Skip to content

Karangan Faktor Peningkatan Kes Pencemaran Alam Sekitar

Faktor Peningkatan Kes Pencemaran Alam Sekitar

Masalah pencemaran alam sekitar semakin serius di dunia ini. Apakah punca yang menjadi pendorong peningkatan kes pencemaran alam sekitar?

Faktor Peningkatan Kes Pencemaran Alam Sekitar

Pada alaf mengejar arus kemodenan negara, isu alam sekitar sentiasa terpalit dalam setiap perbualan pengamal media, perbincangan pemimpin negara dan keresahan kepada rakyat marhaen yang secara langsung menerima tempias daripada pencemaran yang berlaku. Pencemaran alam sekitar terbahagi kepada tiga jenis iaitu pencemaran air, pencemaran udara dan pencemaran bunyi. Banyak insiden telah memberi kesan langsung kepada rakyat yang akhirnya terpaksa menanggung derita, orang lain makan nangka, orang lain kena getahnya. Persoalan yang masih bermain dalam fikiran, apakah faktor yang menjadi pendorong peningkatan kes pencemaran alam sekitar?

Sikap tidak bertanggungjawab individu

Faktor utama isu yang menjadi polemik dalam masyarakat hari ini ialah sikap tidak bertanggungjawab individu dalam penjagaan alam sekitar. Sikap masyarakat yang masih tidak berubah sejak dahulu lagi menjadi faktor pencemaran alam. Mereka tidak peka akan sistem pembuangan sampah yang telah disarankan oleh kerajaan. Pelbagai kempen dan inisiatif telah diberikan oleh kerajaan malah kempen Kitar Semula tidak diambil peduli oleh rakyat. Mereka membuang sampah merata tempat seolah-olah tiada rasa kasih dan sayang terhadap negara. . Sikap mereka ini menjadikan masalah semakin parah tambahan pula sikap suka menuding jari menyalahkan pihak lain lalu akibatnya masalah pencemaran alam terus berlaku dan membelenggu kehidupan masyarakat.

Pembuangan sisa industri yang tidak terkawal

Selain itu, pembuangan sisa industri dan pertanian yang tidak terkawal juga tersenarai dalam punca pencemaran alam. Syarikat swasta yang beroperasi secara sah atau haram mengambil jalan mudah dengan membuang sisa industri ke dalam sungai. Manakala pengusaha pertanian pula menggunakan bahan kimia dalam operasi pertanian mereka. Sikap tidak bertanggungjawab ini akhirnya mengundang padah yang akan menyusahkan semua pihak. Tegasnya, sikap pengusaha industri dan pertanian perlulah dipantau agar tidak menjadi beban kepada kerajaan apabila berlaku pencemaran alam.

Kelemahan penguatkuasaan undang-undang

Masalah penguatkuasaan undang-undang yang lemah merupakan isu yang tiada berkesudahan. Kelemahan ini disebabkan jumlah tenaga kerja bahagian penguatkuasaan agak kurang diminati. Malah, isu integriti turut terpalit dengan kakitangan pengkuatkuasa. Mereka bersekongkol dengan syarikat -syarikat swasta yang sanggup memberi imbuhan lumayan bagi menghalang segala tindakan penguatkuasaan terhadap mereka. Keadaan ini menyebabkan isu pencemaran alam masih berlaku dan syarikat atau kilang yang terlibat masih beroperasi sehingga hari ini seolah- olah tidak melakukan sebarang dosa kepada masyarakat dan negara. Sesungguhnya, keadaan ini amat memalukan negara apabila penjenayah masih terus bermaharajala.

Pembakaran terbuka

Di samping itu, pencemaran alam juga berlaku disebabkan pembakaran terbuka. Pembakaran terbuka ini kebiasaanya dilakukan oleh penduduk dan masyarakat. Mereka membakar sampah akibat sampah terlalu banyak dan tidak dikutip oleh kontraktor yang dipertanggunjawabkan. Keadaan ini memaksa penduduk dan masyarakat melakukan pembakaran terbuka. Malangnya, pembakaran terbuka ini membebaskan bau busuk daripada sampah-sampah tersebut. Malah petani sawah di utara tana hair juga melakukan tindakan sama iaitu membakar serkam padi. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan pencemaran udara tetapi pencemaran bau juga berlaku.

Penutup Karangan Peningkatan Kes Pencemaran Alam Sekitar

Secara keseluruhannya, peningkatan kes pencemaran alam sekitar ini memerlukan semua pihak agar berganding bahu, duduk semeja, mencari kata sepakat, sebulat suara dan bersatu hati menangani masalah yang masih tiada kelihatan titik noktah penyelesaian yang mungkin masih jauh perjalanannya. Namun jika tidak bermula dari sekarang, pasti kita tidak akan berjaya mengatasi isu pencemaran alam sekitar kerana kesemua kejayaan bermula dengan langkah pertama.


Contoh Karangan: Cara Kerajaan menangani Kes Pencemaran Alam Sekitar

1 thought on “Karangan Faktor Peningkatan Kes Pencemaran Alam Sekitar”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *