Kandungan
Masalah pencemaran alam sekitar semakin serius di dunia ini. Apakah punca yang menjadi pendorong peningkatan kes pencemaran alam sekitar?
Faktor Peningkatan Kes Pencemaran Alam Sekitar
Pada alaf mengejar arus kemodenan negara, isu alam sekitar sentiasa terpalit dalam setiap perbualan pengamal media, perbincangan pemimpin negara dan keresahan kepada rakyat marhaen yang secara langsung menerima tempias daripada pencemaran yang berlaku. Punca pencemaran alam sekitar boleh dikategorikan kepada beberapa aspek utama seperti pencemaran air, pencemaran udara dan pencemaran bunyi. Banyak insiden telah memberi kesan langsung kepada rakyat yang akhirnya terpaksa menanggung derita, orang lain makan nangka, orang lain kena getahnya. Persoalan yang masih bermain dalam fikiran, apakah faktor yang menjadi pendorong peningkatan kes pencemaran alam sekitar?
Sikap tidak bertanggungjawab individu
Faktor utama isu yang menjadi polemik dalam masyarakat hari ini ialah sikap tidak bertanggungjawab individu dalam penjagaan alam sekitar. Sikap masyarakat yang masih tidak berubah sejak dahulu lagi menjadi faktor pencemaran alam sekitar. Mereka tidak peka akan sistem pembuangan sampah yang telah disarankan oleh kerajaan. Pelbagai kempen dan inisiatif telah diberikan oleh kerajaan malah kempen Kitar Semula tidak diambil peduli oleh rakyat. Mereka membuang sampah merata tempat seolah-olah tiada rasa kasih dan sayang terhadap negara. Contohnya, terdapat banyak kejadian di mana sampah dibuang ke dalam longkang dan parit, menyebabkan sistem saliran tersumbat dan mengakibatkan banjir kilat di kawasan bandar. Sikap mereka ini menjadikan masalah semakin parah tambahan pula sikap suka menuding jari menyalahkan pihak lain lalu akibatnya masalah pencemaran alam sekitar terus berlaku dan membelenggu kehidupan masyarakat.
Pembuangan sisa industri yang tidak terkawal
Selain itu, pembuangan sisa industri dan pertanian yang tidak terkawal juga tersenarai dalam punca pencemaran alam sekitar. Syarikat swasta yang beroperasi secara sah atau haram mengambil jalan mudah dengan membuang sisa industri ke dalam sungai. Manakala pengusaha pertanian pula menggunakan bahan kimia dalam operasi pertanian mereka. Misalnya, insiden pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang pada tahun 2019 berpunca daripada pembuangan sisa toksik oleh kilang haram, yang menyebabkan ribuan penduduk terpaksa mendapatkan rawatan perubatan. Sikap tidak bertanggungjawab ini akhirnya mengundang padah yang akan menyusahkan semua pihak. Tegasnya, sikap pengusaha industri dan pertanian perlulah dipantau agar tidak menjadi beban kepada kerajaan apabila berlaku pencemaran alam.
Kelemahan penguatkuasaan undang-undang
Masalah penguatkuasaan undang-undang yang lemah merupakan isu yang tiada berkesudahan. Kelemahan ini disebabkan jumlah tenaga kerja bahagian penguatkuasaan agak kurang diminati. Malah, isu integriti turut terpalit dengan kakitangan penguat kuasa. Mereka bersekongkol dengan syarikat-syarikat swasta yang sanggup memberi imbuhan lumayan bagi menghalang segala tindakan penguatkuasaan terhadap mereka. Sebagai contoh, meskipun terdapat undang-undang ketat seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, banyak kilang masih beroperasi tanpa kawalan ketat kerana kurangnya penguat kuasa yang memantau. Keadaan ini menyebabkan isu pencemaran alam sekitar masih berlaku dan syarikat atau kilang yang terlibat masih beroperasi sehingga hari ini seolah-olah tidak melakukan sebarang dosa kepada masyarakat dan negara. Sesungguhnya, keadaan ini amat memalukan negara apabila penjenayah masih terus bermaharajalela.
Contoh Karangan: Langkah Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar
Pembakaran terbuka
Selain itu, punca pencemaran alam sekitar turut berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan oleh masyarakat. Tindakan ini lazimnya berlaku akibat kegagalan sistem pengurusan sampah, di mana sisa buangan yang tidak dikutip memaksa penduduk membakarnya bagi mengurangkan longgokan sampah. Malangnya, pembakaran ini bukan sahaja menghasilkan asap tebal yang mencemarkan udara, malah turut melepaskan bau busuk yang mengganggu keselesaan penduduk sekitar. Di samping itu, petani di kawasan utara tanah air juga mengamalkan pembakaran jerami padi selepas musim menuai sebagai kaedah pembersihan ladang. Contohnya, kejadian jerebu yang melanda Malaysia hampir setiap tahun berpunca daripada pembakaran hutan secara terbuka di negara jiran seperti Indonesia, yang mengakibatkan masalah kesihatan dan penglihatan terhad dalam kalangan rakyat. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa pembakaran terbuka memberi impak buruk terhadap alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Peningkatan Aktiviti Pembalakan Haram
Selain itu, peningkatan aktiviti pembalakan haram turut menyumbang kepada punca pencemaran alam sekitar. Pembalakan secara tidak terkawal menyebabkan kemusnahan hutan yang berfungsi sebagai paru-paru dunia. Pokok-pokok yang ditebang tanpa kawalan mengakibatkan tanah menjadi semakin terdedah kepada hakisan dan tanah runtuh. Tambahan pula, pembalakan haram turut menjejaskan ekosistem sungai kerana sisa kayu dan lumpur yang dialirkan ke dalam sungai akan menyebabkan pencemaran air dan mengancam kehidupan akuatik. Sebagai contoh, kegiatan pembalakan haram di kawasan pedalaman seperti di hutan-hutan di Sarawak telah menyebabkan pencemaran sungai yang serius sehingga menjejaskan sumber air penduduk setempat. Keadaan ini seperti peribahasa, “bagai harimau membaham mangsa,” di mana kerakusan manusia terhadap keuntungan akhirnya membawa kemudaratan kepada alam sekitar.
Penutup Karangan
Secara keseluruhannya, punca pencemaran alam sekitar berpunca daripada pelbagai faktor dan kegiatan yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu untuk mengatasi masalah ini sebelum keadaan menjadi semakin parah. Jika tiada langkah drastik diambil, generasi akan datang bakal mewarisi dunia yang semakin tercemar. Sesungguhnya, kesedaran terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar mestilah bermula dari sekarang kerana, seperti kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.
Contoh Karangan: Cara Kerajaan menangani Kes Pencemaran Alam Sekitar
terima kasih
nice