Skip to content

Kebaikan dan Keburukan perniagaan atas talian

Kelebihan dan Kelemahan perniagaan atas talian

Perniagaan atas talian ataupun e-dagang menjadi urus niaga yang semakin popular di negara kita terutamanya dalam kalangan remaja. Tulis karangan tentang Kelebihan dan Kelemahan perniagaan atas talian.

Contoh Karangan SPM Perniagaan atas talian

Perniagaan atas talian ataupun e-dagang semakin popular dan mendapat sambutan hangat daripada masyarakat dalam era globalisasi ini. Kerajaan dan peniaga turut membangunkan industri perniagaan atas talian dan memberi banyak peruntukan supaya meningkatkan penggunaane-dagang. Antara perniagaan atas talian yang terkenal dalam kalangan pengguna di Malaysia ialah Lazada, Shopee dan banyak lagi. Namun, selain kebaikan ada juga kelemahan yang akan diperoleh akibat perniagaan atas talian pada masa ini.

Kebaikan – Urusan yang mudah dan pantas

Antara faedah perniagaan atas talian kepada kita ialah urusannya yang lebih mudah dan pantas iaitu hanya perlu menekan papan kekunci sahaja. E-dagang dapat memudahkan dan mempercepatkan urus niaga kerana urusan jual beli yang dilakukan tidak melibatkan pertemuan penjual dan pembeli secara langsung. Pengguna tidak perlu berkunjung ke tempat yang jauh untuk membeli barangan keperluan mereka. Biasanya barang yang dipesan di domestik hanya memerlukan tempoh masa dua hingga tiga hari untuk sampai kepada pembeli. Bahkan, urusan pembelian boleh dilakukan pada bila-bila masa kerana lazimnya perniagaan atas talian ini beroperasi tanpa had masa dengan adanya kemudahan mengakses internet.

Kebaikan – Menjimatkan kos

Selain itu, mereka yang berurus niaga secara atas talian juga mampu menjimatkan banyak kos. Perniagaan atas talian dapat memudahkan pengeluar dan pengguna untuk membeli atau memasarkan sesuatu barang. Perniagaan atas talian yang tidak memerlukan premis perniagaan yang besar dan kakitangan yang ramai, justeru peniaga dapat menjimatkan kos sewa premis perniagaan dan kos gaji pekerja. E-dagang juga memberi peluang kepada syarikat-syarikat untuk menjual produk mereka kepada pengguna multinasional di seluruh dunia melalui internet. Manakala bagi pembeli pula, mereka dapat menjimatkan kos petrol kerana tidak perlu keluar untuk membeli barang yang dihajati. Pengguna juga akan mendapat maklumat dan harga yang tepat sebelum membeli sesuatu barangan supaya tidak membeli dengan harga yang tidak berpatutan.

Kelemahan – Berisiko untuk ditipu

Dalam pada itu, perniagaan atas talian juga ada kelemahannya. Antara kelemahan yang paling membimbangkan adalah pembeli atau penjual berisiko untuk ditipu kerana mereka tidak mengenali individu yang berurus niaga dengan mereka. Sebagai contoh, pembeli tidak menerima barang yang telah dipesan walaupun pembayaran telah dilakukan. Selain itu, masalah barang yang diterima tidak seperti dalam terma dan syarat juga sering berlaku dan menyebabkan sebilangan pengguna tidak berminat dalam urus niaga atas talian. Keadaan ini menyebabkan para pembeli hilang keyakinan untuk membuat pembelian secara atas talian lalu menjejaskan perniagaan peniaga yang jujur.

Kelemahan – Menggalakkan sikap boros

Seterusnya, perniagaan atas talian juga boleh menggalakkan sikap boros akibat pembeli yang asyik membuat pembelian mengikut nafsu. Ini disebabkan oleh sikap sesetengah masyarakat yang mudah terpengaruh dengan iklan, tawaran harga murah atau pujukan rakan sebaya hinggakan tanpa sedar telah membeli barang bukan keperluan. Selain itu, barang yang dibeli secara atas talian mungkin tidak berkualiti dan mendatangkan kemudaratan kepada pengguna. Natijahnya, keadaan ini akan menghilangkan budaya menabung dan meningkatkan risiko berhutang kepada masyarakat Malaysia.

Penutup Karangan Perniagaan atas talian

Kesimpulannya, perniagaan atas talian mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tertentu. Walaupun perniagaan atas talian menjadi semakin biasa dalam kehidupan kita, masyarakat perlulah bijak memilih dan berhati-hati agar kemudahan yang ada tidak memudaratkan diri sendiri. Pihak kerajaan yang berkenaan juga harus mengawalkan bidange-dagang dengan teliti supaya pengguna mendapat manfaat dalam urus niaga atas talian.


Contoh Karangan: Kelebihan dan Keburukan pembelajaran atas talian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You cannot copy content of this page