar akan sikapnya yang kasar terhadap jurulatihnya itu. Kamarul akhirnya kembali menjadi pelatih yang berdisiplin dan patuh akan arahan jurulatihnya sehinggakan dia berjaya menjadi juara dalam acara yang disertainya.

Merujuk pada novel penulisan Ghazali Ngah Azia iaitu Pelari Muda, terdapat beberapa latar tempat yang menjadi lokasi sesuatu peristiwa itu berlaku.

Antara latar tempat yang terdapat di dalam novel ini, adalah di rumah Kamarul. Contoh peristiwa yang berlaku ialah Kamarul membaca akhbar dan meneliti berita sukan tanah air. Selepas membaca kenyataan yang dibuat Encik Kadir di dalam akhbar, dia menusuk gambar Encik Kadir dengan jari- jarinya kerana marah akan tindakan Encik Kadir yang membuat kenyataan mengenai disiplin para atlet negara. Dia merasakan bahawa kenyataan itu sengaja dibuat untuk ditujukan kepadanya.

Selain itu, adalah di Pusat Sukan Kampung Pandan. Contoh peristiwa yang terjadi di sini ialah Kamarul kalah dengan Sures dan Suradi iaitu dua orang pesaing yang tidak pernah berjaya melawannya sebelum ini dalam acara larian. Selepas beberapa kali membuat larian, Encik Kadir meminta semua pelatih lain beredar kecuali Kamarul. Dia manasihati Kamarul tetapi nasihat yang diberi langsung tidak diendahkan oleh Kamarul malah diprovokasikan.

Akhir sekali, adalah latar tempat di Gimnasium A. Di tempat ini, Kamarul telah berkenalan dengan seorang pelari Filipina yang cemerlang pretasinya iaitu De Wega. De Wega mengatakan kepada Kamarul bahawa dia selalu mengikuti perkembangannya dan atlet-atlet lain dari Malaysia dan negara- negara lain. Sebelum bersurai, De Wega memberikan kata-kata semangat kepada Kamarul.

Berdasarkan novel Pelari Muda yang dikarang oleh Ghazali Ngah Azia, terdapat banyak latar masyarakat yang boleh didapati dalam novel ini.

Antaranya, masyarakat murid yang aktif bersukan. Contohnya, Kamarul, Sures, Suradi dan Saridah merupakan murid sekolah yang bergiat aktif dalam sukan olahraga.

Selain itu, masyarakat yang prihatin tehadap orang sekelilingnya. Contohnya, Juriah menasihati Saridah yang bersedih dengan sikap Kamarul yang dingin terhadapnya.

Seterusnya, masyarakat yang angkuh dan sombong apabila memperoleh kejayaan. Contohnya, Kamarul mula bersikap angkuh apabila dia dapat menyertai Kejohanan Sukan SEA di Brunei dan menjadi popular.

Leave a Reply

Your email address will not be published.