Skip to content

Contoh Karangan SPM: Peranan Koperasi Sekolah

Karangan Peranan Koperasi Sekolah

Kebanyakan sekolah menengah di negara kita mempunyai koperasi sekolah. Apakah peranan utama penubuhan koperasi di sekolah?

Peranan Koperasi Sekolah

Tokoh koperasi negara iaitu Allahyarham Profesor Diraja Ungku A. Aziz bin Ungku Abdul Hamid merupakan pengasas Koperasi Angkasa dan beliau telah membangkitkan semula cetusan idea tentang koperasi sekolah ini pada 1968. Usaha beliau ini telah membuahkan hasil apabila sembilan buah sekolah telah terpilih menjadi perintis penubuhan koperasi sekolah sekali gus menjadi model penubuhan koperasi di sekolah-sekolah lain. Usaha murni yang dilakukan oleh tokoh pendidikan dan koperasi negara ini semestinya mempunyai peranan yang tersendiri dan bukan hanya sekadar memenuhi aktiviti kokurikulum. Persoalannya, apakah peranan utama penubuhan koperasi di sekolah ?

Menjual barang dengan harga yang murah

Salah satu peranan utama penubuhan koperasi sekolah adalah untuk menjual peralatan sekolah dengan harga yang murah dan berpatutan untuk membantu golongan murid yang kurang berkemampuan atau miskin. Pada masa sama, murid yang miskin dapat menjimatkan wang perbelanjaan kerana mereka dapat membeli peralatan sekolah dengan harga yang murah seterusnya baki wang perbelanjaan dapat disimpan sebagai tabungan untuk masa hadapan sesuai dengan peribahasa Melayu yang mengatakan ingat sebelum kena jimat seblum habis.

Mendidik ahli dalam dunia perniagaan

Selain itu, koperasi juga mendidik ahlinya dalam dunia perniagaan. Bagi ahli yang terpilih, mereka berpeluang menjalani latihan amali dalam bidang perniagaan. Hal ini akan dapat membentuk fikiran dan impian mereka untuk menjadi seorang enterpeneur pada masa akan datang. Malah, sikap ini akan membentuk sikap rajin bekerja dan berniaga untuk mencapai sesuatu yang diingini kerana bagi mereka, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Secara tidak langsung, murid yang menjadi ahli jawatankuasa akan memiliki semangat berdikari dan menjadi anak yang bertanggungjawab pada diri, keluarga, pelajaran dan masa depan.

Memudahkan urusan pembelian

Di samping memupuk ilmu perniagaan, koperasi sekolah juga telah memudahkan urusan pembelian barangan dan perkhidmatan. Pada hari ini, skop koperasi sekolah semakin luas dengan menyediakan khidmat melayari Internet, mencetak dokumen dan membuat salinan dokumen bagi memudahkan pelajar mendapatkan perkhidmatan tersebut tanpa pergi ke pusat Internet di pekan yang jauh dari rumah. Secara tidak langsung koperasi sekolah berjaya mengembangkan sayap dengan menawarkan pelbagai keperluan pelajar, guru, kakitangan sekolah, dan ibu bapa.

Memupuk semangat berkumpulan

Tidak dinafikan koperasi berperanan memupuk semangat berkumpulan yang saling menolong antara satu sama lain. Dalam hal ini, koperasi membantu ahli-ahlinya untuk mendapatkan barangan dengan harga yang murah dan berpatutan. Pada masa yang sama, koperasi memperoleh keuntungan perniagaan dan keuntungan tersebut dikongsi dengan ahli melalui pemberian dividen pada hujung tempoh perakaunan. Secara tidak langsung, dividen ini akan memberi semangat kepada warga sekolah untuk membeli barang persekolahan dan keperluan di koperasi sekolah kerana mereka akan mendapat keuntungan dividen pada akhirnya berbanding jika membeli di kedai luar yang tidak memperoleh apa-apa faedah pada hujung tahun perniagaan mereka. Terbukti bahawa, membeli di koperasi lebih besar faedahnya.

Penutup Karangan Koperasi Sekolah

Secara konklusinya, koperasi sekolah yang diilhamkan oleh tokoh negara ini telah menjadi satu wahana yang mampu menyumbang kejayaan kepada sekolah dan pelajar. Oleh itu, sokongan padu daripada semua pihak terutamanya ibu bapa dalam menggalakkan anak- anak membeli barangan di koperasi sekolah agar mereka dapat menikmati faedah secara langsung atau tidak langsung daripada koperasi.


Contoh Karangan: Faedah Koperasi Sekolah
Contoh Karangan: Kepentingan Menyertai Koperasi

Isi lain tentang Koperasi Sekolah

– koperasi sekolah banyak memberikan faedah jika setiap idea di atas kita hayati dengan baiknya
– koperasi sekolah ialah organisasi yang signifikan kepada guru-guru dan murid-murid di sekolah
– semua sekolah harus memastikan koperasi sekolah menjalankan fungsinya kepada murid
– sekolah akan menjadi tempat belajar yang bukan hanya mementingkan pencapaian akademik
– sekolah dapat menjadi tempat murid menguasai pelbagai ilmu termasuk ilmu konsumerisme
– sekolah juga akan menjadi pentas utama yang menyaksikan kejayaan dan kegemilangan murid
– semua sekolah diharapkan dapat memastikan koperasi sekolah berfungsi dengan baiknya
– semua murid dapat memanfaatkan koperasi sekolah agar faedahnya juga dinikmati oleh semua
– pengurusan sekolah haruslah memastikan koperasi sekolah terus memberikan faedahnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *