Skip to content

Nota Komsas: Sajak Pesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampus

Sajak Pesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampus Nota Komsas: Sajak Pesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampus

Sajak Pesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampus karya Sazalee Yacob. Berikutnya tema, Persoalan, maksud, gaya bahasa, nilai dan pengajaran sajak ini.

Tema Sajak Pesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampus

Sajak “Pesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampus” bertemakan nasihat ibu bapa kepada anak gadis yang akan melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi.


Maksud Pesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampus

Kuhantar  kau mengecapi angin baru
udara lain dari kampung bendang kuningmu
bumantara asing dari yang sering kaumesrai
yang sama sekali berbeza
dengan suasana suntimu
kau nikmatilah angin dan udara ilmu itu
memesrai azimat dan tangkal
dari tangga gading.

Penyajak menghantar anaknya menghirup udara kehidupan yang baharu di Bandar kerana anaknya akan melanjutkan pelajaran di sana.  Oleh sebab suasana dan persekitaran Bandar dan kampung jauh berbeza, penyajak berharap agar anaknya dapat menyesuaikan diri di bandar.  Beliau juga mahu anaknya menimba pengalaman baharu di universiti yang bakal mengubah kehidupan anaknya sebagai mahasiswa di universiti

Kulepaskan kau menjadi burung putih
dengan sayap berkembang
menongkah awan perak dan kabut dingin
mengenal kalimat hujan dan bilah petir
menyelit antara sembilu nasib
dan waras akal.

Penyajak sanggup membenarkan anaknya hidup di bandar untuk meluaskan pengalaman kehidupannya.  Hal ini demikian kerana penyajak mahu melatih anaknya agar tabah menghadapi cabaran dalam kehidupan agar dapat mematangkan diri.  Dengan berbuat demikian, pemikiran anaknya menjadi lebih matang dan bijaksana menghadapi segala cabaran dalam kehidupannya sebagai seorang mahasiswa agar dapat berjasa kepada keluarga, bangsa dan negara pada  masa  hadapan.

Di awan kampus yang sarat ilmu
hadir sihir angin bernafas api
di pohon kampus yang tegar status
berceracak selumbar noda mengabur fikir
di padang kampus yang hijau pertimbangan
tumbuh gunung ego menghalau pekerti.

Penyajak beranggapan bahawa universiti ialah tempat yang kaya dengan ilmu pengetahuan untuk ditimba oleh anak gadisnya.Walau bagaimanapun, penyajak beranggapan bahawa banyak pengaruh negatif  juga tersebar luas di sana.  Oleh hal yang demikian, penyajak berharap agar anaknya dapat membuat pertimbangan dan keputusan yang terbaik buat dirinya agar dapat mengelakkan sikap negatif seperti sombong.

Pandai-pandailah kau terbang
menongkah awan mulus dan kabus dingin
jangan kau pulang
dengan percikan duka dan balutan luka
di sayapmu yang patah

Penyajak  menasihati anak gadis suntinya agar pandai membawa diri dalam mengharungi kehidupan di universiti. Beliau mengingatkan anak gadis suntinya tidak pulang dengan kekecewaan.


Persoalan Pesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampus

(a)  Perbezaan antara kehidupan di desa dengan kehidupan di kampus.
Contoh: Penyajak mengatakan bahawa kehidupan di bandar adalah berbeza dengan kehidupan di kampung tempat asal anaknya menetap. Beliau berharap anaknya akan dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di bandar tersebut.

(b)  Harapan bapa supaya anaknya dapat menikmati peluang untuk menimba ilmu di menara gading.
Contoh: Penyajak mengharapkan anaknya menjadi lebih matang dan seorang yang bijaksana.

(c)  Keberanian bapa yang melepaskan anak gadis suntinya untuk menuntut ilmu di menara gading.
Contoh : Penyajak menghantar anaknya ke bandar untuk melanjutkan pelajaran ke universiti kerana menyedari kepentingan ilmu pengetahuan.

(d)  Kehidupan di kampus yang banyak cabaran.
Contoh: Penyajak menjelaskan bahawa kehidupan di bandar amat mencabar serta banyak perkara negatif akan berlaku jika anaknya tidak dapat membezakan antara perkara yang baik dengan perkara yang tidak baik.

(e)  Keegoan yang mengetepikan pekerti.

(f)  Kebijaksanaan dalam menghadapi cabaran dan dugaan di kampus.
Contoh: Penyajak  beranggapan bahawa banyak pengaruh negatif  apabila wujudnya pengaruh rakan sebaya dan  media massa. Penulis berharap agar anaknya dapat membuat keputusan yang waras agar dapat mengelakkan sikap negatif dalam menjalani kehidupan di bandar.


Bentuk SajakPesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampus

(a) Terdiri daripada empat rangkap.

(b) Bilangan baris dalam setiap rangkap tidak sama, iaitu:
rangkap pertama: lapan baris,
rangkap kedua: enam baris,
rangkap ketiga: enam baris,
rangkap keempat: lima baris.

(c) Jumlah patah kata dalam setiap baris antara tiga hingga enam patah kata dalam satu baris.

(d) Bilangan suku katanya antara lima hingga lima belas suku kata.

(e) Rima akhirnya ialah:
rangkap pertama: aabcaade,
rangkap kedua: abcdef,
rangkap ketiga: abcdeb,
rangkap keempat: abacd.


Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi

  • Bahasa klasik atau Sanskrit. Contoh: bumantara; azimat; tangkal.
  • Sinkof – Kuhantar (aku), Kau (engkau)
  • Diksi atau pemilihan kata begitu indah dan berkesan. Contoh: memesrai azimat dan tangkal; menongkah awan perak dan kabut dingin; tumbuh gunung ego menghalau pekerti.
  • Responsi. Contoh: kau nikmatilah angin dan udara ilmu itu ; mengenal kalimat hujan dan bilah petir
  • Metafora – sembilu nasib
  • Hiperbola – angin nafas
  • Kata ganda – pandai-pandailah
  • Hiperbola. Contoh: hadir sihir angin bernafas api.
  • Unsur alam. Contoh: angin; burung putih; kabut; kabus.
  • Asonansi. Contoh: Kulepaskan kau menjadi burung putih (perulangan bunyi vokal u).
  • Aliterasi. Contoh: dengan suasana suntimu (perulangan bunyi konsonan s).
  • Inversi, Contoh: waras akal sepatutnya akal waras ; Dingin kabus sepatutnya kabus dingin

NadaSajak

Sajak “Pesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampus” bernada melankolik.


Nilai SajakPesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampus

Nilai Kasih sayang

Penyajak amat menyayangi anak gadisnya yang menuntut di institut pengajian tinggi memberikan pesanan agar anak gadisnya bijak membawa diri di tempat baru yang berlainan dengan kehidupannya di desa

Nilai Kesungguhan

Penyajak menasihati anak gadisnya supaya menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh untuk menaikkan peluang kejayaan hidup di bandar.

Nilai Kegigihan

Penyajak menasihati anaknya supaya gigih menghadapi cabaran hidup di bandar yang amat berbeza dengan cabaran hidup di luar bandar. 

Nilai Ketabahan

Penyajak menasihati anaknya supaya tabah menghadapi cabaran hidup di bandar. 

Nilai Ketaatan

Penyajak berharap agar anak gadisnya taat dengan nasihat yang diberinya supaya dapat mencapai kejayaan yang diimpikannya.

Nilai Hemah tinggi

Penyajak menasihati anak gadisnya supaya   menjaga budi pekerti walaupun sudah bergelar siswi

Nilai Kebijaksanaan

Penyajak menasihati anak gadisnya supaya pandai membawa diri di perantauan agar tidak menemui kekecewaan dan kegagalan mengejar cita-cita .


PengajaranPesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampus

Kita mestilah bersikap baik hati supaya orang di sekeliling kita akan mendapat manfaat.

Kita mestilah memberikan kebebasan kepada anak-anak kita agar mereka mampu untuk berdikari dan demi masa depan mereka.

Kita mestilah membenarkan anak-anak kita melanjutkan pelajaran di tempat lain agar mereka dapat menambahkan pengalaman dalam hidup.

Kita haruslah cekal menghadapi segala cabaran untuk mencapai matlamat.

Kita hendaklah memberikan sepenuh kasih sayang kepada anak-anak.

Tags:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *